Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Nikmat

 

 

“Encik, encik, boleh dengar suara saya tak? Kalau boleh cuba buka mata perlahan-lahan…” Aku tersedar, suara lembut itu menjengah ke cuping telingaku, bagai diajak beredar dari alam mimpi. Aku cuba mengikuti arahannya sedaya upaya, namun kelopak mataku bagai kain yang terpasak ke bumi, sukar untuk dibuka. Kepalaku masih dingin, seluruh badanku lemah.

“Tak apa encik, cuba perlahan-lahan…” katanya lagi. Sedikit demi sedikit, semakin lama semakin jelas penglihatanku, aku dapati suara tersebut milik seorang jururawat wanita, sibuk memerhatikan keadaanku. Aku melihat di sekeliling. Nampaknya aku sedang terbaring, tidak berdaya di atas katil di dalam sebuah wad hospital. Kedua-dua kakiku dibalut, dada dan bahu kiriku pedih sekali, bagaikan duri yang menusuk dari dalam. Kepalaku masih terasa sedikit pening.

“ Em, cik, sa..saya di mana ni? A..apa dah jadi cik?” hendak membuka mulut pun terasa agak berat buatku apatah lagi untuk berbicara. Hanya sedikit pertanyaan yang terlontar dari bibirku. Langsung tidak aku mengingati apa yang telah berlaku mahupun alasan di sebalik situasi ini.

“ Encik tak ingat ke?” aku menggelengkan kepala sedikit.

“ Encik terlibat dalam kemalangan lebih kurang pukul satu pagi semalam. Dah hampir 24  jam encik tak sedarkan diri. Kami dah cuba mengejutkan encik beberapa kali tapi nampaknya tubuh encik masih lemah untuk menyedarkan diri.” Katanya sambil melihat jam dinding yang menunjukkan sudah pukul satu setengah pagi.

“ Kemalangan? Saya tak ingatlah cik.” kataku dalam keadaan yang lemah.

Aku termenung sejenak. Mungkin kecederaan di bahagian kepala yang menghalangku untuk  mengingati peristiwa itu. Baru sehari berlalu semenjak aku menjalani kehidupan seperti sediakala. Ketawa, berbual, berjalan, dan bergurau senda bersama rakan-rakan. Semua ini bagaikan sehelai halaman baru di dalam buku yang tidak ingin untuk aku selak.

            “ Nah, buat masa ni makan ubat dan rehat secukupnya, jangan fikir sangat tentang benda-benda ni, insyaallah lama-lama encik akan ingat semula”, kata jururawat muda itu sambil memberikan dua biji pil dan segelas air kepadaku. Aku menelan pil tersebut dan meneguk air sehingga habis. Aku pun merasakan yang aku perlu berehat buat masa ini.  

Aku terpandang akan pesakit lelaki di katil sebelah, nampaknya dia sedang lena diulit mimpi. Bahagian dadanya tampak dibalut. Apakah agaknya insiden yang menimpanya? Semakin lama jiwaku semakin dibanjiri perasaan ingin tahu, namun buat masa ini, aku perlu berehat. Aku terlena…

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

 

 

Aku sedang memandu, bersendirian di tengah jalan. Malam ditelan kegelapan. Hanya sejumlah kecil cahaya lampu jalan itu merekahi kegelitaan. Entah mengapa, hatiku berbisik, bisikannya tidak menenangkan, jantung semakin rancak rentaknya, aku seperti hendak mengejar sesuatu. Halaju pantas memuncak, kereta yang dipandu hampir hilang kawalan.

Aku cemas, emosi ini sedikit sebanyak mempengaruhi pernafasanku. Aku hampir pitam diharungi kerisauan, tetapi apakah ia? Apakah ia yang begitu penting itu? Aku tidak dapat mengingatinya. Pandanganku tertangkap sepintas cahaya dari hadapan. Sebuah lori perabot sedang menghampiri dari arah bertentangan di sebelah kanan jalan. “Asalkan kita berdua ikut jalan masing-masing, kau nak bawa laju mana pun kau punya suka…” itulah yang ku sangka pada mulanya. Namun ketentuan Tuhan mengubah segalanya…

Entah bagaimana, sebuah lori lain pantas melanggar keretaku dari sebelah kiri, hancur, remuk. Tidak cukup setelah jatuh, kini ditimpa tangga, keretaku tergolek ke jalan di sebelah kanan. Lori perabot tersebut terlalu dekat untuk mengelak, cahaya lampunya semakin terang, hon dibunyikan berkali-kali…

“Aargh!” Aku tersedar, terus terduduk. Aku menarik nafas dalam. Agak segar kini barangkali sudah mendapat rehat yang mencukupi, atau ubat yang diberi oleh jururawat tadi sudah menunjukkan kesannya. Jam dinding menunjukkan pukul dua pagi.

“Hahaha! Hahaha! Aduh, kau ni! Kelakarlah bila aku tengok kau mengigau macam tu… haha.” Kata pesakit yang berada di katil sebelahku sambil bersandar. Barangkali dia telah memerhatikan aku sejak tadi.

“ Haha..ha… oh, maaf, maaf, aku cuma… tapi, kalau kau tengok keadaan diri kau sendiri tadi aku rasa kau akan tergelak juga.” Katanya lagi.

“Tak, aku bukan mengigau, aku rasa aku terbayang tentang kemalangan malam semalam…”, kataku.

 

“ Ya, tapi aku tak dapat ingat apa-apa, cuma sedikit bayangan dalam mimpi, itu pun aku tak pasti samada itu yang aku alami atau tidak. ” jawabku lagi.

“ Hmm, jadi kesimpulannya kau cuma lupa tentang peristiwa itu saja? Hal-hal lain seperti.. em, misalnya nama, alamat rumah, keluarga, kau masih ingat?” tanyanya.

“ Jadi, kemungkinan besar kau mengalami Lacunar Amnesia.” Katanya dengan yakin sambil memandangku menantikan suatu reaksi. Aku hanya menggelengkan kepala.

“ Tak tahu? Okey,  Lacunar Amnesia, apa yang aku faham ialah, sesiapa yang mengalami Retrograde Amnesia akan hilang ingatan selepas mengalami insiden atau kejadian tertentu, tetapi memori yang hilang itu hanyalah sebahagian, dalam kes kau ni kau tak ingat tentang kemalangan yang kau alami tetapi segala memori tentang perkara lain dalam hidup kau masih selamat seperti sediakala. Insyaallah kau akan pulih lama - kelamaan. ” jelasnya.

“Oh, begitu ya? Terima kasihlah atas penjelasan tu…”

“ Hmm, aku ada cadangan, apa kata kita rujuk berita hari ni. Sejak siang tadi aku tak sempat baca surat khabar. Mana tahu, berita tentang kemalangan kau dah tersiar…” Jelasnya.

“ Baik, biar aku minta dari jururawat…” 

Aku menekan butang untuk mendapatkan khidmat jururawat. Tidak lama kemudian, seorang jururawat datang dan aku meminta bantuan untuk dibawakan senaskhah surat khabar hari ini.

“ Baik, encik tunggu sebentar ya, saya cuba dapatkan.” Kata jururawat itu.

“Ha, bual punya bual, diri tak diperkenalkan lagi… nama aku Zulkifli, panggil Zul.” Ujarnya.

“Aku Radi, jadi nampaknya kita akan berjiranlah di dalam wad ni ya? Haha.” Zul tergelak. Tidakku sangka dapat bertemu dengan seseorang yang sepertinya. Kesakitan, kerisauan, semua itu bagai diculik buat seketika dek perbualan antara kami berdua.  

“ Jadi Zul, aku dah ceritakan kisah aku, kau pula? Apa jadi ni sampai masuk wad? Kenapa dada kau dibalut?”

“ Inilah yang dikatakan cabaran hidup, haha. Sebenarnya pada suatu pagi, dalam pukul empat setengah pagi kalau tak silap. Aku membantu ayahku menoreh getah…” kata Zul.

“ Menoreh getah? Oh… tapi bagaimana dengan kehidupan kau sekeluarga?”

“ Kehidupan kami sekarang memang susah. Hampir segalanya menjadi cabaran dalam hidup kami. Walau bagaimanapun, kami tetap mampu tersenyum, kerana kami masih mempunyai satu sama lain untuk menyokong dan meneguhkan semangat yang luntur. Harta benda dan kewangan yang terhad menjadikan kami lebih kreatif. Hampir semua perkara yang keluarga lain lakukan, kami juga boleh melakukannya.” Sambungnya.

Aku kagum dengan sikapnya yang optimis dan tidak menumpukan perhatian terhadap sesuatu masalah dalam kehidupan. Berlainan benar dengan sikapku. Gaya dan cara percakapannya yang penuh semangat cepat sekali membuatku terasa mudah untuk mendekatinya.

“Aku anak sulung daripada empat orang adik-beradik, jadi rasanya memang wajar untuk aku membantu ayahku meringankan sedikit beban yang digalasnya.” Jelasnya.

“ Oh, begitu, jadi apa yang berlaku sebenarnya?”

“ Sewaktu aku sedang menoreh lebih kurang seminggu yang lalu, aku berasa tidak sedap hati, macam ada sesuatu yang tak kena, macam aku tak sepatutnya mengikuti ayahku ke situ pagi itu, tapi aku endahkan sahaja perasaan itu. Aku terus bekerja. Tiba-tiba aku terdengar bunyi seperti ranting kayu dipijak tak berapa jauh di belakangku.”

“ Ayah kau kot…” kataku.

“ Tak, ayah aku ada beberapa meter di depan aku pada waktu tu, sibuk menoreh.” Katanya.

“ Di samping bunyi ranting kayu dipijak itu, ada bunyi seperti haiwan menggeram. Dalam hati aku dah terdetik, jangan-jangan ini yang sering diceritakan oleh penduduk tempatan. Ramai yang berkata bahawa terdapat beberapa serangan harimau berlaku baru-baru ini di kawasan itu, malangnya sangkaanku tepat. Tiba-tiba, badan aku diterkam kuat dari belakang! Terkejut beruk aku dibuatnya, terus aku terjerumus ke tanah. Semasa haiwan tu menahan aku daripada terlepas, terasa seperti ditindih dengan sesuatu yang amat berat, hanya Tuhan yang tahu… ”

“Aku menjerit, perasaan terkejut bercampur baur dengan ketakutan. Hampir saja gigi taringnya menembusi tengkorak kepala aku, ayah aku terus melaungkan azan dengan kuat. Dengan kuasa Allah, haiwan buas itu melepaskan aku dan terus melarikan diri. Aku mengalami kecederan pada tulang belikat dan bahagian atas tulang rusuk.” Jelas Zul.

Membayangkan diriku berada di tempatnya, mudah sekali aku dicengkam ketakutan dan trauma Kemampuan untuk meniti hari-hari seperti biasa, barangkali lenyap begitu sahaja. Namun, melihat pada keadaannya yang mampu mengorak langkah ke hadapan, bak seorang bayi yang baru dilahirkan, menggesa aku mengangkat tabik hormat kepadanya.

“ Eh, apa ni tabik, tabik. Kau ingat aku komando tentera ke? Haha…” katanya dengan bersahaja.

“ Aku tak pernah jumpa seseorang yang macam kau ni, macam tak ada masalah saja. Padahal, hampir saja jadi hidangan sahur harimau, hahaha…”

“ Haha, oh dah pandai bergurau ya sekarang? Tadi macam risau saja. Bagus, bagus. Sebagai seorang umat islam, kita mestilah mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah-kisah hidup para nabi dan rasul yang mulia. Sebagai contoh, nabi Ayyub a.s. diuji dengan begitu berat sekali. Pada mulanya harta bendanya musnah, kemudian anak-anaknya terkorban.”

“ Tidak cukup setakat itu, beliau menghidap penyakit yang menyebabkan manusia menjauhinya, termasuk isterinya. Kita ini sudah kira beruntung sangat cuma sakit sedikit, boleh baring di atas katil yang empuk, ada televisyen, walaupun rosak buat masa ini hehe, makanan dan pakaian disediakan, ada penghawa dingin, dan siap ada jururawat untuk membantu…” Sambungnya.

“ Aku sangat bersyukur kerana bukan ayah aku mahupun ahli keluarga aku yang lain yang mengalami kecederaan ini, kerana itu akan sedikit sebanyak menyebabkan aku hilang semangat untuk meneruskan hidup. Bagiku, mereka adalah segala-galanya.” Kata-katanya menyentuh hatiku.

Aku tidak pasti, adakah aku sedih? atau adakah aku gembira? Kerana… kedua-dua perasaan ini sekaligus menerjah ke kalbu. Aku gembira kerana diberi peluang lagi, peluang untuk memulakan lembaran baru dalam hidup agar dapatku perbaiki kesilapan-kesilapan lalu, meluruskan yang begkok, dan menjernihkan yang keruh.

Aku juga sedih, menyesal. Selama ini kehidupanku cuma terfokus kepada material dan kebendaan. Maklumlah, aku berasal daripada keluarga yang berada. Segala yang diminta akan diberikan, dan segala yang diperlukan sudah disediakan. Aku teringat suatu ketika…

“ Makin lama makin pandai menipu ya?! Duit tu ayah dan mak bagi bukan untuk beli rokok yang kau bakar dan buang! Itu untuk kau belajar, dapatkan kerja, supaya tak merempat saja di tepi jalan nanti! ” kata ayah dengan tegas.

“ Ala, ayah ni, duit berlambak! Takkan pasal rokok sekotak nak berkira? Gaji sebulan berpuluh-puluh ribu, anak seorang saja, bukannya habis pun duit tu!” balasku. Pada waktu itu aku memang tidak memikirkan soal agama, adab sopan terhadap ibu bapa, mahupun perasaan mereka.

“ Lagipun, ayah dan mak bukan faham pun perasaan Radi! Jangan nak berlagak macam ayah dan mak kandung Radilah!”

“ Panggg!!” suatu penampar tangkas hinggap di pipi kananku. Kepalaku terasa seperti hendak berputar. Nampaknya tiang kesabaran ayah telah tumbang. Memang aku layak diperlakukan sebegitu. Kini aku sedar, walaupun aku hanya anak angkat, akulah satu-satunya anak yang mereka tatang bagai minyak yang penuh. Namun, aku yang menerima susu ini membalasnya dengan tuba. 

Aku akui memang bukan salah mereka, walaupun mereka sering meninggalkanku keseorangan kerana urusan di luar negeri. Aku tahu apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikanku, untuk menyediakan suatu bekalan sebagai bantuan menghadapi kehidupan di masa hadapan kelak. Namun, kerana kemewahan, aku dipengaruhi oleh hawa nafsu.

“ Wei, Bob, malam ni jadi tak? Clubbing.” tanyaku kepada Bob, rakan sekelas.

“ Eh, kau tak nak ulang kaji ke? Peperiksaan dah dekat ni.” Katanya, serius.

“ Ala, baru peperiksaan pertengahan tahun, nanti nak dekat SPM aku ulang kajilah! Tak apalah kalau kau tak mahu. Aku ajak orang lain.”

Setelah ayah dan mak terlena, keberangkatanku ke kelab malam dipermudahkan lagi dengan kewujudan kereta BMW ayah. Gejala ini telah menjadi tabiatku pada malam hari. Ibadat kepada Allah entah ke mana, apatah lagi menelaah pelajaran.

“ Encik, ini surat khabar yang encik minta…” Aku tersedar dari lamunan. Jururawat itu menyapaku.

Benar sangkaan Zul, berita tentang kemalangan yang menimpaku telah dilaporkan di halaman akhbar yang kelima. Kami membacanya. Syukur, barang-barang penting seperti beg dompet dan telefon bimbit masih selamat. “ Ha! Telefon bimbit! Aku teringat ada suatu panggilan yang aku terima malam tadi sewaktu pulang dari kelab malam.”

“ Kau pergi kelab malam?!” Zul tercengang. Kemudian aku meminta jururawat agar mengembalikan barang-barangku itu. Aku memeriksa panggilan terakhir yang ku terima iaitu pada jam 12.45 malam dan aku dapati orang yang membuat panggilan tersebut ialah mak.

“ Argh!” Secara tiba-tiba kepalaku dipanah denyutan tajam, pedih. Mindaku seperti memainkan semula suatu video rakaman… segala-galanya terbayang satu persatu di fikiranku…

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada malam kejadian…

Sudah, cukup cukup sudah~” telefon bimbitku berbunyi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“ Hello, mak? Mak? Mak ok tak?”     

“ Uhuk… uhuk… Ra… Radi…” mak bersuara.

“ Mak, kenapa ni mak?! apa benda yang terbakar tu mak?! Kuat bunyinya…” tanyaku, gelisah.

“ Mak… mak dan … ayah…”

“ Mak! Bertahan mak! Radi sampai kejap lagi!”  

“ ..mak dan ayah… sayang… Radi… ” talian telefon terus terputus.

“ Mak?! Maaaak!” jiwaku dihantui rasa cemas. Aku enggan menerimanya, hakikat bahawa rumahku sedang hancur dijilat api, namun pelbagai gambaran buruk mulai menerjah sangkar fikiranku, menimbulkan segala macam emosi dan prasangka negatif. Hatiku terdetik, aku berpeluang untuk menyelamatkan ayah dan mak jika aku pantas, lalu aku memecut dengan sepenuh hati. Akibatnya, aku terhumban ke kancah kebinasaan yang memakan diri.

“ Radi, kau dah ingat semula?” Tanya Zul. Aku mengangguk. Aku menceritakan tentang peristiwa itu dan ternyata. berita tentang kematian mak dan ayahku juga tercetak di salah satu halaman akhbar. Setelah melakukan penyiasatan, pihak berkuasa mendapati bahawa punca kebakaran adalah disebabkan oleh kerosakan bahagian utama punca kuasa elektrik. Mereka juga percaya bahawa mak dan ayahku tidak sempat diselamatkan kerana mereka tersedar setelah api marak.

Tambahan lagi, pasukan bomba dan penyelamat tidak sempat mengurangkan kemarakan api terutamanya di bahagian bilik tidur mereka di tingkat dua. Namun, panggilan telefon yang terakhir itu, walau hanya sebentar, memberi sentuhan yang tidak mungkin mampu digambarkan meskipun dengan seribu perkataan. Itulah kali terakhir aku mendengar suara mak.  

Selama ini aku seperti acuh tak acuh ketika berbual dengannya,aku tidak pernah hendak bertanya tentang perihalnya, perasaannya, perkara yang dia suka, mahupun makanan kegemarannya. Aku hanya mementingkan diri! Aku tidak pernah mengambil tahu mahupun mengambil peduli tentang perkara-perkara penting sebegitu,  tetapi kini sudah terlambat.

Aku tidak akan dapat lagi mendengar suaranya yang lembut itu, suara yang sering membelaiku sejak kecil, masakannya, yang tidak pernah lewat terhidang di atas meja makan ketika aku pulang dari sekolah, juga nasihat ayah yang pastinya, jika aku akur mampu mendorongku membina jati diri, menjadi lelaki sejati. Oh, hanya Tuhan yang tahu betapa aku merinduinya.

Suasana menjadi sayu seketika. Aku hanya memandang ke bawah. Zul cuba menenangkan fikiranku. Semuanya terlalu mengejut. Semalam aku mengecapi nikmat, lalai, hanyut sehingga lupa akan dunia dan akhirat, hari ini aku terbaring, kehampaan. Segala yang tidak pernahku syukuri selama ini, hilang.

Harta benda, kemewahan, tiada makna. Jika Allah mahu mengurangkan atau mengambilnya, tiada apa yang mampu dilakukan untuk menghalang. Mungkin inilah balasanku sebagai penghapus dosa. Mugkin Allah mengambil nyawa mak dan ayah supaya mereka tidak perlu lagi menanggung keperitan membesarkan anak yang hanya hidup segan, mati tak mahu. Aku rebah di katil, terus terlena. Terlalu sukar untuk aku menerima semua ini…aku belum bersedia lagi…

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kicauan merdu sang puyuh di luar jendela menyingkap pandangan mata. Terasa juga kehangatan mentari mengalas pipi, sebagai bukti diri diberi nafas untuk memulakan suatu episod yang baru.

“ Assalamualaikum…” seorang doktor masuk.

“ Waalaikumussalam.” Jawabku sambil mengalihkan pandangan ke arahnya.

“ Saya doktor Mustaffa, saya yang bertanggungjawab untuk merawat kamu, Radi…” jelasnya.

“ Jadi, insyaallah, kecederaan kamu akan sembuh cuma perlu memakan sedikit masa…”

“ Doktor, mak dan ayah saya… mereka dah… tak ada, kan?” aku memintas percakapannya.

Dia mengeluh.

“Saya… minta maaf kerana lambat memaklumkannya, kerana saya tidak mahu keadaan kamu yang teruk ini bertambah teruk lagi akibat gangguan emosi.” Katanya.

“ Radi, kalau mengikut logik akal dan hukum fizik, mangsa yang mengalami kemalangan seteruk ini tak akan mempunyai peluang untuk hidup, kalau hidup pun mereka akan mengalami kecacatan kekal. Percayalah, Allah memberi kamu peluang.  Bersabar, ambil sedikit masa. Ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku. Kita merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang…”

Aku terkedu, tanpaku sedari air mataku mengalir di pipi, tiada lagi yang dapat kulakukan untuk menahan sebak di dada. Dalam diam, aku berfikir, bagaimana untukku hadapi semua ini? Aku memandang ke kanan, baruku perasan akan ketiadaannya. Katilnya sudah dikemas rapi. Lantas aku mengajukan soalan kepada doktor yang sedang mengatur langkah keluar.

“ Doktor, pesakit ni dah balik ke?”

“ Oh, pesakit ni? Muhammad Zulkifli bin Khairuddin? Dia sudah meninggal dunia sejak dua hari lepas, dan sudah selamat dikebumikan. Beberapa jam sebelum kamu dimasukkan ke wad ni.”

“ Me… meninggal? Dia meninggal sebab apa ya?” bulu romaku meremang buat seketika.

“ Selain tulang rusuk dan tulang belikat, dia mengalami kerosakan teruk pada saluran pernafasan, dia bertahan selama seminggu dalam wad ni. Kami telah mencuba sedaya-upaya, tapi… kami tak mampu untuk menyelamatkannya. Em, kenapa ya?” tanyanya kehairanan.

Jika diimbau kembali, sejak mula aku bersua dan selama meluangkan masa bersamanya, tempoh masanya adalah sekitar jam dua pagi. Zul tidak pernah berganjak dari katilnya, dia sentiasa duduk di situ sambil bersandar. Aku juga tidak pernah nampak dia memegang atau menyentuh apa-apa barangan.  

Tambahan lagi, kami tidak pernah bersalaman atau bersentuhan. Kami hanya berbual sepanjang masa. Sewaktu hendak meminta surat khabar pula, aku juga yang menekan butang dan berinteraksi dengan jururawat tersebut. Di samping itu, setiap kali jururawat masuk ke wad, dia tidak pernah pun menyapa Zul apatah lagi memberi ubat.

“ Err, em, sa..saya…” agak sukar untuk aku mengatur kata-kata setelah mendengar penjelasan itu. 

“ Mungkin bunyinya agak tidak masuk akal, tapi malam tadi saya berbual dengan dia, betul! Berbual panjang doktor, bukan sikit!”

Sejak hari itu aku mulai berubah…

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------     

Lima tahun kemudian…

“ Radi, dah dekat pukul 11 malam ni, tak nak balik ke?” Tanya Amir, teman sebilikku.

“ Oh, kau pergilah dulu, lagi sikit saja kerja kursus aku ni nak disiapkan, sekejap lagi aku balik…” Amir melangkah pulang.

Aku menghela nafas lega, bersandar sebentar. Akhirnya selesai juga kerja kursus yang agak mencabar itu. Tidakku sangka, seronok juga menelaah pelajaran di institusi pengajian tinggi. Aku mengemas barang dan beransur pulang. Aku bersendirian di perpustakaan itu, berjalan, langkah demi langkah, tiba-tiba…

“ Aduh!” barang-barangku terjatuh. Aku terlanggar dengan seseorang.

“ Oh, maaf, maaf. Awak okey tak? Silap saya tadi nak cepat sangat…” kata lelaki yang melanggarku itu.

“ Oh, tak apa, perkara kecil saja…” terus aku memungut kembali bahan-bahan rujukan, dia juga membantu. Namun, terdetik sesuatu di dalam hati, macam pernahku dengar suara itu….

“ Berusahalah ya…” katanya sambil bergegas kembali mengorak langkah.

Sangkaku, mungkin kebetulan saja, tetapi… sangkaan itu tersangkal apabila dia menoleh memandangku…

“ Zul?”        

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wow. siapa sangka kan? sekelip nata sahaja semua ditarik semula. mujur ada yg masih beri semangat lagi.

  • (Penulis)
    2) betul2 ^_^
  • 3) menarik..byk pengajaran..keinsafan dtg saat kita kehilangan dan saat itu kita berubh ke arah kebaikan

Cerpen-cerpen lain nukilan kai_dante

Read all stories by kai_dante