Ustazah Dangdut!

 

Melah sedang berjalan dengan laju. Brisk walking kata orang putih. Dia menghayunkan langkahnya panjang-panjang. Dia ingin segera sampai ke destinasinya. Dengan tak semena-mena dia tersentak.

“psst!! Psst!!”

Melah memberhentikan langkah. Satu suara yang serak-serak kambing sedang menjentik koklea dan tingkap bujur telinganya.

“woi melah!! Kat sini la! Atas ni!!!”

Melah terus mendongak ke arah suara yang memanggil namanya itu. 52 darjah ke atas bahu kirinya terjuntai sepasang kaki manusia. Setelah diperhatikan betul-betul, barulah Melah dapat memastikan tuan punya sepasang kaki yang kecut macam jeruk timun tersebut.

“laa…Taharah ke…macam ni.aa..makan rambutan tak ajak!!”

“ni aku ajak la ni..meh naik cepat!!”

Melah terus memanjat pokok rambutan yang sedang dihuni dek Taharah di atas sebatang dahannya. Setelah sampai di dahan yang sedang menampung punggung Taharah, Melah pun duduk bersebelahan Taharah berhampiran dengan pangkal dahan. Melah segera memetik sejambak rambutan yang berwarna merah dan kuning. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk menjamah isi rambutan yang ditangannya. Kecekapannya itu bolehlah disamakan dengan kecekapan seekor cimpanzi memerangkap semut. Sambil mengunyah, Melah menyapa,

“ huh! Taharah, apa misi dan visi kau hari ni?”

Taharah yang sedari tadi asyik memerhatikan gelagat Melah, tersenyum dan menjawab,

“..yang kau kelam-kabut jalan menonong tak tengok kiri kanan tadi apahal?!”

“aku?!! Aku?...hmmmphh..aku nak pegi rumah bidan Lijoh tadi!! Eh! Alamak!! Taharah! Aku nak kena cepat ni!!”

Melah baru hendak bangun daripada terus duduk di dahan. Tiba-tiba pahanya ditekan oleh Taharah.

“nanti la dulu Melah..siapa yang beranak ni??!”

“..ha….hah…Gorgom! Gorgom nak beranak!!”

“woi!! woi!! nanti jap…! Gorgom? Kan dia kucing!!! Pandai-pandailah dia beranak sendiri..gigit tali pusat sendiri!!”

“woi!! kau ingat Gorgom tu macam aku ke?? Dia tu kucing  istimewa tau!”

“aku tau..tapi kucing memang pandai bab beranak sendiri ni..dah relax! Duduk!!”

Taharah mula berasa rimas dengan sikap tak tentu arah Melah. Dia menekan paha Melah sekuat-kuatnya. Melah akhirnya mengaku kalah. Buat sementara waktu, Melah merasakan seolah-olah dia berada didalam cerita Badang, dalam adegan dimana Badang menekan pahanya dengan lutut. Melah pun tak ingat, apa nama watak lelaki yang ditekan paha oleh Badang itu. Biarlah!

Setelah berjaya menenangkan Melah, perlahan-lahan Taharah melepaskan tekanan tangannya daripada paha Melah. Dia kemudian mengopek sebiji buah rambutan dan mengigit isinya yang lekang.

“ni anak sekolah ke bapak sekolah?”

“mak mentua sekolah kot!”

Melah malas nak jawab soalan Taharah.

“macam ni..aku ada program nak bincang dengan kau Melah…”

“program apa?”

Melah menggosok-gosok paha kanannya yang kebas dan kesemutan. Taharah mula mengukir sekuntum senyuman yang jarang-jarang dipamerkan.

“Melah! Aku nak buat konsertlah!!”

Tersembur dua tiga sudu isi rambutan daripada tekak Melah. Melekat di awning tudung jenama Ana Rapali yang sedang dipakai Taharah. Dengan senyuman yang masih bertahan, Taharah membuang isi rambutan itu jatuh ke tanah di bawah.

“apa yang kau nak terkejut sangat ni Melah? Kau tak percaya kat aku ke?”

Melah mengesat bibirnya dengan hujung kain tudung bawalnya yang ada sebiji labuci.

“bukan macam tu maksud aku..tapi..”

“aku nak nyanyi 10 lagu..”

“kau nak nyanyi dengan apa? Minus one?”

“eh! Mestilah dengan band lama aku! The Gonjengans!!”

“mana ada lagi The Gonjeng tu..diorang semua dah pencen!”

Taharah mula mengendurkan senyumannya.

“pencen kepala dangdut kau!! Aku baru je contact diorang semalam!”

“ok lah…kau nak nyanyi lagu apa? Oh ye! Bila kau nak buat konsert tu?”

“hmm…minggu depan! Masa majlis kenduri khatan anak Tok penghulu!”

Melah menggaru-garu dagunya yang ada sebiji jerawat bersaiz syiling dua puluh sen baharu. Taharah kembali menegangkan pipinya dengan senyuman yang ceria.

“aku nak nyanyi lagu ‘Selimut Putih’, ‘Di Alam Barzakh’..”

“isy! Kau ni! Itu majlis khatan laa…kau nyanyi la lagu yang ceria-ceria sikit!”

“contohnya?”

“nyanyilah lagu…hmmm… ‘Kucing Garong’ ke.. ‘ Pisau terbang’ ke…”

Taharah tak setuju. Dia menggeleng-gelengkan kepala.

“walaupun berkhatan, soal mati jangan sesekali kita lupakan..”

Melah dah tak tau nak kata apa-apa. Dia meneruskan aktiviti memakan rambutan. Sejenak dia leka dengan buah-buah rambutan yang ditangannya. Selepas beberapa saat Melah menoleh ke arah Taharah. Dia terkejut! Taharah telah tiada di sampingnya!

“woi! Melah! Aku kat bawah dah ni!!”

“eh! Bila kau terjun?!!”

Secepat beruk terlatih, Melah turut terjun ke tanah. Daripada jarak 50 meter, dia dan Taharah dapat melihat kelibat seorang lelaki tua sedang berlari menuju ke arah mereka berdua. Sepantas kereta kancil pula, mereka berdua membuka langkah seribu.

“tak guna punya orang!! Kalau nak makan rambutan mintak la!!”

Lelaki itu memaki. Waktu ini, Melah dan Taharah sedang ketawa sambil berlari.

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) adoi...Melah dan Taharah ni *geleng kepala*
  • 2) hahahha. best best.

Cerpen-cerpen lain nukilan Kurusawa

Read all stories by Kurusawa