Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Jasmine

 

            Langkahnya tersejat di tengah lamunan sendiri. Mata cantik kurniaan tuhan milik gadis bertubuh sederhana molek itu melekat di tengah air keruh sungai nan sebatang.  Kederasan sungai dengan lagak yang sombong memudarkan senyuman wajahnya.  Pemandangan jambatan kayu yang hanya tinggal sisa lantaran dibawa arus terus memalapkan cahaya semangat di lubuk jiwanya.  Tiga hari tiga malam sang hujan tidak jemu membasahi mukim itu.  Cuaca gelap dan dingin setia menemani segenap lapisan penduduk. Tiga hari itu jugalah gadis bermata coklat tua itu terus cekal berjuang untuk meneguk seberapa banyak titisan ilmu di sekolah. Namun situasi pagi ini nyata telah menandakan koma pada perjuangannya. Runtuhnya jambatan adalah petanda runtuhnya harapan dia untuk ke sekolah.

            “Sudahlah anak, jangan lagi kau termenung...malam sudah ni, bagus kau tidur... bisuk pagi mahu teman mama pigi di tabasan...nanti dua, tiga hari lagi baguslah jambatan tu..orang kampung sedang gotong-royong kasi bagus” kedengaran seorang ibu muda bersuara memecah keheningan malam.

            Segala-galanya berlalu dengan pantas. Kini Jasmine sudah memasuki alam remaja. Nama Jasmine diberikan oleh arwah suaminya sebagai lambang cinta suci mereka berdua. Jasmine adalah nama inggeris bagi bunga melur yang juga dikenali sebagai bunga melati. Bunga yang hidup menjalar dan rata-ratanya berwarna putih ini sangat harum baunya. Setiap kali pulang dari kem kayu balak, arwah suaminya pasti akan membawa pulang beberapa kuntuman bunga yang berkelopak lima dan enam ini khas untuknya. Kadang-kadang air matanya mengalir keluar tanpa sedar apabila mengenangkan saat-saat indah bersama arwah suaminya. Mungkin benar kata orang, hidup tidak selalunya indah namun sesuatu yang indah itu akan terus hidup mekar bersama kenangan.

Namun begitu, Salimah sangat bersyukur kepada tuhan. Biarpun ujian getir telah melanda hidupnya namun dia telah dikurniakan seorang anak yang sentiasa memahami dan setia menemaninya. Jasmine membesar menjadi seorang gadis cantik berambut ikal yang memiliki segala sifat-sifat kelembutan. Malahan Jasmine juga dikurniakan akal yang pintar dan rajin tak tumpah seperti arwah ayahnya. Segala susah payahnya membesarkan Jasmine seolah-olah terbang bagaikan debu ditiup angin apabila melihat kerajinan dan ketekunan Jasmine membantu dirinya di kebun pada setiap petang dan membuat kerja-kerja rumah. Dia hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusan seharian dirinya dan anaknya untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.

.           .           .

Kokokan ayam yang bersahut-sahut menariknya keluar dari alam mimpi. Sofea membuka kelopak matanya perlahan-lahan dan memerhati keadaan sekeliling biliknya. Dia bingkas duduk mencari jam. “ Masih awal lagi..”getus hatinya.

Dia bangun berdiri lemah lalu mencuri-curi lihat di balik langsir akan suasana di perkarangan luar rumahnya. Mungkin mencari sang matahari yang masih malu-malu memancarkan sinarnya. Setelah menggeliat untuk beberapa ketika, tangannya pantas mencapai tuala dan melangkah kaki menuju ke bilik air. Faktor sejuk membuatkannya tidak betah untuk berada lama di situ. Mandi air hujan memang sudah menjadi kebiasaan dirinya semenjak menjejakkan kaki di kawasan pedalaman itu bagi menyandang tugas sebagai seorang guru. Namun pagi itu sejuknya nyata berbeza malahan meresap masuk hingga ke tulang sum-sumnya.

