Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Momen magik dekat kolong bawah jambatan

 

Sebaik fajar shadiq menyeringai di ufuk timur, ketika bandar anggerik itu masih berdengkur, Mat Buntal seperti biasa sudah keluar mendera tubuh. Berlari-lari anak disepanjang siar kaki yang merentas  taman tasik. Menerajang peluh yang hampir seminggu berkhalwat dirongga-rongga kulit. Memang ini sudah jadi rutin Mat Buntal sejak dari zaman kampus. Kononnya mahu menyingkir sedikit lemak. Tapi seusai riadah Mat Buntal selamba belasah nasi lemak juling sampai dua bungkus. Siap jilat sisa sambal dijari sambil sendawa macam babi.

Tapi cuaca hari itu tak macam selalu. Dan selalu pun tak macam hari itu. Dekat pukul tujuh, tapi suria masih tersipu belakang awan. Angin pula merusuh seperti anarkis dengan merempuh kasar dedaun dan debu hingga terpelanting berkerapah. Sambil lari Mat Buntal dongak tengok langit sugul. Ada titik air yang terhempas dipipi kiri. Mat Buntal tahu dia perlu lekas mencari proteksi agar tak jadi mangsa murka langit. Terhegeh-hegeh Mat Buntal lari membawa perut menuju ke dalam kolong bawah jambatan.

Langit mula rakus menganyang bumi. Mat Buntal berdiri sambil menyandar pada tiang konkrit. Dia mendengus kuat macam lembu kena korban. Termengah-mengah. Mat Buntal  pandang ke arah tenggara tasik. Merinci peluru-peluru kristal yang tersembam seperti salju. Ralit. Mat Buntal jadi sentimental, ada kenangan yang menjelma dalam kotak fikir. Dalam mengah dia teringat balik wajah perempuan yang pernah dia suka. Yang ada iras-iras Monica Belucci itu. Figur yang dia puja secara sulit. Tiada siapa tahu. Kecuali dia dengan orang yang baca cerita ini. Budak perempuan itu sendiri pun tak tahu.

Pertama kali dia jumpa budak perempuan itu difakulti Masscomm, dia sudah cair macam keju pizza yang baru lepas dibakar. Ikutkan hati mahu saja dia approach untuk bertanyakan nama dan langsung pelawa dia keluar makan malam guna duit ptptn. Tapi disebabkan dalam dunia yang dia tinggal orang gemuk selalu dikucilkan dengan stigma sosial macam Rasputia dalam filem Norbit, jadi semua rasa itu dia pendamkan saja dalam lubuk hati. Jadilah Mat Buntal macam jampuk meredap bulan. Yang mengagumi tapi tak dicintai. Hinggalah sampai ketika balik dari cuti semester, batang hidung mancung budak perempuan itu tak kelihatan lagi.

Angan Mat Buntal terganggu macam siaran Astro kala hujan bila terdengar bunyi kocak air dari arah belakang. Dia toleh untuk lihat. Ada perempuan dengan sebatang kayu dalam posisi mencangkung sedang berusaha memaut kasut sebelah kanan warna pink yang terapung-apung dalam tasik.

“Mari I tolong”, sapa Mat Buntal cuba berlaku gentleman.

Perempuan itu berpaling dengan efek slowmo yang diulang-ulang (macam yang selalu ada dalam filem bollywood masa mula-mula nak kenalkan heroin).  Dan tak semena-mena angin kencang  bertiup ke arah dia lantas menguak rambut ikal paras bahu yang tadi melindung wajah. Terbelangah Mat Buntal melihat roman perempuan itu. Matanya sedikit pun tak berpicing. Dia antara percaya dengan tidak apa yang di lihat. Rasa macam menang loteri. Magik sungguh.

“Kata nak tolong tadi?”, perempuan itu menjelirkan batang kayu pada Mat Buntal yang sedang terlongo.

“aaa… ya ya. Meh sini I tolong”

Mat Buntal menahan nafas biar boroinya tak nampak ketara. Merapikan kuda-kuda. Sebelum menjulurkan batang kayu  ke arah kasut yang makin hanyut dihasut arus. Dia memanjangkan tangan dan menyuguh hujung kayu ke dalam mulut kasut. Dengan nafas terkawal dia menarik perlahan kasut itu ke tubir tasik sambil curi pandang wajah mulus yang berbungkus senyum.

“ Thanks. Nasib baik ada u”.

“ Ah, kecik punya hal. Kebetulan I ada kat sini.”

“I Kimya”.

Jemari runcingnya yang lentik itu dihulurkan.

“Selamat Harun”.

Dan kurang daripada lima saat,  jemari montok Mat Buntal gabas menyambut.

Tangan dua spesis mamalia itu bergomol mesra. Mat Buntal rasa macam ada arus elektrik mengalir seluruh badan. Shock tapi syok.

Tumbuh bunga gergasi dekat pintu hati. Kembang dan montel serupa dia. Kalau tak salah namanya Rafelsia.

Selepas dari momen itu, hari-hari Mat Buntal tak lagi sama. Kalau dulu hidup Mat Buntal dull semacam tonton Sarjan Hasan (yang sudah ditayang beribu-ribu kali) waktu merdeka melalui tiub CRT yang hilang remote control. Kini segalanya berubah jadi indah, ibarat layan The Motorcycle Diaries dengan skrin LED 42’ yang lengkap home theatre. Semua ini gara-gara Kimya. Bukan Kimya puteri Jalaluddin Rumi itu. Ini Kimya pujaan hati Selamat Harun. Perempuan yang selalu dia skodeng waktu kampus dulu. Yang tiba-tiba hilang dalam terang dan muncul balik dekat kolong gelap bawah jambatan.

Hari itu dalam sejarah, Mat Buntal jogging dengan perempuan. Atau buat julung kalinya ada perempuan cantik sudi jogging berteman Mat Buntal. Dan lebih menguja bila perempuan cantik itu bernama Kimya. Sepanjang pagi itu dia rasa macam berlambak-lambak rama-rama keluar dari perut dia yang berbuai-buai. Dia tak dapat sembunyi rasa kagum dia pada Kimya. Penat berlari , berjalan. Penat berjalan, duduk. Dan ada waktu Mat Buntal sengaja lari lambat-lambat agar mata jantannya dapat melumati keempukan pinggul Kimya yang selalu membangkitkan kreativiti lelaki.

Kimya tetap cantik tak berubah langsung. Pakaiannya pun masih sama macam tempoh hari dengan running shoe warna pink tersarung dikaki. Bibir Kimya sedikit pucat tanpa olesan gincu. Rambut pula nampak basah macam baru lepas mandi. Tapi yang lucunya, Kimya masih pakai jam Baby g merah jambu yang sama macam waktu belajar dulu. Paling Mat Buntal tak sangka, Kimya yang nampak serius itu sebenarnya mesra serta punya sense of humor.  Dia perasan banyak mata terbakar jeles bila tengok dia bersenda dengan Kimya. Siap ada yang geleng-geleng kepala tak percaya. Sesukar mempercayai yang Pulau Batu Putih itu milik Singapura.

“Kalau u boleh turn back timekan  apa yang u nak ubah?”.

Kimya merenung dengan pandangan berharap.

“Perut I”

Kimya ketawa berdekit-dekit.

“Betul-betul la”

“Betul la”

“Kenapa dengan perut u?”.

“Tak hensem”.

Kimya melirik perut Mat Buntal sekilas lalu sebelum membusur pandang tepat ke dalam anak mata dengan sehiris senyum nakal.

 “Everything has its beauty, but not everyone sees it. Honestly, I suka u macam ni… cute.”

