Merdeka Cinta Kita

 

 

Pemberianku

 

1956

 

“Ini cincin bertunang kita,”

            Aku lihat wajah Emran tertanya-tanya saat aku menghulurkan cincin itu kepadanya. Emran memandangku penuh persoalan. Aku membisu, membiarkan Emran mengagak.

            “Cincin ini hak siapa?” tanyaku setelah tutur kata yang aku tunggu daripada mulut Emran tidak kunjung tiba.

            “Hak kau Musalmah. Tanda cinta kita berdua,” jawab Emran.

            “Aku juga sayangkan kau. Tapi aku lebih sayangkan tanah air ini,” balasku.

            Emran tunduk.

            “Ambillah Emran. Ini sahaja harta yang aku ada. Aku tak punyai apa-apa, selain cincin pemberianmu ini. Berikan ini pada Tunku supaya ia menjadi biaya ke London nanti,”

            Emran memandangku sayu. Matanya redup. Aku sendiri tidak tahu apa makna yang cuba disampaikannya.

            “Maafkan aku, wahai buah hatiku. Cinta kita bukan terletak pada cincin ini. Juga bukan terletak pada kata-kata tapi pada hati yang bercinta,” ujarku. Harap-harapnya penjelasanku ini membuatkan Emran menerima cincin yang mahu kuberikan.

            “Aku sebenarnya serba salah. Dipegang takut mati, dilepas takut terbang. Cincin ini hak engkau,” balas Emran.

            “Tidak perlu serba salah Emran. Jika kau tidak mengambilnya, seharusnya itu yang akan membuatku serba salah. Aku juga mahu berjasa pada tanah air ini,”

            Aku hulur lagi cincin pertunangan kami. Kali ini semakin mendekat kepada batang tubuh Emran.

            “Kelak bila aku peroleh wang lebih aku akan ganti,”

            “Tak perlulah fikirkan soal itu. Fikirkan perjuanganmu. Teruskan usahamu. Aku teramat bangga mempunyai tunangan sepertimu,”

            Emran merenungku. Tiba-tiba dia terbatuk. Emran memegang dadanya.

            “Kenapa kau. Sakitkah engkau?” Aku jadi rungsing apabila melihatnya tertunduk.

            “Cuma sakit dada. Dan sedikit batuk,” ucap Emran. Raut wajahnya  menahan kesakitan.

            “Marilah kita masuk ke dalam rumah,” pintaku gelisah. Aku lihat kiri kanan. Mencari kelibat ibu yang mungkin bisa menolong.

            “Tak perlulah. Berikan aku segelas air,” pinta Emran dalam keadaan terbatuk.

            Tangga rumah lantas ku panjat. Aku berlari deras ke dapur mengambil air dan juga memanggil ibuku.

           

Sajak

 

Malayan Union sudah 11 tahun berlalu. Mungkin tika itu aku masih lagi kanak-kanak . Emran juga begitu, masih kanak-kanak. Dahulu aku tidak ambil peduli ketika ramai orang memperkatakan tentang Malayan Union. Aku tidak faham kenapa mereka membantah hajat British itu. Aku jadi gelihati apabila melihat Pak Usu, Abang Kamal dan Tok Piah membelit songkok masing-masing dengan kain putih. Aku ikut berseronok berkumpul beramai-ramai dengan membawa kain rentang sambil menyebut-nyebut ‘Hidup Melayu’. Aku sangkakan itu hanyalah satu pesta.

Aku masih lagi ingat apabila ibu dan arwah pak membawa aku menonton orang berucap. Berapi-api ucapannya. Ibu dan arwah pak jadi bersemangat. Aku yang seronok ikut menjerit kuat.

“Aku mahu Tanah Melayu merdeka,” Itu yang diberitahu Emran kepadaku. Emran nampak bersemangat.

“Merdeka daripada British. Bolehkah?” tanyaku dengan nada curiga.

Emran tersenyum memandangku.

“Kenapa pula tak boleh. Kita sudah mampu memerintah sendiri. Kita punya pemimpin yang berkebolehan,”

Aku tahu kata-kata itu ditujukan buatku yang masih lagi mentah tentang erti perjuangan.

“Sejak kau sertai politik aku lihat kau banyak berubah. Tuturmu, kelakuanmu,” Aku meluahkan apa yang terpendam di hati. Emran sekarang bukan Emran dahulu. Emran sekarang sibuk sentiasa. Sekejap bermesyuarat di sana, kemudian berpersatuan di sini.

“Aku tak berubah. Aku masih seperti dahulu. Cintaku dan sayangku masih lagi kukuh terpahat,”

Aku tersenyum. Entah kenapa apabila Emran berbicara soal cinta aku jadi terlalu sayang kepadanya.

“Seperti yang kau tahu, pilihan raya baru sahaja selesai. Janji-janji yang ditabur perlu ditunaikan,”

“Kita mengharapkan...

“Kau lelaki bebas berjuang untuk negara. Aku perempuan, aku tidak tahu apa tugasku,”

“Kau juga berjuang,”

“Aku berjuang?” tanyaku kembali kehairanan.

“Ya. Kau semangatku. Tiap kali aku luntur semangat, senyuman dan sajak-sajakmu menjadi penguat,”

Aku terkejut apabila Emran berbicara soal sajak. “Jadi kau sudah tahu tentang Anggerik Desa itu?”

Emran mengangguk-angguk.

“Kau terus berahsia kepadaku,”

“Sudah lama aku tahu. Bukankah Jelutung Press itu kepunyaan kawanku. Sudah tentu aku tahu siapa Anggerik Desa yang mengirimkan sajak-sajak semangatnya kepada majalah SEDAR,”

“Aduh! Malunya,” aku menutup muka.

“Kenapa pula malu?”tanya Emran.

“Aku tidak sepetah kau berbicara. Aku tidak setajam kau menulis. Bahasa aku juga tidak sesantun bahasamu,” aku merendah diri. Aku tahu siapakan aku jika dibandingkan dengan tunanganku, Emran al-Kadir penulis tetap sajak-sajak membara majalah SEDAR.

“Tapi aku begitu marah kepadamu,” percakapan Emran itu membuatkan aku memandangnya. Marahkan Emran kerana aku merahsiakan kiriman sajak-sajakku ke majalah SEDAR.

“Aku marahkan kau kerana sudah mula mencuri posisiku sebagai penulis sajak tetap. Ruanganku disedikitkan. Kata pengarangnya, mahu memberi tempat kepada sajak-sajak Anggerik Desa,”

Emran ketawa selepas itu.

Ah! Kau memang selalu suka mengusikku.

 

 

Mahar Cinta

 

Cincin tunangan hamba

Jadi gadaian cinta

Balaslah maharnya

Merdeka sebuah bangsa

                                                Emran al-Kadir

 

            Bait-bait awal sajak itu membuatkan hatiku sayu dan membara. Dua perasaan berlainan bersatu di dalam hatiku.

            “Emran, sempat lagi kau nukilkan sajak itu disaat kalutmu menguruskan pemergian Tunku ke London,” Aku menatap lali cetakan sajak itu di majalah SEDAR.

            Seminggu yang lepas Emran beritahu, Tunku akan berangkat ke London. Dia mungkin agak sibuk. PERIKATAN bermesyuarat mencari jalan terbaik supaya rombongan itu mendapat hasilnya.

            “Kenapa kau tersenyum keseorangan?” Ibu menegurku. Aku jadi malu bila ditegur begitu.

            “Apakah sajak kau terbit dalam majalah?” tanya emakku lagi.

            “Kali ini tidak. Sajak abang Emran yang terbit,” beritahuku.

            “Sebut pasal Emran, ibu mahu bertanya. Bilakah mahu dilangsungkan soal kamu berdua. Jangan lama-lama, Emran itu dikelilingi ramai wanita. Nanti engkau pula yang melopong,”

            Aku terasa mahu ketawa mendengar amaran ibu.

            “Abang Emran tidak begitu. Musalmah percayakan dia,” tegasku.

            “Pokok kalau selalu ditiup angin akan tumbang juga. Kalau tak tumbangpun akan senget juga,”

            Aku memandang ibu sambil tersenyum. Aku tahu kerisauan seorang ibu.

            “Ibu lihat Emran semakin kurus. Batuknya kelihatan seperti berlarutan lamanya,” Ibu tiba-tiba mengalih topik perbualan kami.

            “Itu juga yang Musalmah  bimbangkan. Berkali-kali Musalmah nasihati dia supaya berjumpa doktor. Katanya dia tidak sakitlah...penat sahajalah...dan terlalu sibuk,” balasku. Aku juga seperti ibu. Bimbangkan Emran. Dia yatim piatu. Tiada sesiapa yang menjaganya.

            Ahh!! Alangkah baiknya jika aku disampingnya menjaga makan pakai dan sakit tidurnya.

            “Moga Emran dilindungi Allah. Moga dia sihat dan kamu cepat disatukan,” doa ibu.

            Dalam hati aku mengaminkan doa itu. Moga berkat.

            “ Ibu... sebenarnya abang Emran ada beritahu soal kami,”

            “Apa katanya?”

            “Emm... katanya mungkin akan dilangsungkan saat kita merdeka,”

            Aku lihat ibu terkejut. “Jangan main-main Musalmah. Entah bila kita akan merdeka. Entah berjaya atau tidak Tunku mendapatkan kemerdekaan daripada British itu,”

            “Insyaallah akan berjaya. Abang Emran mahukan kami kahwin selepas merdeka. Kata abang Emran lagi kalau boleh sama saatnya dengan kemerdekaan Tanah Melayu,”

            Ibu diam. Mungkin kehabisan kata-kata. “Harapnya begitulah. Moga kau dan negara ini bahagia,” sambung ibu perlahan.

            “Aku tersenyum mendengar kata-kata ibu. Aku makin galak tersenyum apabila teringatkan kata-kata Emran.

            “Merdeka itu mahar perkahwinan kita,”

           

 

Khabar gembira

 

1957

 

Ibu membebel-bebel. Sudah menganjak setahun. Perkhabaran tentang pertunangan kami masih sama. Tanah Melayu masih belum merdeka. Emm... barangkali diambang merdeka.

            Aku fahami kesibukan Emran. Aku juga tidak pernah meminta dia mempercepatkan perkahwinan ini. Bagiku biarlah Emran berjuang mendapatkan kemerdekaan terlebih dahulu. Kerana itu lebih penting. Aku tahu cinta Emran kepadaku bernyala. Akan tetapi cintanya kepada tanah air lebih membara.

            Bukankah merdeka itu mahar yang dijanjikan Emran?

            Tunku Abdul Rahman membawa perkhabaran gembira. 1956 menitipkan sejarah bahawa pemergian rombongan PERIKATAN ke London berjaya memeterai Perjanjian London. 31 ogos tahun ini Tanah Melayu akan merdeka.

            Usai Suruhanjaya Reid, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal. Aku jadi bangga apabila Emran memberitahu wujudnya permaufakatan dan sikap tolak ansur antara kaum yang memudahkan perjalanan ke arah kemerdekaan ini. Aku begitu bangga kepada kau Emran, PERIKATAN yang kau sertai memang bijak, sebijak engkau.

            Kesempatan yang diberikan oleh pengarang majalah SEDAR, membuatkan aku juga tolong memakmurkan kefahaman untuk bersatu antara kaum. Aku menulis sajak-sajak perpaduan. Aku menentang sikap berpuak-puak. Memilih warna kulit. Bersekelompok dalam satu bangsa.

            Aku yakin untuk merdeka. Tanah Melayu perlukan perpaduan. Melayu itu tuan rumah, tetapi Cina India dan kaum lain-lain adalah tetamu yang perlu dihormati.

            “Hanya itu sahaja yang mampu aku lakukan Emran,” aku berkata begitu saat Emran bertanyakan mengapa sajak-sajakku banyak bertemakan perpaduan. Ketika itu Emran menjengukku untuk menyampaikan majalah SEDAR yang terbaharu. Aku di muka pintu. Dia duduk di anak tangga.

            “Kau boleh lakukan lebih lagi. Mari sertai aku berpersatuan,” ajak Emran.

            Aku geleng-geleng kepala.

            “Aku bukannya tidak mahu. Tapi rasanya biarlah aku berjuang dengan caraku. Aku menulis. Mencipta bait-bait ayat. Menelus ke setiap hati nurani rakyat Tanah Melayu,”

            Imran tunduk. Majalah SEDAR di tangannya ditatap. Dia ralit membaca. Kemudian Emran merenung jauh. Kesempatan itu, aku gunakan untuk menyelusuri setiap jasadnya. Tubuh Emran semakin kurus. Dia kelihatan pucat. Aku pernah menasihatinya berjumpa doktor. Katanya sudah ketemu dengan doktor. Kata Emran lagi, dia tidak punya apa-apa sakit. Aku keluh kesah melihat fizikalnya. “Emran...jangan lupakan kesihatanmu,”

            “Kenapa kau diam?” tanyaku kembali.

            Emran berpaling. “Kerana aku sedang menghayati sajak-sajak Anggerik Desa,”

            “Oh Anggerik Desa, aku jatuh cinta pada sajak-sajakmu,” tiba-tiba Emran mengungkapkan begitu sambil matanya langsung memanah mataku.

            “Jatuh cinta pada Anggerik Desa. Jadi bukan padaku,” aku pura-pura marah.

            “Kau dan Anggerik Desa adalah sama jasadnya. Hatiku jatuh pada sajak Anggerik Desa. Cintaku jatuh pada manisnya Musalmah,” ucap Emran sambil ketawa.

            Aku berlari masuk ke dalam rumah. Terus merajuk tanpa menghiraukan ayat puitisnya itu. Ahh... biarkan saja dia pujukku.

           

 

Dan mimpi berguguran

 

            Tarikh kemerdekaan sudah ditetapkan. Rakyat Tanah Melayu semacam berpesta. Merdeka ertinya bebas. Bebas daripada cengkaman penjajah. Berdikari. Menjadi warganegara yang berhak menentukan negaranya sendiri.

            Semua orang gembira.

            Akan tetapi aku duka.

            Khabar daripada Emran sudah lama aku tidak terima. Emran senyap sahaja. Dahulu, dia akan sering datang membawa majalah SEDAR keluaran terbaharu. Tapi kini tidak lagi. Emran hilang tanpa berita.

            Puas aku tanya sana sini. Aku tanyakan pada rakan-rakannya. Juga tiada berita.

            Aku begitu rindukan Emran.

            Sajak-sajak lamanya aku baca berulang-ulang. Aku mahu mengubati rindu ini.

            Emran sudah berubahkan engkau? Adakah engkau berjumpa dengan gadis lain saat-saat engkau berjuang mendapatkan kemerdekaan negara ini?

            Pertanyaan jahat itu berulang kali menyerbu akal fikiranku. Aku jadi serabut.

            “Aku tahu Emran jujur. Dia tidak akan lupakan aku. Dia sayangkan aku.”

Aku menguatkan semangat.

            Bukankah merdeka itu mahar perkahwinan kita. Tanah Melayu semakin merdeka. Harapnya cinta kita juga semakin mendekat merdekanya.

            “Bagaimana ibu? Dapat berita tentang Emran,” aku langsung bertanya saat ibu menerjah masuk ke dalam rumah.

            Ibu membuka tudungnya perlahan-lahan.

            Aku lihat mata ibu merah.

            “Ibu...sudah jumpakah abang Emran?” aku ulangi pertanyaan.

            “Bersiaplah Musalmah. Kita akan bertolak segera,” kata ibuku.

            “Bertolak kemana ibu?” tanyaku mendesak.

            “Tadi rakan karib arwah Emran berjumpa dengan ibu. Emran koma selama seminggu di hospital. Katanya dia mendapat penyakit paru-paru. Pihak hospital tidak dapat mencari warisnya dan dia telah...,”

            “Arwah!” aku terkejut. Tubuhku terasa lemah. Melayang dan terlalu ringan. Yang dapat aku rasa hanyalah dakapan ibu.

            Di mataku aku lihat Emran tersenyum. Mulutnya terkumat kamit membaca sajak. Tangannya digenggamkan ke atas.

            “Merdeka ini mahar cintaku!”

 

Nota: Cerpen ini pernah terbit di majalah NUR suatu ketika dahulu. Sekadar berkongsi cerita dengan kalian - mkriza.blogspot.com / khairulr

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) saya seringkali berpendapat bahawa sajaklah yg selalunya menang jika ingin diberi sebagai kenang-kenagan utk si kekasih (bukan coklat, bunga atau teddy bear).

    ini cerpen merdeka yg lain drp yg lain. saya suka
  • 2) wow. saudara khairulr adalah sesuatu!
    dua karya, dua-dua nice.

    ah ... no wonderlah pernah terbit di NUR. memang standard penulisan yang layak diterbit.

    teruskan berkarya khairul!
  • 3) Melayu itu tuan rumah?

    AHAHAHAHAHAHA.
  • 4) Tiada apa yang boleh saya perkatakan jika ia mendapat tempat di media cetak. Ternyata karya ini menambat hati saya. Indah kisahnya...

    p/s: Rupanya saudara ini seorang novelis ya. Patutlah rasa macam pernah melihat nama MK RIZA itu.

  • (Penulis)
    5) Saudara ridhrohzai - saya novelis kecil2an tanpa nama.

Cerpen-cerpen lain nukilan khairulr

Read all stories by khairulr