Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Malam terawih

 

MALAM itu selepas habis berbuka dengan Kak Yati, Emi segera mengemas barang-barang yang digunakan untuk berniaga di bazar ramadhan petang tadi. Dia jeling Kak Yati yang juga sibuk menolongnya membersihkan bekas kuih yang digunakan tadi.

“Emi, pergilah solat dulu. Biar akak yang kemas. Dah lambat ni.” Kak Yati senyum.

Emi pandang jam di dinding dapur. Sudah hampir lapan malam. Dia segera ke bilik air membersihkan diri. Selesai solat maghrib, Emi kembali semula ke dapur membantu Kak Yati yang masih sibuk membasuh pinggan mangkuk.

“Err..kak dah boleh solat tak?” Emi pandang Kak Yati yang leka membasuh pinggan.

“Kenapa?”

“Malam ni..Emi ingat nak terawih tapi tak ada kawan la..” Emi jeling jam lagi. Sudah hampir lapan setengah malam.

“Macam ni..akak temankan Emi ke masjid. Lepas terawih nanti Emi baliklah ikut makcik yang tinggal dekat rumah kita ni.” Kak Yati senyum lagi. Kesian melihat Emi tiada teman untuk ke masjid.

Emi angguk tanda setuju. Walaupun jarak masjid dari rumahnya hanya 300 meter saja namun dia tidak berani berjalan seorang diri pada waktu malam begitu. Tambah lagi bila memikirkan bermacam-macam kejadian yang tidak diingini berlaku sekarang ini. Dia tahu makcik Nab yang tinggal sebelah rumah Shafiq yang selalu berjemaah di masjid. Hatinya mula lega bila Kak Yati sudi menemaninya ke masjid.

“Terima kasih kak. Nanti saya belanja akak ais krim abang yang jual depan masjid tu ek!” Emi cium pipi Kak Yati yang sudah dianggap seperti kakak sendiri.

**************

EMI sudah siap bertelekung. Dia membawa sekali sejadah dan lampu suluh kecil yang dimasukkan dalam poket seluar sukan.  Dia duduk di bangku di ruang laman sementara menunggu Kak Yati bersiap. Sempat jeling jiran sebelah.

“Dah ke masjid agaknya..gelap je..” Emi jenguk ke laman sebelah. Lampu di ruang tamu gelap sementara lampu di depan laman terang benderang.

“Jom!”

Emi terkejut, tiba-tiba Kak Yati sentuh bahunya.

“Akak ni! Terkejut saya tau!” Emi mengurut dada.

“Tu la! Terjenguk-jenguk rumah bujang tu kenapa? Rindu kat Shafiq ke?” Kak Yati sengih.

Emi muncung bila diusik begitu. Dia segera berjalan beriringan dengan Kak Yati ke masjid. Dia terpaksa melalui depan rumah Shafiq untuk ke masjid. Lampu di sekitar jalan hanya satu saja yang bernyala. Keadaan jalan agak gelap. Nasib baik dia bawa lampu suluh kecil.

“Kak..bila nak tambah lampu jalan ni? Gelap macam ni..risau saya. Buatnya kena culik ke apa ke..bukan sapa perasan pun dalam keadaan gelap macam ni!” Emi berjalan rapat dengan Kak Yati. Dia lihat kiri kanan. Sebelah kiri sederet rumah setingkat dan sebelah kanan pula hanya ada semak kecil yang berselang seli dengan pokok bunga. Dekat dengan masjid pula baru ada taman permainan kanak-kanak.

“Entahlah Emi. Jalan kat sini memang macam ni..sejak akak pindah rumah ni lagi! Tapi tak pa..tengok ramai yang berjalan kaki ke masjid. Janganlah risau!” Kak Yati turut menyuluh jalan dengan lampu suluh yang dibawanya.

“Err..kak..lepas hantar Emi nanti, macam mana akak nak balik?” Emi teringat Kak Yati nanti akan balik seorang diri selepas menghantarnya ke masjid.

“Jangan bimbanglah! Sebaik saja Emi dah sampai depan pintu pagar masjid, akak cepat-cepatlah balik. Masa tu kan masih ramai yang menuju ke masjid!” Kak Yati penuh yakin berkata sambil melempar senyuman.

Mereka berdua berjalan laju menuju ke masjid. Tiba di masjid, Kak Yati cepat-cepat berpatah semula ke rumah bila melihat masih ramai yang mula berjalan ke masjid. Kalau lambat nanti tentu sunyi jalan tadi.

“Eh! Kak Yati! Tergesa-gesa nampak!”

Kak Yati berpaling bila mendengar namanya dipanggil. Shafiq!

“Alamak! Aku kena buat tak kenal ni! Kalau dia banyak tanya nanti, aku nak jawab apa! Takkan nak cakap aku uzur..ish! ” Kak Yati laju melangkah membiarkan Shafiq dan Halim di situ.

“Eh, kenapa dengan kak Yati tu? Orang menghala ke masjid, dia pulak dari masjid menghala ke rumah!” Shafiq memandang Kak Yati yang laju melangkah seolah-olah cuba mengelak dari sesuatu.

Shafiq pandang pula ke arah masjid. Emi sudah berada di tangga masjid sambil meletakkan selipar merah jambu yang dipakai di tepi tangga.

“Oh..agaknya teman budak sombong tu la tu…” Fikir Shafiq sendiri sambil senyum penuh makna. Matanya melirik ke arah selipar merah jambu Emi.

********************

HABIS solat terawih, Emi masih di dalam masjid. Dia tidak mahu berasak-asak bersama jemaah lain berebut hendak keluar dari masjid.  Sementara menunggu jemaah semakin berkurang, dia periksa lampu suluh kecil. Mana tahu kalau-kalau tak menyala. Tadi hanya lampu suluh Kak Yati yang digunakan masa meredah kegelapan di jalan menghala ke masjid. Bila dirasakan jemaah sudah semakin kurang, dia mula bangun dan mula keluar dari masjid.

“Eh! Mana pulak selipar aku ni?” melilau Emi mencari selipar yang seingatnya diletakkan di tepi tangga dekat dengan rak kasut sebelum masuk ke masjid tadi.

Dia terus mencari. Terbongkok-bongkok Emi mencari selipar di bawah rak kasut dan di bahagian tangga lain. Mana tahu seliparnya tercampak ke bahagian rak kasut lelaki pula. Dalam keadaan jemaah yang ramai, tidak mustahil seliparnya tersepak ke tempat lain.

“Ada orang hilang selipar la!”

Emi yang terbongkok-bongkok tadi mula menegakkan badan dan berpaling ke arah suara yang  menegurnya tadi. Shafiq??

Dia tidak hiraukan kata-kata Shafiq sebaliknya dia teruskan mencari seliparnya  yang masih tidak jumpa.

“Boleh aku tolong?” Shafiq menawarkan diri bila melihat Emi mula cemas.

“Tak payah! Kau bukan tahu pun  selipar aku macam mana!” Emi jeling Shafiq yang berbaju Melayu hijau.

“Sombongnya! Macamlah selipar kau tu mahal sangat!” Shafiq sengih sambil jeling Halim di sebelahnya yang turut sengih.

“Eh! Suka hati aku la! Mahal ke murah ke..selipar aku!” Emi masih mencari. Kali ini dia baru jumpa sebelah seliparnya.

“Kau carilah! Sampai esok pagi pun takkan jumpa!” Shafiq masih berdiri di tepi tangga sambil memerhati Emi yang masih terbongkok-bongkok mencari.

Emi mula mendongak ke arah Shafiq. Dirasakan kata-kata Shafiq tadi ada sesuatu yang tidak kena. Dia perhati wajah Shafiq dan sesekali wajah Halim. Lagaknya seperti watak Detective Conan yang sedang mencari jawapan dari wajah-wajah yang mencurigakan itu. Teringat drama tv kegemarannya, Lie To Me. Emi masih merenung wajah-wajah yang mula dirasakan ada sedikit keraguan di hatinya. Mana tahu dia dapat baca riak wajah Shafiq dan Halim.

“Hmm..jadi kau la yang sorokkan selipar aku ya?” Emi cuba meneka kata-kata Shafiq tadi.

Shafiq hanya angkat bahu. Dia jeling Halim di sebelah yang turut terpinga-pinga.

Halim pula mula pandang Shafiq dengan wajah curiga. Kalau benar Shafiq yang sorokkan selipar Emi, bila masa pula Shafiq buat? Halim mula menggaru kepala. Kupiah atas kepala dibuka.

Emi pula pandang Shafiq yang masih tersengih begitu. Sakit hatinya melihat Shafiq buat tidak tahu saja pertanyaannya tadi.  Dia jeling kakinya yang tersarung selipar yang dijumpainya tadi. Hanya sebelah, sebelah lagi masih hilang! Sekali lagi dia pandang Shafiq. Nyata wajah selamba Shafiq masih dalam keadaan sengih macam kerang busuk!

“Hoi! Aku tanya! Kau pekak ke? Sengih-sengih! Macamlah handsome sangat!” Emi tenung Shafiq lagi.

“Memang aku sangat handsome! Sebab tu kau suka cakap dengan aku! Hahaha!!” Shafiq mula ketawa. Dia sebenarnya suka melihat wajah Emi yang mula marah begitu. Merahnya sudah macam merah bunga kertas!

“Fiq, tak baik tau kau buat macam tu! Kesian dia. Mana kau sorok selipar dia?” Halim tepuk bahu Shafiq.

“Mana aku tahu! Aku saja je nyakat dia tadi!” Shafiq pandang Halim yang mula terpengaruh dengan kata-kata nya sebentar tadi.

“Tu la..sapa suruh baling senduk kat kita orang petang tadi! Sekarang selipar kau dah hilang!” Shafiq masih ketawa.

Emi mengetap bibir melihat Shafiq ketawa begitu. Dia genggam tangannya dengan kuat. Lampu suluh dikeluarkan dari dalam poket seluar sukannya. Kain telekung masih tersarung. Dia pandang kiri kanan. Jemaah masjid sudah tidak ramai. Dia lihat pula jam tangan. Sudah hampir sepuluh setengah malam.

“Macam mana ni…orang dah tak ramai ni. Makcik Nab dah balik agaknya. Mana selipar aku ni? Tadi aku letak kat anak tangga sana..” Emi merungut sendiri. Kalau tidak jumpa juga dia terpaksa balik ke rumah dengan berkaki ayam.

“Memanglah anak tangga! Takkan bapak atau mak tangga pulak cik Emi oi! Hahaha!” Shafiq sekali lagi menyakat Emi. Dia jeling Emi yang tercari-cari seliparnya dari tadi.

“Aku bukan cakap dengan kau lah!” Emi jeling Shafiq yang mencuri dengar rungutannya tadi.

Shafiq sengih lagi. Halim mula rasa bersalah melihat Emi masih mencari selipar seorang diri. Dia cuit lengan Shafiq supaya membantu Emi mencari seliparnya yang hilang.

“Ni hah! Aku dah jumpa!” Shafiq senyum.

Emi cepat-cepat berpaling. Dia lihat Shafiq senyum hingga ke telinga.

“Mana ?” Emi kerut kening bila melihat Shafiq tersengih-sengih dari tadi.

“Aku dah bagi kat abang long tadi!” Shafiq ketawa sambil menjeling Halim di sebelah.

Abang long mana pulak ni! Eii!!! Emi renung Shafiq dengan perasaan curiga. Dia pasti yang Shafiq sengaja sorokkan seliparnya. Kalau tidak takkan tak sampai seminit, Shafiq dah boleh jumpa seliparnya yang hilang.

“Abang long mana?” Emi mula geram.

Shafiq senyum sambil melirik ke arah Halim yang mula sengih. Dia biarkan Emi tertanya-tanya. Halim senyum.  Faham benar dengan kata-kata Shafiq. Dulu dia juga pernah terkena.

“Apa sengih-sengih? Tak payahlah tunjuk muka tak sudah kau tu!” Emi semakin geram.

“Sengih aku ada makna tau tak! Hahaha!! Abang long tu dekat je..dia ada dekat-dekat sini je! Kau nak ke tak nak selipar mahal kau tu? Kalau tak nak..kau baliklah kaki ayam!” Shafiq mula ketawa.

Emi mula cekak pinggang. Sakit hatinya sudah membuak. “ Naklah! Mana  abang long tu? Mana??”

“Abang longkang!!! Hahahah!!!” Shafiq ketawa berdekah-dekah dengan Halim. Sempat dia jeling muka Emi yang semakin merah. Dari merah bunga kertas sudah jadi merah bunga ros!

Emi mula jenguk ke dalam longkang. Seliparnya terapung dalam air longkang! Dia pandang semula Shafiq yang masih ketawakannya. Eiii!!!!

“Hoi! Tak kelakarlah!” Emi baling ranting kayu ke arah Shafiq. Shafiq cepat-cepat mengelak.

“Kalau kau nak, kau ambik lah sendiri! Nah! Guna ni..” Shafiq hulur semula ranting kayu yang dilempar oleh Emi tadi.

Emi merenung Shafiq yang nyata telah membuang seliparnya ke dalam longkang. Dia tarik ranting kayu dari tangan Shafiq dan mula menguis seliparnya yang terapung dalam air longkang. Dia cepat-cepat ambil dan mula beredar dari situ. Sebelum beredar, sempat dia melempar satu lagi ranting kayu ke arah Shafiq.

****************

SHAFIQ masih ketawa. Gelihati melihat Emi beria tanya siapa abang long! Dia jeling Halim di sebelah yang juga turut ketawa melihat gelagat Emi yang menggelabah.

Dia turut melangkah meninggalkan masjid bersama Halim. Mereka berdua seronok  bercerita tentang jiran sebelah kanan mereka. Sesekali Shafiq betulkan  kupiah bila kupiahnya mula melurut jatuh.

“Weh! Seronok kau kenakan si Emi tu! Hahaha!” Halim sengih sambil menyuluh jalan yang gelap menuju ke rumah mereka.

“Hahaha!! Aku suka nyakat minah sombong tu!” Shafiq  masih ketawa.

“Aduh!!” Shafiq pegang dahinya yang terasa sakit. Dia pandang kiri kanan. Dirasakan ada orang lempar sesuatu terkena dahinya tadi.

“Kenapa Fiq?”

Shafiq pandang bawah. Ada segumpal kertas berisi batu kecil berada di hujung kakinya. Dia cepat-cepat ambil. Kertas itu dibuka perlahan. Ada sesuatu yang tertulis di situ.

Sebagai balasan,  nah ambik batu ni! Kirim salam kat abang long kau tu!

Shafiq segera pandang ke arah datangnya segumpal kertas yang tiba-tiba melayang terkena dahinya. Dia hanya nampak kelibat seseorang tengah berlari  laju ke arah rumah sederet di depan.

“Nanti kau Emi!” Shafiq sudah dapat agak.

******************

TIBA di rumah, Emi segera masuk ke rumah. Termengah-mengah dia menahan nafas. Nak lari dari Shafiq punya fasal, lampu suluhnya  terjatuh entah ke mana dalam perjalanan tadi. Dia lihat Kak Yati tengah seronok menonton tv.

“Eh! Emi! Dah balik?” Kak Yati berpaling.

Emi senyum. Dia masih tercungap-cungap.

“Kenapa tercungap-cungap ni?” Kak Yati hulur segelas air sirap kepada Emi.

Emi duduk di sofa sebelah Kak Yati sambil meneguk air sirap. Bila dirasakan sudah reda, dia mula senyum dan terus ketawa. Kak Yati pula terpinga-pinga melihat Emi yang tiba-tiba seperti orang gila. Ketawa sorang-sorang!

“Padan muka!”

“Apa yang Emi merepek ni? Siapa yang padan muka? Emi ni..ketawa macam orang putus fius ni kenapa?” Bertubi-tubi soalan Kak Yati.

“Saya puas kak! Shafiq sorokkan selipar saya tadi. Saya balas balik la!” Emi ketawa lagi. Terasa puas!

“Emi..Emi..apa yang Emi balas?” Kak Yati pandang Emi yang tak habis-habis bergaduh dengan jiran sebelah.

“Saya lontar segumpal kertas berisi batu kecil kepada Shafiq!” Emi tersenyum puas. Selepas beredar dari masjid tadi, dia menyorok di sebalik pokok kelapa di tepi jalan yang berhampiran dengan rumah hujung sambil menulis sesuatu atas kertas nota yang sentiasa dibawa untuk catatan tazkirah tadi.  Bila saja ternampak Shafiq lalu di situ, dia segera baling.

“Tak baik Emi buat macam tu tau! Ni kan bulan puasa! Kalau kena mata macam mana? Esok akak nak Emi minta maaf dengan Shafiq!” Kak Yati mula berleter.

Emi akur. Dia mula rasa bersalah. Memang benar kata Kak Yati. Tidak sepatutnya dia melempar batu ke arah Shafiq tadi. Dia mula berkira untuk meminta maaf esok.

 

********************

PAGI-PAGI lagi Emi bangun. Kali ini dia ingin jumpa Shafiq dan minta maaf. Dia mula keluar ke laman depan. Terjenguk-jenguk rumah sebelah kirinya. Hmm..senyap. Emi betulkan tali kasut sukan. Dia lihat jam. Sudah tujuh pagi walaupun hari masih gelap. Hari itu hari minggu. Pagi itu dia bercadang untuk pergi joging. Pukul sebelas nanti dia akan mula membuat kuih untuk dijual di bazar ramadhan petang nanti.

“Hmm..tidur lagi agaknya..” Emi jenguk lagi sebelum menutup pintu pagar dan mula berlari perlahan mengelilingi kawasan taman.

Sudah satu pusingan Emi berlari. Dia mula merasa penat. Sempat dia berehat di taman permainan kanak-kanak. Suasana nyaman dan udara segar di pagi hari cukup menyihatkan.  Habis berehat, dia menyambung semula berlari ke arah rumahnya.

“Alamak! Shafiq !” Emi jenguk ke laman rumah Shafiq. Keningnya berkerut bila melihat dahi dekat dengan kening sebelah kanan Shafiq berbalut dengan kesan merah.

Perasaan bersalah semakin terasa. Dia melangkah perlahan ke arah pintu pagar rumahnya. Dengan langkah longlai, Emi buka pintu pagar dan mula duduk atas bangku di tepi rak kasut. Dia termenung seketika. Sesekali dia jeling ke arah Shafiq. Kelihatan Shafiq sedang berehat di kerusi depan pokok bunga kertas. Mukanya berkerut menahan sakit.

“Err..sa..sakit ke?” Emi beranikan diri bertanya.

“Mestilah! Tak nampak ni! Darah pekat meleleh kat dahi aku ni!” Shafiq tunjuk dengan jari.

Emi diam. Dia seolah dapat merasakan kesakitan akibat terkena batu kecil malam tadi. Dia mendekati pagar yang memisahkan rumahnya dengan rumah Shafiq. Dia pandang lagi Shafiq, tidak berkelip. Terasa dia sudah buat kesalahan besar.

“Err..aku minta maaf..tak sangka sampai macam tu sekali..aku ingat tak ada apa-apa..” Emi renung muka Shafiq yang masih berkerut menahan sakit.

