Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Mahakarya

 

Mahakarya

Nordin menyelak langsir biliknya. Cahaya matahari yang menerobos biliknya yang kelam itu seolah membutakan matanya. Sudah pagi, fikirnya. Sambil mengenyitkan mata, dia memerhatikan kanak-kanak yang berlari dan bermain di padang sebelah jalan rumahnya sambil bergelak ketawa. Sepatutnya dia turut sama tersenyum. Jika dia melihat kanak-kanak yang sama melakukan perkara yang sama beberapa hari dahulu, tentu dia akan turut sama tersenyum. Tetapi tidak hari ini.

 Hati Nordin tidak tenang hari ini. Tidak juga ceria bahkan bengkak dengan perasaan amarah yang tidak tertanggung. Dia bangun awal. Tetapi dia tidak keluar untuk menikmati pagi yang indah ini. Seperti kebanyakan penduduk di Taman Mawar yang lain, yang masih berlingkar di dalam selimut atau terus menancapkan mata di depan TV tanpa menghiraukan suasana pagi yang indah itu terus berlalu tidak kembali lagi, dia juga memilih untuk berkurung dalam bilik kelamnya.

 Nordin sebenarnya tidak bangun awal. Bahkan dia sebenarnya langsung tidak tidur malam tadi. Dia hanya berguling-guling di atas tilam lusuhnya mencari idea untuk mahakaryanya. Sebuah karya agung. Karya pertamanya. Mahakarya pertamanya. Dia sebenarnya tidak pernah meghasilkan sebuah lukisan yang siap. Apatah lagi sebuah mahakarya. Sudah tentu, dia mempunyai asas dalam lukisan, mendapat B3 dalam Matapelajaran Lukisan semasa sekolah menengah dan B- dalam subjek minor graphic di Universiti, itu sudah dikira memadai baginya untuk menghasilkan sebuah mahakarya.

 “Apa kau ingat susah sangat nak buat masterpiece?” katanya pada Nizam suatu hari. Hari sebelum kegilaan itu bermula.

 “Aku tahu kau boleh melukis, Din. Tapi takkanlah sampai nak berhenti kerja. Kau anggaplah ini cubaan pertama kau. Kau melukislah waktu malam. Siang kau pergi kerja.” kata Nizam menggeleng-gelengkan kepala.

 Nordin diam tidak berkata apa-apa. Memang dia akur dengan rakan baiknya untuk tidak memberikan notis berhenti bagi melukis sepenuh masa. Tetapi nampaknya prestasi kedatangannya ke tempat kerja tetap jatuh. Ada-ada sahaja hari yang dia tidak datang kerja dan apabila ditanya Nizam, dengan selamba dia akan menjawab, untuk menyiapkan mahakaryanya. Mengingatkan perkara itu hanya menambahkan bengkak di hatinya. Lebih baik dia berbaring mencari idea bertemankan bantal busuk dan tilam usang daripada memikirkan amarahnya pada rakannya itu.

 Nordin masih lagi bermalas-malas di atas katilnya. Semalaman dia berjaga untuk mencari idea bagi mahakaryanya. Tetapi satu pun tidak keluar. Dia sudah nekad, kerjanya sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat hartanahlah yang menghalangnya selama ini untuk menghasilkan karya yang agung. Hatinya tawar untuk pergi kerja. Dia perlu meluangkan lebih banyak masa untuk menghasilkan karya agungnya.

 Dia hairan dengan manusia sepertinya. Mereka sanggup lupakan bakat dan minat mereka kerana mengejar duit. Berapa ramai pelukis, penulis, pemain gitar ataupun pemidato yang melupakan bakat mereka kerana terlalu sibuk dengan kerja yang langsung tiada kaitan dengan kemahuan dan bakat mereka, tetapi berlandaskan duit semata-mata. Kerja yang mereka buat langsung tidak dihargai, malah semuanya kerja tetek bengek yang sebenarnya tidak penting langsung bagi sesiapapun.

 Nordin teringatkan kerjayanya. Kerjanya menguruskan gaji, cek, duit masuk, duit keluar. Semuanya dilakukannya dengan begitu komited dan cemerlang, seolah-olah itulah kerja yang paling penting sekali di dalam dunia. Dan itulah yang diberitahu oleh bosnya setiap masa. Kerjanya adalah kerja yang paling penting sekali. Tanpanya, sesebuah syarikat itu akan lumpuh. Dan dia akan tersenyum bangga apabila diberitahu sedemikian rupa oleh bosnya tanpa memikirkan adakah gajinya selaku orang yang paling penting dalam syarikat – sebagaimana diberitahu oleh bosnya – menyamai dengan satu per sepuluh gaji bosnya.

 Tidak, bukan kerana busuk hati terhadap bosnya. Tetapi dia mulai memikirkan adakah kehidupan sebegini yang diinginkan olehnya. Berpening kepala setiap akhir bulan mengimbangkan akaun syarikat yang dia sendiri tidak pedulikan jatuh bangunnya dan mengira setiap sen duit yang perlu dibank-in ke dalam akaun pekerja yang dia sendiri tidak begitu kenal hati budinya. Adakah betul apa yang dikatakan oleh bosnya, yang syarikat akan lumpuh apabila ketiadaan dia?

 Hari ini sudah masuk hari ke tujuh – tidak termasuk hari minggu - dia tekad tidak bekerja. Dia memerhatikan telefon bimbit di atas meja tulis di sebelah katilnya buat kesekian kali. Kalau benar apa yang dikatakan oleh bosnya. Tentu mereka akan menelefonnya tanpa henti merayunya supaya datang bekerja hari ini. Paling tidak, Nizam akan datang mencarinya. Tetapi hatinya sudah tekad, dia tidak akan bekerja lagi. Dia tiada masa untuk memikirkan tentang kesibukan orang lain. Dia tiada masa untuk menyelesaikan masalah orang lain. Dia juga tiada masa untuk mengira-ngira keuntungan orang lain, yang satu senpun dia tidak dapat sentuh. Sekarang hanya ada dia dan kanvas kosong miliknya yang akan dia tukarkan menjadi sebuah mahakarya.

 Hari sudah mulai tinggi. Taman Mawar yang tadinya begitu indah dengan limpahan matahari pagi dan kicauan burung sudah mulai membahang. Gelak ketawa kanak-kanak berlari tanpa menghiraukan panas matahari dan suara ibu mereka yang memarahi sayup-sayup kedengaran. Nordin masih lagi merenung kanvas kosongnya. Berus ada di tangan, cat yang dibancuh pada palette kayu mulai keras mengering. Bahang panas matahari tengahari membuntukan lagi fikirannya.

 Tujuh hari! Tujuh hari tanpa kerja dan masih tiada hasil apa-apa! Dengusnya dalam hati. Dia mengambil telefon bimbit di sebelahnya, menekan-nekan kekunci telefon itu tetapi kemudian meletakkannya kembali ke tempat asalnya. Dia bercadang untuk menelefon Nizam, bertanyakan tentang tempat kerja setelah ketiadaannya selama tujuh hari, tetapi dia mematikan niatnya. Semua itu tidak penting lagi. Yang penting sekarang ialah untuk menyiapkan sebuah mahakarya. Ulangnya dalam hati.

 Tetapi pada masa yang sama, hatinya tetap tidak tenang. Bermacam-macam perkara yang menerjah ke dalam kepalanya apabila dia cuba menumpukan perhatiannya kepada kanvas kosong itu. Marahnya kepada kawan-kawan yang tidak mempercayai kebolehannya. Marah kepada bosnya yang hanya tahu mengarah. Marah kepada rakan sekerjanya yang tidak pernah cuba berbaik dengannya. Marah dengan sistem pendidikan yang memaksanya mengambil jurusan management walaupun dia percaya dia berbakat dalam seni. Marah kepada dirinya sendiri kerana walaupun sudah tujuh hari dia mengasingkan diri, masih belum ada apa-apa yang keluar dari kepalanya. Bukan setakat idea agung, idea picisan martabat rendah – seperti selalu dikatakan olehnya apabila mengkritik karya orang lain – juga tidak keluar. Kepalanya mulai berat, bukan dengan idea, tetapi dengan kemarahan.

 Tetapi buat masa ini, dia berasa paling marah kepada Nizam kerana selaku rakan baiknya, dalam tempoh tujuh hari dia tidak bekerja, batang hidungnya langsung tidak nampak. Bukan setakat datang menjenguk, telefon pun tidak.

 Mungkin Nizam dengki padanya. Memang dari dahulu lagi dia nampak yang Nizam tidak pernah menyokong tindakannya. Nizam hanya pandai menasihatinya supaya bekerja bersungguh-sungguh. Apa yang orang pragmatik macam Nizam tahu tentang manusia seni sepertinya? Nizam hanya kerja, kerja dan kerja sahaja. Cukup bulan dapat gaji. Dia pun hairan, orang seperti Nizam ada impiankah? Ada cita-citakah?

 Baginya, Nizam adalah lawan kepada sifat dirinya walaupun mereka berkawan. Nizam tiada cita-cita. Nizam tiada impian selain dunia kecilnya dalam syarikat penghantaran itu. Mungkin orang akan menganggap Nizam sebagai seorang contoh rakyat yang berjaya. Mempunyai rumah yang sederhana besar. Kereta MPV Ekonomi yang sporty walaupun anak baru seorang dan bergaji tetap. Memang itulah yang menjadi ukuran seorang yang berjaya. Tetapi baginya, Nizam adalah seorang yang malang.

 Malang kerana hanya mengikut arus norma masyarakat. Masyarakat mahukan itu dan itulah yang disediakan oleh Nizam. Masyarakat mahukan sesuatu yang ‘selamat’ dan tiada risiko dalam kehidupan dan itulah jua yang ditunjukkan oleh Nizam. Apakah Nizam tiada impiannya sendiri selain mengikut kata masyarakat?

 Ya, sudah tentu Nizam mempunyai hobi. Jika pasal bola, Nizam boleh bercakap berjam-jam. Jika bercakap soal kereta, Nizam memang johan. Tapi setiap malam dilalui Nizam dengan sunyi. Dia akan menonton televisyen sehingga tepat pukul 11 malam dan masuk tidur selepas menggosok gigi dan menutup lampu bilik anaknya. Jadualnya sama sahaja setiap hari sehingga Nordin mula memikirkan apakah maksud kehidupan pada mata Nizam.

 Jadi Nordin sangat yakin yang Nizam memang dengki padanya. Sebab itu bila dia beritahu hasratnya untuk melukis sepenuh masa, Nizam tentang habis-habisan. Mungkin Nizam tidak mahu dia jadi terkenal dan meninggalkan dia di syarikat yang memberinya jalan mati itu.

 Nordin tersenyum sendiri. Ya, dia akan jadi terkenal tidak lama lagi. Kanvas putih ini akan dia calit dengan sebuah calitan mahakarya yang akan menggegarkan dunia. Dia cuma perlu sedikit masa supaya idea hebat dalam benaknya ini dapat keluar dan diluahkan. Mungkin dia perlu tidur. Atau mungkin tidak. Tidur akan menyebabkan otaknya tumpul. Ideanya akan kering. Calitannya akan basi. Semangatnya akan pudar.

 Jadi dia sendiri sudah lupa berapa hari dia tidak tidur. Dia merenung kanvas di depannya yang masih tidak terusik. Di manakah idea? Kenapa tidak mahu keluar? Dia mula menghantukkan kepalanya ke dinding. Sakit. Tetapi dia buat lagi. Mungkin dengan cara ini darah di dalam otaknya akan lebih lancar mengalir. Darah yang lancar akan menghasilkan idea yang luarbiasa.

 PUK! Dia hantuk lagi. Sakitnya memang luar biasa. Tetapi ditahannya. Kali ini dia mula merasakan kelainannya. Dia sudah mula merasakan satu semangat baru meresap dalam kepalanya. Dia sudah ada idea! Kali ini dia akan menyiapkan mahakaryanya pada dinding ini. Bukan lagi di atas kanvas. Karya di atas kanvas biasa sahaja. Tidak cukup grand. Tidak cukup unik. Dia perlukan sesuatu yang luarbiasa uniknya.

 PUK! Dia hantuk lagi kepalanya. Kali ini darah merah pekat mula mengalir dari dahinya. Sakitnya bukan kepalang. Tetapi dikacip giginya kemas-kemas. Ditahan rasa sakitnya walaupun batinnya meraung pedih. Kali ini idea baru pula muncul. Dia akan menghasilkan karya menggunakan darahnya!

 Setiap kali kepalanya dihantukkan, ketika itulah dinding itu akan menghasilkan satu corak istimewa dari percikan darahnya. Jika dibuat dalam bilangan yang cukup banyak, percikan darahnya akan menghasilkan satu corak yang cukup indah. Sakit? Sudah tentu dia akan berasa sakit yang tidak terhingga. Tetapi dia mesti menahannya. Ini bukan kerja main-main. Ini bagi menyiapkan sebuah masterpiece!

 Dia menyeringai menahan sakit. Azabnya tidak tertanggung. Dia terduduk sambil memegang kepalanya yang dirasakannya hampir pecah. Ketika itu dia teringatkan Marc Quin atau mungkin juga Millie Brown, yang juga menanggung azab ketika menyiapkan mahakarya mereka. Tetapi adakah mereka merungut? Sudah tentu tidak. Itu harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang artis terkenal. Apabila memikirkan hal itu, dia bingkas bangun dan terus menghantukkan lagi kepalanya ke dinding.

 PUK! PUK! Dia hantuk lagi. Kali ini dia teringatkan pula Chris Burden atau Marina Abramovic yang juga menderita sepertinya. Semangatnya semakin membara. Dan darah menyembur lagi dari kepalanya. Darah! Darah banyak keluar! Dia tidak boleh membazirkan darah yang mengalir itu. Dia mesti menggunakan medium dengan sebaik mungkin. Dia menempelkan badannya ke dinding. Jadi satu corak lagi. Hatinya puas.

 Dia memandang dinding. Corak-corak yang terbentuk kelihatan kacau bilau. Sekacau fikirannya sekarang. Masih banyak lagi ruang kosong. Dia mesti memenuhkan seluruh ruang. Dia meraba dahinya. Dia rasa dahinya kasar dan melekit. Mungkin dahinya sudah hancur. Mukanya juga sudah dibasahi darah.  Tetapi dia mesti meneruskan kerjanya menghantuk kepala. Dia mulai risau jika darah tidak akan mengalir lagi lagi dahinya. Mungkin dia perlu menikam dirinya atau mengelar lehernya. Tetapi buat masa sekarang, dia masih boleh menghantukkan kepalanya ke dinding.

 PUK! PUK! PUK! Kali ini dia terdengar bunyi sesuatu merekah. Dia terkebil-kebil tidak dapat menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya. Kepalanya seperti mahu pecah. Otaknya seperti mahu meletup. Dalam kesakitan itu, dia meraba-raba dinding jika dinding itu merekah. Jika benar, rosaklah mahakaryanya. Tidak, dinding itu tidak rosak. Kali ini ini dia raba pula dahinya. Dia terasa satu jalur yang tidak sekata dari tengkorak dahinya. Adakah kepalanya sudah pecah? Dia tidak tahu. Yang dia tahu darah mengalir seperti air paip keluar dari rekahan itu. Dia juga baru sedar darah mengalir tidak henti dari kedua belah telinganya.