Nafas Mat Buntal mogok sedetik dua. Speechless. Dia tak jangka ayat itu akan keluar dari mulut seduktif perempuan macam Kimya. Dia tak pasti sama ada perempuan itu ikhlas atau menanam tebu ditepi bibir.Walaupun dia suka makan tebu tapi dia bukan tuhan boleh tahu isi hati orang. Namun satu yang  dia tahu pernyataan itu adalah yang paling manis dan paling manusiawi pernah diterima. Bebas dari semua unsur sinikal dan ofensif. Mungkin Kimya termasuk few are those who see with their own eyes and feel with their own hearts yang dimaksudkan Einstein. Makin berduyun-duyun rama-rama keluar dari perut dia. Manakala hati yang tadi cuma ada rafelsia kini berubah jadi taman negara.

Sekonyong-konyong momen syahdu itu bergoncang dahsyat. Seperti ada mahluk mahu lolos dari perut bumi. Dajjal barangkali. Cepat-cepat Mat Buntal merengkuh tubuh mungil  yang ikut berkocak itu erat-erat. Dia nekad menjadikan dada dan perutnya suaka untuk Kimya. Andai hari itu salah seorang perlu mati, biarlah yang mati itu dia. Jangan Kimya. Bukan kerana Kimya adalah belahan jiwanya, tapi kerana Kimya adalah anugerah paling rare yang masih tersisa diplanet bumi.

“ooiii bangun!.. bangun!! Kau ingat ni motel ke?”.

Terpisat-pisat Mat Buntal membuka mata sebaik terasa tubuhnya digoncang.  Terlihat dalam samar ada imej dua lelaki lengkap berseragam penguatkuasa. Tangan yang tadi memeluk tiang konkrit itu berpindah mengenyeh mata. Mat Buntal melilau meninjau sekitar. Cuba menjejak sesuatu.

“ooiii kau cari apa? Dah bangun. Nak tidur pergi balik rumah”.

“Sorry bro…terr”.

“ Dah pergi balik, nasib kau tak jatuh dalam tasik. Kalau tak terpaksa sewa kren”.

Dua penguatkuasa tadi senyum mengejek. Kalau ikutkan hati hendak saja dia humban dua ekor homosapien itu ke dalam tasik. Tapi dia jenis entiti yang anti terorisme. Dia bukan Conan yang barbarik itu. Meski dia juga haiwan tapi dia haiwan yang mampu berfikir. Dia sedar salah dia. Jadi dia malas nak bertegang. Lantas menghindar keluar. Cahaya matahari yang menjalar dikulit muka terasa pedih menyengat-nyegat. Dia toleh ke belakang, penuh berharap.

“If I could turn back time, I'd bring you back”.

Tapi yang ada cuma dua lembaga poyo tadi tercegat mematung disitu dengan wajah kelat sambil merenung Mat Buntal dengan pandangan ketat. Bersama segenap rasa masyghul lagi berat, Mat Buntal berpaling sebelum kembali melangkah malas-malas menyonsong realiti yang cemong dengan separuh hatinya tertinggal dalam momen magik dekat kolong bawah jambatan.

Dan sela beberapa minit, tak jauh dari tiang konkrit itu ada objek warna pink tergedik-gedik dipermukaan tasik.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) gile bes citer ni.. bahase penuh unsur sarkastik.. walaupun imaginasi tp tetap cantik
  • 2) bila aku baca sambil tersenyum seorang diri maknanya aku suka. endingnya superb!
  • 3) sangat pandai bermetafora sinikal. banyak membaca. banyak memerhati.

  • (Penulis)
    4) kalau gua baca komen lu orang sambil menyeringai depan skrin sorang2 itu maknanya gua syok sendiri.

    Alahai perasannyer gua.
  • 5) apa kau baca sebelum tulis cerita ni?
  • 6) :')

Cerpen-cerpen lain nukilan ganjil

Read all stories by ganjil