Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Biskut Kelapa Manis

 

JUBIN yang dipenuhi dengan kesan tapak-tapak kaki itu dibersihkan dengan teliti. Dari satu bahagian ke satu bahagian Ainon melangkah, membawa bersama-sama baldi berisi cecair pencuci lantai dan batang mop. Mata-mata yang melihat tidak diendahkan. Ainon sedar dirinya bukanlah punya apa-apa yang dapat menarik perhatian. Dia hanya menjalankan tugas yang telah dilakukan sejak dua tahun yang lalu dengan penuh tanggungjawab. Itulah rutin hariannya. Bekerja sebagai seorang pencuci di sebuah pusat beli-belah yang terkemuka di bandar metropolitan ini.

Kerjanya tampak mudah. Bermula sejak awal pagi sekitar jam lapan dan berakhir waktu petang, beberapa ketika sebelum senja berlabuh. Ya, pada pandangan masyarakat, itulah kerja yang paling senang dan paling dianggap remeh. Tidak kurang juga yang menjeling sinis. Ainon sudah biasa, sudah lali dengan tanggapan-tanggapan serong masyarakat yang dikatakan bertamadun tetapi semakin hilang nilai kemanusiaan.

Ainon terus mengelap lantai dengan batang mop sehinggalah ada seorang remaja lelaki menghalang tugasnya. Diangkat wajah dan anak matanya membulat sedetik cuma. Remaja itu sibuk ke hulu, ke hilir seperti sedang menunggu kelibat seseorang. Tidak perasankah remaja itu akan kehadirannya yang mahu membersihkan lantai buat seketika?

“Apa tengok-tengok?” sergah remaja lelaki yang menyarungkan baju-T tanpa lengan rona hitam pekat dengan tulisan yang tidak dapat Ainon fahami. Ah, mana hilangnya rasa hormat remaja ini pada orang yang lebih tua?

“Tumpang lalu dik, makcik nak bersihkan lantai sekejap,” Ainon bersuara, meminta izin.

Remaja itu mendengus lalu beranjak sedikit ke belakang, pegun, tidak lagi ke hulu, ke hilir seperti tadi. Kemudian, sekotak rokok dikeluarkan dari poketnya dan tanpa segan-silu, remaja itu menyalakan pemetik api lalu berkepul-kepul asap rona putih dihembus keluar.

Ainon hanya melihat dengan ekor matanya sahaja. Diperhatikan remaja itu sepertinya seorang yang berbangsa Melayu. Kulitnya sawo matang dengan rambut yang agak kerinting. Suaranya sebentar tadi juga tidak ada lenggok asing. Cuma pakaian remaja itu sedikit kebaratan. Sudahlah bajunya hitam pekat, tidak berlengan pula tu. Seluar yang dipakai pula terkoyak di lutut dan di peha. Ah, fesyen muda-mudi sekarang, berbeza benar dengan zamannya dahulu.

Apa yang menghairankan Ainon bukanlah pakaian yang disarungkan ke tubuh remaja itu tetapi perbuatannya menghisap rokok yang menjadi perhatian. Tidak sedarkah remaja itu sekarang ini sudah masuk bulan Ramadhan? Bulan di mana semua insan yang beragama Islam diwajibkan untuk berpuasa.

‘Mungkin remaja ini terlupa,’ desis hati Ainon lalu terus membersihkan lantai. Dia tidak mahu dianggap terlalu pesimis.

Selesai membersihkan lantai, Ainon bergerak ke bilik pekerja yang disediakan di tingkat paling atas pusat beli-belah itu. Barang-barang yang dibawa tadi diletakkan di sudut bilik. Kerjanya masih belum tamat. Masih ada bahagian lain lagi yang belum dibersihkan. Dia sekadar mahu melepaskan penat seketika.

“Kamu puasa ini tidak penat ke?” tegur Kumari, wanita India yang baru sahaja masuk ke bilik tersebut. Hanya ada dia dan Kumari sahaja di bilik itu kala ini.

