PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal

 

Kehadapan Puan Lennon,

Helo, puan. Nama saya Chapman. Mark David Chapman? Masih ingatkah lagi puan kepada saya? Tentunya puan tidak akan pernah lupa, bukan? Atau, jika puan terlupa atau berusaha membuang nama saya dari ingatan pun, sejarah pasti akan mengingatkan puan tentang saya. Sejarah tetap sejarah. Tidak akan boleh dipadam sampai bila-bila.


Puan,

Sebelum itu, saya memohon dengan rendah dirinya di sini agar puan tidak mengoyak atau membuang surat ini sebelum selesai membacanya. Saya telah berfikir berjuta kali sebelum menulis surat ini kepada puan. Ya, surat ini mungkin sekali bakal menambah kelukaan di hati puan memandangkan isinya nanti akan membawa ingatan puan kepada sejarah hitam tiga puluh tahun yang lampau. Namun, ini sahaja cara saya dapat berkomunikasi dengan puan memandangkan keadaan saya yang tidak diizinkan untuk berjumpa dengan sesiapa pun lebih-lebih lagi dengan puan sekeluarga. Dan,saya berjanji dengan puan dan diri sendiri bahawa inilah surat pertama dan terakhir saya kepada puan.


Puan,

Pagi itu baik-baik sahaja. Tidak ada hujan, tidak ada ribut. Sepertinya Tuhan seolah-olah ‘merahmati’ hari tersebut. Dan, tahukah puan saat saya terbangun dari tidur pada hari itu, saya telah diberitahu oleh satu suara bahawa inilah hari yang ditunggu-tunggu. Muktamad! Jam di dinding menunjukkan ia sudah melepasi ke pukul 10.30 pagi. Saya bergegas bersiap sambil mengingati apa yang perlu dibawa. Ingatkah puan akan album ‘Double Fantasy’? Muka hadapannya memuatkan gambar puan sedang bercumbu dengannya. Ya, saya membawa salinan album tersebut sambil terngiang-ngiang lagu kegemaran saya di dalam album itu.


Yes, I'm your angel,
I'll give you everything,
In my magic power,
So make a wish,
and I'll let it come true for you,
Tra, la, la, la,


Tersenyum saya sendirian. Oh, tidak dilupakan juga. Sepucuk pistol. ‘Double Fantasy’ dan sepucuk pistol adalah pasangan yang sempurna. Tahukah puan, saat saya tiba di hadapan bangunan The Dakota, New York saya tidak menemukan langsung kelibat suami puan. Namun begitu, ia bukanlah penyebab untuk mematahkan semangat saya. Saya setia menunggunya sambil-sambil berbual kosong dengan seorang jurugambar amatur bernama Paul Goresh dan penjaga pintu The Dakota yang baik hati, Jose Perdomo, yang juga menunggu kehadiran puan beserta suami di hadapan bangunan The Dakota.


Puan,

Seperti yang saya katakan tadi, seolah-olah Tuhan sedang ‘merahmati’ hari tersebut. Tidak disangka-sangka pada hari itu saya dapat bertemu dengan anak puan. Saya kira Sean Lennon pada masa itu berusia seawal lima tahun dan dia tiba di The Dakota bersama-sama dengan neneknya. Demi Tuhan, dia adalah kanak-kanak lelaki yang paling comel yang pernah saya lihat. Saling tidak tumpah seperti ayahnya. Kami bersalaman. Sungguh! tidak terlintas langsung pada ketika itu bahawa kanak-kanak kecil yang malang itu akan kehilangan seorang ayah buat selama-lamanya. Hati saya tersentuh. Ah, benarlah kata sang suara misteri itu. Saya memang seorang pencinta kanak-kanak!

Seusai berlalunya si kecil Sean Lennon, saya, Goresh si tukang gambar dan juga Perdomo si penjaga pintu The Dakota yang baik hati itu meneruskan perbualan kami. Tidak dilupa, saya juga sempat menunjukkan kepada mereka salinan album ‘Double Fantasy’ karya suami puan. Sebenarnya, jika puan mahu tahu, saya baru sahaja membeli album tersebut beberapa hari sebelum kejadian. Ia sebagai    didekasikan khas untuk hari bersejarah tersebut.

Saat kami sedang rancak berbual, tiba-tiba ada sesuatu yang kedengaran sangat lazim di telinga saya. Saya berpaling dan alangkah terkejutnya apabila terlihat kelibat puan dan suami bersama-sama rakan yang lain menuju ke bangunan The Dakota. Reaksi saya ketika itu?

Terpegun! Hinggakan saya terpaksa ditolak ke hadapan oleh Goresh si tukang gambar untuk berjumpa dengan suami puan. Sememangnya saya tidak terkata dan apa yang mampu adalah menghulurkan pen beserta salinan album ‘Double Fantasy’ kepada suami puan.

Ya, untuk tandatangannya.


John Lennon 1980.

 

Saya masih ingat lagi, itulah yang ditulis oleh suami puan. Mana mungkin saya akan melupakan saat-saat sebegini. Berjumpa dan meminta tandatangan seseorang yang sangat terkenal.

 

“Itu saja?”, tanya suami puan.

Yeah. Terima kasih, John”, balas saya.

Dan untuk kedua kalinya suami puan mengulanginya lagi.

“Itu saja yang anda mahu?”

Tetap juga jawapan saya, “Yeah, terima kasih. Itu saja”.


Saya memandang kaku suami puan saat suara misteri itu dengan tidak semena-mena menerjah datang ke telinga saya.


Kenapa kau tidak bunuh saja dia?

Aku tidak boleh bunuh dia dalam keadaan begini. Aku mahu tandatangannya sahaja!


Pada ketika itu, saya benar-benar berdoa pada Tuhan agar terus sahaja pulang dengan tandatangan itu. Cukuplah!


Puan,

Tarikhnya adalah pada lapan haribulan Disember pada tahun 1980. Masanya ketika itu menghampiri ke pukul 10.50 malam. Maaf mengingatkan puan akan tarikh dan masa tersebut. Saya tahu ianya pahit untuk puan. Untuk saya juga. Jika puan ingin tahu, selepas peristiwa tandatangan itu, saya telah berbohong pada diri sendiri. Saya tidak terus pulang. Saya menunggu. Sehinggalah menjelang malam saya menunggu suami puan. Telah saya katakan kepada puan di awal surat ini bahawa hanya cuma itu sahajalah peluang yang saya ada. Jika saya gagal pada hari itu. Saya akan gagal selama-lamanya.

Oh, memang benar! Saya telah meminta sungguh-sungguh pada Tuhan agar menghalang saya dari terus melakukan perkara tersebut. Tetapi, jauh di sudut hati saya juga berdoa agar ada syaitan yang sanggup memberi peluang kepada saya membunuh suami puan.

Seperti yang dijangka, setelah beberapa jam berlalu, puan dan suami tiba di hadapan bangunan The Dakota buat kali keduanya. Jika puan masih sangat jelas dengan keadaan pada malam itu saya pernah menegur puan saat puan keluar dari kereta. Masih jelas?


“Helo, Yoko”


Demi Tuhan lagi, saya tidak mahu mencederakan puan. Seorang wanita yang baik tidak patut diperlakukan dengan buruk. Saya hanya memandang puan dari jauh meninggalkan suami puan di belakang. Dapat dilihat suami puan kemudian berjalan melepasi saya. Saya tetap memandang kaku ke arahnya dan hampir sahaja mahu pulang apabila suara itu muncul lagi.


Lakukan! Lakukan! Lakukannya!


Percayalah, bukan kemahuan saya melainkan suara itu yang terus memaksa dan menyebabkan saya menjerit memanggil nama suami puan. Sepucuk pistol saya halakan ke arahnya saat suami puan memandang ke arah saya. Suami puan cuba melepaskan diri tapi malang sekali kerana empat daripada lima butir peluru yang dilepaskan berjaya mengenai belakangnya.


Puan,

Saya tidak melarikan diri selepas kejadian itu. Suara itu tidak membenarkan saya melarikan diri. Kedengaran juga sayup-sayup suara Perdomo si penjaga pintu yang baik hati itu menengking-nengking ke arah saya.


“Kau tahu apa yang kau dah lakukan ini? Kau tahu tak!”


Saya tidak mengangguk juga tidak menggeleng dengan pertanyaan Perdomo si penjaga pintu itu. Suaranya tidak langsung saya endahkan. Hanya yang perlu saya lakukan ketika itu adalah menunggu kedatangan polis.

Beberapa minit kemudian kelihatan dua pegawai polis beruniform berlari ke arah saya selepas Perdomo menunding ke arah saya. Dan, saat itu saya tahu bahawa satu sejarah dunia yang  baru akan tercipta.


Puan,

Jika puan menyangka saya akan membuat rayuan di mahkamah atas dosa besar ini, puan ternyata silap.  Saya tidak akan merayu malah jauh sekali meminta apa-apa pun. Sepanjang hari, setiap detik selepas daripada peristiwa tersebut saya cuba membayangkan apa yang dirasai oleh puan melihat darah suami puan berhamburan dan mendengar jeritan. Tidak terbayangkan!

Ya, saya mengaku saya bodoh. Saya tidak matang. Pada ketika itu saya hanya mahu menunaikan janji lama yang pernah dibuat dahulu. Puan, saya pernah berjanji dengan sahabat-sahabat khayalan saya bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi terkenal dan wajah saya akan terpampang di kaca-kaca televisyen dan akhbar-akhbar. Nah, janji itu tertunai!

