Cinta Hari-Hari Perjuangan

 

“Fahri atau Khairul Azzam?”dia bertanya di ruang sembang Facebook.

“Mengapa?”balasku.Seminit dua berlalu,tanpa jawapan darinya.Mungkin tenggelam dalam pelayarannya di dunia maya,di samping membaca dan menulis blog.

“Enta patutnya jadi lebih hebat dari hero novel Kang Abik,”jawabku tanpa menunggu balasan darinya.Siapa tidak kenal Ahmad Saifullah,orang kuat badan dakwah di sekolah. Prestasi akademiknya menjadi buah mulut para guru dan rakan di sekolah.Kini dia menadah ilmu di bumi Kinanah dan bakal bergelar doktor .

Namun,dia juga seorang remaja biasa.Punya perasaan kasih dan berontak,ingin dikasihi dan ingin dibelai oleh seorang kekasih.Masih segar dalam ingatan peristiwa usai kertas terakhir SPM dia memberitahuku rahsia cinta dalam hidupnya.

“Ana minat pada Nur,”jawabnya jujur mengharap perhatianku.

“Saudara enta murid Tingkatan 3 kan?”soalku menuntut kepastian.Dia hanya menguntum senyum lebar mengiakan,penyeri wajahnya yang sedia manis hingga pernah digosipkan dengan seorang rakan setingkatan sejak dahulu lagi,namun dia tak pernah memberi jawapan.


Bukan mudah untuk menduga gelora jiwa dan membaca lautan fikrahnya,apatah lagi berbicara soal cinta.Menurutnya,cinta semahal harga syurga.Jika cinta ibarat sang kumbang dahaga debunga si mawar,harganya ialah perjuangan mendaki duri yang melingkari mawar yang dicintainya.Dia akui,dia belum kenal apa itu cinta dek mahalnya mahar yang perlu dibayar untuk cinta.Walaupun novel cinta laku keras di kedai-kedai buku, betapa pula murahnya cinta dijaja di dada akhbar mengulas isu kebejatan sosial. Haiwan lebih kenal cinta,kerana tidak sewenang-wenang membuang zuriatnya seperti yang berlaku dalam kalangan spesies Homo Sapiens yang kononnya bertamadun.

“Insya Allah esok ana akan berkonvoi ke Sinai,”luahnya.

“Kembara musim panas?”tanyaku.

“Bukanlah,mengikut rombongan bantuan ke Gaza,”jawabnya.“Jiwa aktivis mahasiswa!”bisik hati saya,mengiakan hakikat seorang Ahmad Saifullah.Dari zaman bangku sekolah hinggalah ke menara gading,dia tidak jemu terlibat dalam pelbagai program anjuran kelab atau persatuan.Tidak hairanlah kini dia menyandang jawatan Ketua Lujnah Penerangan ABIM Mesir,begitu cocok dengan minat menulisnya.

“Enta tak risau?”getusku,walaupun gembira ada rakan yang terlibat aktif membantu rakyat Palestin.

Dari kejauhan bumi Nottingham,beriring doa untuk mereka acapkali ku terlibat dalam acara mengimarahkan kesedaran mengenai isu Palestin di samping mengumpul dana bantuan.Dia lebih bertuah, belajar di negara bersempadan dengan Gaza, sebelah semenanjung Sinai yang pernah ditawan Israel sebelum tercetus Perang Enam Hari.

“Dengan jiwa dan darah,kami sedia berkorban untukmu Palestin!”begitu semangat dia menjawab.Semangat yang begitu sebati dengan pemuda yang punyai moto hidup ‘ish azizan au mut syahidan yang bermakna ‘hidup mulia atau mati syahid’.

“Oh ya,jangan lupa hantarkan surat yang ana kirim tempoh hari pada penerimanya,  walaupun pengirimnya sudah tiada…Assalamualaikum,” pantas dia menamatkan diskusi sebelum sempat saya bertanya maksud kata-kata terakhirnya.


* * * * * * * * *


Mentari musim panas begitu menyengat sinarnya.

Walaupun begitu,aku patuh menunaikan kewajipan Jumaat sebagai seorang lelaki Muslim.Unik khutbah kali ini,di samping isu Palestin yang menjadi mauduk utama sang khatib juga mengingatkan jemaah mengenai nasib umat Islam di Iraq,Afghanistan, Kashmir,Cechnya dan Selatan Thailand yang bergolak.Betapa sempadan geografi tidak berupaya memisahkan ukhuwah Islamiah,namun dileraikan dengan licik oleh para orientalis menerusi faham nasionalisme berteraskan semangat assabiyah.


Pengumuman tuan imam sebelum solat Jumaat dimulakan menyentak sanubari.  Ahmad Saifullah gugur syahid apabila konvoi bantuan ke Gaza diserang hendap tentera Zionis.Usai solat Jumaat dan solat ghaib,aku pulang mengambil surat Allahyarham untuk disampaikan pada penerimanya.Kini ku mengerti maksud kata-katanya di laman sembang Facebook dua hari lalu.

“Nur,ini surat Allahyarham untukmu,”terangku sambil kuhulur surat kepadanya.Dia begitu terkejut menerima surat bertulis ‘Kepada Adinda Nur’ bersampul merah jambu itu.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Semoga Nur dan keluarga sihat sejahtera hendaknya di bawah lembayung rahmat-Nya. Selama ini,abang anggap Nur sebagai rakan dan umpama adik abang sendiri,yang kebetulan sebaya dengan Nur.Dari kejauhan abang memerhatikan kejayaanmu baik dalam sukan mahupun akademik.Sesekali abang bertanya,mengambil berat  sebagai dua pupu di sebelah ibu abang.

Izinkan abang menyatakan cinta kepada Nur,insya Allah abang bakal melamarmu usai abang tamat pengajian dan kembali ke tanah air pertengahan tahun depan.Cinta padaku ialah perjuangan,dan prioriti perjuangan kita sebagai belia generasi masa depan ialah menggapai prestasi tertinggi dan menyumbang kepada kegemilangan ummah. Dengan prestasi terbilang itulah kita bina keluarga hasanah , tempat kita menempah tiket cinta di  syurga.Panjang umur murah rezeki,moga Allah memudahkan urusan kita memadu cinta di gerbang nikah.

Asap api embun berderai,
  Patah galah haluan perahu;
Rindu di hati tak mahu bercerai,
  Kehendak Allah siapa yang tahu.

Pungguk perindu,
Ahmad Saifullah

Dalam kemeriahan paluan kompang,berlinangan air mata Nur membaca semula warkah Allahyarham,sambil ku menyaksikannya dengan penuh hiba.Pada hari  kami bersatu dalam gembira dan syukur,bening menguasai atmosfera tatkala membuka semula hikayat cinta sang pejuang.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) woosh...tahniah tuk cerpen pertama ini..menantikan karya anda yg seterusnya..mungkinkah anda adik kepada Joey?

  • (Penulis)
    2) @paktam85,maaf saya bukan adik Joey.Ini pertama kali saya menulis cerpen ^_^
  • 3) best. best. *kenapa aku pulak yg rasa pilu. eheh!*
  • 4) Salam saudara Fakhruddin.

    Pertamanya, selamat datang ke seksyen cerpen. Semoga kehadiran saudara dapat memeriahkan lagi seksyen ini.

    Kedua, tahniah untuk cerpen pertama di sini. Keberanian untuk berkongsi tulisan saudara di sini sangat dihargai.

    Ketiga, ia sebuah cerpen yang diungkap dengan baik. Mesejnya ada cuma sudut pandangan yang digunakan sedikit longgar. Sekejap 'saya', sekejap 'aku'. Namun olahannya terkesan di hati.

    Akhir sekali, penulisan genre Islami sangat diperlukan di sini. Dulunya, saudara Joey mempelopori genre ini. Justeru, sudi-sudilah berkongsi lagi tulisan saudara buat tatapan kami.

    Salam mesra dan selamat berkarya!
  • 5) Wah!
    Salam Fakhruddin.
    Gembira saya melihat karya sebegini dihantar ke sini. Saudara berumur 19 tahunkah?

    Saya suka dengan unsur lokaliti yang disisip dalam cerita. Tulisan saudara juga menarik dibaca!

    Teruskan usaha!


  • (Penulis)
    6) Waalaikumussalam ,@Cahatomic,yup baru 19 tahun.

    Terima kasih atas komen saudara sekalian

Cerpen-cerpen lain nukilan faka91

Read all stories by faka91