Ainon mengukir senyum sebelum menjawab pertanyaan Kumari tadi. “Tidaklah penat kalau sudah biasa. Lagipun bila buat kerja ni, terasa masa cepat berlalu. Sedar sahaja sudah hendak masuk waktu berbuka,” ujar Ainon.

“Hari ini mahu berbuka apa?” Kumari bertanya lagi.

“Cadang saya mahu membeli ayam goreng di tingkat bawah. Anak-anak dah lama mengidam. Bulan lepas saya dah janji dengan mereka untuk belikan,” jawab Ainon.

“Tinggal seminggu lagi hendak Hari Raya, sudah buat kuih?” Kumari memanjangkan perbualan.

“Adalah sedikit Kumari. Baju raya pun saya jahit sendiri. Cukuplah ala kadar, mana yang mampu,”

Kumari mengangguk. Untuk apa anggukan itu tidak Ainon ketahui. Kumari keluar semula selepas mengambil tuala di dalam beg sandangnya. Ainon melunjurkan kaki. Dipicit-picit betisnya yang terasa lenguh. Dikerling jam di dinding. Sudah hampir pukul dua petang. Pasti anak sulungnya, Mazni sudah pulang dari sekolah. Anaknya itu akan mengambil peperiksaan PMR tidak lama lagi. Dia hanya ada dua orang anak, Mazni dan adiknya Munirah. Itulah peninggalan berharga arwah suaminya yang telah pergi menemui Ilahi kerana serangan jantung sejak dia melahirkan Munirah lima tahun dahulu. Waktu bekerja begini, Munirah diserahkan pada Kak Siti, jiran sebelah rumahnya yang terletak di Kampung Baru.

Ainon bangkit perlahan-lahan lalu mencapai semula baldi dan batang mopnya lalu dia bergerak keluar dari bilik tersebut, meneruskan kerjanya yang tertangguh tadi.

 

*  *  *  *  *

 

“IBU, tadi di sekolah, cikgu ada tanya sama ada along nak masuk sekolah asrama tak kalau keputusan PMR along baik,” beritahu Mazni usai mereka berbuka puasa hari itu.

Ainon yang sedang mencuci pinggan tersentak sedikit. Kata-kata Mazni menjentik tangkai hati. Jika anaknya itu ke sekolah berasrama penuh, pasti tinggi belanjanya.

“Along jawab apa?”

“Along kata tak mahu. Along nak temankan ibu. Along nak tolong ibu buat kerja rumah, jaga adik, dan tolong ibu buat kuih,” jawab Mazni.

Ainon tersenyum mendengar jawapan anaknya itu. Sungguh dia bersyukur mempunyai anak yang luhur hatinya seperti Mazni. Anak yang tidak banyak kerenah dan kental jiwanya. Tidak pernah walau sekali anak itu merungut akan kehidupan sederhana yang dilalui mereka. Ainon tahu anaknya itu tampak lebih matang dari usianya.

Sebagai ibu dan juga menggalas tanggungjawab sebagai bapa, adalah menjadi kewajipannya untuk memastikan kebajikan kedua-dua anaknya itu terjamin. Tambahan pula dia masih muda, baru hendak masuk empat puluh tahun umurnya. Masih punya tenaga untuk memastikan anak-anaknya tidak terabai.

“Nanti tidurkan adik ya. Ibu nak siapkan bahan-bahan untuk buat kuih kejap lagi,” pesan Ainon.

Mazni mengangguk. Sejurus anaknya itu berlalu ke ruang tamu, Ainon membuka almari yang menyimpan pinggan mangkuk lalu digapainya sebiji mangkuk besar dan beberapa mangkuk kecil. Selalunya, setiap malam dia akan membuat karipap dan donut untuk diletakkan di gerai Ahmad di hujung jalan setiap pagi. Memandangkan sekarang bulan Ramadhan, dia berehat sementara. Cadang Ainon, malam ini dia mahu membuat biskut kelapa manis. Dia tahu itu kesukaan Mazni.

Esok, Ainon akan kembali meneruskan kerjanya sebagai pencuci. Hanya itu yang mampu dia lakukan untuk menyara keluarga. Selagi punya kudrat, dia akan terus bekerja supaya makan pakai anaknya terjaga.

