Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Enam Satu Dua Tujuh

 

Satu nafas. Satu peluru. Satu kepala. Kurang dari dua saat, peluru sepanjang 12.7 mm, berkaliber .50 menembusi oksipital, memutuskan  pertalian saraf yang berselirat, dan melunyaikan sistem memori. Dalam tiga saat, sedikit demi sedikit nyawa meninggalkan jasad, bermula dari pangkal rambut sehinggalah ke hujung ibu jari kedua-dua belah kaki. Saat yang keempat, refleksi badan melonglai seperti sebuah mesin yang telah ditutup suis nya, rebah. Ezrael memicing matanya dari jauh, dari sebuah jendela di tingkat tujuh flat lama, berjarak 2.11 kilometer dari sasaran yang mulai dikerumuni manusia sekeliling. 

Sebaik sahaja M107 Raifel semi automatik itu disimpankan ke dalam beg gitar, dia segera berlari keluar dari bangunan itu meninggalkan senjata seberat hampir 13 kilogram itu. Sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima, empat, tiga. Orkestra letupan bermula. Flat lama menjadi tumpuan. Serpihan-serpihan melayang. Terkecah-kecah para penguatkuasa bermenterang mengawal keadaan yang riuh, kecoh dengan penduduk kota yang bertempiaran. Ezrael sudah berada di dalam sebuah kereta berjenama Ford, menuju ke lapangan terbang.

***

Lelaki bertubuh sasa berceloreng dengan di bahunya tergalas selaras M107, berkeriut dahinya memerhati atas bawah barisan melintang di hadapannya. " Enam. Satu. Dua. Tujuh. Ke mari kau. " Seorang remaja lelaki berkepala lasak, tampil ke hadapan. Mukanya tampak tegang, berlengging dengan kedua-dua belah tangan digenggam padu. M107 bertukar tangan. " Nampak sasaran di jarak 2.17 km tu? " Ujar lelaki berceloreng itu, dengan jari telunjuknya menuju ke arah seorang manusia yang diikat, jauh di hadapan mereka. Remaja itu mengangguk sambil mengeluarkan magazin raifel lalu memasukkannya ke dalam kocek seluar kargo.

" Ingat. Satu nafas. Satu peluru. Satu kepala. Kau sipi, kau mati. " Berdengung kata-kata lelaki berceloreng memasuki lohong pemikirannya. Bergema. Dengan gestur tubuh, lelaki itu mengisyaratkan mula. Baru satu bulan dia membelai laras itu. Baru satu bulan dia memfokuskan bola mata kanannya mencari sasaran. Baru satu bulan memuntahkan peluru beribu dari senjata yang sama. Remaja-remaja lain memerhatinya dengan tekun. Kaki raifel dibuka cermat dan diletakkan di atas beg guni. Sudut tembakan dilaras tepat. 0.1 milimeter dari titik tembakan. Telinganya memicing deru angin. Kekuatan tangan dan bahu diselarikan. Udara dikepam ke dada dengan kiraan perlahan. Jari telunjuk kanan di picu. Udi di bahu. Sebaik melepaskan nafas dalam kiraan satu, peluru berdesup laju menembusi oksipital sasaran. 

" Bravo! " Suara lelaki berceloreng itu memecah kesunyian lapangan sasar. " Sini kau! " Dia melangkah pantas menghampiri lelaki berceloreng itu. " Satu bulan, dah pandai kontrol nafas eh? Bagus. Bagus. Kau kenal sasaran yang kau tembak tu? " Remaja itu menggeleng, diam. Manusia yang menjadi sasaran itu ditutupi mukanya dengan sarung hitam. " Itu ayah kau. Amacam, perasaan membunuh ayah sendiri? " Matanya mencerun. Tepat ke dalam anak mata lelaki berceloreng itu. " Hiduplah atas nama agoni, nescaya kau lebih sukses. " Bahunya ditepuk-tepuk. Remaja itu segera menumbuk padu dagu lelaki berceloreng. Sebelum sempat dia menghadiahkan penyepak sulung, orang bawahan lelaki berceloreng segera menghalangnya.

Lengannya dikunci dari belakang dengan beberapa tumbukan dilepaskan ke atas badannya. " Bawa dia ke bilik hukuman, biar badannya berjimak dengan pagar elektrik tu. Sial! " Tengking lelaki berceloreng itu sambil mengurut dagunya. Segera, dia menyebut empat angka lagi, nama baru untuk bakal pembidik upahan organisasi gelap, untuk membidik sasaran di hadapan. Sasaran yang punya nyawa.

***

Di belakang tengkuknya bertatahkan barkod enam dua satu tujuh, sedang berdiri di atas bumbung mercu tanda syarikat kapitalis terbesar di dunia, Talanta Corp. Esok hari bersejarah, buat dia, buat mereka yang memilih untuk membela. Buat semua yang mahu menjadi manusia, bukan lembu. Dia orang yang ke enam ribu seratus dua puluh tujuh, orang terakhir yang diserapkan dalam kekuatan pembidik seluruh dunia. Tiga ribu dua ratus mati dalam latihan, dua puluh menghilangkan diri, yang selebihnya mati kerana misi tidak tamat. " Kau tahu kenapa aku dipanggil Ezrael? " Ujarnya pada langit. Tiada yang menyahut. 

" Kerana aku satu-satunya pembidik yang tidak pernah sipi. " Tepat jam dua belas dalam kepekatan malam, Talanta Corp meletup. Bermula dari tingkat paling bawah, menyelang tiga saat, letusan demi letusan setiap level berlaku. Ezrael menyentuh belakang tengkuknya, tertulis Talanta di bahagian atas barkod. 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan xConRadx

Read all stories by xConRadx