Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Good People With Good Heart

  • 2
  • Sufi
  • 14 years ago
  • 2,847
  • FREE

 

Fiona (bukan nama sebenar) merupakan seorang gadis yang berwajah ayu. Dilahirkan dalam tahun 1985, Fiona baru sahaja menjangkau usia 20 tahun pada bulan Jun yang lepas.


Sebetulnya saya baru sahaja mengenali gadis yang bernama Fiona ini. Kami berkenalan melalui sebuah laman web persahabatan di internet, sekitar bulan Disember yang lalu.


Semenjak dari itu, persahabatan kami menjadi semakin akrab. Kami menjadi kian rapat dan mesra. Fiona ada juga beberapa kali menyatakan pada saya, tentang betapa beruntungnya saya kerana di antara ribuan rakan internetnya, hanya saya seorang sahaja yang berjaya mendapat nombor telefonnya. Saya berasa agak hairan juga kerana Fiona langsung tidak pernah mengenali saya sebelum itu; malah melihat wajah saya pun beliau tidak pernah. Atas dasar apa terbuka hatinya pun tidaklah saya ketahui.


Kami meneruskan persahabatan kami dengan bertukar-tukar cerita dan khabar melalui sms. Teringin juga di hati saya untuk menelefonnya tetapi Fiona ada mengingatkan sewaktu di awal perkenalan dahulu bahawa beliau tidak berapa suka untuk bersembang di telefon. Terpaksalah saya pendam dahulu hasrat saya yang begitu membuak-buak itu.


Pada suatu hari yang baik, saya mengirimkan sms padanya memberitahu (meminta izin sebenarnya) bahawa saya ingin menelefonnya pada malam itu. Ketika itu sudah hampir sebulan kami berkawan, jadi saya kira apalah yang menjadi salah jika saya dapat berbual-bual dengannya di dalam telefon, lebih kurang begitulah alasan saya ketika meminta izin itu.


Pada hemat saya, Fiona juga sebenarnya sudah mula teringin untuk mendengar suara saya (buat kali yang pertama) kerana beliau begitu cepat dan mudah untuk memberikan kebenaran. Walaupun ketika memberi kebenaran itu Fiona menegaskan bahawa perbualan kami itu haruslah pendek; sekitar 2 minit, tetapi dari saat itu lagi saya sudah tahu bahawa dia sebenarnya mengharapkan perbualan yang lebih lama.


Lalu, pada malam itu buat kali yang pertamanya saya menelefon Fiona. Buat kali yang pertama jugalah saya dapat mendengar suaranya yang halus dan kecil (agak comel), dan buat kali pertama jugalah dia dapat mendengar suara saya yang saya sendiri pun tidak pasti hendak dikategorikan sebagai sedap atau tidak. Benarlah apa yang saya jangka, perbualan kami yang pertama itu berlarutan, sehinggakan saya terpaksa beberapa kali bergegas ke kedai berhampiran untuk menukar syiling. Rasanya, saya menukar RM3 sebanyak 2 kali, dan buat kali yang ketiganya saya memutuskan untuk menukar semua wang yang saya bawa di dalam dompet; adalah sekitar RM 10. Ketika itu saya tidak mempunyai kerjaya yang tetap, saya bekerja dengan mendapat gaji harian. Kerana itulah anda mungkin menganggap saya ini sebagai seorang lelaki yang amat tidak berduit. Tidak mengapa, duit bukan segalanya bagi saya. (Duit sama sekali tidak boleh membeli cinta)


Ketika syiling saya hampir kehabisan, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada Fiona kerana telah bermurah hati mengizinkan saya untuk menelefonnya malam itu. Dan terima kasih juga kerana sudi melayan saya berbual walaupun apa yang kami bualkan itu mungkin agak mengarut dan out of topic. Hati saya amatlah berbunga apabila Fiona juga turut menyatakan rasa terima kasihnya kepada saya kerana sudi menelefonnya. Walaupun kata-katanya itu mungkin adalah suatu ayat yang common; yang biasa-biasa sahaja, tetapi sekurang-kurangnya hati saya tetap merasa seronok mendengarnya. Sambil berjalan pulang selepas itu, saya mengangkat tangan kepada lelaki berbangsa Acheh seraya mengucapkan terima kasih kerana sudi memberi tukaran syiling kepada saya.


Ibarat sebuah sungai, masa juga terus mengalir; menghanyutkan apa-apa yang terapung dipermukaannya dan memendapkan apa-apa yang terbenam di dasar. Persahabatan kami kini bukanlah sesuatu yang baru lagi. Dan lewat beberapa hari yang lepas, saya dan Fiona telah pun berselisih faham. Sebahagian dari kata-katanya telah menyinggung hati saya, dan saya benar-benar berasa jauh hati dengan Fiona. Hendak saya memarahinya, saya ini hanyalah sekadar teman biasa. Melukut tepi gantang; masuk tidak penuh tumpah tidak luak. Saya sedar taraf saya. Saya tahu saya tidak mempunyai hak untuk memarahinya. Tetapi, sekurang-kurangnya, saya rasa ianya bukanlah sesuatu yang keterlaluan untuk saya mendiamkan diri dan tidak membalas message-messagenya buat masa ini. Mungkin saya perlukan waktu, sedikit ruang untuk saya menyejukkan hati.


Yang dipermukaan itulah saya anggapkan sebagai persahabatan kami. Tetap sahaja menyelusuri setiap liku-liku sungai. Walaupun ada kalanya kami tersangkut dan terperangkap oleh arus-arus yang buas di jeram, tetapi akhirnya berjaya juga melepasi dan menyambung kembali perjalanan kami. Bagi saya, walaupun pengalaman terperangkap oleh arus yang buas di jeram itu tadi amat-amat meletihkan, tetapi sekurang-kurangnya ia adalah sesuatu yang amat manis untuk kami bualkan sewaktu perjalanan kami menjadi tenang kembali.


Tetapi tidak kira betapa manisnya perjalanan dan pelayaran kami itu, tetapi yang nyata setiap sungai punya muaranya. Di muara itu nanti, akan terbentang sebuah lautan lepas, terlalu luas hingga kadang-kala saya menjadi takut dan tidak mahu memikirkannya. Jika sebelum ini kami adalah puntung-puntung kayu yang hanyut bersama di sungai dahulu, kini air sudah menjadi masin dan arus sudah menjadi ombak. Mereka-mereka itu tegar sahaja memisahkan kami, kerana kami hanyalah puntung-puntung kayu yang kerdil. Lautan itu terlalu luas untuk kami, hanya Allah S.W.T sahaja yang mampu mengekalkan kebersamaan kami.


Jika kami punya rezeki untuk terus sahaja bersama, maka kami mungkin akan terdampar di muara dan memulakan lembaran kami yang baru bersama-sama. Dan di dalam hidup kami yang baru di muara itu, mungkin ada waktunya kami akan merenung ke lautan sambil membincangkan betapa beruntungnya kami kerana tidak sampai lepas ke samudra dan seterusnya terpisah.


Tetapi jika kami tidak punya rezeki, maka lautan yang luas itulah yang akan kami tempuhi. Kami akan mengucapkan salam perpisahan, dan sampai bertemu lagi yang entah bila saya sendiri tidak ketahui. Kemudian kami pun meneruskan perlayaran kami sendiri, secara berasingan. Maka di situlah saya kira sebagai penamat persahabatan kami.


Walaupun itu mungkin terlalu menyedihkan, seolah-olah lebih baik sahaja saya tidak pernah mengenali dia, tetapi saya harus akur dengan kehendak Allah S.W.T. Jika itu adalah takdir hidup saya, maka saya akan menerimanya dengan hati yang redha. Walaupun akhirnya kami akan terpisah, tetapi saya tetap bersyukur mengenalinya dan jika diberi peluang mengundur waktu sekalipun saya akan tetap memilih untuk mengenalinya juga. Kerana dia adalah seorang manusia yang baik, yang tahu menjaga hati saya walaupun adakalanya dia melukai hati saya. Dia terlalu mendamaikan, mana mungkin gadis seikhlasnya akan mampu saya lupakan. Dia adalah mimpi saya yang sempurna.



Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) BAWWWWW. sabar bang sabar...
  • 2) saya suka pemikiran anda yang matang. olahan diksinya juga mengusik rasa.

Cerpen-cerpen lain nukilan Sufi

Read all stories by Sufi