“Emm..ok! Apology accepted! Tapi aku nak kuih free!” Shafiq pandang Emi yang mula suram.

“Boleh! Boleh! Kau nak kuih apa?” Emi mula terasa bersemangat semula bila Shafiq sudi memaafkannya.

“Hmm..aku nak kaki gangster, minah seksi dan si cute berinti gula..” Shafiq sengih. Sesekali dia pegang dahi yang berbalut dengan muka berkerut.

Shafiq mula masuk ke rumah sambil tersenyum. Emi pula hanya pandang Shafiq dengan rasa bersalah. Kasihan melihat Shafiq luka berdarah begitu. Kalaulah dia boleh tolong ubatkan luka di dahi Shafiq.

Emi pandang dengan penuh sayu. Dia mula buka kasut dan diletak di atas rak. Dia capai pula kasut sukan jenama Nike pemberian ayahnya dulu. Masih cantik. Sudah lama dia tidak memakai kasut itu. Segera disarungkan ke kaki. Tiba-tiba terasa seperti ada benda lembik dan melekit. Cepat-cepat dia keluarkan kakinya dari kasut itu. Semerbak bau busuk menusuk hidung!

“Apa benda ni?” Emi cuba intai dalam kasut.

“Eiii!!! Macam mana tahi lembu ada dalam kasut aku ni???” Emi mula menyinga. Kasut kesayangannya sudah berbau dengan tahi lembu.

“Aaaaarrgggghhh!!!”

***********

SHAFIQ ketawa mengekek bila mendengar  Emi menjerit begitu.  Dia masih terhendap-hendap di sebalik langsir di ruang tamu. Perlahan dia pulas tombol pintu dan mula mengintai dari celah pagar di sebelah rumah. Terbongkok-bongkok dia mengendap Emi. Jelas  wajah Emi sudah merah menyala! Kali ini sudah merah macam buah naga! Hahaha!!!

“Fiq! Apa yang kau mengekek sorang –sorang tu? Eh! Malam tadi elok je dahi kau?” Tiba-tiba Halim muncul di depan pintu.

Shafiq masih ketawa. Dia berpaling ke arah Halim yang sudah tercegat di muka pintu rumah. Dia mula bergerak ke arah Halim dengan terbongkok-bongkok, bimbang Emi akan nampak dia menyorok di sebalik pagar tadi.

Shh! Aku yang letak tahi lembu dalam kasut dia!” Shafiq pandang Halim yang terpinga-pinga.

Shafiq mula mencabut pembalut  dan membasuh pewarna merah yang melekat di dahi. Dia terus ketawa. Lakonannya berjaya membuat Emi rasa bersalah tadi. Hahahaha!!

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Bukan main nakal dua-dua orang ni tau!
  • 2) bulan puasa pon gaduh macam budak-budak. haha

  • (Penulis)
    3) Hehehe..ucu and syud..dua-dua tu bergaduh tak habis-habis..
  • 4) akak. sangat samalah kak semua watak dalam cerita akak
    baik laki baik pompan.
    laki akak dulu camni ke ngorat akak? kohkohkoh

  • (Penulis)
    5) hahaha..caha..akak saja nak lepas tension..sebab tu buat citer cam ni..rasa hilang skit stress tu..
    Choi!!..dia tak ngorat pun..kami jumpa secara kebetulan
    (err...stop here..heee)
  • 6) kebetulan? kebetulan camne tu? kebetulan lepas kena baling senduk? ke kebetulan lepas bubuh taik lembu dalam kasut?

    teng teng teng!!

  • (Penulis)
    7) kih kih kih..main teka je caha ni. Dua-dua bukan!
  • 8) cik sal: tak mahu sambung ke cerita emi ni? kut ada edisi raya ke?

  • (Penulis)
    9) keroppi, edisi raya?..hehehe..kalau ada idea..boleh je..hmm..kena fikir nak sambung macam mana....

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal