Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Azam Seorang Rakyat

  • 2
  • toti
  • 14 years ago
  • 3,904
  • FREE

 

Aku Azam bin Hussein (bukan nama sebenar), seorang manusia lelaki yang diiktiraf kewarganegaraannya sebagai salah seorang dari puluhan juta rakyat Malaysia. Seperti juga mahluk tuhan yang lain, aku mencari rezeki untuk melangsung hidup. Dengan beban gundukan kerja yang tak pernah surut, aku membunuh hampir 12 jam setiap hari waktu hidup didunia dengan tenggelam dalam kesibukan memburuh. Satu jam lagi telah aku ikhlaskan pada kesesakan trafik. Sebagai seorang kuli yang begoh, upah yang aku raih jauh dari berbaloi. Namun sedari kecil aku terdidik untuk selalu bersyukur. Kata orang dengan bersyukur kita akan sentiasa berasa cukup.

Terkadang, hal itu tak berlaku pada aku. Ketidak-cukupan ini tidak terbantu hanya dengan terapi syukur. Aku memerlukan dana tambahan. Pernah aku berjenin untuk merutin dengan dua kerja dalam satu hari. Tapi realiti tidak sepoyo mimpi. Sudahnya aku mengikut jejak luncai terjun bersama labu. Aku juga sempat menghadirkan idea bunuh diri dengan berkira-kira untuk meminjam dari Ah-Long. Mujur  aku lekas sedar yang bunuh diri itu terangkum dalam dosa-dosa besar, pantas nawaitu tersebut aku kuburkan. Buntu dan pasrah serentak. Bertiwikrama menjadi fatalis.

Sepanjang satu tahun yang memiliki 12 bulan, aku condong memilih December sebagai bulan yang paling nyaman. Alasannya mudah, Bonus. Habuan yang melebur keluh-kesah sepanjang tahun. Dan keterujaan menempuh tahun baru bersama harapan baharu. Sudah menjadi rasmi adiwangsa di sini apabila masuk tahun baru, maka perlu ada azam baru. Tidak sedikit pula yang bergelintar menemukan bintang horoskop untuk mengetahui untung nasib masing-masing. Aku kurang periksa apa sangkut paut tarikh lahir dengan nasib? Mengapa azam perlu diperbaharui setiap tahun? Dan lebih pelik mengapa harus menanti hingga muncul tahun baru? Untuk kelihatan kool dan trendy maka aku ikut merai tanpa basa-basi.

Untuk tahun baru ini, aku telah menggariskan beberapa strategi yang terilhamkan dari saranan pemimpin kita yang satu. Berjimat-cermat dan mengubah gaya hidup. Inilah azam aku untuk menempuh tahun hadapan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Di bawah ini aku jelmakan secara terperinci strategi yang telah dirangka berdasarkan kajian, pemerhatian dan jangkaan aku untuk dikongsikan bersama.

1)      Menjimatkan Penggunaan air

 

Memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tandas di pejabat untuk kegunaan mandi (kecuali mandi bunga dan mandi tolak bala), membasuh dan minum. Ini bagi menjimatkan bil air dirumah dan sekaligus membantu kerajaan dalam meminimumkan risiko berlakunya krisis air. Untuk yang  tinggal berdekatan sungai, bolehlah menjadikan sumber tersebut sebagai pilihan utama seperti mana halnya Sungai Gangga. Namun perlu berhati-hati kerana risiko berkemungkinan tercemar dengan kencing tikus dan kecing orang adalah sangat tinggi. Bagi yang muslim, disaran berwuduk dan bersolat di masjid. Disamping berjimat kita juga dapat mengimarahkan kembali masjid yang sekian lama terbiar lengang.

 

 

2)      Beralih kepada sumber yang lebih mesra alam bagi menggantikan kuasa elektrik

 

Menternak kelip-kelip di dalam rumah bagi mengganti kuasa elektrik yang dijangka akan naik tarifnya selepas pilihanraya. Selain dapat melambatkan pemanasan global, kelip-kelip ini juga boleh dijadikan daya tarikan pelancongan oleh homestay-homestay yang mengambil bahagian. Menggunakan lampu dynamo yang banyak terdapat pada basikal-basikal lama dengan sedikit penambahbaikan ia dapat berfungsi seperti basikal di gym. Dengan itu setiap kali ingin terang kita terpaksa mengayuh mengikut masa tertentu. Ini dapat menyumbang kepada kesihatan jantung yang kebelakangan ini menjadi punca kematian mengejut banyak orang.

 

3)      Mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar petroleum dengan mengamalkan cara hidup sihat

 

Berlari-lari anak ke pejabat/Berjalan Kaki. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar petroleum yang semakin meningkat harga. Disamping dapat mengurangkan kesesakan dan pencemaran, kita dapat melahirkan atlit marathon dan pejalan kaki bertaraf olimpik agar dapat menyumbang emas untuk sukan olahraga yang mutakhir ini seperti hidup segan mati tak mahu. Jika impian itu dirasa terlalu menggunung, setidak-tidaknya kita dapat melahirkan rakyat yang sihat sejahtera. (Tak perlu lagi mereka menggelinjang berpoco-poco untuk kekal sihat) Bagi yang punya sedikit kemampuan, bolehlah berbasikal ke pejabat. Bukan sahaja cepat dan murah tetapi kita juga dapat mengurangkan kematian anak-anak muda di jalanraya akibat ketagihan merempit. Mereka rata-ratanya berbangsa melayu yang secara tidak langsung merupakan aset penting dalam meneruskan kesinambungan aspirasi Ketuanan melayu. Bukan itu sahaja, dengan pendekatan ini PKBM juga dapat mencungkil bakat terpendam  sebelum digilap menjadi bintang seperti  Mohd Azizul Hasni Awang.

 

4)      Mengelakkan dari mengkonsumsi gula

 

Jika dilihat dari mitos-mitos tentang gula yang  berlegar  atau segaja disebar terdengar banyak buruk dari baik. Obesiti dikait dengan gula. Diebetes disebabkan gula. Gigi rosak akibat gula. Gula membuat anak-anak hiperaktif. Gula menyebabkan ketagihan. Semua salah gula. Jadinya tindakan pantas kerajaan menaikkan harga gula sangat bertepatan. Maka cara terbaik mengurangkan pengaruh gula dalam kehidupan seharian adalah dengan memperbanyakkan puasa. Berpuasalah sepanjang hari bekerja selain baik untuk kesihatan ianya juga menjimatkan perbelanjaan isi rumah. Menjadi vegetarian seperti lembu dan kambing. Memakan sayur-sayuran secara alami seperti pucuk paku, salad, ulam pegaga, ulam raja, petai, jering dan rumput-rampai. Ini bukan sahaja baik untuk badan tetapi juga dapat memberi peluang kedua kepada penjenayah yang suka meragut kerana desakan hidup dan kurang makan. Dengan usaha ini mereka boleh mengubah tabiat dari meragut orang kepada meragut rumput. Dengan perkembangan pesat bioteknologi kita kemudiannya dapat mengkomersialkan tahi-tahi vegetarian tadi menjadi baja sebelum dieksport ke negara-negara eropah sebagai produk bertaraf glokal.

Setelah siap menggariskan strategi ini, cabaran yang paling kental adalah perlaksanaan. Ini harus dilakukan secara sistemaktik dan tidak tergesa-gesa.  Seperti kata  A. A. Milne “Organizing is what you do before you do something, so that when you do it, it is not all mixed up”. Dan yang  peri penting  adalah menyakini bahawa usaha ini akan membuahkan hasil. Seperti yang diungkap pemenang anugerah nobel kesusasteraan tahun 1921, Anatole France “To accomplish great things, we must not only act, but also dream; not only plan, but also believe.”

Aku percaya dengan mengamalkan formula empat dalam satu ini, bakal memperbaiki taraf iktisad aku yang sering terjerumus  kedalam ranah ketidak-cukupan. Dengan pengolahan semula gaya hidup, aku menaruh harapan tinggi agar tahun 2011 ini aku dapat menikmati hidup yang lebih sihat dan bergaya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat adanya. Sekian, Selamat Menyambut Tahun baru dan Salam Satu MALAYSIA. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) 5 bintang untuk visi! hahahaha. nais one

    teringat pulak 10 perkara dalam 'To Do' list aku yang baru saja aku buat kelmarin. haha
  • 2) Idea yang segar dan pengolahan yang kreatif!

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti