Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kerana begitu takdirnya

 

ZAKIAH pandang cermin. Ditilik wajahnya sendiri. Senyum. Sejak dia menginjak remaja, jelas kelihatan perubahan wajahnya.  Dari wajah kebudakan kini dia si manis 17 yang cantik menawan. Dia pandang lagi cermin. Nyata wajahnya diwarisi dari sebelah keturunan ibunya yang berdarah kacukan Siam dan Filipina. Kulit putih, muka bujur sirih, bibir nipis bak delima merekah, alis mata lentik, tinggi lampai.  Habis sahaja SPM, dia mula dilamar jejaka namun ditolak dengan baik. Cita-citanya lebih penting ketika itu. Sebagai salah seorang pelajar  cemerlang, Zakiah bercita-cita ingin menggenggam segulung ijazah dalam bidang yang sudah lama dia idamkan. Kerjaya pendidik menjadi pilihannya. Berbakti pada anak bangsa dan mencurah ilmu.

Riak wajahnya ceria bila menerima sepucuk surat dari abang posmen sekejap tadi. Dia terpilih sebagai pelajar universiti di KL. Dia melompat gembira! Surat itu ditatap lagi. Segera dia melakukan solat syukur. Itu yang diajar oleh arwah ayahnya dulu. Harus mensyukuri nikmat Allah. Ibulah yang paling gembira dengan berita itu. Zakiah peluk ibunya. Air mata gembira mula tumpah.

“Alhamdulillah!”

Puan Mariam senyum melihat anak gadisnya ketawa begitu. Zakiah, satu-satunya anak perempuan tunggal dari tiga orang adik beradik.  Dia anak bongsu. Abang-abangnya memang cukup menjaga Zakiah yang ditatang bagai minyak penuh.

“Za..di sana nanti, jaga perangai, jangan tinggal solat, rajin-rajin belajar..yang penting jaga diri!” Puan Mariam peluk Zakiah dengan linangan air mata. Tidak sanggup berpisah dengan anak gadis kesayangannya.

Zakiah senyum. Dia juga sebenarnya tidak sanggup berpisah dengan ibunya. Selama ini dia tidak pernah berenggang. Ke mana saja dia pergi pasti ditemani ibunya. Mereka berdua umpama adik dan kakak. Sama-sama cantik. Kecantikan yang diwarisi dari ibunya juga kadangkala merimaskannya. Bukan dia tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan tetapi dia merasakan kehidupannya tidak bebas bila selalu menjadi perhatian lelaki tak kira muda atau tua. Pernah seorang lelaki berpangkat Dato’ ingin menyunting sebagai isteri tapi juga ditolak dengan baik. Perjalanan hidupnya masih jauh.

“Eii!! Dah tua! Dahlah tu, jadi bini nombor tiga!” Zakiah mula geli geleman.

 

 

KINI, Zakiah bergelar mahasiswi. Dia cukup teruja menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar universiti yang selalu dibayangkan semasa sekolah dulu. Hari-hari dilalui penuh ceria. Pesan ibu dan abang-abangnya tidak pernah dilupakan. Jaga batas pergaulan. Jangan tinggal solat. Selalu tutup aurat. Sejak bergelar mahasiswi, dia mula sibuk dengan kelas dan tugasan yang diberi pensyarah. Masanya banyak dihabiskan dengan menelaah dan sempat juga mengisi rohani dengan menghadiri usrah di bawah bimbingan senior di kolej kediamannya. Kakak Nafisah, mahasiswi jurusan Usuluddin menjadi naqibah usrah.  

Sepanjang bergelar siswi, Zakiah tidak lepas dari usikan pelajar lelaki yang ingin mendekatinya tetapi dia tidak pernah menghiraukan usikan mereka. Baginya pelajaran lebih penting buat masa ini. Selagi belum dapat menggenggam segulung ijazah, selagi itu dia perlu menjauhkan diri dari masalah cinta yang baginya tidak menjamin masa depan. Namun kecantikannya nyata tidak mudah untuknya mengelak dari godaan lelaki. Hingga terfikir olehnya ingin menutup muka, yang tinggal hanya dua biji mata! Tapi itu tidak mungkin berlaku kerana dia tidak sekuat naqibah Nafisah yang padat ilmu agamanya. Dia hanyalah pelajar jurusan Sains Pendidikan yang inginkan kejayaan dalam hidup dan ingin berbakti kepada anak bangsa kelak.  