Sofea merupakan seorang gadis bandar yang tidak kekok untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekolahnya walaupun terletak jauh di pedalaman. Sungguhpun budaya dan adat masyarakat setempat di situ jauh berbeza tetapi ia bukanlah penghalang untuk dia terus menabur bakti kepada anak didiknya dengan sepenuh daya usaha. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Sofea sudah selesa dan bergaul mesra dengan rakan sekerja, murid-murid serta masyarakat kampung. Setelah siap berdandan rapi dan menampal bedak nipis di kedua belah pipi, Sofea melangkah keluar dari rumahnya menuju ke sekolah. “Selamat pagi cigu..”sapa beberapa orang murid di belakangnya.

“Ohh..selamat pagi..awalnya kamu orang pergi ke sekolah..bagus..macam ni barulah cikgu sayang..”balasnya lembut sambil memuji.

Murid-murid itu tersenyum girang dan berlari mendahuluinya ke sekolah. Sofea menggelengkan kepalanya sambil anak matanya mengekori langkah laju anak-anak muridnya. Hari ini adalah hari Selasa. Jadualnya agak penuh sedari awal pagi. Sesudah rehat, dia masuk ke kelas tahun enam. Selaku guru kelas, Sofea terlebih dahulu mencatat kehadiran murid kelasnya. Seperti selalu, apabila musim hujan kehadiran murid-muridnya memang kurang memberangsangkan. Hanya sekitar enam orang sahaja yang hadir daripada sebelas orang muridnya termasuk Jasmine. Dia mengeluh perlahan dan meneruskan pengajarannya dengan mengedarkan set-set soalan ramalan bahasa inggeris memandangkan UPSR yang semakin hampir.

Loceng berbunyi kuat menandakan tamatnya sesi persekolahan pada hari itu. Dia mahu segera ke bilik guru untuk merujuk kepada pihak pentadbir akan hal Jasmine yang sudah hampir seminggu tidak hadir ke sekolah. Baginya, Jasmine adalah murid yang rajin. Pencapaiannya juga memberangsangkan dan berpotensi tinggi untuk cemerlang dalam pelajaran. Tetapi kehadirannya yang tidak konsisten dikhuatiri akan mengganggu pelajarannya. Guru muda itu tidak mahu mensia-siakan masa depan Jasmine seandainya dia boleh berusaha untuk membantu dan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

.           .           .

“Ba..mari kita pulang..hari pun mau dekat  gelap..jangan lupa bawa pakis sama raga tu..” teriak Salimah pada anaknya.

Masuk hari ini genap seminggu Jasmine tidak ke sekolah. Setiap hari dia menemani dan membantu ibunya di kebun.  Walaupun begitu, setiap malam Jasmine tidak pernah lupa untuk menelaah pelajarannya biarpun disaat hanya ditemani sebatang lilin pendek. Jambatan sudah siap dibaiki semalam. Beberapa kayu lama yang reput telah diganti dengan kayu belian. Kayu belian merupakan sejenis kayu keras yang tahan secara semulajadi ekoran ciri-ciri anatomi uniknya dan kandungan hasilan yang tinggi. Kayunya mampu tahan dedahan kepada tanah, air dan keadaan lain tanpa kehilangan kekuatan yang jelas sehingga lebih daripada dua puluh tahun. Oleh sebab itu, kayu ini amat sesuai digunakan sebagai jambatan. Jasmine sangat gembira dengan keadaan tersebut. Keriangan itu jelas terpamer dari wajahnya yang berlesung pipit itu apabila ibunya memberitahu berita tersebut kepadanya. Dia bercadang akan pergi ke sekolah seperti biasa pada keesokan harinya.

Kepulangan dua beranak itu ke rumah mereka dikejutkan dengan kehadiran beberapa orang tetamu yang tidak diduga. Jasmine masuk melalui pintu belakang sementara ibunya menjemput tetamunya naik ke rumah. Selepas bercerita panjang dan bersalam-salaman dengan ibunya, mereka pun pulang. “Ada apa mereka datang?”soal Jasmine sebaik sahaja ibunya masuk ke ruang dapur rumah.

“Tiada..” balas Salimah pendek seakan cuba menyembunyikan sesuatu.

“Jadi..kenapa tiba-tiba saja mereka datang?” desak Jasmine lagi kerana kurang berpuas hati dengan jawapan ibunya.

“Aisy..hal orang tua ba...jangan kau hirau..” tegas Salimah mematikan persoalan anak gadisnya.

Hari demi hari berlalu. Jasmine ke sekolah seperti biasa dengan riangnya. Sofea menarik nafas lega apabila melihat murid harapannya Jasmine berada di kelas setiap hari. Niatnya mahu mengambil Jasmine untuk tinggal di rumahnya sepanjang sebulan sehingga peperiksaan UPSR berlangsung diperkenankan oleh ibunya. Pihak pentadbiran sekolah juga memuji Sofea atas usaha yang diambil olehnya untuk membantu murid yang kesusahan.  

Akan tetapi berlainan pula halnya dengan Salimah. Pelbagai dilema telah bermain di dalam dadanya sepanjang tempoh tersebut. Hari-hari yang berlalu semenjak peristiwa petang itu sangat sukar untuk dilalui olehnya. “Imah..dari kau saja ni, kau tidak perlu keluar dari sini sampai bila-bila..segala perbelanjaan jangan kau fikir..semua biar kami saja yang tanggung..kau urus saja kau punya budak..ba..kami pulang dulu” masih terngiang lagi kata-kata tersebut di mindanya.

Saban waktu dia berfikir akan tawaran tuan tanah tempat mereka berteduh tempoh hari. Fikirannya kusut terkadang sasau. “Kalaulah abang John masih hidup..” keluhnya lemah seakan meratapi nasib.

.           .           .

            “Tahniah cikgu Sofea atas kejayaan murid-murid cikgu..tahun ini kita dapat mencapai KPI sekolah lebih bagus daripada jangkaan..72% merupakan rekod tertinggi pencapaian murid-murid di sini sepanjang sekolah ini dibuka..tahniah sekali lagi atas komitmen yang telah cikgu berikan..”ujar guru besar dengan bangganya apabila keputusan UPSR diumumkan dan sekolahnya telah melonjak naik lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

            Lapan daripada sebelas calon telah lulus termasuk Jasmine. Keputusan 3A 2B yang digapai olehnya adalah dikategorikan sebagai cemerlang jika dilihat daripada sudut pembangunan di kawasan tersebut. Bukan sahaja tiada rangkaian jalan raya yang berturap malahan tanpa kemudahan asas seperti sumber air bersih dan elektrik apatah lagi talian telefon. Kejayaannya itu sangat mengembirakan Sofea selaku guru bahasa  inggerisnya. Dia sudah berkira-kira untuk meminta kebenaran dari ibunya supaya Jasmine dapat dihantar ke sekolah berasrama penuh.

            “Tahniah Jes..memang sudah saya jangka kamu pasti akan lulus dengan cemerlang!!” Sofea memeluk tubuh Jasmine semahunya dan mengucup kedua belah pipi anak muridnya itu.

            “Terima kasih banyak cikgu..semua pun adalah berkat tunjuk ajar daripada cikgu..”balas Jasmine sambil mengalirkan air mata kegembiraan.

            Lama mereka berpelukan sebelum guru-guru lain mengambil alih tempat Sofea untuk mengucap kata syabas serta tahniah atas kejayaannya. Terbit sinar kepuasaan di mata guru-guru tersebut yang selama ini telah bertungkus lumus mendidik anak murid mereka sehingga berjaya. Ucapan syukur di bibir mereka seakan tiada henti. Jasmine tidak lagi menunggu lama untuk pulang ke rumah. Masa depannya seakan telah terbentang luas di hadapan matanya. Wajah ibunya yang tercinta terbayang-bayang di benak fikirnya. “ Dia pasti gembira dan bangga..” desir hatinya lembut.

Kakinya melangkah laju ke arah barat bumi. Di bahagian selatan daerah kelihatan kilat di langit. Sekali sekala terdengar bunyi dentuman guruh seakan memanggil hujan. Awan kelabu berarak dan berkumpul ke satu arah. Alam yang terang tiba-tiba bertukar menjadi mendung seolah-olah cuba memberikan petanda yang kurang baik buat mereka yang merasainya dengan mata hati.

.           .           .

Dua minggu berada di pekan atas urusan kursus dirasakan begitu lama oleh Sofea. Jarak sekolahnya ke pekan tersebut adalah sejauh 125 km. Ternyata jarak yang agak jauh itu membataskannya untuk berulang alik setiap hari. Mahu tidak mahu dia terpaksa menumpang teduh di rumah seorang teman karibnya sepanjang tempoh kursus berkenaan berlangsung kerana tiada kemudahan tempat tidur yang disediakan oleh pihak penganjur kursus.

Akhirnya hari yang ditunggu pun tiba. Setelah selesai mengisi penuh begnya dengan keperluan makanan harian sewaktu di sekolah, Sofea pun bergegas pulang menaiki pirate (kereta sewa). Sememangnya perasaanya tidak tertahan-tahan lagi untuk kembali ke sekolah dan pergi ke rumah Jasmine bagi meminta tandatangan ibunya di atas borang permohonan kemasukan ke asrama penuh yang telah lengkap diisi olehnya. “Pastinya mereka akan gembira..” bisiknya sendiri sambil cuba memejamkan mata di dalam kereta.

Kedua belah telinga Sofea disumbat dengan alat pendengar yang disambungkan ke i-pod pemberian tunangnya. Lagu inggeris yang betajuk ‘we are young’ dendangan penyanyi barat mengiringinya ke alam sepi bukan realiti. Keasyikan lenanya tiba-tiba terganggu apabila seorang makcik yang duduk di sebelahnya menepuk perlahan bahunya. “ Sampai sudah gu..” katanya dengan nada yang perlahan.

“Ohh..ba..terima kasih..”spontan Sofea membalas.

Begnya dijinjing kemas sehingga ke depan muka pintu rumahnya. Sebelum sempat dia memulas tombol pintu rumahnya, seorang pemuda kampung menegurnya “ baru pulang dari pekan cikgu?”

“Eh..ya..baru saja sampai..kamu dari mana?” soalnya sekadar mahu berbasa basi.

“Saya baru sahaja balik dari ramai-ramai di rumah Salimah..kelmarin, budak dia si Jes kahwin dengan pemuda dari kampung seberang..untunglah mereka..berian semua pun cash..hehe..ba..saya jalan dulu gu..” terang pemuda itu.

Sofea terduduk di muka pintu rumahnya. “Jasmine kahwin..” bibirnya bergetar menahan perasaan. Air matanya bergenang mengenangkan nasib anak pintar itu. Serentak itu sekuntum bunga jasmine gugur di tengah halaman rumahnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) mohon komen untuk penambahbaikan sebelum dihantar sebagai tugasan..teima kasih..
  • 2) Menarik! Jalan cerita sangat teratur dan bahasa pula sangat indah. Ada slang sabah..saya suka.

    Untuk percakapan, saya rasa elok diletak tanda bacaan yang betul. tanda titik selepas setiap ayat percakapan. (Banyak ........)

    Tunggu komen dari komentar kita yang arif..incik Cahatomic ya..

  • (Penulis)
    3) ohh..ye kan..tanda bacaan pun penting rupanya..terima kasih ciksal..
  • 4) Menarik..bila terbaca slang sabah teringat zaman2 ddk disana.Pasti aku kesana lagi bah..hehehehe
  • 5) Ceritanya sangat bagus. Sangat tenang garapannya

  • (Penulis)
    6) terima kasih sudi singgah abang botak juga akak uculer..

Cerpen-cerpen lain nukilan paiwunan

Read all stories by paiwunan