Saya Sibuk

 

Saya sibuk.

Musim panas sedikit-sedikit muncul daripada baki musim yang lepas.  Sebab itu, siang tadi saya turun ke Manshiah mencari kipas angin kecil pada yang terbaik pada harga terendah. Sekarang kipas angin itu – harganya sembilan puluh sembilan genih sahaja, sedang tertoleh ke kiri dan kanan dalam gerakan repetitif.

Tengkuknya berkeriut dalam proses yang perlahan itu. Bila sampai ke penghujung, gearnya akan berdetik kemudian mengubah arah kipas ke sebelah kanan atau kiri. Kalau saya ditakdirkan menjadi barangan elektrik rumah domestik, saya tak mahu menjadi sebuah kipas angin. Itu terlalu bosan, mengulang perbuatan yang sama setiap masa.

Lampu sudah lama dimatikan kerana teman sebilik hendak tidur lebih dahulu. Skrin komputer cerah. Mata saya sakit menatapnya.

Kosong. Saya tak tahu apa yang hendak ditulis. Sepatutnya tarikh akhir menyerahkan hasil kerja siang tadi. Tetapi kerana saya sibuk, saya tak meluangkan masa yang cukup untuk menelurkan satu idea yang kemudiannya perlu ditetaskan . Entah apa maksudnya. Saya bercakap seorangan lagi.

Mungkin saya perlu makan sedikit dahulu.

Saya menyarung seluar jeans minggu ini dan campakkan saja kain pelikat di atas katil. Saya mengira anak tangga sambil memikirkan satu idea. Apa-apa saja. Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima. Enam. Tujuh. Sampai ke anak tangga terakhir saya sudah hilang kiraan kerana terleka memilih pizza – tuna atau ayam atau daging atau cendawan atau vegitarian.  Saya tak memikirkan idea pun bila difikirkan semula.

Akhirnya saya memesan satu pizza tuna sederhana.

Pelanggan di sebelah saya lebih awal menunggu pizzanya hairan melihat wajah asing saya bertanya kepada juruwang di belalakang kaunter. Jawabnya, “Dia pelajar dari Malizi. Mereka makan, ke kuliah dan solat. Itu kan kerja kamu, ya?”

Juruwang menyimpulkan seluruh kehidupan saya dengan tiga kata kerja; makan belajar solat, secara berselamba tetapi  yakin, mengeletek tulang rusuk saya. Sedang lapar, tak tahu membalas pertanyaannya dengan lebih mesra saya hanya senyum sedikit. Angguk sedikit.  Mana mungkin hidup saya semudah itu.

Saya pulang dan makan di hadapan komputer dalam gelap. Sambil menyuap potongan pizza saya merenung skrin kosong. Pizza tuna agak memuakkan. Mungkin saya patut pesan pizza ayam. Kipas angin baru di sudut bilik berdengung tak henti-henti. Ruang bilik yang gelap ini seperti dalam perut raksaksa mencerna khasiat daripada makan malamnya.

Berdengung. Bzztt. Bbbzztt. Krekk. Kreekk. Grungg. Grungg.

Mungkin kata juruwang itu betul. Mungkin saya akan ambil cuti esok. Mungkin mandi air laut atau berlari sepanjang pantai atau bersiar di taman. Lagi pun musim sudah mulai panas.

Saya tahu, saya akan tulis sebuah fiksyen tentang semua ini.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) lain kali cuba pizza ikan bilis.sedap.
  • 2) 1. pizza ikan bilis tak sedap doh ah pandangan peribadi. aku pernah try yg dominos dulu. hehe. masin!

    2. hehe. kpala, kau patut amik kesempatan dengan kedudukan kau di negara sana. buat apa2 cerpen yg menampilkan ciri kehidupan di sana pasti menarik!
  • 3) Interpretasi yang padat. Em, setuju dengan Caha. Mahu tahu juga pengalaman dan persekitaran yang boleh diadaptasi di sana...
  • 4) kalau hidup itu mudah..makanya..saya tak perlu susah..bila aku gagal menelurkan idea..maka aku pergi ke kapasitor..

Cerpen-cerpen lain nukilan kpalakotak

Read all stories by kpalakotak