Kecantikan Zakiah mula mendapat perhatian siswa di universiti itu. Bermacam-macam cara mereka cuba memenangi hati Zakiah. Namun semua itu tidak pernah diendahkan oleh Zakiah.

“Za, kau ada bunga dengan coklat dalam letter box kau ni! Wah! Ramainya secret admirer kau!” Zawani  senyum sambil membelek beberapa kuntum bunga ros merah dan  coklat.

“Kau ambil lah! Aku tak nak!”

Zakiah seperti biasa tidak pernah mengambil apa-apa jua pemberian dari lelaki yang tidak dikenali.  Malah pernah seorang pensyarah lelaki memberinya sejambak bunga ros. Dia bingung memikirkan tindakan pensyarah itu. Dia terpaksa ambil demi menjaga hati. Tidak pernah dia mengata atau mengeluarkan kata-kata kesat. Semuanya dibalas dengan baik. Dia akan  berterus terang. Dia belum bersedia ke arah itu. Ada yang boleh terima dan ada yang tidak boleh terima. Terpulang!

“Za..kenapa kau keras hati sangat? Kesian aku tengok dia orang tu, tak putus asa tau!” Zawani sengih.

“Wani..aku bukan sombong tapi aku belum bersedia. Itu je!” Zakiah mula muak dengan semua itu.

Kini dia semakin tidak betah dengan jelingan lelaki. Ke mana saja dia pergi, ada saja mata nakal yang  memandang dan mengenyit . Dia senyum paksa takut dianggap sombong, namun senyumannya pula disalah anggap. Seolah-olah dia memberi harapan. Pening! Pernah dia diekori. 

Bermula saat itu, Zakiah tidak berani berjalan seorang diri. Dia akan mengajak Zawani atau mana-mana teman sekelasnya untuk menemaninya. Setiap kali cuti semester dia akan balik ke kampung, tidak seperti kawannya yang kebanyakannya bekerja sambilan untuk mencari wang saku lebih. Teringin juga dia mengikut mereka tetapi mengenangkan pesanan ibu dan abang-abangnya, dibatalkan saja niatnya.

“Za, kau tak nak kerja sambilan ke?” Zawani pandang Zakiah yang tunduk dari tadi.

Err..bukan tak nak..tapi mak dan abang-abang aku tak bagi. Tak apalah..kau kerjalah. Semester buka nanti, jangan lupa bawa donut untuk aku tau!” Zakiah senyum bila mengetahui Zawani bekerja sambilan di sebuah kedai donut ternama.

Zakiah tidak kisah jika dia dituduh tidak suka bersosial. Padanya hidup perlu ada landasan. Jika terlalu bebas, diri sendiri akan merana. Tiada pegangan hidup.

 

SUDAH hampir tiga tahun Zakiah bergelar mahasiswi. Dia semakin sibuk dengan tugasan dan praktikal selain dari kuliah yang tak pernah habis. Sepanjang itulah juga dia selalu diusik lelaki yang cuba mendekatinya dengan pelbagai cara.

“Zakiah! Kau jangan ingat kau tu cantik sangat! Sombong!”

“Huh! Entah-entah kau ni lesbian!”

Kata-kata itulah yang selalu menerjah telinganya.  Seakan sudah lali dengan ayat seperti itu. Sedikit pun dia tidak ambil hati. Tidak pernah dia membalas atau melempar kata –kata kesat kepada lelaki yang seakan berdendam dengannya. Baginya itu hanyalah sekadar kata-kata tidak puas hati kerana dia tidak melayan atau membalas cinta mereka. Biarlah. Hatinya belum terbuka untuk bercinta apatahlagi mencari calon suami. Cita-citanya perlu diberi keutamaan. Kadang-kadang kata-kata kesat yang dilempar kepadanya cukup membuatkan hatinya terguris. Dia hanya mampu menangis dalam diam. Terasa dunia tidak adil menghukumnya begitu. Apa salahnya sampai mereka berdendam dan menuduhnya begitu? Rupa paras cantik yang dimilikinya adalah kurniaan Allah. Bukan untuk dibanggakan ke jalan yang tidak direhai!

Zakiah hanya mampu menangis di bilik. Dia memerhati sekitar bilik yang dihuni bersama Zawani. Zawani sudah faham sikapnya yang tidak suka melayan lelaki yang dahagakan kasihnya.

“Za..sudahlah. Kau bukannya buat benda yang tak baik. Biarkan mereka tu!”

Zawanilah yang selalu memujuknya tatkala dia merasa semangatnya sudah hilang. Pernah dia mengadu pada naqibah Nafisah, ketua usrah, tentang hal itu. Nasihat dan kata-kata semangat dari ustazah jurusan Usuluddin itu sedikit sebanyak menenangkan hatinya. Setiap kali lepas solat dia selalu berdoa semoga Allah tetapkan hatinya dan memelihara imannya supaya tidak terjerumus ke lembah maksiat.

“Kak..saya rasa macam ada orang ekori saya…”

Suatu hari Zakiah meluahkan rasa gementar kepada naqibah Nafisah. Dia mula rasa tidak sedap hati. Akhir-akhir ini dia selalu melihat bayang-bayang hitam mengikutnya ke mana saja dia pergi. Bila malam menjenguk, bayang hitam itu semakin kerap menjelma.

Naqibah Nafisah mendengar penuh asyik. Sungguh tidak sangka, sampai begitu sekali Zakiah ditimpa masalah. Dia tahu, Zakiah menjadi rebutan mahasiswa di kolej dan universiti itu. Dia sendiri kagum dengan kecantikan semula jadi yang Zakiah miliki. Di luar Zakiah bertudung litup. Di bilik asrama pula, Zakiah melepaskan rambutnya yang hitam berkilat terurai begitu. Sungguh cantik.

“Za..berdoalah kepada Allah. Selalu baca Quran. Semoga Allah menjauhkan kita dari benda –benda itu semua.”

Zakiah angguk. Dia mula takut dengan keadaan yang dilaluinya. Hanya tinggal setahun saja lagi pengajiannya di universiti itu.

“Tahun depan Za sudah tahun akhir kan? Kalau Za tak keberatan..akak ingat nak kenalkan Za dengan seseorang. Insya Allah dia ni seorang yang baik. Akak kenal sangat. Err..boleh?”

Zakiah pandang naqibahnya. Matanya tepat merenung mata kakak Nafisah. 

“Siapa kak?”

“Ustaz Hamdan. Dia pelajar tahun akhir Syariah.”

Zakiah diam. Siapa Ustaz Hamdan? Bomoh ke? Kak Nafisah nak suruh aku berubat dengan ustaz??? Segala macam persoalan mula bermain dibenak.

Err..dia tu ustaz yang boleh ubatkan kes macam ni ke kak?”

Naqibah Nafisah senyum. Nampaknya Zakiah masih tidak mengerti kata-katanya tadi.

“Za..bukan macam tu..dia nak kenal  Za..dan ingin mengambil Za sebagai suri hidupnya!”

Zakiah ternganga. Selama ini dia menepis segala godaan yang datang. Semuanya ditolak dengan baik tapi kali ini dia mula bingung. Tiada perasaan kasih dalam hatinya untuk lelaki.

“Za..percayalah ustaz Hamdan tu baik. Dia serius. Kalau Za setuju, awal bulan depan dia akan masuk meminang. Macam mana? Akak rasa elok Za terima..untuk elak fitnah.”

Zakiah diam. Elak fitnah?? Masih tidak faham kata-kata naqibahnya.

“Orang cantik macam Za ni elok nikah awal. Dah ada orang berkenan tu..terima sajalah.”

Zakiah masih tunduk. Sudah ramai cinta jejaka ditolak dengan alasan dia masih belajar dan ingin menghabiskan pengajiannya. Kini dia tersepit. Apa pula tanggapan lelaki yang pernah ditolak cinta mereka jika dia menerima lamaran ustaz Hamdan nanti. Tentu mereka akan mengata dan melemparkan lagi kata-kata kesat kepadanya.

“Nantilah saya fikir kak.”

 

 

KINI Zakiah berada pada tahun akhir. Dia mula sibuk dengan tesis dan tugasan praktikal pengajaran.  Sibuk dengan kuliah dan tugasan yang diberi pensyarah, membuatkan dia terlupa yang dia telah bertunang. Lamaran Ustaz Hamdan diterima dengan hati redha. Nyata ibu dan abang-abangnya juga setuju.

Sejak dia menjadi tunangan orang, terasa dirinya lebih selamat dari dulu. Namun ada lagi jejaka yang masih mengusiknya.  Dia buat tidak endah. Tidak perlu melayan. Dia kini sudah bertunang. 

“Awak…saya takut..”

Zakiah menelefon tunangnya bila terasa ada sesuatu mengganggu dirinya. Bayangan hitam kembali menghantui.  Dia dan Hamdan tidak pernah keluar berdua.  Itu kehendak Hamdan dan dirinya sendiri.

“Banyakkan berzikir. Baca Quran. Amalkan baca…Wa Syifaa u’llimaa fissudur..”

Dia lega bila tunangnya mula memberi kata-kata nasihat dan beberapa potong ayat Quran untuk diamalkan.

Sejak itu, dia selalu mengamalkan surah-surah untuk keselamatan dirinya. Kini dia mula merasa tenang. Enam bulan lagi dia akan bergelar isteri. Dia sentiasa berdoa semoga Allah memelihara perhubungannya dengan Hamdan.

 

ZAKIAH memandang kalendar.  Tinggal dua bulan lagi dia akan menamatkan pengajian di universiti itu.  Dia segera ke bilik air selepas habis azan maghrib berkumandang. Dia jeling katil teman sebilik. Zawani belum pulang.

Malam itu Zakiah keseorangan bila Zawani menelefonnya yang dia bermalam di rumah kawannya di bandar S.

Habis menelaah, Zakiah mula tutup lampu. Dari tadi matanya berat. Mulutnya menguap beberapa kali. Letak saja kepala di bantal, dia terus lena.

Zakiah mula rasa gelisah bila terasa ada sesuatu merabanya. Dia terasa ada sesuatu menghempap tubuhnya. Benda itu dengan rakus meraba dan mula menjelajah tubuhnya seolah ingin memperkosa dirinya. Dia meronta dan menjerit. Namun suaranya tersekat. Kali ini dia dapat merasakan sehelai demi sehelai baju di badannya ditanggalkan. Dia mula meraung. Entah bila dia tertidur semula dia sendiri tidak tahu.

Bangun pagi, dia seperti bermimpi. Baju tidurnya masih di badan. Diraba seluruh badan. Tiada apa-apa berlaku. Zakiah menarik nafas lega. Dia mula teringat kejadian malam tadi, memang dirasakan dirinya diperkosa! Perasaan takut mula menghantui dirinya. Kejadian itu berlaku tiga malam berturut-turut. Kali ini dia tidak berani memberitahu  tunangnya. Takut dituduh yang bukan-bukan.

Sejak kejadian itu, Zakiah mula pucat dan menyisihkan diri. Balik dari kelas dia akan mengurung diri dalam bilik. Makan minumnya mula tidak tentu. Wajahnya mula cengkung. Kadang-kadang Zawani akan membawanya ke klinik bila Zakiah mula muntah-muntah.

“Za..kenapa ni? Kau tak sihat ke? Hamdan dah tahu ke?”

Zakiah hanya geleng. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya.

Keadaan Zakiah makin teruk. Nafisah dan Zawani mula risau. Zakiah asyik muntah-muntah. Tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tidak mungkin Zakiah mengandung!  Zakiah gadis yang baik. Keadaan Zakiah terus dikhabarkan kepada Hamdan dan keluarganya.

****************

“ZA..kenapa ni? Apa yang Za dah buat?” Puan Mariam mula menaruh syak.

Dia melihat perut Zakiah semakin hari semakin membesar.

“Zakiah! Cakap! Siapa yang buntingkan kau?” Abang sulung Zakiah mula menyinga.

Zakiah pandang ibunya yang masih tunduk di sofa. Dia juga tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Dia menangis teresak-esak mengharapkan ibu dan abang-abangnya faham keadaan dirinya kini.

“Mak…Za tak buat semua tu! Percayalah!”

Zakiah masih menangis. Tangisannya semakin kuat. Digosok pipinya yang sakit akibat penampar dari abangnya sebentar tadi.

“Kau telah menconteng arang kepada keluarga kita!” Abang keduanya pula menampar.

Zakiah terjelepok jatuh bagai nangka busuk. Sakitnya hanya tuhan saja yang tahu. Ibunya masih kaku di sofa sambil menangis.

“Mak…percayalah Za mak…” Zakiah gagahkan diri untuk bangun dan mula mendekati ibunya dengan harapan mendapat simpati dari ibunya sendiri.

“Kalau mak tak percaya..kita check kat klinik. Za boleh buktikan!” Zakiah masih meratap di riba ibunya.

“Nak bukti apa lagi! Tuh! Perut kau tu! Dah buncit! Siapa yang buat?” Abangnya masih menyinga.

“Abang…Za tak buat! Demi  Allah!”

Zakiah mula putus asa. Segala kata-katanya tidak diendahkan. Dia menangis tersedu-sedu di lantai. Mulai saat itu, dia mengurung diri di bilik. Pengajiannya tertangguh. Perutnya semakin hari semakin besar.  Fikirannya masih bingung. Dia mula mengingati semula kejadian tiga malam berturut-turut yang menimpa dirinya. Tidak nampak dengan jelas benda yang menghempap tubuhnya. Yang nyata bukan manusia walaupun badan benda itu seperti tubuh lelaki! Dia sendiri bingung.

Ibu dan abang-abangnya mengurung dia di dalam bilik. Dia hanya mampu menangis. Makan dan minum diberi tiga kali sehari. Mereka malu dengan keadaan dirinya begitu. Dia mendengar dengan jelas, perbualan ibunya dengan abang-abangnya. Mereka mengurung dirinya di situ sehingga dia selamat melahirkan. Zakiah tidak pernah jemu berdoa setiap kali lepas solat. Dia masih bingung. Setiap bulan haidnya datang seperti biasa. Kalau betul dia mengandung, setahunya darah haid tak akan keluar. Mukanya semakin pucat. Sejak dia sakit, dia sudah putus tunang dengan Hamdan. Siapa yang hendak terima dirinya begitu. Dia redha. Bukan salah Hamdan. Dia tidak akan menuduh sesiapa. Biarlah orang yang dengki dengannya terima balasan dari Allah.

“Mak ngah, kenapa tak bawa Zakiah jumpa ustaz untuk berubat?” Rina, sepupu Zakiah yang tinggal tidak jauh dari situ mula memujuk ibu saudaranya.

“Buat apa? Buat malu!”

“Mak ngah..Rina dah dengar semua penjelasan Zakiah. Rina rasa dia bukan mengandung…dia terkena buatan orang!”

Puan Mariam tersentak. Dirasakan Rina sudah merepek! Jelas Zakiah mengandung, muntah-muntah!

“Kamu pasti ke?”

Rina angguk. Segala apa yang diceritakan Zakiah kepadanya sebentar tadi, diceritakan semula kepada Puan Mariam.

Rina dan Puan Mariam bergegas ke bilik Zakiah bila terdengar suara Zakiah meraung kesakitan. Dilihatnya ada darah dan kaca keluar dari celah bulu roma di badan Zakiah. Puan Mariam hanya mampu menangis. Begitu seksa anak gadisnya menderita dan menahan sakit. Dia segera menyuruh Rina memanggil ustaz.

Sebaik ustaz tiba, keadaan Zakiah semakin teruk. Darah banyak keluar melalui liang bulu roma. Kaca-kaca halus mula timbul di permukaan kulit.

“Puan…anak puan sudah teruk. Kalau dari awal Puan beritahu saya, mungkin saya boleh tolong. Tapi ini sudah …” Ustaz turut bersimpati dengan keadaan Zakiah.

Dia pegang pula perut Zakiah yang membusung. Keras!

“Ustaz..kenapa dengan anak saya?”

“Puan..darah dan kaca yang keluar dari liang roma itu adalah perbuatan santau. Perut yang membusung pula adalah hasil dari benda yang dihantar  sebagai ganti diri untuk memperkosa anak puan. Tiada anak dalam perut ni. Bawalah anak puan ke hospital. Berdoalah semoga dia selamat.” Ustaz itu sugul.

Puan Mariam terkedu mendengar penjelasan ustaz. Rina mula memapah ibu saudaranya bila Puan Mariam mula pengsan. Abang-abang Zakiah turut ternganga mendengar penjelasan ustaz.

 

******************

ZAKIAH ditolak ke dalam bilik bedah. Zawani dan Nafisah turut bersama dengan keluarga Zakiah. Tak sampai sejam Zakiah di bilik bedah, doktor mula panggil Puan Mariam.

“Puan..ibu kepada pesakit?”

Puan Mariam angguk.”Macam mana anak saya doktor?”

“Harap puan bersabar! Saya sendiri tidak pernah melihat kes macam ni.” Doktor terus menyuruh Puan Mariam dan yang lain masuk ke bilik sebelah bilik bedah.

Mereka sekeluarga mula melangkah ke bilik yang dimaksudkan oleh doktor tadi. Sekali lagi Puan Mariam pengsan. Zawani  ternganga. Nafisah pula sempat menolong Puan Mariam dan dibaringkan di atas katil bersebelahan dengan katil Zakiah.

“Maafkan saya. Adik encik tidak dapat diselamatkan.” Doktor itu mula beredar sambil menggeleng. Dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.

Abang sulung Zakiah mula mendekati Zakiah di katil . Selimut putih ditarik perlahan. Wajah Zakiah kelihatan tenang dan ada sedikit senyuman terukir di bibir. Dia mengucup perlahan dahi adiknya. Zawani dan abang kedua Zakiah turut berbuat demikian. Selimut putih ditutup kembali.

Abang sulung Zakiah pandang pula ke arah dua buah besen di atas lantai. Satu besen dipenuhi dengan  beberapa helai kain batik yang berlipat kemas dan dipenuhi dengan darah.  Satu besen lagi, penuh dengan lintah yang menggeliat penuh dengan darah. Dia menekup muka. Dipandang pula ibunya yang masih tidak sedar diri. Air mata lelakinya mula tumpah.

Rupanya selama ini, Zakiah mengandungkan kain batik dan lintah! Begitu kejam manusia yang tergamak membuat adiknya begitu! Kejam!

“Ya Allah! Kau rahmatilah adik aku! Tempatkanlah dia dalam golongan orang-orang yang soleh“

-

-

-

Untuk renungan bersama….

"Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk (tukang sihir) yang menghembus pada simpulan- (dan ikatan); dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."

(al-Falaq: 1-5).

 

Nabi Muhammad s.a.w. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir.

Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :-
1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6
2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257
3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286

-

-

-

Note: Buat arwah, semoga Allah sentiasa merahmati roh mu dan ditempatkan di kalangan orang soleh...amiinn...alfatihah buat teman seasramaku.

*Nama dan tempat bukan nama sebenar.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Oh my God... Saya ingatkan cerita jiwang tadi... Rupa-rupanya cerita pasal santau. Sad ending pulak tu. ciksal bila dah banyak menulis, not bad jugak. Saya tak baca semua hasil tulisan ciksal tapi setakat 3 cerpen yang saya dah baca, saya tengok ciksal ada stroke yang bagus untuk twist cerita atau bagi unsur saspens. Tak tau la kalau dengan orang lain. Tapi kalau jenis pembaca macam saya ni, macam selalu kena tipu je... Haha. Teruskan menulis.

  • (Penulis)
    2) Tq asconrobin..karya saya biasa je..baru belajar..baru kat sini..org lama lgi banyak karya yg bagus..anyway thanks
    Masih byk kekurangan yg perlu dibaiki bak kata cahatomic
  • 3) kisah benar..?!

    ya Allah...

  • (Penulis)
    4) Ya gelap...sedih..masih teringat kat arwah..
  • 5) subhanallah...al-Fatihah...
    sedih hati aku, walau tidak pernah menghadapi situasi seperti itu, tetapi aku cukup sedih kerana aku sendiri pernah bayangkan keadaan mcm tu...memang manusia syaitan.
  • 6) erm...sedey... tapi itulah manusia, kita kadang2 tidak sedar ada yang sakit hati @ dengki dengan kita....

  • (Penulis)
    7) betul sekali akubayu...tak boleh cara kasar..cara halus mereka buat..oleh itu selalulah penuhkan diri dengan ilmu akhirat..pendinding diri

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal