Kutu yang ingin berhijrah!

 

Saya ada membela seekor kutu. Ia adalah sejenis serangga penghisap darah yang gatal. Saya memanggilnya Robert Williams. Ia tinggal di bahagian celah sudut dalam ketiak sebelah kiri saya. Mujurlah ketiak kiri saya berbulu lebat. Bolehlah beliau bersembunyi di sana dengan aman makmur bahagia. Setiap senja, Robert Williams akan menyanyi,

“jiwa rasa gelora!! Kasih pada teruna…!”

Saya pernah bertanya kepada beliau,

“Hoi Robert! Kamu kan jantan, kenapa nyanyi ‘kasih pada teruna’?”

Robert menjawab,

“saya seekor kutu betina yang terperangkap di dalam jasad kutu jantan!”

Setelah menjawab begitu, beliau menangis tersedu-sedu.

Pada suatu hari (hari yang kebetulan saya shopping di Pusat Pakaian Hari-Hari Itu), Robert Williams menjerit dengan lantang daripada celah ketiak saya,

“Tuan! Saya mahu berhijrah!!”

Saya yang sedang mengurat gadis penjual di kedai pakaian tersebut terus tersentak! Saya segera berlari masuk ke Fitting room yang berdekatan. Selepas membuka T-shirt, saya tarik Robert keluar dengan jari kelingking tangan kanan saya. Setelah meletakkannya di atas sebiji jerawat di batang hidung saya, saya bertanya,

“Apa kau cakap?!”

Robert membuat muka masam, semasam ketiak saya yang berlumut.

“saya mahu berhijrah tuan!”

Tegas dan yakin sekali jawapan beliau. Tak pernah saya melihat Robert begitu. Wajah kutu yang hodoh manja itu kini kelihatan muram. Seperti seekor buaya darat yang kehilangan betina.

“kau nak pergi mana? Apa tak cukup selesakah ketiakku ini? Tak cukup busuk lagikah ruang ketiakku ini? Selama membela kau, aku tak pernah basuh ketiak kiri, tahu?!!”

Saya amat kecewa dengan Robert. Saya kutip dia dari perlembahan hina. Saya hiasi dia dengan kemasaman dan bulu-bulu kerinting yang ramah! Inikah balasannya?!! Sungguh tidak mengenang jasa!

Tiba-tiba Robert bersuara,

“Tuan! Bukan sebab ketiak tuan tak selesa..bukan juga sebab sudah kurang masam..BUKAN!!”

“Habis tuu?!!!” Saya hairan.

“sebab…sebab…saya sudah insaf! Saya mahu mengamalkan gaya hidup yang bersih pula”.

Sekali lagi saya bingung. Saya menjelaskan,

“kutu mana boleh bersih!”

“Boleh tuan! Saya dah bosan dengan kebusukan! Izinkanlah saya pergi tuan…!”

Dengan berat hati, saya melepaskan Robert pergi. Pergi meninggalkan ketiak saya buat selama-lamanya.

……………………………………….

Seminggu selepas Robert pergi, saya mula mencuci semula ketiak kiri saya. Saya agak keberatan juga pada mulanya. Tetapi setelah mencucinya dengan Chlorox, Vanish O2 dan Vim, saya berasa seronok pula! Daki dan kekotoran yang keluar daripada ketiak saya ini berwarna hitam kehijauan dan menyebabkan lubang pelepasan air di lantai bilik mandi tersumbat. Selepas itu beratus-ratus ekor lalat hijau pula datang menghurung sisa kotoran tersebut.

Selama ini saya telah alpa rupanya. Akibat asyik membela Robert, saya lupa menjaga kebersihan diri.

Jiran-jiran sebelah rumah saya bersepakat mengadakan kenduri doa selamat sempena peristiwa pembersihan ketiak saya! Tok imam surau kampung mewajibkan Jemaah surau mengadakan berzanji dan solat sunat syukur. Malah seluruh isi kampung mengadakan pesta meyambut ketiak kiri saya yang sudah suci. Mereka mengadakan pesta. Ada yang bermain mercun dan bunga api, ada yang bermain kompang, ada yang berdondang sayang dan ada juga yang ber’karaoke’!

Saya sungguh terharu sehingga berlinangan air mata di pipi.

Dalam kemeriahan itu, tiba-tiba bulu betis kaki kiri saya terasa dicuit oleh sesuatu. Setelah diteliti, rupa-rupanya Robert yang datang. Dia mencari saya semula! Saya sungguh terkejut!

“kau mau apa?!!”

Jerkahan saya menghentikan aktiviti karaoke yang sedang berlangsung.

“saya…saya mau kembali kepada ketiak tuan..”

Saya memandang Robert dengan sayu.

“TIDAK Robert! Zaman ketiak busuk telah berlalu!”

Robert mula menangis. Saya menambah,

“Apa jadi dengan HIJRAH kau itu?”

Robert menjawab,

“saya silap tuan, kutu tak boleh hidup dalam kebersihan!!”

Saya sangat yakin kali ini. Saya terus berkata,

“Robert, sekali seorang lelaki membersihkan ketiaknya, selamanya dia akan membersihkannya!”

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Robert Williams bukan nama sebenar. Maaf jika ada yang bernama sama, hanya kebetulan.
  • 2) semoga Robert Williams berjumpa dengan tuan yang lebih memahami.

Cerpen-cerpen lain nukilan Kurusawa

Read all stories by Kurusawa