Sekali lagi di sini saya tidak akan merayu untuk meminta sebarang pengampunan di atas dosa ini. Saya menulis surat ini atas dasar penyesalan yang teramat sangat disebabkan keterlanjuran saya. Malah, saya pernah terfikir alangkah baiknya jika saya yang berada di tempat suami puan, tetapi segalanya sudah terlambat.


Puan,

Walau sehebat mana pun penyesalan ini, saya tahu puan tidak akan mungkin dapat melupakan apatah lagi memaafkan pembunuh yang membunuh suami puan. Saya sedar saya tidak berhak di atas apa-apa kemaafan pun dari puan. Namun, melalui surat ini izinkan saya secara peribadi mengungkapkan sejuta penyesalan di atas pembunuhan John Winston Ono Lennon.

 

Yang benar,

Mark David Chapman

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) super!
  • 2) heheh itu hari cerite pasal Elton John, kali ni John Lennon pulak. kool!
  • 3) bagos la bagos!

    rasa cam takmo tulis la CSA. nama-nama hevat dah post. hihi
  • 4) kronologi pembunuhan john lennon yang diceritakan sendiri oleh mark chapman dalam bentuk surat kepada ono.

    kau tahu apa yang aku fikirkan kamalia?

    seorang psikopat kebiasaannya akan menikmati perbuatannya. itu seorang psikopat dari pemahaman aku. psikopat kan antara level tertinggi dalam masalah mental disorder.

    dalam surat ini, pada awalnya ada semacam bentuk provokasi yang boleh mendatangkan ketidakselesaan pada ono. cuma pengakhirannya sudah jadi macam satu confession. penyesalan seorang psikopat.

    untuk tujuan moral. cerita yang kau karang ini bagus. tapi dari sudut realistik. kau boleh blend lagi idea supaya watak psikopat itu tetap kelihatan tidak normal.

    tapi aku juga fikir mungkin mark chapman sudah pulih.

    apapun. sebagai antara penulis kapasitor kegemaran aku, kredit untuk kau, kamalia.
  • 5) deng! gua salah. bukan mental disorder. personality disorder yang betul. keh keh keh..
  • 6) gerun..~ huhu.

  • (Penulis)
    7) jojo & clarky: terima kasih
    nia: esok2 saya tulis pasal john travolta pulak!
    ben: asalnya mmg aku dah karang dia kekal sbg psikopat, tapi aku tukar. mungkin terpengaruh dgn fakta2 yg aku baca bahawa chapman mmg sudah pulih dr gila dia tu. tp, kalau kau baca surat kat atas ni, chapman tak minta maaf dgn alasan for sure yoko takkan maafkan dia. padahal yg sebenarnya dia ego sbb dia still merasakan bukan dia penyebab kematian john, tapi suara misteri yg dia dengar tu. dia cuma menyesal. itu pandangan aku sbg penulis, pandangan org lain yg membaca mungkin berbeza. thanks anyway!

  • (Penulis)
    8) rizzy: takpe, anda bukan yoko ono
  • 9) "People coming and putting a bunch of flowers on your stomach on Sunday, and all that crap. Who wants flowers when you're dead? Nobody." Chapter 20.The Catcher In The Rye.

    Chapman gila.Lennon mati.Karya The Beatles melonjak.Paul membosankan..Ya, Paul is dead.
  • 10) fuh!
    penulis memang arif betul kronologi kisah ni. begitu sekali penghayatan dia.

    dipersembahkan dengan baik kamalia! tabik spring utk kamu!
  • 11) hebat!
  • 12) menggunakan akal, berani berfikir, perbezaan, keunikan dan identiti penulisan yang biasanya membawa aku kepada kritikan
  • 13) 'Imagine' this kind of imagination.

    Terasa macam nak tulis CSA..

  • (Penulis)
    14) 26: yeah! catcher in the rye pun salah satu sebab jugak kenapa chapman nak bunuh si lennon ni. w/pun paul tak sehebat lennon, tapi aku terpaksa mengaku lagu2 yg dia cipta banyak yg aku suka . paul juga penyumbang terbesar kejayaan the beatles.

    caha: ye, terima kasih tuan caha!
    ancal: cpt la hantar CSA kau. nak baca!
  • 15) Ah, Kamalia selalu keluar dengan idea hebat sebegini. Sangat jeles.


  • (Penulis)
    16) ridh: menunggu CSA awak . terima kasih, ye...
  • 17) wow.....clap2..aku xmampu menulis begini..
  • 18) I like komen paktam. Saya pun tak mampu nak tulis cerita sejarah begini. Huhuhu...
  • 19) akhirnya aku berjaya baca cerita ni kamalia. seperti biasa kau memang hero!

    Hari tu aku nak tulis CSA berkenaan surat Einstein kepada presiden Roosevelt, tapi tak sempat! ho ho!
  • 20) pergh. sungguh mengesankan ni. terima kasihlah sbb saya pun mcm tak hapal sgt sejarah pembunuhan mamat lennon ni

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia