Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kepada Michelle: Jika Aku Berpindah Saat Kau Kembali, Pohon Mangga Itu Telah Ku Lantik Sebagai Ganti Hatiku (Bah. 2)

 


Bahagian 1

 

Pagi-pagi lagi aku sudah berjalan laju-laju ke kedai kopi Puan Biyanka. Nampaknya aku sudah terlewat dua belas minit daripada kebiasaannya. Aku memakai kemeja jingga dan jeans lusuh yang bukan kegemaranku. Saat kakiku melangkah laju-laju dan titis-titis peluh mula timbul di dahi, sempat aku mendongak ke arah awan. Kelihatannya seperti mendung. Tidak mungkin awan juga cuba mengejek hatiku yang sememangnya mendung sejak dari malam semalam.

 

Tidaklah aku ingin menyalahkan sesiapa pun atas kelewatanku ke kedai kopi Puan Biyanka. Walaupun pada hakikatnya mungkin ada di antara kalian yang menyangka segalanya berpunca daripada wanita tua yang tinggal setentang dengan rumahku itu. Pada mulanya aku juga ingin menyalahkannya. Bagai sengaja mengganggu tidurku dan tidak pula muncul-muncul dalam mimpiku membuatkan aku bangun pagi dalam keadaan lesu dan tidak bermaya. Namun, nampaklah kejamnya aku jika mempersalahkan dirinya membuta tuli sedangkan namaku pun dia tidak pernah tahu.

 

Saat aku melangkah ke kedai kopi Puan Biyanka, terlihat senyuman Anjelika menjemputku. Manis sama seperti manisnya kopi bancuhannya. Jika kebiasaannya aku duduk di meja tengah kedai kopi itu, tetapi tidak pada hari ini. Aku mengambil tempat di meja kedua dari belakang di tepi tingkap dan duduk menghadap pintu depan kedai kopi tersebut. Bukan seperti kebiasaannnya apabila mataku hanya mencuci mata ke arah dapur Puan Biyanka. Hari ini atau mungkin esok dan seterusnya aku mahu melayan perasaan sambil menghadap pintu depan kedai kopi Puan Biyanka. Kadang-kadang aku benci dengan perasaan aku ini yang tiba-tiba menjadi sangat sensitif tidak tentu hujung pangkalnya.

 

Tepat pada waktu Alfonso si tukang gunting membuka kedai guntingnya ketika itulah pintu kedai kopi Puan Biyanka ditolak. Siapa lagi yang mampu membuat dadaku gemuruh pada saat itu melainkan wanita tua yang tinggal setentang dengan rumahku itu.

 

Hampir-hampir sahaja kopi yang aku hirup tersembur dan mengenai Puan Biyanka yang sedang menghidang karipap perisa kacang hijau yang bukan kegemaranku memandangkan karipap kacang tanah yang aku pesan sudah habis diborong Encik Lalo. Semuanya gara-gara kelewatanku tadi.

 

Tuhan memang benar-benar memakbulkan doaku. Dadaku bergemuruh dengan dahsyatnya pada hari ini. Bukan sahaja kerana kedatangan wanita tua itu ke kedai kopi Puan Biyanka tetapi seorang lelaki muda yang turut mengiringinya juga membantu menambah gemuruh di dalam dadaku ini.

 

Memang benar, kalian memang bijak. Itulah lelaki yang semalam menari dengan wanita tua tersebut. Walaupun tidak jelas wajahnya aku lihat semalam tetapi mataku dan ingatanku belum pernah rosak lagi. Cuma yang tidak aku jangka adalah tentang keadaan lelaki tersebut.

 

Berkaca mata hitam dan bertongkat.

 

Ah, buta rupa-rupanya!. Dalam hati aku tertawa sinis dengan kecacatannya itu, walaupun timbul sedikit cemburu apabila mengenangkan adegan menarinya dengan wanita tua itu semalam.

 

Adakah sememangnya sudah ditakdirkan apabila pada hari ini aku duduk di meja kedua dari belakang sambil menghadap pintu depan kedai kopi Puan Biyanka, maka wanita tua itu duduk di meja asalku lalu terus sahaja menghadap ke arahku. Cuma, pada waktu-waktu tertentu ada beberapa perkara yang menjengkelkan.

 

Pertama, setiap lima saat kepala si buta itu seringkali menjadi penghalang untuk aku menatap wajah wanita tua itu. Kedua, wajah wanita itu tidak bercakap sepatah pun sebaliknya hanya mengangguk sekali sekala dan tersenyum tawar mendengar cerita si buta itu. Selebihnya dia hanya memandang dengan wajah yang muram ke arah cermin tingkap kedai kopi Puan Biyanka. Semuram langit pada hari ini. Semuram warna biru gelap bajunya.

 

Itulah rutin hidupnya pada setiap pagi selama dua minggu berturut-turut. Bersama-sama si buta itu duduk di meja asalku. Mendengar sahaja si buta itu bercerita tanpa sepatah pun mahu mencelah. Cuma, ada ketikanya dia tersenyum nipis. Pada waktu-waktu tertentu pula dia berwajah serius mendengar cerita si buta itu.

 

Begini jugalah rutin harianku. Pasti ramai yang menyangka aku memandang ke arah pintu depan kedai kopi Puan Biyanka. Tetapi yang sebenarnya berlaku adalah mataku hanya mampu melihat gelagat wanita tua itu dengan temannya, si buta. Tidak lagi mataku endah akan perkara-perkara lain termasuklah misai Alfonso si tukang gunting itu  yang sudah panjang setengah kali ganda. Ataupun berat Puan Biyanka sudah naik dua perpuluhan lima kilogram memandangkan aku tidak nampak lagi dia memakai blaus hijau beropol merah sejak seminggu yang lalu.

 

Tetapi, ada satu perkara yang kekal sejak pertama kali wanita tua itu muncul - Dada bergemuruh tidak pernah berhenti setiap kali dia muncul di depan mataku.

 

***

 

Kemudian, pada suatu pagi yang aneh. Burung-burung merpati putih telah menggantikan gagak-gagak hitam yang galak terbang di kawasan perumahan kami. Angin berhembus dengan tenang. Setenang-tenangnya. Mungkin hari ini angin senang sekali dengan pagi yang datang pada kali ini. Bagai membawa satu khabar gembira. Atau mungkin membawa satu beban yang sangat berat terbang jauh lalu termusnah tanpa ada sebarang kenangan secebis pun lagi.

 

Langit juga nampaknya telah kembali cerah. Tiada lagi mendung yang suram. Jika kalian tinggal di kawasan perumahan kos rendah ini, kalian akan perasan sesuatu. Semenjak kedatangan wanita tua itu bersama teman si butanya, langit sentiasa mendung tetapi hujan tidak lebat. Rintik-rintik pada setiap hari Rabu jam lima petang atau gerimis lewat tengah malam setiap malam Jumaat. Selebihnya, langit hanya mendung, gelap dan tidak pernah cerah. Matahari cuma muncul malu-malu sahaja pada setiap jam sembilan pagi selama dua puluh dua minit sahaja.

 

Pada pagi yang aneh itu juga aku telah ke kedai kopi Puan Biyanka sepuluh minit lebih awal. Memakai kemeja biru muda dan jeans hitam kegemaranku, aku melangkah penuh santai ke kedai kopi Puan Biyanka. Sedikit senyuman aku lemparkan ke arah rumah wanita tua yang setentang dengan rumahku itu. Senyumku juga aku berikan kepada pohon mangga tua yang setia di hadapan rumahnya.

 

Tanpa mengharapkan sebarang kepercayaan daripada kalian, pohon itu sememangnya membalas kembali senyumanku!

 

Biarlah aku pendekkan sahaja cerita yang bakal berlaku sesampainya aku di kedai kopi Puan Biyanka. Pada pagi itu aku tidak lagi duduk di meja kedua dari belakang sambil menghadap kedai kopi tersebut. Aku kembali ke tempat asalku di meja tengah, yang jika kalian fokus betul-betul pada ceritaku di awal-awal tadi, ia pernah diambil oleh wanita tua dan si buta itu. Kini aku kembali meletakkan pandanganku ke arah dapur Puan Biyanka.

 

Jika aku pendekkan cerita lagi aku akan terus saja memberitahu kalian tentang si buta itu yang sekarang ini sudah pun duduk di hadapanku sambil menghirup jus tembikai di sebuah kedai kopi. Memanjangkan cerita ini bukanlah sesuatu yang menarik kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum itu tidaklah penting sama sekali. Sebagai contoh sewaktu masuk ke kedai kopi Puan Biyanka, si buta itu terlanggar Anjelika yang tiba-tiba khusyuk pula membaca novel Suzzane’s Diary For Nicholas karya James Patterson sambil menghirup teh bunga.

 

Ouh, jangan tuduh sembarangan! Dia bukan seorang yang berat tulang pada hari ini. Anjelika sudah mengemop lantai dengan bersungguh-sungguh lima belas minit yang lalu sambil membancuh lima cawan kopi untuk para pelanggan Puan Biyanka. Itu belum termasuk lagi memikirkan resipi kuih yang baru untuk kedai kopi Puan Biyanka yang semakin maju pada setiap hari Ahad.

 

Jika dipanjangkan lagi cerita ini, kau akan mengikuti peristiwa Anjelika terpaksa mencari buah tembikai selama lima minit dua puluh saat untuk menzahirkan pesanan si buta itu. Dan si buta itu sebenarnya tersalah tempat duduk kerana menyangka tiada siapa yang duduk di meja tengah kedai kopi Puan Biyanka sedangkan dia sendiri ‘tidak nampak’ bahawa aku sudah terlebih dahulu mengambil tempat tersebut. Tidak penting bukan kalau aku memanjangkan cerita ini?

 

Maka, selepas sembilan minit duduk tanpa mengeluarkan sepatah kata, aku memberanikan diri untuk menegurnya dahulu. Bukan bertanya nama. Bukan bertanya khabar. Aku menanyakan soalan yang sudah hampir putus harapan untuk aku menemukan jawapannya selama beberapa hari ini.

“Siapa wanita tua itu?”

Sedikit terkejut tetapi dia tetap menjawab soalanku dengan sopan.

“Ibuku”

 

Memang kalian akan mengutukku dengan kenyataan yang aku akan beritahu ini. Tetapi buat pertama kalinya aku bersyukur kerana lelaki di hadapanku ini buta kerana jikalau tidak, mungkin aku akan memalukan diri sendiri. Aku terpaksa mengawal ketawaku yang tanda gembira agar tidak berbunyi di hadapannya apabila mendengar jawapan daripada mulutnya. Kesudahannya aku terpaksa ketawa ternganga-nganga dan bukan menutup mulut dengan tangan seperti kebiasaannya yang dilakukan oleh orang lain.

 

Keadaan ketawaku yang hodoh itu bukan lagi hal yang patut aku kisahkan ketika ini, tetapi nikmat mendengar jawapan si buta itu adalah nikmat paling hebat dalam hidupku pada saat tersebut. Pasti akan dicatat dalam diari rahsiaku. Kalaupun tidak dicatat aku yakin akan mengingatinya sampai bila-bila.

 

“Ibu tidak ikut?”

“Tak. Dia pening kepala. Malam semalam dia demam lagi. Kalau terjumpa dengannya, jangan ditanya apa-apa fasal pening dan demamnya”

“Sebab?”

“Ibu tak suka orang tahu dia sakit”

 

Aku mengangguk tanda faham walaupun si buta itu buta dengan segala gerak badanku.

 

“Saya tahu semua hairan kenapa kami pindah ke sini. Itu semua kisah dulu, tapi sekarang tak lagi”

“Maksudnya?”

“Dulu kami memang orang berada. Sangat mewah. Tapi sekarang tidak. Cuma ibu memang suka bergaya seperti orang-orang atasan. Mungkin mahu gembirakan hatinya”

 

Aku diam sahaja mendengarnya. Malu mahu menyampuk walaupun dalam hati macam-macam mahu ditanya tentang wanita tua itu.

 

Beberapa ketika si buta itu diam sekejap sambil menghirup jus tembikainya. Kemudian si buta itu menyambung kembali dengan ceritanya.

 

“Kami rasa kami sudah bersedia. Fizikal dan rohani...”

 


Bersambung...

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) oh cis. bersambung lagi. ada berapa episod ni? hehe
    saya sangkakan 2 episod saja.

    episod ini agak tak banyak berkembang untuk sebuah cerpen. perihalan situasi agak meleret walaupun menarik. hmm, mungkin saya geram sbb cerita bergerak slow? hihi

    tapi penceritaannya memang ada stail. saya suka.

  • (Penulis)
    2) hahaha...cerita ni memang sengaja ditulis untuk bergerak secara slow. ada lagi 1 bahagian shj lagi. cerpen paling panjang pernah dihasilkan saya - penat!

    p/s: teringat kata2 ramlee awang murshid - "manusia ni memang suka tergesa-gesa"
    jadi saya faham perasaan caha
  • 3) gaya penceritaan yang sangat baik
  • 4) saya terayun di dalam buaian cerita. I love it kamalia!

    err.ke aku suka sebab angelika dah start baca James Patterson punya novel? (sumpah nak nangis dan cari balik novel-novel itu) sobs

  • (Penulis)
    5) anjelika bukan tak suka baca novel james patterson tu. cuma dia tak suka baca sambil hirup teh bunga

    terima kasih
  • 6) sepertinya mendengar orang bercerita. alirannya lancar

  • (Penulis)
    7) ridh: terima kasih

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia