Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Racun Suci

 

Senja perlahan-lahan bangun, meninggalkan garis merah-oren di kedut-kedut awan, bagai pipi nenek tua pakai blusher. Perut aku sudah berkeroncong, berzanji, berboria, sama juga dengan perut kawan serumahku Adi, cuma perutnya lebih gemar bermakyung. Orang Kelantanlah katakan. Bersemangat kenegerian, yang bagiku, no offense, hanya tahi lembu. Kami berdua gelisah menanti azan Maghrib tanda masuknya waktu berbuka puasa, di depan TV di ruang tamu kami yang dindingnya hanya berhias potret antik John Lennon yang dibeli di pasar kutu sebelah Ikea waktu mula-mula pindah masuk ke sini dulu.

Detik jam mengalir rata.

Oh, 10 minit sahaja lagi. Adi duduk bersila penuh sopan, kedua-dua tangannya kejap memegang kole besi berisi air kelapa pandan sejuk, hanya sejengkal dari bibirnya yang hitam (baca:perokok tegar) itu. Di depannya hanya terdapat tiga biji kurma Yusoof Taiyoob yang dia beli di pasar petang tadi. Diet katanya.

Aku duduk di atas sofa lusuh yang kami beli di pasar kutu yang sama, di sebelah Ikea. Kakiku bergoyang ke atas ke bawah dengan tempo tak sekata, sekejap laju, sekejap perlahan. Itu salah satu tabiat buruk aku, bila aku sudah hampir hilang sabar.

Bukan sebab aku kemaruk lasagna yang aku order dekat Domino’s tadi, bukan juga sebab aku tak tahan dengan bau nasi kerabu yang menusuk nafsu di dapur, yang dikirim oleh Makcik Gaga pada Adi petang tadi.

Aku tak sabar sebab aku dah kempunan nak rasa pengat durian yang juga Makcik Gaga kirimkan. Katanya Ina buat special untuk aku.

Ina, si gadis ‘panas’ anak Makcik Gaga, jiran sebelah rumah. Girl-next-door yang paling sempurna di mata aku.

Aku dan Adi dah lama sebenarnya berebutkan si Ina tu. Tapi si Adi ini jenis bodoh-bodoh alang sedikit. Dia tak perasan yang Ina dan aku dah lama confess. Ina sendiri yang tak mahu aku beritahu Adi. Kesian katanya. Tapi sejak beberapa hari lepas, Adi sudah semakin galak ajak Ina keluar pergi bazar sebelah taman itu. Kononnya nak beli barang untuk masak. Itu hanya tahi lembu. Kami tak pernah masak. Itu filosofi kami. Jantan tak masuk dapur.

Aku khabarkan rasa gusarku pada Ina, namun dia hanya tersenyum sinis. Dia kata dia ada rancangan untuk tolak Adi jauh-jauh. Aku diam sahaja.

Petang tadi selepas Adi tahu Ina buat pengat durian special untuk aku, Adi masam mencuka. Aku kena silent treatmentlah nampaknya.

Azan Maghrib dialunkan. Merdu. Sekadar dengan Basmallah, aku cepat-cepat capai mangguk porselin putih (berdekorasi ala kopitiam) berisi pengat durian Ina dari atas meja kopi di depanku. Adi menjeling ke arah aku, tapi kemudian cepat-cepat meneguk air kelapa pandannya. ''Jealouslah tu, hahaha'' getus hati aku. Aku menghirup kuah pengat itu kuat-kuat. Slurrp! Satu. Slurrp! Dua. Slurrp! Tiga. Amboi sedap betul.

Di skrin TV, beberapa orang penari tarian sufi berputar-putar macam gasing. Sekejap ikut arah jam. Sekejap lagi lawan arah jam. Kepalaku tiba-tiba putar, seperti penari sufi itu. Lagu bahasa Turki semakin kuat terngiang-ngiang ditelingaku. Sakit! Seperti ada bomoh voodoo sedang memaku kepalaku dengan paku-paku. Aku bangun, berputar-putar mengikuti rentak lagu sufi di TV.

Darah mengalir dari mata, mulut dan hidungku. Sayup-sayup aku dengar suara panik Adi melaung meminta tolong. Kemudian kudengar sepi suara Makcik Gaga menjerit macam ada orang dah koyakkan baju kebaya nyonyanya. Aku persetankan. Aku berpusing, laju. ”Satu”. Aku kira. Laju. ”Dua”. Aku kira. Suara-suara asing mula memenuhi ruang tamu, yang ku rasa jauh sekali. Sayup. ”Tiga”. Semakin laju. Badanku terapung. Semakin tinggi. Aku mulai terbang. Seluruh badanku bergetar dengan kepedihan yang maha. Aku pandang ke langit, semakin lama semakin tinggi.

Aku sempat melihat ke bawah. Kulihat jasadku terbaring. Dan Ina sedang berdiri kaku di sebelahku, menitiskan airmata yang paling suci aku pernah lihat. 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Err..lost sikit..pengat durian tu ada racun??? Sapa yg dajalkan si 'Aku' ni??..Ina? Adi? Atau Mak Gaga???...

  • (Penulis)
    2) hehe, ending and revelation are up to reader's interpretations. Adakah Makcik Gaga, yang mungkin bencikan 'aku' sampai sanggup membunuh? Adakah si Adi yang cemburu buta? Ataupun Ina sendiri, yang tersilap letak racun?
  • 3) Misteri ni..hehehe..
    Teringat pulak jiran sebelah bagi kuih cek mek molek berintikan budu! hehehe!! Kami balas balik dengan buah melaka inti kicap! hahaha!!..

Cerpen-cerpen lain nukilan IanSuffi

Read all stories by IanSuffi