Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Puncak Ghurur

  • 4
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,290
  • FREE

 

Wilayah itu terasa asing baginya. Tiada satu petunjuk yang dapat menyakinkan dia pernah sampai ke situ. Atmosfera disekelilingnya juga terlihat aneh tapi nyaman. Dengan sesekali hembusan ramah angin menyapa kulit. Damai dan menyenangkan. Namun masih belum wajar mententeramkan nubarinya yang sedang rusuh. Tertanya-tanya sendiri, dimanakah dia berada sekarang? Dibumi atau diluar bumi? Dia masih nanar untuk memikirkan apakah yang sedang dilalui ini mimpi atau realiti?

“Assalamualaikum!”

Sekonyong-konyong, bersipongang  salam memecah hening yang entah dari arah mana datangnya. Zahid meliarkan mata berusaha mencari susuk suara tadi.

“Waalaikumsalam” Zahid membalas ringkas sambil mata masih meliar mencari sesuatu.

“Apa yang sedang kau cari?”

Berdiri di hadapannya seorang lelaki tua berjubah hitam gelap sedang dikepalanya tersarung serban warna sedondon. Wajahnya cerah bercahaya dengan dua biji mata berwarna koko perang bersinar yakin. Dibawah ulas bibir merah delima terhias janggut putih kekelabuan yang kerusut dan panjang hingga ke paras dada.  Zahid jadi gamam melihat lelaki itu yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Jiwanya berkocak-balau.

“Siapa kau?” soal Zahid ingin tahu.

“Kau tidak menjawab pertanyaan ku. Apa yang sedang kau cari?”

Orang tua itu mengajukan soalan buat kesekian kalinya. Dia membundarkan matanya menusuk tepat ke dalam mata Zahid yang kontang.

“Hakikat”jawab Zahid memberanikan diri.

"Kau tidak tahu apa yang sedang kau minta” balas orang tua itu tenang.

“Barangsiapa yang ingin mendapatkan mutiara di dalam lautan, maka ia harus mengharung badai dengan menumpang kapal, kemudian ia harus pula menyelam untuk mendapatkan perbendaharaan yang berada di kedalaman laut.”

Orang tua itu masih memusat pandang ke wajah Zahid. Pandangan yang luarbiasa tajam. Zahid mengangguk-angguk seolah mengerti maksud tersirat.

Akan ku beri apa yang kau hajati setelah kau dapat merungkaikan kepada ku tiga hal ini

Naga besar yang mengejar-ngejar Orang tua lemah yang menangis Sebuah gunung yang benderang

 

***

 

 “Sekumpulan orang menerima secara total baik yang benar mahupun yang salah tentang tasawwuf. Manakala sekumpulan lagi mengingkari secara keseluruhan baik yang benar mahupun yang salah tentang tasawwuf. Ini sebagaimana segolongan ahli kalam dan ahli fiqh. Sikap yang benar adalah, sesungguhnya sesuatu itu diterima sama ada berkenaan tasawwuf atau selainnya hanya apabila ia selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dan sesuatu itu diingkari sama ada berkenaan tasawwuf atau selainnya  apabila ia berselisihan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah”.

Suara Ustaz muda itu pecah melalui corong pembesar suara. Dia memandang hadirin yang sedang khusyuk mendengar kuliah mahgrib kelolaannya. Malam itu jumlah yang datang agak memberangsangkan. Selain dari qariah Masjid As-Sharif, terlihat juga muka-muka baru dalam kelompok hadirin. Jumlah kaum muda yang ikut kuliah juga turut bertambah.

“Dalam tasawwuf wujud orang yang benar dan orang yang silap sebagaimana yang ditemui pada orang-orang selain mereka (dalam bidang yang lain). Tidaklah pada perkara yang sedemikian menandingi para sahabat dan tabi‘in kerana tidak ada seorang jua yang maksum dalam setiap perkataannya atau pendapatnya kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam”.

Hadirin mendengar penuh patuh. Tidak kurang yang tekun membuat catatan ringkas. Ada juga segelintir yang merakam kuliah itu menggunakan telefon sel. Semuanya ingin memanfaatkan kuliah yang sedang mereka isi. Memang sejak adanya Ustaz muda lulusan Sarjana Hadith dari Kairo itu, Masjid As-Sharif menjadi tumpuan serata pelusuk orang. Ramai yang tertarik dengan isi kuliahnya. Mungkin juga pada penyampaian dan kefakihannya. Jadi setiap kali kuliah yang tertera nama Ustaz Ziadatul Fahiraz, pasti jawatan kuasa masjid tidak menang tangan.

“Yang benar adalah, bahawasanya mereka (ahli tasawwuf) ialah orang yang bersungguh-sungguh dalam ketaatan kepada Allah sebagaimana juga kesungguhan orang selain mereka daripada kalangan orang-orang salih. Maka di kalangan mereka terdapat orang yang terkehadapan  dalam menghampirkan diri kepada Allah sesuai dengan ijtihadnya dan di kalangan mereka terdapat juga orang yang cermat, yakni mereka yang daripada ahli kebaikan. Apapun, pada setiap golongan orang yang bersungguh-sungguh, kadang-kala tergelincir. Maka di kalangan mereka ada yang berdosa lalu (di antara mereka) ada yang bertaubat atau tidak bertaubat”.

 

 

***

 

 

 “Di hari kiamat nanti Allah akan bertanya kepada orang alim, apakah kamu seorang Ulama(agama) ?, lalu ia menjawab: sebagaimana Anda ketahui Wahai tuhanku. Allah bertanya kepadanya kembali: Apa yang sudah kau pelajari dari ilmu tersebut ? Ia menjawab: Saya telah hafal al Qur’an. Maka Allah berkata : itu bukan ilmumu, itu ilmuku. Katakan kepadaku ilmu apa lagi yang kau pelajari selain itu ? Ia menjawab: Saya hafal beribu-ribu hadits Nabi. Allah menjawab: itu adalah ilmu Nabiku, bukan ilmu-mu. ilmu yang lain lagi apa ? ia menjawab: Saya menguasai kaidah-kaidah fiqih dan hukum-hukum Fiqh. Allah menjawab: itu adalah ilmu para imam Madzhab, bukan ilmu kamu. Apalagi yang kau pelajari ? ia menjawab: Saya mengetahui perkataan-perkataan banyak ahli tashawwuf . Allah menjawab: itu ilmu mereka, bukan ilmu kamu !!. Dan begitu seterusnya Allah menampakkan kepada manusia ini bahwa sebenarnya ia tidak menguasai ilmu apapun sepanjang hidupnya”.

Zahid memusat pandang ke arah pengikutnya yang sedang taat mendengar. Sedang dijari-jari sebahagian dari mereka tidak lelah menghitung butiran tasbih. Khamis malam Jumaat adalah waktu berhimpun pengikut thariqohnya. Mereka akan berkumpul seusai  Mahgrib di sebuah kediaman bunglow  salah seorang pegikut thariqoh tersebut yang telah menjadi markas rasmi mereka sejak sekian lama.

“Mursyid besar kita pernah berkata sesungguhnya di zaman ini hanya dialah di antara para wali  Qutb yang diberikan izin untuk mengutarakan tentang  al 'Ilm al Maktuum (ilmu yang tersembunyi), dan ia telah diberikan izin untuk menyingkap rahsia-rahsia al-Qur’an. Dan ana adalah penggantinya, penerjemah dan penyebar pemikirannya, ini bererti hanya ana yang mengetahui hakikat makna-makna syara’. Dan siapapun yang berharap untuk mengetahuinya tidak akan dapat mengetahuinya kecuali melalui jalan kita".

Pengikutnya yang seramai 23 orang itu mengangguk-anggukkan kepala. Kelihatan begitu yakin akan perkataan yang terpancut dari bibir mursyid mereka. Tiada ruang untuk keraguan dalam nubari. Perkataan itu halal untuk mereka telan tanpa perlu dikritis lagi. Apatah lagi untuk dibantah.

“Syarat sah antum dalam mengikuti ana adalah mengikut tanpa menghukumi perbuatan-perbuatan ana dan antum tidak memprotes. Barang siapa yang menilai tingkah laku ana dengan timbangan syara’ maka ia adalah orang yang  mahrum (terhalang dari kebaikan),gagal dalam ujian serta jauh dari tajalliyat”

Zahid mengelus janggutnya yang sederhana panjang. Bola matanya berlegar-legar mengamati  khalayak. Semua pengikutnya sedikit tunduk saat anak mata mereka bersilaturrahim. Mungkin sebagai tanda hormat pada susuk yang mereka sanjung itu. Zahid merapikan lilitan serban putihnya  yang  13 hasta panjang. Digandingkan dengan jubah shuf  putih yang sedikit lusuh.

“Ini seiring dengan amanat Mursyid besar kita yang berbunyi : dan jika masalahnya berkaitan dengan tingkah laku gurumu janganlah sesekali berusaha untuk meluruskannya atau menilai dan menimbangnya dengan akalmu walaupun seandainya kamu adalah Nabiyyullah Musa”.

 

 

***

 

 

“Dalam al-Quran, pada Surah al-Kahf ayat 60-82, Allah menceritakan pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir a.s. bagi menuntut ilmu daripadanya. Semasa perjalanan Nabi Musa a.s. menemani Khidir a.s., baginda telah melihat beberapa tindakan Khidir a.s. yang menyanggahi syariat yang diturunkan kepadanya (Musa) lalu baginda membantahnya. Setelah tiga kali pertanyaan serta bantahan dibuat oleh Musa a.s. terhadap tiga tindakan yang dilakukan oleh Khidir, akhirnya Khidir pun tidak lagi membenarkan Musa a.s. ikut serta dan mendedahkan takwil segala tindakannya yang dianggap oleh Nabi Musa a.s. sebagai kesalahan”.

Suasana sunyi seketika. Masing-masing sedang memfokus pandang ke wajah bersih Ustaz Ziadatul Fahiraz. Rata-rata hadirin menunjukkan minat mendalam pada tajuk yang sedang dibahas. Mungkin kerana subjek seperti ini jarang diangkat oleh kebanyakkan sang murabbi ke dalam kuliah-kuliah agama. Mereka lebih senang memilih topik selamat daripada membahaskan sesuatu yang boleh mengundang cemuh dan kritikan.

“Dengan bersandarkan kisah dalam Surah al-Kahf tersebut maka sesetengah golongan thariqoh beralasan bahawa para wali dibolehkan tidak mengikut syariat para nabi dan boleh melakukan segala tindakan yang dianggap salah oleh golongan zahir tetapi betul di sisi ilmu hakikat atau ilmu ladunni. Ini kononnya sama seperti tindakan Khidir yang tidak mengikut Nabi Musa a.s. kerana Khidir adalah wali Allah. Dia menilai dengan ilmu ladunni yang terus menerus daripada Allah. Sedangkan Musa a.s adalah seorang nabi yang menilai dengan ilmu syariat semata. Justeru itu golongan hakikat tidak sama dengan golongan syariat dan golongan hakikat tidak perlu mengikut syariat seperti Khidir tidak perlu mengikut Musa”  ujar Ustaz Ziadatul Fahiraz sedikit mengeluh.

Hadirin masih kekal diam. Mungkin enak mendengar.

“Justeru, al-Imam Ibn Abi al-`Izz (792H) dalam kitab akidah yang masyhur iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah menyebut: adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindik. Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutinya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa: “Apakah engkau Musa dari Bani Israil?” Jawab Musa: “Ya!” (Riwayat al-Bukhari). Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) hal ini boleh berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya. Hendaklah dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali al-Rahman (Allah) sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan”.

 

***

 

 

Sebaik lelaki tua itu kabur, menjelma seekor naga besar hitam kebiruan. Di matanya yang merah terbuka itu berpancaran cahaya api.  Ia maju mendekati Zahid yang terlongo menyaksikan hal yang sedang berlangsung. Menyedari akan mudarat yang datang, Zahid tanpa berlengah menghindar. Lintang-pukang mencari perlindungan. Dalam ikhtiar menyelamatkan diri itu, terlihat susuk uzur seorang lelaki tua yang sarat umur melangkah gontai

“Tolong saya dari naga ini, mudahan Allah memberi balas atas ikhsan tuan”.

Teriak Zahid cuba merayu simpati. Orang tua itu membalas dengan isak tangis. Wajahnya dibalut duka serta kasihan yang bersarang.

“Aku tidak dapat membantumu. Aku terlalu lemah. Cepat-cepat semoga Allah dapat menyelamatkan kau dari bahaya naga besar ini ”

Lelaki tua itu memandang Zahid dengan anak mata berkaca. Jauh dalam nubarinya dia ingin membantu namun upaya membataskan. Naga besar itu masih mengejar. Zahid berlari lagi. Memanjat di suatu tempat tinggi. Dalam situasi kacau-bilau itu dia nyaris tergelincir jatuh ke dalam kawah hitam yang maha panas. Mujur tangannya sempat berpaut pada batuan. Dia memanjat semula ke dataran dan bingkas berlari ke bawah menuju ke  lokasi orang tua tadi. Nantabonga itu tetap mengejar dengan dengusan nafas yang semakin mengerikan.

“Cubalah engkau pergi ke gunung itu, di sana banyak simpanan kaum muslimin. Mungkin kau dapat dibantu dengannya” saran orang tua itu sebaik melihat Zahid yang berlari menghampirinya.

Zahid melihat kearah yang dimaksudkan orang tua tersebut. Tersergam sebuah gunung yang terang-benderang . Tiada perkataan yang mampu memaknai cermerlang cahayanya yang bergemerlap. Sungguh luarbiasa indah. Dengan gesit Zahid mendakinya sambil diikuti nantabonga yang hitam lagi besar itu.

Sampai dipuncak dia melihat sebuah pintu. Daun pintunya yang diperbuat daripada emas itu tiba-tiba terkuak sendiri. Dari dalam kelihatan susuk kecil anak-anak lelaki sedang memerhati. Wajah mereka ibarat bulan empat belas. Sebahagian dari anak-anak itu berteriak.

“Tolong semuanya datang orang ini musuhnya telah dekat sekali”.

Mendengar yang demikian, seluruh isi  gunung itu keluar bergerombolan. Salah seorang dari mereka membacakan ayat 16 dari surah Al-Hadiid.

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik”.

 Mendengar  ayat itu hatinya dicengkam kesedihan. Zahid menangis sambil berkata “Apakah kamu tahu membaca Al-Quran?”.

“Ya, kami mengetahuinya lebih dari kamu” jawab anak itu ringkas.

“ Jika demikian cuba terangkan apakah naga yang mengejar –ngejar itu?

Jawab anak itu “naga itulah amal-amal jahatmu, yang sering kau tambah dan akan menjerumuskan kau ke dalam jahanam.”

Airmata Zahid semakin banyak bercucuran . Lupa seketika dia pada bahaya yang sedang hampir.

“ Orang tua yang lemah itu siapa?” soal zahid lagi.

“Itulah amal baik yang tidak kau bela, terbiar lemah dan sama sekali tidak berdaya membantu mu” .

Zahid merasa kecil dan hina di depan anak-anak itu. Aib jelas terpamer pada wajah lesinya. Namun mereka memandangnya dengan penuh simpati. Pandangan penuh kasih dan cinta.

“ Lantas apakah yang kalian kerjakan digunung ini?”

“Memberi syafaat kepada yang berhak”.

Sejurus jawapan itu diberi, daun pintu tertutup rapat. Tinggallah Zahid sendirian di muka pintu. Dia berusaha untuk membukanya kembali, tetapi gagal. Diperah segenap tenaga yang tersisa untuk cuba juga membukanya, tapi nyata sia-sia. Terjelepuk lemah dengan tangis berat memecah. Asanya telah putus. Dia tertunduk pasrah. Sedang naga besar tadi sudah berada didekatnya dan cukup siap untuk membinasakan.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Olahan yang komprehensif. Sangat bermakna tulisan ini.

  • (Penulis)
    2) Syukran atas komennya.Aku yakin agama tidak pernah menyekat kreativiti umat dalam melahirkan sesuatu yang bermanfaat. Apatahlagi yang dapat mennyumbang kepada kemashlahatan umum. Baik ianya penulisan atau bidang selainnya asal sahaja ia tetap berpaksikan syarak.

    Islam meletakkan kebolehan kreatif sebagai suatu kebolehan asasi yang ‘dipinjamkan’ oleh Tuhan. Orang Islam harus menyedari hakikat Tuhan dan hakikat kejadian diri di muka bumi . Kebolehan kreativiti yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia adalah amanah yang wajib dipikul dan dipertanggungjawabkan.

    Cuma Islam melarang pendekatan Macheavellisme iaitu matlamat menghalalkan cara dalam berkreativiti. Falsafah Machiavellisme meleraikan kreativiti dengan konsep ketuhanan. Apa yang penting kreativiti mampu mencapai matlamat yang diinginkan. Segala idea dan reka cipta yang dihasilkan mestilah berlandaskan hukum Islam. Islam tidak membenarkan sama sekali kreativiti disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau sesuatu yang merosakkan.

  • 3) begitu.

    saya sangat gemari tulisan-tulisan encik toti. berilmiah dan berisi. teruskan menulis dan berkongsi ya!
  • 4) bagus2..harap ramai penulis baru macam cik toti kita..hehe

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti