Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Salsa dan Konspirasi

 

Rentak kaki mereka seiring dengan paduan lagu salsa yang dipasang. Pasangan tersebut meliuk lentuk badan dan berpusing ke kiri dan kanan. Mereka tenggelam dalam alunan muzik dan rentak tari yang mengasyikkan. Bukan kerana mereka berdua penari yang hebat membuatkan tarian tersebut nampak tersusun dan begitu bersemangat. Tetapi perasaan antara satu sama lain juga telah membuatkan mereka begitu komited dengan apa yang mereka sedang dansakan.

            Mereka juga seperti pasangan bahagia yang lain. Baru mendirikan rumah tangga dan ingin mengecapi kebahagiaan. Sama cantik sama padan, Tiara Liana dan Harris Hakim memiliki segala-galanya. Mereka sering dicemburui dan juga disegani. Tiara adalah ketua editor majalah fesyen terkemuka iaitu Stars Fashion. Manakala Harris pula bekerja di stesen penyiaran terkenal, TV11 sebagai seorang pegawai perhubungan awam. Masakan tidak mereka saling dicemburui, Harris sentiasa mencintai Tiara dan ramai wanita yang mahu mendambakan cinta seperti Harris.

            Mereka berdua ligat menari tanpa mengira siapa dan apa yang sedang berlaku disekeliling mereka. Yang ada cuma diri mereka dan cinta mereka. Sepasang kaki indah Tiara masih ligat berpusing-pusing begitu juga dengan Harris. Mereka menamatkan tarian salsa itu dengan penuh dramatik. Tepukan hebat diberikan tetamu buat Tiara dan Harris.

            Setelah tamat majlis Tiara dan Harris bersiap-siap untuk pulang. Menyalami tetamu majlis korporat yang terdiri dari datuk-datuk dan datin-datin, tak dilupakan juga rakan-rakan media seperjuangan. Sedang mereka beriringan keluar menuju pintu keluar ballroom hotel, mereka berdua ditegur dari belakang.

            “Tiara! Harris! Tunggu!”

            Tiara menoleh kebelakang. Dia melihat sebatang tubuh wanita yang amat dia kenali. Aida, rakan baiknya.

            “Aida! Maaflah aku tak jumpa kau tadi. Aku ingat kau dah balik,” Tiara tersenyum sambil merangkul tubuh rakannya itu.

            “Itulah kau, mentang-mentanglah dah ada orang tersayang. Aku pun kau dah tak nampak kan?” Mata Aida melirik ke Harris sambil membuat senyuman sinis. Kemudian mengalihkan kembali fokusnya pada Tiara.

            “Mana ade.. kau ni ada-ada je tau. Okey, aku dah nak balik ni. Bila-bila free kita keluar ye?” Tiara menghulurkan salam dan kemudian kedua-dua rakan baik itu memberi ciuman ke kedua-dua belah pipi masing-masing.

***

“Harris, boleh tak kalau you bawak slow sikit? Hujan tau tak sekarang ni?” Tiara risau melihat Harris memandu. Kalau tak disedarkan, makin ditekan pedal minyak itu.

            “You jangan risau. I ni kan terror dalam bab-bab driving ni. You can count on me dear,” Harris memberi senyuman manis kepada isterinya.

            “I know, you ni teror. Tapi sekarang hujan. Lagi satu nak laju ke mana?”

            “Dear, I tak reti la bawak perlahan-perlahan ni. Macam kura-kura,”.

            “Ikut suka hati you lah,” Tiara merajuk. Harris selalu ada saja alasan atas kritikannya. Tapi kerana itulah dia juga jatuh hati pada Harris. Harris bijak berbicara dan alasan serta hujahnya boleh dijadikan panduan. Cuma kali ini, hatinya rasa tak sedap. Seperti ada yang bakal berlaku. Malang tidak berbau namun ia boleh dielak kalau kita sentiasa berwaspada.

            Hujan semakin melebat seakan-akan tak mahu berhenti. Perjalanan pulang ke penthouse Tiara dan Harris di Bukit Antarabangsa seperti berjam-jam lamanya. Padahal jarak di antara hotel Vistana dan penthouse mereka tidaklah begitu jauh. Mungkin kerana suasana diam di antara pasangan ini yang menyebabkan perjalanan itu menjadi lesu. Tiara masih merajuk dan mendiamkan diri. Begitu juga Harris yang tak mahu bercakap banyak takut Tiara bertambah melenting.

            Angin bertiup kencang di luar membuatkan Tiara sedikit risau. Dia memandang Harris yang masih tidak kisah dengan kelajuan kereta yang dipandunya. KRAKK! Pohon di hadapan jalan mereka tumbang. Kereta Harris yang dipandu laju tidak mengawal kelajuannya lalu merempuh pohon yang tumbang itu.

            “HARRISSSSS!”

***

Pandangan matanya masih berpinar-pinar. Mungkin kerana masih tidak dapat menerima biasan cahaya terlalu terang. Tiara cuba membuka matanya perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit pandangan matanya semakin jelas. Kelihatan cahaya lampu hospital yang berwarna putih. Terang, sehingga mencucuk matanya.

            “Tiara..” Namanya disapa lembut.

            “Harris! Harris! Nasib baik you tak apa-apa”

            Tiara menangis teresak-esak. Dia terasa seperti mati hidup semula. Kejadian malam tadi amat mengerikan membuatkan dia sedikit trauma. Harris didakap erat-erat seperti tak mahu dilepaskan. Satu perkara yang amat Tiara takut dari kehilangan adalah suaminya, Harris.

            “Tiara.. Tiara.. You okey?” Harris menatap wajahnya sambil tersenyum tawar. Seperti ada yang disembunyikannya.

            “Ya, I okey je. Maafkan I pasal semalam ye. I tak bermaksud nak merajuk and then berdiam dengan you. I sayangkan you and I tak boleh kalau…”

            Kata-kata Tiara dipintas Harris.

            “Tiara, there is something that I need to tell you,”  

            Harris dilihat begitu serius sehingga memotong kata-kata Tiara. Dia memegang bahu wanita itu untuk menahan dari Tiara terus berkata-kata.

            “What Harris? You jangan buat muka macam tu. I tak suka. Tell me dear,”

            “Its.. Its about..” Harris tak sampai hati nak memberitahu hal yang sebenar. Tiara pasti akan terkilan jikalau mendengarnya.

            “Harris! Apa?” Tiara memaksa.

            “Its about your leg,”

            “My leg? Kenapa dengan kaki I? Kenapa?”

            “You, I harap you jangan buat benda-benda gila. I nak you dengar betul-betul..”

            “Harris, you jangan berdalih lagi! Tell me!”

            “Tiara, you lumpuh separa badan. Kaki you dah tak boleh bergerak. Doktor cakap you kena guna kerusi roda untuk berjalan. But..”

            “NOOOO!”

            Tiara bangun dari pembaringannya di atas katil. Dia cuba untuk menggerakkan kakinya tetapi tiada respon. Tiara kemudiannya cuba bangun dari katil namun dia dihalang Harris. Tiara menangis. Menangis kesal dan tertekan. Dia menumbuk-numbuk kakinya. Namun tiada apa kesan yang dirasainya cuma hatinya saja yang semakin membengkak.

***

Sudah sebulan masa berlalu. Dalam tempoh yang kurang singkat itu, Tiara hanya mendiamkan diri. Tak banyak berkata-kata. Dia juga sudah lama tidak ke pejabat. Segala urusan pekerjaan diberikan kepada Aida. Manakala Harris juga boleh dikatakan hampir berputus asa melihat tingkah laku Tiara. Tiara seperti bangkai hidup. Membisu tanpa kata-kata, kadangkala pula angin tak tentu pasal. Ada saja yang tak kena.

            Harris sangat berterima kasih kepada Aida kerana selalu datang menjenguk Tiara dan menyuap isterinya itu makan. Harris tidak boleh memperuntukkan sepenuh masanya kepada Tiara. Komitmen kerja membuatkan dia harus bergantung kepada Aida untuk membantunya menjaga Tiara. Tambahan pula, Harris dan Tiara anak yatim piatu. Kedua-duanya tiada saudara mara yang terdekat dan Harris tidak mahu menerima bantuan orang luar seperti pembantu rumah untuk menjaga Tiara.

            Harris baru pulang dari pejabatnya. Sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di rumah dia mendengar bunyi pinggan kaca dicampak. Kemudian tangisan kedengaran. Harris cepat memanjat tangga ke bahagian atas rumah untuk melihat apa yang sedang terjadi. Sesampai dia di kamarnya, dia melihat Aida yang sedang menangis teresak-esak. Tangan Aida mengusap pipi kirinya menandakan dia baru sahaja di tampar. Kemudian kaca-kaca bertaburan di atas lantai.

            “Aida! Apa yang terjadi ni?”

            “Isteri you. Dia yang buat semua ni. Maafkan I Harris. I just can’t take this anymore..”

            Aida bangun dan mengelap pipi yang basah dengan airmata. Manakala Tiara kelihatan merah padam. Dia terkejut kerana tidak menyangka Harris sudah pulang dari pejabat.

            “Tiara! Kenapa dengan you ni? You tau tak betapa susahnya Aida datang sini nak jaga you? You tak tahu nak hargai dia ke? Kenapa dengan you ni sebenarnya? I dah bosan you tau tak?!”

            “You dah bosan? Bosan lah kan sebab I dah tak boleh jalan! Bosanlah kan sebab I tak boleh bagi you apa yang you nak? You know what, I lagi bosan duduk atas kerusi ni!”

            Tiara menghempas kedua belah tangannya dan menumbuk-numbuk kerusi roda tersebut.

            “Bosan? Tiara, I lagi bosan dengan sikap you yang angin tak tentu pasal tu!”

            “Kalau you dah bosan dengan I, kahwin je dengan orang lain. Senang kan!”

            Tiara mengugut. Dia sendiri tak pasti kenapa dirinya cepat saja naik angin dan marah. Kadang-kadang stress semacam. Mungkin kerana keadaan fizikalnya kini yang tak mampu bergerak ke mana-mana dan membuat perkara yang dia suka iaitu menari.

            “Okey. Itu yang buat you bahagia kan? Itu yang you suka kan? Then I kahwin dengan Aida. Puas hati you?”

            Kenyataan Harris membuatkan jantung Tiara bagai disentap. Tak mungkin Harris yang dia cintai mampu melakukan kepadanya begitu. Tidakkah dia mengerti perasaan wanita sepertinya sekarang ini? Harris tak mungkin juga bergurau. Wajahnya kelihatan serius. Tiara tahu bagaimana seriusnya Harris dan bagaimana dia ingin bergurau. Tapi soal kahwin bukan mainan. Harris kemudiannya meninggalkan Tiara keseorangan sambil menarik tangan Aida pergi.

 

***

Tiara merenung jendela biliknya. Merenung sejauh mana pun ia tak dapat mengembalikan kenangan indah dan perasaan gembira di hatinya. Sudah seminggu Harris mengahwini Aida. Bagi Tiara, Aida tetap teman yang baik. Dia masih menjaga Tiara, memberinya ubat dan makan serta minum. Namun bukan semudah itu Tiara mampu menerima apa yang berlaku. Cuma apa yang berlegar di jiwanya sekarang, dia mahu bangun. Teruskan kehidupan semula dan kembalikan Harris di hatinya.

            Tiara Liana bersiap-siap pagi itu. Dia mengarahkan Pak Mat, driver sambilannya membawa dia ke Restoran Full House. Tiara mahu menikmati pagi itu dengan semangat baru. Sesampai di restoran itu, semua mata yang ada di dalam restoran tertancap pada Tiara. Kerusi roda ditolak Pak Mat hingga ke satu meja di sudut restoran. Kemudian Tiara mengarahkan orang tua itu pergi.

            Di antara semua yang teruja melihat keberadaan Tiara di dalam restoran itu, ada seseorang yang memerhatinya dari jauh. Seakan-akan tidak mahu lepas pandangannya dari Tiara. Kemudian dia mendekati Tiara. Jejaka itu menghulurkan tangan tanda salam perkenalan.

            “Saya Zikry. Dr. Zikry. You must be Tiara Liana, the..”

            “Yes I am. The editor of Stars Fashion and of course.. the OKU,”

            Tiara memberi senyuman hambar. Kemudian dia mempersilakan Dr. Zikry duduk.

            “Maaf kalau kedatangan saya ke meja Puan Tiara mengganggu, tapi saya tertarik melihat kaki Puan yang masih belum sembuh-sembuh. And for your information, saya doctor di Hospital Ampang Puteri yang merawat pesakit-pesakit yang seperti puan,”

            “Ohh.. jadi awak datang ke meja saya untuk menawarkan bantuan atau ??”

            “Oh don’t get me wrong. Saya sebenarnya tertarik melihat keadaan puan, dan saya memang ada hajat ingin membantu. Anyway, this is my card,”

            Zikry menghulurkan kad kepada Tiara. Dia kemudiannya meminta izin untuk pergi. Apakah petanda ini? Tiara kekeliruan.

***

Tiara masih membelek-belek kad pemberian Dr. Zikry. Kemudian cuba mendail nombor tersebut melalui Blackberry Boldnya. Namun percubaan itu terhenti apabila pintu biliknya dikuak.

            “Tiara..”

            Tiara berpaling kepala dan melihat Harris tersenyum di pintu bilik. Dia cepat-cepat memasukkan kad Dr.Zikry ke dalam kocek bajunya.

            “Oh, Harris.. masuklah.”

            “I heard dari Pak Mat tadi you keluar. Kenapa tak inform Aida? Penat dia datang sini then bergegas ke office balik,”

            Tiara mendengus tanda cemburu.

            “I cuma tak nak susah kan dia.. susahkan you. Hmm.. you balik awal hari ni?”

            “You dah makan ubat? Kalau tak I ambilkan,”

            Harris tiba-tiba menukar topik.

            “Belum dan I rasa I nak stop makan ubat ni semua. I sebenarnya tadi..”

            “Wait? You belum makan ubat? Apakata kalau you makan ubat dulu, then you cerita kat I apa yang you nak cerita,”

“But.. I..”

Harris menutup bibir Tiara tanda menyuruh isterinya diam. Kemudiannya dia mengambil beberapa biji ubat dari bekasnya dan menyuapkan ubat tersebut ke mulut Tiara. Segelas air diambil dan dia memberikan ia kepada Tiara. Kemudian kepala Tiara diusap tanda ‘good job’ atas kemahuan dia memakan ubat-ubat tersebut.

***

“Dia dah tidur?”

“Sudah.”

“Cepatnya..”

“Kesan ubat tu. Nasib baik I tanya dia tadi. Kalau tak..”

“Sorry tau sayang..”

“It’s okey,”

Kemudian dua lembaga tersebut masuk ke kamar dan menutup pintu bilik rapat-rapat.

***

Cahaya terang matahari telah menerobos masuk ke jendela bilik Tiara. Dia cuba membuka mata perlahan-lahan. Digosok-gosokkan kedua-dua belah mata sambil cuba menyandar di kepala katil. Tiara cuba mengingat apa yang berlaku semalam. Tapi ingatan itu tidak kembali. Perkara terakhir yang dia ingat, Harris memberi dia makan ubat dan dia bercakap yang dia telah pergi ke restoran semalam. Namun tidak pula diingat sama ada dia ada memberitahu mengenai Dr. Zikry atau tidak. Tiara bangun dan cuba menyiapkan diri sendiri tanpa bantuan sesiapa. Kini dia harus berdiri diatas kakinya sendiri walaupun berkerusi roda. Tiara tidak suka menjadi beban kepada Harris mahupun Aida. Dia harus bangkit sendiri.

            Kedatangan Tiara ke pejabat Stars Fashion mengejutkan pekerjanya terutama Aida. Aida tak menyangka Tiara begitu bersemangat hari ini untuk ke pejabat. Sedangkan beberapa hari yang lepas wanita itu kelihat lemah dan tidak berdaya. Tiara masih cantik seperti dulu, namun kecacatan kakinya membuatkan beberapa pekerjaan terbatas. Namun itu tidak membataskan dia untuk terus datang ke pejabat dan melihat apa yang sedang berlaku.

            “Aida, I nak ucap terima kasih atas segala pertolongan you selama ini. Tapi sekarang ni I rasa I nak mula masuk office dan bekerja.”

            Tiara yakin dia Aida pasti akan memberi sokongan kepadanya.

            “But.. Tiara, you kan sakit lagi. Kalau you selalu datang office nanti you lupa makan ubatlah, you tak cukup rehat and then jatuh sakit,”

            Aida berkata dengan bersungguh-sungguh. Wajah simpati terpalit pada air mukanya.

            “Dear! Please be supportive okey? I dah betul-betul yakin dengan diri I. And lagi satu, mulai esok you dah tak payah datang office I okey. You can continue your work.”

            Tiara menggerakkan kerusi rodanya ke arah meja. Lalu dia cuba menyusun dan menyemak segala fail-fail yang ada disitu. Manakala Aida seperti tercengang melihat apa yang berlaku. Dia kemudiannya meminta diri untuk keluar.

***

“Masalah besar,”

            “Apa?”

            “Dia dah masuk office and you know what, dia minta I berhenti jadi pemangku dia,”

            “What? Macam mana boleh jadi macam tu? Bukan ke dia..”

            “I don’t know. Tapi I rasa kita kena cuba tukar plan kita,”

            “Okey, we discuss this nanti bila jumpa,”

            Klik! Telefon dimatikan.

***

“Terima kasih kerana belanja saya makan hari ni Dr. Zikry,”

            “It’s okey. Apa-apa sahaja untuk Puan Tiara. So macam mana dengan tawaran saya tadi?”

            Tiara tersenyum. Kemudian dia mengangguk.

            “Baiklah saya setuju. Tapi dengan satu syarat. Doc tak boleh bagitahu hal ni kepada suami dan madu saya. Saya nak mereka surprise dengan perubahan yang bakal mereka lihat nanti,”

            “Baik! Saya janji akan simpan rahsia ni. Tapi Puan pun kena berjanji dengan saya jugak.”

            “Janji ape?”

            “Janji jangan malas-malas datang fisioterapi?!”

            Kedua-duanya berhamburan ketawa. Dr. Zikry tersenyum melihat Tiara. Baginya, Tiara begitu jelita dan kalaulah dia Harris, tak mungkin dia akan berkahwin lagi. Wanita ini sungguh sempurna walaupun dia cacat kakinya. Mungkin senyap-senyap dia telah jatuh hati pada wanita jelita ini.

***

Hampir setiap hari Tiara menjalani latihan fisioterapi bersama Dr. Zikry. Tiara juga berjaya menyembunyikan hal ini dari suaminya dan Aida. Namun setelah tiga minggu menjalani rawatan fisioterapi, buat pertama kalinya Dr. Zikry kelihatan resah. Dia menyuruh Tiara membawa segala supplement dan ubatan yang diambilnya untuk dianalisis.

            “Ini semua ubat yang awak makan setiap hari?”

            “Ya. Kenapa doctor bertanya macam tu?”

            Dr. Zikry tiba-tiba menggeleng kepala dan tersenyum.

            “Tak ada apa-apa. Berikan ubat awak dengan bekasnya dekat saya. Sebelum balik nanti saya bagi kat Puan Tiara ye.”

            Tiara hanya mengangguk setuju. Namun disudut hatinya ada sedikit keraguan. Seperti ada yang Dr. Zikry sorokkan dari pengetahuan Tiara. Kenapa mahu lihat ubat dengan bekas-bekasnya sekali?

***

“You got to kidding me?”

            “Kidding? Tak ada masa I nak bergurau lah.”

            “Ni semua total asset yang dia miliki? Are you sure?”

            “Takkanlah, I nak bergurau. I’m talking about 2.5 million asset okey??”

            “Dia memang kaya. Inheritance dari family dia memang banyak.”

            “So macam mana? Apa plan kita seterusnya?”

            “You tak perlu risau tentang tu. Yang penting penama utama untuk wasiat tu masih kekal,”

            Mereka dua-dua tersenyum. Rancangan yang dirangka kali ini diharapkan bakal berjaya.

***

“Tiara, hari ini you are doing good,”

            Dr. Zikry tersenyum melihat perubahan Tiara. Dia sudah boleh berjalan baik tetapi masih memerlukan tongkat sebagai sokongan. Yang paling penting, sikap dan mood Tiara juga sudah beransur baik tiada lagi amarah secara melulu dan stress berpanjangan.

            “Doc, pertama sekali saya memang nak ucapkan terima kasih pada doc sebab saya hampir sembuh sepenuhnya. Kalau tak kerana doc la, saya mungkin masih ditakuk lama,”

            “It’s okey Tiara. Hmm anyway jangan la panggil saya doc, panggil Zikry je? Boleh?”

            “Zikry? Hehe okey,”

            Tiara tersenyum melihat Zikry. Selama tempoh pemulihannya, Zikry dilihat sebagai seorang lelaki yang prihatin. Lebih prihatin dari Harris sebenarnya. Manakala Harris pula sentiasa sibuk dan lebih menumpukan perhatian kepada pekerjaan. Bukan Harris tidak selalu bersamanya, cuma lelaki itu kurang manja dengannya berbanding dahulu. Mungkin sejak-sejak berkahwin dengan Aida perkara ini berlaku. Walaupun begitu, Aida diihat sebagai wanita yang sentiasa prihatin kepada dirinya pada umumnya.

            “Zikry, I sebenarnya excited tau. Because tomorrow is my birthday! And I rasa mesti my husband ada plan something for tomorrow. I rasa I can’t wait to surprise him dengan perubahan yang berlaku kepada diri I ni,”

            “Really?”

            Zikry terdiam seketika. Mukanya berkerut.

            “Kenapa Zikry? Is there anything yang you nak bagitahu I ?”

            “Berhati-hati dengan Aida. I bukan nak menuduh, but..”

            “What’s wrong with Aida? You tak suka dia? I tak suka kalau you cuba kutuk or benci dia. Aida dah banyak tolong I and you will never understand kenapa I boleh terima dia!”

            “Look, listen here Tiara. Ada beberapa perkara yang I …”

            Tiara menggerakkan kerusi rodanya dan terus keluar dari pejabat Zikry. Zikry hanya mampu melihat dan membiarkan perkara itu berlaku. Baginya, Tiara begitu lurus untuk memahami ini semua.

***

Malam semakin pekat namun Tiara tidak dapat melelapkan matanya. Ingatannya tertumpu kepada Zikry dan apa yang hendak dinyatakan jejaka itu mengenai Aida.

            ‘Kenapa Zikry berkata begitu? Sejak akhir-akhir ini lelaki itu kelihatan mencurigakan. Seperti ada yang tak kena. Kemudian Zikry juga seakan-akan punya perasaan kepada aku,’ Tiara berbicara sendirian.

            Tiara bangun dari pembaringan lalu sedaya upaya menarik kerusi roda lebih dekat dengan katil dan menduduki kerusi tersebut. Kemudian dia keluar dari bilik untuk ke dapur. Menghilangkan dahaga di tekak setelah banyak berfikir.

            “Dia percayakan you?”

            Tiara terdengar suara dari dapur. Kemudian dia mengendap perlahan-lahan.

            “You yakin kali ini berjaya? Sebab I tak mahu lagi kita kecundang macam yang lepas. Kalau dia dah build trust then okey lah.”

            Aida kelihatan serius berbicara. Namun mengenai apa bicara tersebut masih samar-samar.

            “Katakanlah kalau kita kantoi, I rasa kita bunuh je dia. Then kita sebagai orang-orang yang dia sangat sayang dan percaya, mesti dia akan lambakkan semua harta-harta berjuta-juta dia tu kat kita,”

            Tiara menekup mulutnya. Jantung jadi berdebar-debar. Tak mungkin orang yang dimaksudkan Aida itu adalah… tak mungkin. Tak mungkin! Tak mungkin juga Harris terlibat dalam hal ini. TAK MUNGKIN!! Tiara cuba menggerakkan roda kerusinya. Namun pergerakan yang tidak lancar itu membuahkan bunyi. Aida yang hanyut dalam perbicaraannya terhenti sejenak. Oleh kerana terlalu takut Tiara terus bangun dari kerusi rodanya dan tersungkur jatuh. Tidak menghiraukan kesakitan yang dialami, dia mengesot ke bilik tidur dengan secepat yang mungkin.

            Tiara mula mencapai Blacberry Bold miliknya dan mendail nombor yang paling dia percayai buat masa ini. Tidak lain tidak bukan orang itu adalah Dr. Zikry.

            “Zikry! You’ve got to help me! I ..”

            “Tiara…”

            Suara wanita tersebut membuatkan Tiara tersentak. Tiara tak berani berkalih dan Blackberrynya dilepaskan begitu saja. Dia sudah dapat mengagak wanita itu mendengar apa yang dituturkannya tadi.

            “Kau ingat kau boleh lari Tiara? Kau nak mintak tolong siapa?”

            “Aida.. tergamak kau buat kat aku macam ni??”

            Tiara berkalih dan airmatanya mencurah-curah. Hatinya sakit bagai dihiris sembilu. Rakan yang dia kenali sejak dari zaman kolej lagi sanggup berbuat begitu padanya. Sudahlah merampas suaminya dan kini dia menjadi mastermind untuk menjatuhkan rakan baik sendiri.

            “Kau tahu tak aku benci dengan kau. Sejak dari dulu lagi. Tiara, kau selalu dapat apa yang kau nak. Dan yang paling menyedihkan, kau dapat Harris, orang yang aku paling cinta dalam dunia ni,”

            Aida membuntangkan mata. Kelakuannya seperti orang tidak siuman. Kemudian dia cuba mengeluarkan sesuatu dari koceknya. Revolver. Nyawa Tiara dalam bahaya.

            “Sekarang ni, aku dah kehilangan segala-galanya Aida. Dah tak da guna kau nak bermusuh dengan aku lagi! Kau dapat Harris, kau berjaya perdaya dia. Kau juga bakal dapat Stars Fashion sebab aku akan berikan semuanya pada kau. Tapi satu saja permintaan aku, tolong jangan bunuh aku..”

            Tiara betul-betul dalam keadaan cemas. Dia cuma berharap hari ini bukanlah hari terakhir dia dapat bernafas.

            “Aku tak bodoh Tiara! Aku nak lebih dari tu! Aku nak semua yang kau ada. Kalau kau masih hidup… semua impian aku tak akan tercapai!”

            Aida mengheret Tiara keluar dari bilik dan merentap baju Tiara hingga sebahagian bahu bajunya koyak. Kemudian dia menolak Tiara jatuh ke atas lantai. Tiara merengek kesakitan. Kemudian diusap-usap bahunya yang sakit akibat kesan rentapan baju tadi.

            “Sekarang ni aku harus tamatkan riwayat hidup kau,”

            Aida mengarahkan revolver tepat ke kepala Tiara. Yang tinggal hanya untuk menekan picu. Kemudian kedengaran tapak kasut berbunyi. Kedua-dua perempuan itu tersentak dan menoleh ke arah tapak kaki itu.

            “Zikri !!”

            Tiara sedaya upaya cuba berjalan ke arah Dr. Zikri. Kemudian memaut kepada bahu lelaki itu. Zikri memandang wajah Tiara dan tersenyum.

            “Zikri! Aida… Aida.. dia nak bunuh I. You kena tolong I.. please..”

            Namun kini ada yang pelik tentang Zikri. Dia hanya menatap wajah Tiara dan tersenyum. Kemudian ketawa sekuat-kuat hati. Tiara jadi keliru dan cemas.

            “Tiara.. tiara.. I tak sangka yang you percayakan I”

            “Apa maksud you Zikri?”

            Tiara mengerutkan dahi, cuba berfikir.

            “You sebenarnya takkan hidup lama. Ubat yang you berikan kepada I tu.. I dah tukarkan kepada sejenis ubat yang akan merosakkan bahagian dalaman jantung you. Memang sekarang you rasa aktif dan sihat tapi kalau diambil berlebihan… boleh membawa maut!”

            Tiara terduduk diatas lantai lalu menangis. Dia menekur wajahnya dan berharap suatu perkara yang baik akan berlaku sekarang. Kalau tidak, nampaknya dia harus bertindak sendirian.

            “Tiara! Any last words?” Aida mula bersuara.

            “Before you tembak I, I cuma nak tahu…”

            Mata Tiara terarah pada balang kaca hiasan di atas meja kopi yang bersebelahan dengannya. Kemudian Tiara juga teringat kata-kata Harris.. “You can count on me” yang terngiang-ngiang di telinganya kini.

            “I cuma nak tahu, di mana Harris sekarang?”

            “Dia akan balik sekejap lagi. Katanya dengan I tadi, dia …”

            Tiara sepantas kilat bangun dan mencapai balang kaca di atas meja lalu membalingnya tepat ke arah muka Aida. PANGG! Aida yang kesakitan terlepas revolver dari tangan dan terduduk dilantai sambil menekur muka. Dr. Zikry berlari melulu mendapatkan Aida yang mengerang kesakitan. Wajahnya dipenuhi darah dan kaca. Kemudian keadaan bertambah cemas apabila mereka bertiga terdengar bunyi seren kereta polis.

            Tiara sedaya upaya cuba bangun dan berjalan ke arah pintu utama penthousenya. Sebaik sahaja Tiara membuka pintu rumah itu, sekujur tubuh Harris hadir di hadapannya. Tiara mendakap Harris sekuat-kuat hati. Manakala Harris mengusap-usap kepala isterinya itu perlahan-lahan. Aida dan Dr. Zikri digari dan kemudian dibawa masuk ke dalam kereta polis.

***

Lagu salsa dipasang perlahan. Kemudian kelihatan seorang lelaki dan wanita menari dengan penuh perasaan. Tersenyum, ketawa dan kemudian saling membalas pandangan. Sudah enam bulan tragedi itu berlalu. Tiara dan Harris melalui detik-detik itu dengan tenang. Banyak perkara yang terbongkar dan banyak perkara juga yang tak disangka-sangka telah terjadi.

            Zikri dan Aida telah di masukkan ke penjara setelah kes mereka dibicarakan. Mereka didapati bersalah kerana cubaan membunuh Tiara. Harris pula telah menceraikan Aida dengan talak dua serta merta setelah hukuman penjara dijatuhkan. Sebenarnya, dari mula lagi Harris sudah dapat mengesan segala konspirasi yang diatur Aida. Kemalangan yang menyebabkan kaki Tiara lumpuh juga telah dirancang Aida dan Zikry. Perkenalan antara Dr. Zikry dan Tiara juga salah satu dari rancangan mereka. Manakala ubat Tiara yang ditukar Dr. Zikry telah pun ditukar kembali oleh Harris. Harris cuma memerlukan waktu yang tepat untuk bertindak dan merangka plannya yang tersendiri. Mengahwini Aida juga suatu rancangan supaya dia dapat mengetahui segala gerak geri Aida dengan lebih tepat.

            Kini semuanya sudah selesai. Tiara dan Harris telah mempelajari erti cinta mereka yang sebenar. Cinta yang didasari kepercayaan dan ketulusan. Cinta yang satu dan tiada yang lainnya.

            “Dear, I penatlah asyik menari je,”

            “Tiara, you know what.. I tak pernah penat menari tau,”

            “Kenapa? Because you’re a man and ada extra energy?”

            Harris menutup mulut Tiara dengan jari telunjuknya dan memeluk pinggang wanita itu dari belakang.

            “Sebab I menari dengan orang yang I cinta. So, I tak pernah penat. And you know what dear?”

            “What?” Tiara mencebik dan tersenyum dengan kata-kata Harris.

            “Kalau anak kita dah lahir nanti I nak dia pun belajar menari jugak. Supaya dia dan pasangannya akan jadi macam kita. Ever loving always,”

            Tiara tersenyum dan berkalih pandangan kepada suaminya. Harris mengucup dahi isterinya dan kemudian menyambung semula tarian cinta mereka.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

Cerpen-cerpen lain nukilan syaida

Read all stories by syaida