 Pandangannya kabur. Dia tidak tahu adakah pandangannya kabur kerana badannya kekurangan darah atau matanya digenangi darah. Apa yang sempat dilihatnya ialah mahakaryanya yang masih belum siap dan dia tahu dia tidak akan sempat menyiapkannya kerana pandangannya mula gelap. Tanpa sempat mengucapkan apa-apa, dia jatuh terlentang. Keras dan kaku tidak bernyawa lagi.

                                                     *****

 Dua hari selepas itu, entah kenapa Nizam tergerak hatinya untuk melawat rakannya Nordin. Dia memang sudah lama tidak rasa sedap hati dengan perangai Nordin. Mungkin Nordin terlalu tertekan ketika kerja atau terlalu memikirkan cita-citanya yang tidak tercapai. Dia tidak tahu. Yang dia tahu, orang seperti Nordin sepatutnya menerima bantuan psikologi atau sekurang-sekurangnya, bekalan Prozac yang mencukupi.

 Nizam mengetuk pintu rumah Nordin. Namun tidak berjawab. Dia mula memikirkan untuk menendang sahaja pintu itu tapi dibatalkannya selepas didapati pintu itu tidak berkunci. Langkah kakinya ke dalam rumah itu hampir terbantut apabila dia terbau busuk yang yang menusuk ke pangkal hidung. Dia memandang sekeliling. Memang ini rumah Nordin. Dia tidak tersilap rumah. Rumah kosong dan kelam ini hanya didiami rakannya yang bernama Nordin. Tingkap dan langsir tidak terbuka. Hanya kegelapan dan kesunyian yang dirasakannya apabila masuk ke dalam rumah ini. Bagaimana manusia boleh hidup di sini pun dia tidak tahu.

 Dia terus ke bilik Nordin. Bau busuk yang menusuk hidungnya membuatkan dirinya bersedia dengan apa-apa kejutan yang berlaku. Jadi apabila dia melihat mayat rakannya yang terkangkang sambil tangan mengerkot ke dada, dia tidak terkejut lagi. Hanya kesedihan yang bersarang di hatinya. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan yang mengerikan dengan darah memercik merata-rata. Di lantai, di dinding dan langsir. Semuanya tidak berbaki. Namun dari sudut hati Nizam, dia tidak merasakan kengerian yang sepatutnya dirasakannya. Hanya sedih bersarang dihatinya melihat wajah sahabatnya yang kering dengan mulut yang ternganga dan dahi yang hancur.

 Nizam ingin mengambil sesuatu untuk menutup wajah sahabatnya itu, namun dia membatalkan niatnya kerana mungkin polis mempunyai idea yang lebih baik untuk menangani perkara seperti ini. Dia hanya mampu mengeluh sambil menekan nombor telefon polis pada telefon bimbitnya.

 Sepanjang hidupnya, Nordin hanya mengeluh tentang perjalanan hidupnya yang tidak menentu, cita-cita yang tidak terlaksana dan pekerjaannya yang menemui jalan buntu. Nizam hanya mampu menasihatkannya supaya bersabar kerana kerja itulah yang membayar bilnya dan memberinya makan. Bukanlah dia seorang pesimis, tetapi dia percaya yang dia seorang realis tidak seperti Nordin. Mengambil risiko ada hadnya. Dia teringat kata-kata Warren Buffet : Jika hendak mengukur kedalaman sungai, jangan hulurkan kedua-dua belah kaki. Dan itulah yang selalu dikatakannya kepada Nordin.

 Ketika melangkah keluar dari rumah itu menunggu polis datang, Nizam memerhatikan lagi rumah kosong dan kotor itu dan membayangkan bagaimanakah rutin hidup Nordin setiap hari sehingga Nizam mula memikirkan apakah maksud kehidupan pada mata Nordin.

 -N-

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Saspens

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Terbaik!

  • (Penulis)
    2) Terima kasih, tuan. Saya masih memperbaiki naratif saya yang saya fikir masih keras dan kaku.

Cerpen-cerpen lain nukilan En_Kerani

Read all stories by En_Kerani