 

*  *  *  *  *

 

PAGI Jumaat itu Ainon rasa lain benar. Dirinya seperti penuh dengan semangat dan tenaga. Selepas sahur tadi, dia sempat mengemas dan menyapu rumah. Beberapa hari lagi Syawal akan menjelang tiba. Serasa tidak sabar mahu merayakannya dengan Mazni dan Munirah. Sejenak dia teringatkan kampung halaman yang sudah lama tidak dijejaki. Ah, di situ tidak punya apa-apa lagi. Hanya kenangan pedih dan mengusik jiwa. Dia sudah tidak punya ayah dan emak. Kedua-duanya sudah lama menyahut panggilan Ilahi. Dirinya pula dilahirkan tunggal, tidak berteman.

            Justeru selepas kematian kedua ibu bapanya, Ainon berhijrah ke bandar besar ini. Dia menumpang sebentar di rumah kawan sekolahnya Zuraida sehinggalah bertemu dengan arwah suaminya ketika sama-sama bekerja di kilang membuat sarung tangan. Namun usia perkahwinannya tidak lama. Tuhan lebih sayangkan arwah suaminya meninggalkan dia terkapai-kapai sementara.

Kala itu dirasakan dunianya gelap. Dia hilang tempat berpaut, tempat menumpang kasih. Namun demi anak-anak, dia bangkit semula dengan semangat baru. Dia tidak boleh berputus asa dengan hidupnya. Tuhan tidak suka hamba-NYA yang cepat mengalah. Bukankah masih ada DIA sebagai tempat mengadu. Berdoalah setulus hati, nescaya akan diperkenankan-NYA.

Lamunan Ainon terganggu apabila Mazni menghulurkan tangan untuk bersalam. Sempat anaknya itu berpesan agar diasingkan satu balang biskut kelapa manis, khusus untuk dirinya. Ainon sekadar mengangguk. Memang sudah diasingkan biskut kelapa manis itu untuk Mazni.

Mazni mengayuh basikal ke sekolah yang letaknya lima kilometer dari rumah. Lambaian tangan Mazni semakin lama semakin hilang dari pandangan. Munirah yang baru bangun melaung namanya dari dalam bilik. Segera dia mendapatkan anaknya itu. Usai menyiapkan Munirah, dia mengunci pintu rumah dan menghantar anaknya ke rumah Kak Siti. Kemudian, dia berjalan kaki ke perhentian bas, menunggu kelibat kenderaan empat segi tepat bersaiz besar itu tiba untuk membawanya ke tempat kerja.

Lima minit menunggu, bas rona kuning itu tiba dan Ainon terpaksa bersesak-sesak untuk masuk ke dalam perut bas. Jika tidak, dia akan ketinggalan. Sudah lumrah hidup di kota metropolitan ini di mana penghuninya perlu bergerak pantas. Semuanya mahu cepat.

Sepuluh minit perjalanan,  Ainon tiba ke destinasi yang dituju. Dia perlu berjalan ke seberang untuk ke tempat kerjanya. Ainon menoleh ke kanan, kemudian ke kiri sebelum melintas. Setelah dipastikan keadaan betul-betul selamat, Ainon memulakan langkah. Namun entah dari mana, sebuah motosikal bergerak laju menuju ke arahnya. Ainon terpaku sebentar sebelum dirasakan sekelilingnya gelap-gelita!

 

*  *  *  *  *

 

ALUNAN takbir dari kaca televisyen menusuk ke kalbu, menghadirkan rasa yang berbaur. Ada sayu yang menjengah. Ada hiba yang menerjah. Mazni memandang balang kecil berisi biskut kelapa manis yang dibuat oleh ibunya. Perlahan-lahan, titis-titis jernih mula berladung di kolam mata lalu berjuraian jatuh.  Terasa semuanya berlaku dengan begitu pantas. Takdir Tuhan, siapalah yang dapat menduga.

Mazni menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan. Pagi Syawal begini terasa sunyi tanpa belaian kasih seorang ibu. Sudah lima tahun dia menyambut Syawal tanpa kehadiran seorang bapa dan inilah kali pertama pagi Syawalnya hening dan sunyi.

Bingkai gambar yang terletak di atas peti televisyen direnung sejenak. Diseka air mata yang mengalir dengan jemarinya. Setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri. Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Pengasih. Mazni bersyukur kerana dia masih mampu bernafas dan melangkah di bumi Tuhan ini.

Balang yang berisi biskut kelapa manis itu dimasukkan ke dalam raga bersama-sama dengan termos kecil berisi air milo panas. Adiknya masih berada di rumah Makcik Siti sejak dua hari lepas. Setelah memastikan semua barang yang diperlukan telah dibawa, Mazni mengunci pintu lalu melangkah ke perhentian bas untuk ke hospital, bertemu ibunya yang dirawat di sana.

Syukurlah, ibunya hanya mengalami cedera ringan dan kakinya hanya retak sedikit. Tidak dapat difikirkan apa akan terjadi andai ibunya tiada di sisi. Walaupun pagi Syawal ini tidak seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya dia masih dapat menyambut Aidilfitri dengan ibu yang sentiasa mengukir senyum manis, sama seperti biskut kelapa manis kesukaannya.

 

::TAMAT::

ridhrohzai

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Cerpen sempena Hari Raya. Lama dah tak menulis. Huhuhu...
  • 2) wuhuhu...riri...nk kata apa klu riri punye cerpen..
  • 3) leh dipanjangkan lagik gitu... tak puas membacanya huhuhu
    plot yang menarik
  • 4) setuju dengan adreena.. tak puas baca..
  • 5) "...lagi ke hulur, ke hilir seperti tadi" sepatutnya ke hulu.Kan?

    Aku letak 5.
    Sambung takut meleret.Yang ada sudah cukup bagus.
  • 6) hehe. pandai riri pilih satu watak. satu situasi. dan hasilkan cerpen yang baik darinya.

    teringat dulu pak penyu pernah kongsikan petikan tulisan tentang bagaimana menulis cerpen. lebih kurang beginilah formatnya.

    nice one riri!

  • (Penulis)
    7) paktam: hahaha... ada-ada saja paktam ni. banyak yang boleh diperkatakan...

    kak reena dan elzara: kalau panjang nanti takut jadi cerpen bersiri pula. hehehe...

    26life: terima kasih untuk teguran itu. (dengan pantas berlari membetulkan)

    caha: saya pun ingat-ingat lupa entri pak penyu tu. huhuhu... dah lama tidak menulis kisah begini. asyik tulis pasal cinta aja. *wink*

    terima kasih semua sudi singgah membaca...
  • 8) riri kan putera cinta. dalam hati ada 17 tempayan lagi untuk dilimpahkan. kekasih hati tak tamak, memadai 1. maka baki 16 dilimpahkan melalui tulisanlah! hihi.

  • (Penulis)
    9) caha: hahaha... pandailah kamu caha...
  • 10) wah dah lama xsempat nak bukak kapasitor..first2 terus cari karya riri..memg still besh mcm dulu..

  • (Penulis)
    11) cik rain! amboi, bertapa ke gua mana sampai baru muncul ni? hehehe... terima kasih awak masih sudi menjadi pembaca setia tulisan saya yang tak sebarapa ini. sangat hargainya!
  • 12) sumpah.. dtg je motor tu.. dalam hati macam sial, takkan riri buat cerpen cliche!

    tolongla petronas amek cerpen riri buat iklan taun depan. iklan taun ni hampeh!

    p/s: tergelak sket baca bahagian 3, perenggan 4 -- 'biskut kepala manis'. hehehee

  • (Penulis)
    13) hahaha... sungguh tak perasan akan perkataan tu. biasalah, bunyi pun lebih kurang. terima kasih sudi singgah membaca...
  • 14) xdehal.. cerpen bes kene singgah baca! haha

Cerpen-cerpen lain nukilan ridhrohzai

Read all stories by ridhrohzai