Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Syawal Yang Tak Di duga

 

TINGGAL seminggu sahaja lagi hari raya bakal menjelang. Emi dan teman serumah yang lain masih sibuk dengan belajar. Nor, Alin dan Shidah  masing-masing sudah menempah tiket untuk pulang ke kampung. Kak Yati pula memandu sendiri pulang beraya di Bukit Beruang Melaka. Emi masih termangu sendiri. Ikutkan hati dia ingin pulang dengan bas sahaja tetapi abangnya pula melarang. Abangnya sudah berjanji ingin pulang bersama dua hari sebelum hari raya.

“Apa yang Emi mengelamun tu?” Kak Yati menepuk bahu Emi yang sedang menongkat dagu.

“Tak ada apalah kak…nanti tinggal Emi sorang je kat sini. Nor, Alin dan Shidah lusa dah nak balik. Akak pula balik hari rabu kan?” Emi mula muncung.

“Eh, akak balik hari Khamis la.” Kak Yati senyum.

“Ye ke? Yes! Ada la kawan! Emi ingat, Emi sorang je yang tinggal nanti!” Emi mula senyum. Hatinya sedikit lega bila mendengar kak Yati juga pulang berhari raya pada hari yang sama dengannya.

“Hari ni tak berniaga ke?” Kak Yati pandang Emi yang asyik menonton tv. Selalunya waktu begitu Emi sudah sibuk menyediakan kuih untuk dijual di bazar ramadhan.

“Tak lah kak…hari ni Emi nak rehat la..” Emi menutur lemah.

“Kenapa lemah je suara ni? Ada masalah ke?”

“Kak…sebenarnya semalam mak Emi ada call. Dia kata raya kedua nanti, ada orang nak datang merisik. Lecehlah kak…” Emi semakin sugul.

“Merisik? Baguslah! Apa yang lecehnya?” Kak Yati sengih.

“Lecehlah…Emi bukan kenal pun siapa lelaki tu..” Emi masih menongkat dagu.

“Merisik je tu..kalau tak suka..tolaklah. Bukannya mereka nak meminang.” Kak Yati mula memberi pandangan.

Emi hanya senyum hambar. Dia merasakan perjalanannya masih jauh. Walaupun berada pada tahun akhir pengajian, cita-citanya perlu dicapai dulu sebelum memikirkan soal kahwin. Dia mula gelisah. Bermacam-macam persoalan timbul dibenaknya. Fikirannya mula buntu.

 

SELESAI solat terawih, Emi dan teman serumahnya yang lain mula berjalan beriringan pulang ke rumah. Kekusutan fikirannya mula reda bila berbual dengan teman serumah. Sepanjang perjalanan pulang dari masjid, banyak perkara yang dibualkan.

“Kak Yati!”

Serentak mereka berpaling. Emi melihat Shafiq berlari ke arah mereka. Shidah dan Alin pula hanya senyum melihat Shafiq dan Halim rupanya turut solat terawih malam itu.

“Ada apa Shafiq? Halim?” kak Yati senyum.

“Err..kak..saya nak minta maaf kalau ada salah silap. Selamat hari raya ya kak.” Shafiq sengih. Termengah-mengah dia bersuara.

“Ooo..ingat apalah tadi. Samalah kita ya! Shafiq balik mana nanti?” Kak Yati senyum lagi sambil jeling Emi di sebelah yang hanya diam bila melihat Shafiq mendekati mereka.

“Kuala Kangsar kak..” Shafiq senyum lagi. Dia senang berbual dengan Kak Yati yang sudah dianggap seperti kakak sendiri.

Emi pandang Shafiq sekilas. Orang kuala jugak ke? Kat mana agaknya rumah dia..

“Eh..sama lah dengan Emi! Kuala Kangsar kat mana?” Kak Yati pula beria ingin tahu.

“Kat pekan kak. Akak nak balik mana?” Shafiq berbahasa.

“Akak dekat je..Melaka.”

Emi tunduk. Rupanya Shafiq juga senegeri malah sedaerah dengannya. Ah! Bukan masalah aku pun nak fikir.

“Takkan minta maaf dengan kak Yati je? Orang lain kau tak ada buat salah ke?” Emi mula bersuara.

Shidah, Nor dan Alin masing-masing senyum. Faham benar sikap Emi yang suka bertengkar dengan jiran sebelah kiri mereka. Kak Yati pula hanya ketawa kecil sambil menggeleng.

“Err..kau patutnya minta maaf dengan aku! Tapi takpa..sebab kau ni perempuan lemah, so, aku minta maaf lah ya! Halalkan apa yang aku makan. Kuih tak jadi kau tu!” Shafiq berkata selamba. Dia jeling Halim yang mula merenung Alin di sebelah Shidah.

“Siapa kata perempuan lemah? Kau ni kan! Aku..” Emi tidak sempat menghabiskan kata-katanya bila Kak Yati mula menarik tangannya.

“Dah la tu! Tak baik bergaduh!” Kak Yati jeling Emi yang mula mengetap bibir.

“Ehem! Alin balik mana raya ni?” Tiba-tiba Halim pula bertanya pada Alin.

Alin hanya senyum  tersipu-sipu bila ditegur begitu. Sebenarnya sudah lama dia suka pada Halim tetapi dia tidak seberani Emi yang ringan mulut macam berteh jagung!

“JB..” Alin tunduk malu.

“Ehem! Ehem! Dah jom balik! Puasa-puasa ni tak boleh ngorat!” Emi tarik tangan Alin.

Mereka berlima terus beredar dari situ meninggalkan Shafiq dan Halim. Halim pandang Alin dengan senyuman lebar.

“Fiq..Emi tu cenge la!” Halim jeling Emi yang masih memegang tangan Alin.

“Tahu pun kau! Tak pa..aku nak tengok sampai bila dia nak sombong!” Shafiq mula ajak Halim pulang ke rumah.

*************

EMI dan Kak Yati mula menghantar Alin, Nor dan Shidah ke stesen bas. Sempat mereka bertukar juadah kuih raya untuk dibawa pulang.

“Kirim salam pada keluarga ya!” Kak Yati peluk Alin, Nor dan Shidah. Emi turut peluk teman serumahnya.

Emi dan Kak Yati mula beredar bila Alin, Nor dan Shidah sudah menaiki bas. Mereka berdua mula menapak ke arah tempat letak kereta.  

“Eh..tu Shafiq kan?” Kak Yati menuding ke arah kanan jalan.

Emi mula jenguk ke arah kanan jalan. Kelihatan Shafiq bersama Halim sedang leka berbual di tempat menunggu bas. Dia pandang pula Kak Yati yang juga terjenguk-jenguk ke arah Shafiq dan Halim.

“Jom kita tegur dia orang!” kak Yati terus menarik tangan Emi menuju ke tempat menunggu bas.

Emi tidak sempat berkata apa-apa bila Kak Yati bertindak begitu. Dia turut terheret sama melangkah ke arah jiran sebelah kiri mereka di situ. Dari jauh, Shafiq sudah senyum.

“Shafiq! Nak ke mana ni?” Kak Yati mula mendekati Shafiq dan Halim.

“Nak balik ke rumah kak..tadi hantar kawan naik bas. Akak buat apa kat sini?” Shafiq pandang Kak Yati yang manis berbaju kurung biru. Dia jeling pula Emi yang juga berbaju kurung dengan warna merah menyala.

“Hantar kawan juga..Alin, Nor dan Shidah dah balik tadi. Jomlah naik kereta akak!”

Emi jeling Kak Yati yang mula mengajak Shafiq dan Halim. Dia mula resah.

“Kak..Alin dah balik? Ala..tak sempat kirim salam..” Halim pula menyampuk.

Shafiq sengih melihat muka kelat Halim yang tak sempat melihat Alin. Dia pandang Emi yang tercegat berdiri di sebelah Kak Yati. Emi sudah muncung. Ada hati kat Halim ke minah ni..Shafiq mula meneka sendiri. Setiap kali Halim berbicara tentang Alin, Emi pula yang muncung. Ada sahaja cara yang digunakan untuk menghalang Halim berbual dengan Alin.

Shafiq dan Halim mula menaiki kereta Kak Yati. Sepanjang perjalanan, Emi yang berada di tempat duduk penumpang hadapan hanya diam membisu sambil melayan lagu yang diputar di radio. Kak Yati pula asyik melayan pertanyaan Shafiq dan Halim. Sesekali ketawa mereka berderai bila Shafiq membuat lawak.

Emi hanya senyum bila terasa cerita dari Shafiq lucu. Kerana ego, tidak berani dia ketawa. Dalam diam dia mula suka dengan sikap Shafiq yang peramah dan lucu. Selama ini dia asyik bergaduh dengan Shafiq. Mungkin dia tidak mengenali Shafiq secara dekat. Walaupun dia dan Shafiq satu fakulti tetapi mereka jarang berjumpa.

“Emi..kenapa diam je ni?” Kak yati mula pandang Emi yang diam dari tadi.

Emi pandang Kak Yati sambil tersenyum. Tiada apa yang penting hendak dikongsi. Dari cermin sisi, dia menjeling Shafiq yang berada di belakang bersama Halim. Dari dalam cermin, jelas bibir Shafiq menguntum senyum kepadanya. Sekejap itu juga dia terasa ada sesuatu yang menyentuh hatinya. Jantungnya berdegup laju.

“Apa kena dengan aku ni?” Emi berkata sendiri.

“Apa Emi cakap?”

Emi pandang ke sebelah. Rupanya Kak Yati mendengar kata-katanya tadi.  Cepat-cepat dia tunduk.

 

TIBA di rumah, Shafiq dan Halim mengucapkan terima kasih kepada Kak Yati kerana menumpangkan mereka sekali tadi. Emi pula cepat-cepat masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan Shafiq dan Halim yang masih tercegat di depan pintu pagar.

“Kenapa dengan Emi tu kak?” Shafiq mula perasan sikap Emi yang diam sejak tadi.

“Entahlah! Selalunya mulut dia macam murai tapi kali ni diam pulak. Mungkin dia malu dengan korang kut..” Kak Yati mengusik Shafiq.

Shafiq hanya senyum. Malu?? Shafiq tidak mahu percaya kata-kata Kak Yati. Baginya itu bukan sikap Emi yang dikenalinya sejak mereka berjiran. Emi bukan pendiam begitu. Mungkin dia ada hati dengan  Halim sebab itulah Emi diam saja sepanjang perjalanan tadi.

************

 SEBELUM bertolak pulang, melalui Kak Yati, Emi sempat menitipkan sekeping kad raya kepada Shafiq bersama hadiah kecil. Dia mengharapkan Shafiq sudi memaafkannya selama mereka berjiran. Dia sedar sepanjang bulan puasa, dia telah banyak melakukan perkara yang menyakitkan hati Shafiq biarpun hanya sekadar suka-suka terutama semasa melempar seketul batu kepada Shafiq.

Tiba di rumah, Emi terus bertanya ibunya mengenai perbualan di telefon tempohari. Ibunya hanya tersenyum. Dia faham Emi seperti tidak suka dengan berita itu.

“Terima jelah nanti. Abang tak suka Emi berkawan tak tentu fasal dengan lelaki. Dah ada orang datang merisik tu, terima jelah!” Ery pandang adiknya yang mula muncung.

“Abang cakap senanglah! Emi masih belajar lagi lah bang. Lagipun Emi nak kerja lepas belajar nanti! Patutnya abang dulu yang kahwin!” Emi mula merajuk.

“Dah! Cepat anyam ketupat tu. Ery tengokkan kayu api kat belakang rumah. Nanti nak rebus ketupat pulak.”

Emi pandang abang dan ibunya silih berganti. Mereka seolah tidak hiraukan perasaannya ketika ini. Esok sudah 1 syawal. Bermakna, lusa akan ada rombongan datang merisik. Dia mula menyambung  menganyam ketupat. Teringat kad dan hadiah yang dititipkan untuk Shafiq. Harap-harap Kak Yati tidak lupa memberinya kepada Shafiq. Perasaannya mula resah.

Selesai menolong ibunya di dapur, Emi segera ke bilik. Teringat hadiah yang diberikan oleh Shafiq sehari sebelum Shafiq pulang ke kampung. Dia merenung kotak hadiah yang berbalut kertas warna merah. Emi senyum. Shafiq seolah tahu warna merah adalah warna kegemarannya. Kotak itu digoncang berkali-kali. Terasa berat. Perlahan Emi membuka pembalut.

“Hah??”

Emi terdiam. Di tangannya kini ada sebotol kicap bersama sekeping nota kecil yang dilekatkan di botol. Satu persatu tulisan tangan itu dibaca.

‘Jangan lupa bubuh inti kicap bila buat onde-onde nanti!’

Pada mulanya Emi ingin menjerit marah tapi perlahan dia mengukir senyum. Teringat kenangan onde-onde pemberian Shafiq yang berintikan kicap. Senyumannya semakin lebar bila teringat hadiah yang dititipkan kepada Shafiq.

*****************

KINI sudah satu syawal. Selesai solat Aidil fitri bersama abang dan ibu, mereka bertiga ziarah pula pusara arwah ayah.  Hari raya kali ini tidak seceria tahun sebelumnya. Waktu itu arwah ayah masih ada, beraya bersama. Emi menongkat dagu sambil merenung jauh keluar tingkap.

“Apa yang jauh termenung tu?” Ery tepuk belakang Emi.

“Abang ni! Nasib baik Emi tak ada sakit jantung tau!” Emi membalas balik. Dada abangnya ditumbuk kuat.

Ery ketawa gelihati dengan sikap Emi yang cepat melatah. Dia suakan sebiji kuih raya kepada Emi. Suka melihat Emi marah begitu. Emi segera mengekori abangnya ke ruang tamu. Emi pandang pula ibunya yang keluar dari dapur membawa semangkuk rendang dan sambal goreng.

“Apa yang lucu ni Ery?”

“Hahaha…tu..anak gadis mak dah tentu arah. Esok ada orang datang merisik.” Ery semakin galak menyakat Emi.

“Dah lah tu. Mereka tu datang sebab dah lama tak bertandang ke rumah kita ni. Sambil tu..mereka nak tengok anak gadis mak ni.  Kalau Emi tak berkenan, mak tak paksa. Tapi mak harap sangat Emi terima sebab mereka tu kenalan arwah ayah. Arwah ayah nak sangat berbesan dengan mereka.”

Emi pandang ibunya yang begitu mengharapkan dia menerima lamaran keluarga lelaki itu esok. Dia hanya diam. Fikirannya mula teringat Shafiq. Entah sejak bila wajah Shafiq seperti melekat di mata. Berkali-kali dia menidakkan perasaan dan ingatannya terhadap Shafiq.

“Err..siapa nama lelaki tu mak?” Emi tidak mahu melukakan hati ibunya. Sekurang-kurangnya dia ambil tahu juga fasal nama lelaki yang ingin merisiknya esok.

“Entahlah..rasanya nama dia Hazrul.”

Kali ini Emi diam.

Malam itu, Emi tidak lena tidur memikirkan esok yang bakal menjelma. Serba salah rasanya. Ditambah pula rasa penat melayan budak-budak yang ramai datang beraya siang tadi. Tak menang tangan dia melayan. Teringin nak bagi tahu ibu dan abangnya tentang Shafiq. Lagipun siapalah dia untuk berbuat begitu sedangkan Shafiq sedikit pun tidak menaruh hati padanya. Jenuh dia pejam mata namun tetap juga tidak lena. Bila memikirkan hal esok, hatinya semakin berdebar.

“Assalamualaikum kak Yati..” Emi mula teringat kak Yati. Dia harus mencari penyelesaian dengan kak Yati malam itu juga.

“Wa’alaikumussalam! Emi sihat?”

“Sihat kak…” Emi bersuara lemah.

“Kenapa ni..lemah semacam je suara tu. Cuba cerita dengan akak!”

Emi mula meluahkan segala yang terjadi dan juga perasaannya yang mula sukakan Shafiq tanpa dia sendiri sedar. Entah bila dia sendiri pun tidak tahu.

“La..jadi betullah selama ini tekaan akak.”

Emi tunduk malu bila mendengar kata-kata Kak Yati di hujung talian.

“Kak..macam mana ni..esok ada orang datang merisik. Emi bingung la kak…” Emi masih sugul.

“Macam nilah..Emi cakap elok-elok dengan mak dan abang Emi. Nanti akak cuba sampaikan pada Shafiq.”

Emi tergamam. “Kak! Jangan kak! Shafiq tu bukan sukakan saya pun!”

Talian putus. Emi mula resah. Di benaknya bermacam-macam persoalan timbul memikirkan apa yang kak Yati akan buat nanti dan kusut memikirkan hal merisik esok.

**************

EMI mengurung diri di dalam bilik. Sekejap lagi kenalan arwah ayah akan datang. Dia semakin gelisah.  Sesekali dia jeling jam di atas meja belajar. Hatinya berdebar-debar. Deruman kereta di luar mula kedengaran. Dia jenguk keluar tingkap. Dua buah kereta sudah siap diparkir di laman rumahnya.

“Aduh! Macam mana ni?” Emi mula rapikan tudungnya yang kusut.

Dia segera melangkah ke pintu bila mendengar ada ketukan. Perlahan pintu dibuka. Abangnya sudah tercegat di muka pintu.

“Tamu dah sampai tu. Nanti tolong mak sediakan juadah okey?” Abang Ery senyum sambil mengenyit mata.

Emi muncung lagi. Jantungnya semakin berdebar. Ikutkan hati mahu saja dia keluar dari rumah hari itu dan lepak di rumah ibu saudaranya di kampung sebelah. Perlahan dia melangkah turun ke ruang dapur. Nasib baik ruang dapur tidak perlu melalui ruang tamu.

Dari dapur, dia dapat mendengar dengan jelas perbualan ibu dan rombongan merisik itu. Sesekali kedengaran mereka ketawa. Mungkin ada cerita lucu agaknya. Malas dia ambil pusing. Jus lemon dibancuh perlahan. Kuih raya dan juadah sudah siap dihidang atas meja makan.

“Assalamualaikum..tumpang tanya..bilik air kat mana?”

Emi berpaling. Matanya kaku memandang seorang lelaki yang sangat dikenalinya berdiri di depan muka pintu dapur.

“Shafiq??”

“Emi??”

Masing-masing terdiam. Lama mereka berpandangan. Sudu di tangan Emi jatuh ke lantai. Cepat-cepat dia ambil dan membasuhnya di singki. Emi pandang Shafiq lagi. Shafiq segak dengan baju Melayu warna biji kundang dan bersamping hitam

“Jadi…” Emi tergagap-gagap. Tiada suara lagi keluar dari kerongkongnya.

“Maafkan aku..terima kasih hadiah tu. Tapi aku tak makan budu!” Shafiq cuba memecah keheningan suasana.

“Mana tahu kau nak buat cek mek molek pakai resipi aku! Kau tu..bagi aku kicap!” Emi mencebik. Dia sudah terlupa tentang kedatangan Shafiq di rumahnya ketika itu.

Shafiq ketawa. Dia pun tidak sangka Emi juga menghadiahkannya sebotol budu. Teringat nota  ringkas yang ditulis di kad raya. ‘ Inti budu untuk cek mek molek kau nanti!’

Emi mula sakit hati melihat Shafiq ketawa begitu.

“Kau..kau  buat apa kat sini?” Emi pandang Shafiq dengan riak geram. Tak habis-habis nak kenakannya.

“Tak boleh ke aku datang rumah kau?” Shafiq sengih. Ketawanya mula reda. Kini dia faham maksud ibunya yang beria ingin berbesan dengan kenalan ayahnya. Hatinya mula berbunga. Terasa dunia begitu kecil. Dia pandang Emi yang cantik berbaju kurung merah terang sesuai dengan tudung sedikit merah jambu. Tidak selalu yang dia lihat masa di rumah sewa, asyik memakai seluar sukan dan baju kemeja lengan panjang.

Emi jeling Shafiq yang masih tersengih-sengih begitu. Jus dikacau kuat. Bunyi sudu berlaga dengan jag kaca jelas kedengaran.

“Cik Emi oi..pecah karang jag tu! Tak nak aku kahwin dengan perempuan macam kau ni! Kasar!” Shafiq mula ketawa semula.

Emi  lempar sebiji kuih semperit ke arah Shafiq. Shafiq cepat-cepat mengelak.

“Tak kelakarlah! Siapa yang nak kahwin dengan kau?” Emi letak jag atas dulang.

Emi perhati Shafiq yang masih bersikap seperti dulu. Suka menyakatnya tak kira di mana. Namun jauh di sudut hati dia menyukai Shafiq walaupun mereka berdua suka bergaduh begitu.

Kini dia bingung. Siapa pula Hazrul?? Dia terus menunjukkan arah bilik air bila Shafiq bertanya sekali lagi. Kali ini dia pasti, Shafiq dan Hazrul mungkin ada pertalian saudara. Emi mula tidak sedap hati. Bermakna jika dia terima lelaki itu, dia juga akan menjadi sebahagian keluarga Shafiq nanti. Parah!

Perlahan Emi menapak ke arah ruang tamu. Semua mata tertumpu padanya. Terasa kakinya tidak menjejak lantai. Terawang-awang. Dia dapat mengagak, kedua orang tua Hazrul hadir bersama. Ada dua orang lagi yang pada hemahnya mungkin saudara mara keluarga Hazrul turut berada di situ. Sambil menatang dulang berisi sejag jus lemon, Emi jeling tetamu yang hadir. Matanya mencari kelibat  Hazrul. Pencariannya terhenti  pada sesusuk tubuh yang duduk di sebelah seorang perempuan yang agak berumur, mungkin ibu kepada Hazrul. Dia jeling sekilas lelaki itu. Mungkin lelaki itulah Hazrul. Segak berbaju Melayu hijau dan bersongkok hitam bersulam emas. Ada misai nipis. Agak tampan. Lelaki itu turut senyum bila menyedari Emi merenungnya begitu.

Dulang diletak atas meja sofa. Perlahan dia menuang jus lemon ke dalam gelas. Terketar-ketar tangannya memegang jag. Terasa semua mata sedang memerhati tingkah lakunya ketika ini.

“Nilah anak gadis saya kak…Emi Suraya!”

Emi pandang ibunya yang tersenyum memperkenalkan dirinya kepada ibu dan bapa Hazrul. Dia pandang pula lelaki yang dirasakannya Hazrul. Lelaki itu senyum lagi. Ery, abangnya yang duduk sebelah ibu turut senyum melihat tangannya terketar-ketar begitu.

“Ohh..manis orangnya. ..”

Emi ingin ke dapur semula tetapi dihalang oleh ibunya. Dia terpaksa duduk sama di situ. Dulang diletak bawah meja sofa. Tidak sanggup dia membatu di situ dan diperhati macam patung cendana. Dia cuba melempar senyuman kepada Hazrul yang tersenyum dari tadi. Ingin saja dia bertanya hubungan Shafiq dengan Hazrul.

“Emi apa khabar?” Lelaki itu mula bertanya khabar Emi.

“Ba..baik.” Emi senyum sambil tunduk. Sah, lelaki itu adalah Hazrul. Dari riak wajahnya jelas lelaki itulah yang ingin dijodohkan dengannya. Namun dia masih ragu-ragu dengan telahannya tadi. Lelaki itu nampak lebih berusia.

Teringat Shafiq di dapur tadi. Emi mula sebak. Di saat dia mula sukakan Shafiq, ibunya pula ingin menjodohkannya dengan Hazrul.

“Jemputlah! Emi yang masak rendang dan kuih tu semua.”

Emi hanya senyum hambar. Dalam hati membuak-buak ingin tahu benarkah yang sedang tersenyum kepadanya ketika ini adalah Hazrul. Belum sempat dia membuka mulut ingin mendapat kepastian, ibu Hazrul sudah tersenyum sambil memandang ke arah dapur.

“Hah..tu pun Hazrul datang! Hazrul, mari sini! Kenalkan, ni Emi yang ayah selalu cerita tu” Ayah Hazrul turut senyum melihat anak bujangnya menghala ke ruang tamu.

Emi pandang ayah dan ibu Hazrul dengan wajah bingung. Dia menoleh pula ke arah seseorang yang dimaksudkan oleh ayah Hazrul tadi. Shafiq?? Jadi siapa lelaki di depannya yang sedang merenungnya ketika ini?

Shafiq melangkah berhati-hati dan hanya tersenyum sambil melabuhkan punggung di sebelah lelaki tadi. Dia jeling Emi yang masih terpinga-pinga kebingungan.

“Hazrul??” Terpacul nama Hazrul dari mulut Emi. Matanya merenung tajam wajah Shafiq yang masih tersenyum. Ada sedikit rasa geram bila melihat Shafiq hanya selamba tersenyum kepadanya.

 “ Ya, saya Hazrul Shafiq!” Shafiq mula perkenalkan diri.

Emi terdiam.  Terasa kerongkongnya sudah tersumbat.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) hey sgt hebatlah Shafiq ni berlakon. mcm mana pulak dia boleh tau mana Emi duduk?

    bukan main ye
  • 2) hey, hey! ciksal! ini kisah emi yang saya tunggu~
    'baling kuih semprit' tak tahan~ dah senduk, batu, skang kuih semprit pula..emi yang ganaz..

  • (Penulis)
    3) uculer: shafiq tak tau...ayah dia yg tau..beria nak jodohkan dia ngan emi tu...hehehe..
    keroppi: kalau si shafiq tu pandai nganga..sah2 kuih semperit masuk mulut terus bila emi baling kuih tu kat dia! Hahaa..
  • 4) hahaha. ni versi kapten melangut yang edisi raya eh kak. cam sama je ni kes tunang risik tak kenal hehehehehe.

    beruntung sapikk. ai nak jadi sapikk jugaklahh i pun noti dan suka sakat orang jugee

  • (Penulis)
    5) boleh-boleh...noti dan sakat membawa kebaikan..
  • 6) menarik.....

  • (Penulis)
    7) botak_9444: tq..ala citer ngada-ngada nak tunaikan hajat si keroppi tu..heheh

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal