Ujian (skrip drama )

 

“ujian”

0leh: Ikhwan Zakaria @ Iwano Kurusawa .
4 oktober 2006/11 Ramadhan 1427

 (skrip ini masih belum dipentaskan. Jom la pentaskan!!! )

 

WATAK-WATAK

 1. UJI      -  Mahu membunuh diri

 2. AN      - Menyelamatkan orang yang mahu membunuh diri

 

SINOPSIS

 

Uji seorang bekas ibu, sentiasa ingin membunuh dirinya. Sudah berkali-kali cubaannya gagal. Namun begitu, dia tidak pernah berputus asa. Uji akan terus mencari jalan untuk menamatkan riwayat hidupnya. Paling memeningkan kepalanya, Uji sering diselamatkan oleh seorang lelaki misteri setiap kali dia cuba membunuh diri.

 

An pula seorang lelaki yang sentiasa menyelamatkan orang yag mahu membunuh diri. Dia sentiasa berjaya. Kali ini dia sudah berasa letih dan mahu berhenti menyelamatkan orang yang mahu membunuh diri.

 

Uji dan An bertemu di satu persimpangan. Persimpangan yang akan menentukan yang hak dan yang batil. Adakah ini satu ujian buat mereka?

 


SATU – Di Persimpangan
 

Di sebuah persimpangan sebuah jalanraya di sebuah lebuhraya yang sesak.

Uji berdiri di tengah-tengah persimpangan jalan itu. Kereta datang bersilih ganti. Lori dan bas berlumba-lumba. Ada yang sempat mengelak. Ada yang masih belum sedar kewujudan Uji di situ. Uji mendepangkan tangannya. Uji menghirup udara sepuas-puasnya. Udara yang penghabisan untuknya. Tiba-tiba sesuatu menolaknya! Uji terbaring di bahu jalan. Ada seorang lelaki disisinya.

 

UJI

Ke tepi! Tepi! Celaka! Kenapa kau kacau aku?! Hah! Kau tak nampak ke apa yang aku tengah buat? Kenapa?!!! Kenapa?!! (menangis)

 

AN

Awak nak bunuh diri. Saya selamatkan awak.

 

UJI

Kau selamatkan aku? Kenapa? Kau dah takde kerja lain?!

 

AN

Takde. Aku memang dah takde keje lain.

 

UJI

(ketawa). Pelik! Kau ni kan lelaki! Aku tengok badan kau sihat, cukup sempurna sifat! Takkan takde keje?! Penipu! Orang cacat pun ada keje! Ops! Sori! Orang kurang upaya! (ketawa)

 

AN

Betul. Aku memang dah takde keje. Aku dah lama menganggur. Rumah takde. Duit takde. Kereta..

 

UJI

Dah! Dah! Sudah! Aku tak nak dengar lagi! Aku nak rehat!

 

AN

Kau tak nak bunuh diri lagi?

 

UJI

Sapa kata aku tak nak? Aku mesti mau! Mesti mau bunuh diri! Tapi...

 

AN

Tapi apa?

 

UJI

Tapi..aku tak boleh nak bunuh diri dua kali dalam sehari. Aku cuma akan cuba bunuh diri sekali satu hari. Aku tak larat laa...


AN

Sekali je satu hari? Betul?

 

UJI

Betul! Aku tak cukup tenaga, tak cukup modal untuk buat cubaan banyak kali. Kau ingat senang ke nak bunuh diri? Kalau senang, mesti ramai orang nak cuba..

 

AN

Aku faham. Bunuh diri bukan satu kerja yang semua orang sanggup buat. Kalau diberi pilihan , mesti orang akan pilih untuk tak bunuh diri.

 

UJI

Kalau aku bagi kau sejuta untuk kau bunuh diri? Kau buat?

 

AN

Sejuta? Eerr  ...Aku ....nanti aku fikir dulu...

 

UJI

Aku dah agak dah...kalu dapat duit, mesti semua orang kelabu mata!...Eh! aku nak pegi cari makan jap! Aku dah lapar ni! Kau dah makan?

 

AN

Belum. Tapi..aku ada roti..

 

UJI

Roti?..err... boleh bagi aku sikit tak? Dah sehari kau, aku  tak makan. Aku perlu makan. Untuk pulihkan balik tenaga aku. Esok, boleh la aku cuba lagi...

 

AN

Cuba lagi? Nak bunuh diri lagi?

 

UJI

Kan aku dah cakap! Jangan bagi aku ulang banyak kali! Aku tak suka! Boleh bagi aku sekeping? O.k ..o.k separuh keping? ..suku? secubit? please....tolong?

 

AN

Janji dulu! Janji yang kau takkan cuba bunuh diri kau lagi! Boleh?

 

UJI

Err..emm.. Aku tak boleh la...aku mesti bunuh diri aku...mesti..!

 

AN

Nampaknya ...roti ni semuanya akan masuk dalam perut aku...

 

UJI

o.k! aku janji! Janji! Janji! AKUJANJI!

 

AN

Baik. Manusia yang baik, perlu pegang pada janji. Nah!(memberi sekeping roti)

 

Uji makan dengan lahapnya. An makan dengan tenang. Selesai makan, An mengeluarkan sebotol air dari begnya dan minum seteguk.

 

AN

Nak air?

 

UJI

Apa la punya soalan! Mesti la nak! Bak sikit!

 

An memberikan airnya kepada Uji. Uji minum sehingga separuh botol.

 

UJI

Terima kasih.....encik...

 

AN

Sufian. Panggil AN saja.

 

UJI

Terima kasih. Aku UJI je.

 

AN

Aku tahu.

 

UJI

Apa? Kau tahu nama aku?

 

AN

Err...kan kau pakai name tag tu?

 

UJI

Ah! Aaa!! La.. tak ingat pulak aku.. mati-mati aku ingat kau kenal aku tadi..he he!

 

AN

Kenapa?

 

UJI

Ye la....aku pun tak kenal diri aku sendiri. Aku Cuma tau nama aku je..UJI.

 

AN

Apa lagi yang kau tahu?

 

UJI

Oh! Ye! Satu lagi. Tiap-tiap pagi. Bila aku bangun tidur, aku mesti fikir untuk bunuh diri! Hah! Ha ! ha! Itu je la...rutin hidup aku..hidup? hidup! Ha haHA!

Aku hari-hari fikir nak mati! Tapi sampai hari ni aku hidup lagi! ( ketawa) hoi! Ketawa la sama-sama!

 

An cuba untuk ketawa.

 

AN

Kesian. Kau tak tau siapa diri kau..

 

UJI

Eh! Kan aku dah cakap! Aku tau siapa aku! Aku UJI! Bangun pagi bunuh diri! Bangun pagi gosok gigi, bunuh diri ! bunuh diri! HA HA!

 

AN

Sekarang kau dah kenyang kan. Kau nak buat apa?

 

UJI

Aku nak tidur!

 

Uji terus tertidur.

 

AN

Senang betul tidur! Apa aku nak buat ni...

 

Tiba-tiba Uji bangun.

 

UJI

o.k dah segar!

 

AN

Dah segar? Baru berapa saat je..

 

UJI

Cukuplah...bagi aku, satu saat pun macam 1 jam...o.k bye!

 

AN

Eh! Nanti dulu! Kau nak pegi mana tu?

 

UJI

Nak cari idea baru. Macamana nak bunuh diri esok.

 

AN

Tadi kau dah janji tak nak buat lagi.

 

UJI

Inilah yang dikatakan sifat-sifat orang munafik! He! He! He!

 

Dim

 
 

DUA – Mengapa?

 

Uji kelihatan sedang duduk dan sedang melukis-lukis sesuatu dengan menggunakan sebatang lidi diatas tanah. Datang An dengan tergesa-gesa.

 

AN

Cepat menyorok! Cepat!

 

Uji mengikut An menyorok di belakang sebuah kotak. Jabatan kebajikan masyarakat dan polis sedang mencari orang-orang tanpa rumah dan pengemis di sekitar kawasan ini.

Bunyi trak, dan derap kaki beberapa orang jelas kedengaran.

Selepas beberapa ketika. Semuanya kembali seperti biasa. Uji dan An keluar dari persembunyian.

 

UJI

Woi! Sini la woi! Aku kat sini! Woo!

 

AN

Syyyyyhhh! Diamlah!  Kalau diorang dengar habislah kita! Diam lah! Uji diam!

 

UJI

o.k o.k,,syyyhh! Ha ha ha! Apsal yang kau takut sangat? hah? Eh! Apasal kau ikut aku?

 

AN

Saja. Kau buat apa tadi?

 

UJI

Aku lukis...cilaka! habis hilang lukisan aku! Penat je aku lukis..aku lukis pelan modus operandi untuk esok..

 

AN

Sudah la..berenti laa... dah berapa kali kau cuba?

 

UJI

Aku tak kira pulak! Tapi lebih dari 5555 kali dah..

Hah! Mula-mula aku cuba terjun bangunan..aku panjat KLCC, baru aku nak terjun je, sap! Ada seorang lelaki selamatkan aku. Lepas tu dia lari..

 

AN

Dia lari.?..kira macam superhero yang tak mau dedahkan diri  ?..
 

UJI

A...aa! Macam Batman! Spiderman! Hah! Macam Superman! Tapi..aku tak perasan pulak dia ada pakai baju yang pelik-pelik. Tak silap aku dia pakai t-shirt biasa je..seluar slack biasa je..Aku rasa...aku boleh panggil dia Biasaman! Hu..hu.hu..

 

AN

Suka hati kau laa... lagi apa kau dah cuba?

 

UJI

Lepas tu aku cuba gantung diri  pulak. Ha ha! Yang ni lagi heran,, mula-mula, aku dah siap ikat tali gantung kat tiang lampu jalan. Aku siap mintak sedekah sebelum tu untuk dapatkan modal buat beli tali. Jadi, aku dah siapkan tali tu.. ala..macam rupa tali gantung yang biasa tu la.. aku panjat tangga, aku  masukkan kepala , aku lepas kaki. Tiba-tiba, tali tu putus! Jatuh la aku! Gedebuk! Nasib baik tak tinggi ! kalu tak! Patah kaki! He! He!

 

AN

Tali tu putus sendiri?

 

UJI

Tak..ada orang potong..lelaki yang sama agaknya..aku nampak dia lari dengan gunting lepas tu. Tapi..muka dia aku tak cam....eh! kau asyik tanya aku je.. kau tu apasal pulak jadi macam ni?

 

AN

Aku? Dulu, aku macam orang biasa jugak. Ada keluarga. Ada isteri...ada..

 

UJI

Isteri?  Wuyoo!! Tak sangka! Muka macam kau ni pun ada orang minat!

Lawa tak bini kau dulu? Macam siapa? Ada lawa macam aku tak?

 

AN

Lawa...! bagi aku, bini aku lah yang terpaling lawa sekali dalam dunia..

 

UJI

Yelah, kalau dah cinta, kentut pun wangi, taik pun nampak macam cokelat...opss sori, teruskan...teruskan..

 

AN

Kami hidup bahagia...lepas setahun, kami dapat seorang anak. Tapi lepas tu...(sedih)

 

UJI

Lepas tu apa? Cerita la lagi...

 

AN

Tak nak la cerita lagi..nanti aku nangis. Malu la orang lelaki nangis depan pompuan.

Dah! Dah! Dah! Sekarang aku nak minta izin kau boleh tak?

 

UJI

Mintak izin nak buat apa? Setakat nak lalu belakang aku... lalu aje la..aku bukannya mak kau..

 

AN

Bukan izin macam tu..tapi aku nak minta izin untuk kongsi rancangan alias modus operandi kau untuk esok. Hah......aku nak tahu, apa rancangan untuk cubaan bunuh diri kau esok? Boleh?

 

UJI

Hmmm...biasanya aku tak kan dedahkan rancangan aku pada siapa-siapa.. sebab, kalau orang dapat tau, habislah rosak rancangan aku! Nanti tak jadi! Nanti aku akan dihalang!  Tapi....aku tengok muka kau ni macam boleh percaya je..muka macam...

 

AN

Muka macam apa?!!

 

UJI

Muka macam orang beriman! He he he! Bangga la tu!

 

AN

Ye ke? apa-apa ajelah!  boleh mula sekarang?

 

UJI

o.k. jom! Tolong bagi alat tulis tu! Tu! (maksudkan lidi )..terima kasih.
Mula-mula....oh! ye! Sebelum tu, aku nak bagitau kau, rancangan ni bukan rancangan berbayar! Jadi kita kena gunakan barang-barang terpakai. Lagi, aku nak pastikan yang rancangan ini pasti berjaya. Jadi aku namakan rancangan ini                         "Rancangan Pasti Berjaya Membunuh Diriku Ini”     amacam sedap tak?

 

AN

(terpaku)..........o.k! sedap! Sedap! Mempunyai maksud tersirat! Teruskan..teruskan!

 

UJI

Baiklah! Macam ni....

 

Mereka berdua merancang berbagai kaedah untuk membunuh diri UJI. Mereka melukis, mencuba, dan membuat perkiraan dan latihan agar rancangan itu pasti berjaya.

 

Kemudian..

 

AN

Uji...sedar tak ? dah malam sangat ni..

 

UJI

Sedar..! tapi, tapi ..aku tak ngantuk! Ala baru pukul 10...

 

AN

Macam mana kau tau baru pukul 10?
 

UJI

Aku main petik je! Apa laa.. kau nak tidur, kau tidur laa...aku masih nak pastikan keberkesanan rancangan ni..

 

AN

Tak boleh ...kau pun kena tidur...nanti esok takde tenaga..macamana?

 

UJI

An, aku pernah bagitau kau, satu saat bagi aku..

 

AN

Macam satu jam! O.k o.k aku dah faham! Ikut suka kau lah!

 

Uji meneruskan memeriksa rancangannya. An mulai berbaring di tanah.

 

AN

Kau tau tak...aku sebenarnya buat keje yang berlawanan dengan kau. Tiap-tiap hari, aku akan selamatkan orang yang nak bunuh diri. Tia-tiap hari mesti selamatkan orang yang mau tamatkan hidup sendiri.

 

UJI

Apasal kau sibuk sangat hal orang? Abis tu? Kau dah letih ke?

 

AN

Mana tak letihnya...tiap-tiap hari, aku mesti kena selamatkan orang! Terjun bangunan la..nak gantung diri laa.. nak makan racun la..huish! macam-macam! .Aku pun tak faham laa...sebenarnya apa yang orang tu fikirkan..bukan ke bunuh diri tu haram hukumnya.

 

UJI

Abis tu, orang kat Iraq! Kat Palestin letupkan diri tu boleh pulak? Tak haram?

 

AN

Entah! Aku pun tak tau! Tapi diorang tu lain! Diorang dalam suasana lain! Dalam peperangan! Mungkin situasi diorang memaksa diorang bertindak macam tu! Kau bayangkan ! askar musuh bunuh ahli keluarga diorang! Depan mata! Tak kira umur kena tembak! Bayi yang tak tau apa-apa pun makan peluru!

 

UJI

Sudah! Jangan cakap pasal bayi, pasal mati orang lain! Cukup! Aku tak nak dengar! ..............Aku nak bagi tumpuan yang penuh pada rancangan aku ni...he he he..

 

AN

Jadi...aku fikir..aku nak berhenti. Nak berhenti selamatkan orang yang nak bunuh diri tu...

 

UJI

Bagus la macam tu...

 

Dim.


TIGA – Kesedaran?

 

Matahari pagi mulai melimpahkan cahayanya  ke pelusuk kota.

 

UJI

Bangun! Bangun! Huih! Pemalas betul! Dah la tak sembahyang subuh! Bangun!

 

AN

Hahhhhh ( menguap dan menggeliat). Apasal kau tak kejut aku waktu subuh tadi..

 

UJI

Aku lupa. Mula-mula aku ingat kau uzur..tapi lepas 2 jam aku baru teringat yang kau tu lelaki..he.heh! Alah..kalau orang tu nak sembahyang., dia bangun sendiri tak payah tunggu orang lain kejutkan....he he he aku dah ready! Dengar tak?! Aku, dah, ready!

 

AN

(tersentak). Kau biar betul? Nak mula dah? Dah makan? Dah ada tenaga?

 

UJI

Dah! Aku dah makan dah!

 

AN

Makan apa?

 

UJI

Pagi tadi aku terjumpa biawak kering kat tepi sana. Nampak sedap je. Aku bedal lah! Kenyang la jugak.. kalau kau nak, ada sikit lagi kat bawah kotak tu aku ada simpan..ambikla...

 

AN

Er.takpe.. aku puasa...

 

UJI

Aku harap...hari ni rancangan aku akan berjaya. Aku harap takkan ada lagi malaun yang nak selamatkan aku..nak halang aku...(bersenam)

 

AN

Uji..sebenarnya..abang..err..aku... ada benda nak cakap dengan kau..sebelum kau teruskan rancangan kau tu.. boleh tak?

 

UJI

Cakaplah..apasal pulak tak boleh..

 

AN
baik. Cuba kau datang sini kejap. Kau tenung muka aku dalam-dalam. Ada kau dapat ingat apa-apa?

 

UJI

(mendekati An dan merenung muka An). Ada apa? Takde apa-apa pun...taik mata ada la selambak kat mata kau!

 

AN

(geram dan mulai marah) Aarrrrrgh!!! Aku dah tahan ! dah tak boleh sabar dah ni!!

Aarrrrrrgh!

 

UJI

Apsal? Nak terkucil ke? kat sini , mana-mana pun boleh buang!

 

AN
....aduuhhhhhh!!!  cuba kau ingat betul-betul! Takkan kau tak ingat masa tu..
 ...................................................

Abang harap ayang bahagia dengan abang sekarang

 

UJI

Ayang bahagia bang...

 

AN

Walaupun rumah kita kecil, walaupun abang Cuma ada motor buruk..

 

UJI

Walaupun abang tak kacak...

 

AN

Ye ke? nakal la ayang ni..he hee

 ..................................................

UJI

Lepas tu macam mana? Aku tak ingat betul...

 

AN

Lepas setahun, kita dikurniakan cahaya mata ...seorang puteri..

 

UJI

Abang...comelnya anak kita bang...hidung dia, mata dia, mulut dia, semua tak sama dengan abang..semuanya macam ayang..(gembira) ..

 

AN

Kita sangat gembira dan bahagia masa tu..Habis kerja, abang terus berkejar balik rumah! Tak sabar nak tengok anak kita yang comel tu...

 

UJI

Anak je la yang abang ingat! Saya ni abang buat-buat tak ingat! Menyampah!

Kecik hati tau!

 

AN

Abang tak pernah berniat nak lupakan nak abaikan ayang.. Cuma..

 

UJI

Cuma apa? Cuma abang lebih sayangkan anak tu dari saya kan? Abang ingat saya buta? Abang balik rumah, langsung tak tengok saya..asyik-asyik anak! Asyik-asyik baby! Baby! Sedih tau tak? Ingat saya ni tunggul ke? penat saya beranak je!

 
AN

Abang mintak maaf...abang mintak ampun..abang tak bermaksud nak lukakan hati ayang...

 

UJI

Dah luka pun.. dah berdarah..dah bernanah...

 

AN

Maafkan abang...

 

UJI

Makin hari, makin bertambah meluap-luap kebencian aku pada budak tu....baby..ala comel nya baby...aku tunggu sampai takde orang di rumah...

 

AN

Tidak...! tidak!...jangan!..

 

UJI

Aku sayang..aku benci..aku sayang...aku benci..aku sayang!  Aku benci! Aku saaaayang!!!  Akuuuu benciiiiii!!!!!!!!!  Huh! Huh! Huh!

 

AN

Kenapa? ...kenapa baby? kenapa anak kita? !...

 

UJI

(ketawa) mungkin kau rasa bahagia..tapi aku! Aku derita setiap kali melihat kau peluk budak tu..!

 

AN

Itu anak kita! ..kau sakit Uji! Kau sakit! Sedarlah!

 

UJI

(menangis) saya tak sengaja...saya tak sengaja...apa yang dah terjadi..saya tak sedar..(menangis)

 

AN

Doktor mengesahkan ayang mengidap Post Partum Depression... kemurungan selepas melahirkan.....abang yang bersalah...bukan anak...

 

UJI

Baiklah. Mempersembahkan! "Rancangan Pasti Bunuh diriku ini!"

 

AN

Nanti! Aku pun ada bahagian dalam rancangan ni!

 

UJI

Hah? Berapa banyak bahagian kau?

 

AN

50-50!

 

UJI

Eh! Mana boleh! Aku yang penat2 fikir! Senang-senang je kau nak 50-50! 70-30!

 

AN

60-40!

 

UJI

Wah! Main tawar-tawar pulak! Baik! Kalau kau nak sangat kau punya bahagian, ambik la berapa banyak yang kau nak! Letih aku nak layan!

 

AN

o.k  kaedah nombor berapa yang kau pilih untuk rancangan kau ni?

 

UJI

Kejap.. alaaahhh...hmmmm....hahhh! yang ni! yang nombor ke -1001!

(mengeluarkan sebilah pedang jepun, katana)

 

AN

Eerrr...mana kau dapat pedang tu? Tau ke kau nak pakai tu?

 

UJI

Kau tak payah tau mana aku dapat! Pedang ni adalah di antara senjata yang paling hebat di atas muka bumi ni tau tak?!  Satu ciptaan seni yang agung! Menjadi kebanggaan Samurai dan Ninja di Jepun !

 

AN

O.k! o.k!  apa kaedahnya?

 

UJI

Ha! Ha! Hehe! Mudah dan senang! Macam ni...kau ambik pedang ni! Jaga! Tajam tu! Satu jam setengah aku asah dengan alu lesung! Hah! Pegang..aisey! kau tak pernah tengok cerita samurai ke?

 

AN

Pernah..Tapi kau nak aku buat macamana?

 

UJI

Macam ni..kau buka kuda-kuda..pegang pedang dengan kedua-dua tangan....angkat ke atas.. sedikit ke kanan...sedia untuk memancung! Haa....macam tu laa...

 

AN

Lepas tu?

 

UJI

Lepas tu? Aku berdiri setentang depan kau...kemudian..

 

AN

...aku...aku pancung kau...??

 

UJI

Pannndaii pun!!!! Tak sangka otak kau ni bergeliga jugak! He he!

 

AN

Nanti! Aku tak nak bunuh kau! Aku Cuma nak bantu kau! Bukan jadi alat untuk bunuh kau..dah menyeleweng ni! Ni dah salah ni! Tak boleh jadi! Tak boleh!

 

UJI

Apa pasal pulak tak boleh! ? kau yang beriya-iya nak terlibat sama..! nak 50-50 la! Ni 50-50 la ni! apasal tak boleh? Kenapa? Kau takut ditangkap dan dihukum sebagai pembunuh? Macam tu?

 

AN

Eerr...Ikut rancangan asal.,.kau yang kena bunuh diri kau sendiri...bukan orang lain..aku cuma nak menolong...lagi satu...

 

UJI

Lagi satu apa?

 

AN

Kalau tiba-tiba ada orang datang halang...tahan tangan aku...tarik tangan aku...macamana?

 

UJI

Eleh..itu perkara senang...kalau ada orang kacau, aku tolong la kau...belasah orang tu ke...bagi flying kick tendangan padu maut ke...paling mudah, aku sendiri datang letak tengkuk aku kat mata pedang ni..abis cerita.. faham tak!

 

AN

Kau dah fikir masak-masak?

 

UJI

Dah! Kau?

 

AN

Aku..aku..aku tak boleh laa...lagipun, kan aku  dah cakap..aku tak nak jadi alat kau..aku..aku..

 

UJI

An....tengok aku..pandang mata aku! Kau kena kuatkan semangat..kena kuatkan hati...kau kena tabah! Kena yakin! Kau boleh..kau boleh..boleh..

 

AN

Aku...(mula menurunkan pedang ke bawah)..

UJI

An! You can do it! Come on! Kau boleh! Jika kau fikirkan kau boleh!..kau pasti boleh melakukan..

 

AN

o.k lah! O.klah!

 

UJI

 alright!!! Ready   aa!! Aku kira dari seribu ke bawah..o.k 1000, 999, 998..

 

AN

Apa ni...letih la macam ni..kira la dari sepuluh!

 

UJI

Alah ..sama je..kalau dari seribu..aku kira laju-laju! Kalau dari sepuluh..aku kira pelan-pelan! Kau nak dari 10?

 

AN

Ye! 10!

 

UJI

o.k! yahuu! Tak sabar rasanya...10! 9! 8! 7! Sebelum tujuh apa?

 

AN

Kau buat lawak ke? serius la sikit! ni hal hidup mati ni..

 

UJI

Sori! Sori! He! He! 6! 5! 4! 3! 2! 1!

 

AN & UJI

Aaaaarrrrrrrrrrrrrrrrgggghhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

 

 

Merah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) aku tulis skrip ni tahun 2006-7. Masih belum dipentaskan. sapa yang sudi sponsor dan sapa yan nak berlakon, boleh la kita bincang!! yeah! TQ

  • (Penulis)
    2) orang mengandung dilarang baca skrip ini.
  • 3) 1. orang kelainan upayalah yang baru

    2. biasaman? keh keh keh!

    3. panjang kan sesuatu skrip ni, macam mana pelakon hafal?

    4. selambe laki dia semelih bini? eh ke sama-sama bunuh diri?

  • 4) UJI AN! ujian kehidupan? mari bunuh diri....

  • (Penulis)
    5) he he..skrip ni bukan suruh bunuh diri. Tapi suruh jangan bunuh diri. cerita ini hanya metafora dalam realiti yang tersirat.
  • 6) fuh! cerita ni susah jugak nak hadam ye. tapi saya suka

  • (Penulis)
    7) terima kasih Fatin, kerana sudi mementaskan karya ini di Aswara tempoh hari! ada video tak? nak tengok!

Cerpen-cerpen lain nukilan Kurusawa

Read all stories by Kurusawa