Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

INI KELUARGA KAMI

  • 0
  • j_ana
  • 11 years ago
  • 9,636
  • FREE

 

Sebuah happy family yang tinggal di bandar.

 

Gambaran keluarga yang tinggal di bandar. Ada yang kaya, anak ke sekolah dengan kereta besar dan mewah. Ada yang miskin, bawa bekal roti dan air kosong ke sekolah hari-hari. Yang biasa-biasa, hanya bawa telefon bimbit ke sekolah dan selalu mengelak dari kena tangkap dengan cikgu disiplin. Ibubapa pun apa kurangnya, ada yang bergaya sakan (padahal kerja direct seller je!), ada yang meniaga di pasar borong Selayang, ada juga yang jadi tuan kepada beribu hamba tua dan muda yang bergelar pekerja.

 

Keluarga aku terdiri dari orang biasa-biasa saja. Tak kaya dan tak miskin. Aku rasa, hidup kami bahagia. Papa dan mama tak pernah marah kami adik beradik. Degil-degil kami, bila ditegur kami dah berhenti. Tapi aku semakin tua sekarang, tak berapa ingat apa yang terjadi dulu-dulu.

 

 

Terpaksa berpindah ke kawasan luar bandar untuk menampung hidup saat kegawatan ekonomi.

 

Tahun 1997, kemelesetan ekonomi melanda tanah bertuah Malaysia. Taklah bertuah sangat ketika itu, tapi bertuah bagi penduduk bandar yang dapat berhijrah ke kampung-kampung luar bandar. Jimat kos katanya. Tapi lain bagi kami, papa kata kami pindah ke sini kerana kami memang ada rumah di sini, di Kampung Tempurung Tua ini.

 

Nah, rumah yang kami duduki sekarang inilah rumahnya. Awalnya aku bahagia, keluargaku bahagia. Tapi di sinilah segalanya bermula. Ya, tak salah lagi rasanya, di sinilah…

 

 

Kawan-kawan Kak Ina jadikan dia si mulut puaka!

 

Akak sulungku, Kak Ina. Dia seorang yang baik, lemah lembut. Semua orang sayang dia. Tak pernah sekali pun dia marah padaku atau Izah. Tandanya, setiap kali balik ke kampung, atok dan nenek pasti akan memberinya hadiah. Tak duit, mesti ada barang baru yang akan diberikan padanya. Maklumlah, Kak Ina pandai jaga hati orang tua, tak macam aku.

 

Hari Khamis bulan enam, sepuluh tahun lepas. Aku genap berumur lapan tahun. Kak Ina yang selama ini murah dengan gula-gula dan coklat kepada adik-adiknya, tak pula bagi aku apa-apa hadiah. Aku memang manja dengan dia, jadi aku tanya dengan nada merajuk. Soalan aku Cuma mana hadiah aku?, itu saja. Tapi alangkah sedih rasa hati ini, aku ditengking balik.

 

“Kau ni kalau tak mengada-ngada tak boleh ke hah?” jerkah Kak Ina membuatkan seisi rumah menjadi kaget.

 

“Aku tanya je, tak ada dah lah. Nak marah-marah apasal?” aku berlalu dengan muka yang mncebik. Tak aku duga, tangan yang pernah mendodoi aku, tangan yang pernah menyuapkan aku makan, hari ini singgah ke belakang badan. Hadiah paling istimewa aku dapat hari itu. Memang perangai aku, lepas dijerkah dijerit aku jerit balik, lepas itu aku lari masuk bilik.

 

Sama. Hari itu aku lari terus ke bilik lepas tangannya aku pukul. Aku kunci pintu rapat-rapat. Kak Ina menggila. Diketuk-ketuk pintu bilik. Maklumlah, rumah kampung, hampir tercabut pintu bilik dibuatnya. Datang papa dan mama dari depan, tergesa-gesa. Dipeluk anak sulung yang kerasukan itu. Aku disalahkan kerana mengganggu Kak Ina ingin berehat. Wow, tak aku sangka inilah kehidupan di kampung.

 

Memandangkan kawan-kawan Kak Ina jenis yang suka datang rumah, dah menjadi kebiasaan mereka untuk masuk rumah, salam papa dan mama, dan terus ke bilik tidur Kak Ina dan pintu ditutup rapat. Tak ada siapa tahu apa mereka buat di dalam sana. Aku tahu, kerana perkara inilah Kak Ina semakin garang dan menyinga, tapi kenapakah?

 

 

Angah merempat di rumah sendiri, salah siapa?

 

Aku Angah. Anak kedua dari tiga beradik. Papaku Shahdan Rozmi, Sales Executive di syarikat pengiklanan terkemuka di Malaysia suatu masa dulu. Mamaku Rahimah Azmi, pembantu tadbir di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Kakakku, Kak Ina, dua tahun lebih tua dariku. Aku juga punya adik, Izah. Muda setahun dariku. Aku sayang keluargaku. Ini keluarga aku.

 

Tapi, sejak pindah ke Kampung Tempurung Tua, aku terasa seperti aku putus hubungan dengan dunia luar. Kawan-kawan baru hanya di sekolah, habis sekolah mereka berpusu-pusu pulang ke rumah dengan basikal. Aku saja yang menunggu mama datang mengambilku di kantin sekolah. Aku baru darjah dua ketika itu, Kak Ina darjah empat, Izah pula darjah satu. Kami semua bersekolah di sekolah yang sama, tapi waktu pulang berbeza antara Kak Ina dengan aku dan Izah.

 

Memandangkan murid Tahap Dua pulang pukul satu petang, aku terpaksa menunggu untuk balik lebih lama. Izah hilang setelah meninggalkan beg padaku. Dia lebih gemar berjalan ke kedai belakang sekolah dengan kawan-kawannya. Aku tak dibenarkan untuk ikut, kata mereka aku dah tua. Jadi, tinggallah aku seorang ditemani bangku-bangku panjang yang bisu dan meja makan yang minta dilap dan dikemaskan oleh pekerja kantin.

 

Balik ke rumah, semua orang dah penat. Aku kejar Izah masa mama sampai tadi, tapi tak sempat sampai kedai dia dah keluar. Tak sempat nak beli aiskrim ke air ke. Lagipun kata mama, kena pandai berjimat. Semua orang tidur, mama pula keluar ke rumah Cik Ayu, tukang jahit baju kurung terkenal di kampung. Mama belajar menjahit dengannya jadi, Kak Ina akan jaga kami yang kecil ini.

 

Tapi, hari-hari begini. Lagi teruk kalau hari Rabu, Kak Ina ada ko-kurikulum di sebelah petang. Izah pergi ke rumah kawannya, rumah sebelah kami. Aku nak jumpa kawan-kawanku, aku tak punya basikal. Mereka tinggal di sebelah timur kampung ini, aku pula bahagian barat. Memanglah kampung ini kecil, tapi nak jalan kaki mau rentung aku dibuatnya. Papa membuka kedai makan , jadi kalau aku ke warung, papa masih lagi sibuk melayan pesanan pelanggan. Aku bosan, tak bercakap dengan sesiapa. Penyudahnya, aku membesar keseorangan di rumah ini. Kalau aku bercakap, mereka tak lagi mendengar. Wahai keluargaku, aku bukan bercakap dengan patung bisu mahupun dinding konkrit. Sedarlah aku sedang bercakap denganmu!

 

 

Izah ada angin sendiri, ada kepala sendiri.

 

Adik aku, kalau tak salah aku, dilahirkan dengan penuh keistimewaan. Dia suka bergaul dengan orang, tua muda lelaki perempuan, dia ramah. Bahkan aku rasakan dia punya masa depan yang cerah kerana dia mudah mempengaruhi orang. Bagus juga, pada darjah dua dan seterusnya dan seterusnya, dia menjadi ketua kelas, ketua kumpulan, pengerusi kelab dan seterusnya bertanding menjadi pemidato terhandal sekolah.

 

Tapi, Izah bukan sempurna, dia manusia biasa. Masa itu dia kecil lagi, kami semua kecil. Aku tak boleh salahkan dia kalau dia punya prinsip yang, entahlah. Bagi aku, kalau dia saja yang betul, orang lain tak, masalah. Tapi tidak bagi dia. Anginnya datang lebih teruk dari tsunami, atau krisis kebuluran. Kalau angin tak betul, habis satu rumah bergegar.

 

Gedegangg!!!

 

Bunyi pintu dihempas. Aku terdiam di depan pintu biliknya. Semuanya hanya kerana sebatang pensel tekan biru. Aku macam tak percaya yang penselku yang hilang sama dengan pensel yang dia punya. Masa tu aku baru beli pensel tekan tu dari koperasi sekolah. Hujung tahun, tapi sebab aku suka menulis, aku beli sesuatu untuk diri aku. lagipun masa puasa mana ada kantin buka, jadi duit belanja aku guna untuk beli pensel.

 

Balik rumah, adik comel aku nak pinjam pemadam. Aku bagi satu bekas pensel pada dia, sebab aku nak terbuang air dah masa tu. Aku suruh tunggu tapi dia nak cepat. Aku pula, dengan muka dah merah menahan paip yang nak terbuka tu, bagi saja bekas pensel dalam beg. Dan berlari sambil air kencing berjejeran depan pintu tandas. Habislah, kalau mama tahu mesti dia marah. Tapi nak buat macam mana, dah tak boleh tahan lagi.

 

Malam tu aku nak menulis, adalah sikit-sikit bakat ni rasanya. Aku minta bekas pensel dari Izah. Kata Izah, pemadam dah dia letak balik dalam bekas pensel tu. Jadi aku masuk balik ke bilik aku dengan bekas pensel di tangan.

 

Aku ambil pensel kayu. Aku mula menulis atas lembaran kertas muka surat terakhir buku latihan Pendidikan Agama Islam. Dah nak cuti, dah tak ada latihan lagi. Tumpul. Tak sedap nak menulis macam ni. Nak diraut, malas. Jadi aku cari pensel tekan baru. Ya, pensel tekan biru. Tak salah lagi, pensel tekan biru yang aku nampak Izah guna untuk menulis di biliknya sebentar tadi.

 

Aku balik ke bilik Izah, dia letak pensel tekan biru atas meja. Aku ambil, aku cakap kenapa tak cakap nak pinjam dulu sebelum guna. Ada nada marah tapi aku tak tinggi suara pun. Dia sentap barangkali, dirampasnya pensel tekan biru itu.

 

“Aku beli minggu lepas, bila masa pula aku ambil barang kau?? berambus sekarang!!” Izah tolak aku ke luar bilik dan…

 

Gedegangg!!!

 

 

Air cincang takkan putus, tapi air batu pecah bersepai..

 

Semenjak papa buka kedai makan, mama pula sibuk belajar menjahit dan ambil upah tolong Cik Ayu menjahit, aku, Kak Ina dan Izah saja yang sering ada di rumah –kalau Izah tak keluar dengan kawan-kawannya lah!-. Tapi bila aku lapar, Kak Ina cakap pandai-pandailah ambil nasi sendiri, lauk sendiri. Tak pun, dia ajar macam mana nak goreng telur goreng, supaya senang aku nak makan kalau dia tak masak lauk. Bayangkanlah, makan tengahari pun seorang. Kalau tany lebih-lebih, kena tampar. Tapi paling baik pun, dijerit dipekik je. Nasib baik aku tak pekak.

 

Berderai-derai airmata aku menangis dalam bilik. Papa mama tak ambil perhatian kalau aku cerita, sampai aku jemu nak bercerita dengan mereka. Nak cerita dengan Izah, memang mimpilah kalau nak dia cakap elok-elok dengan aku. maklumlah, aku Cuma tua setahun je dari dia. Siapalah aku untuk dia hormat. Mama balik dah penat, nak kena masak makan malam. Papa pula lepas balik dari masjid, makan je. Lepas makan, suruh kami tidur.

 

Mengharapkan kepada kawan-kawan di sekolah, itu pun kalau tak ada yang cemburu dengan markah aku yang sentiasa lebih tinggi dari kebanyakkan mereka. Jadi nak tak nak, untuk terus jadi orang, aku bercakap dengan kawan-kawan dan cikgu. Sampai kadang-kadang aku marah bila orang kata aku lebihkan kawan dari keluarga. Pelik, mama dan papa kalau datang sekolah ambil repot kad, mesti aku cakap dengan mereka sikit je. Semua kawan-kawan tanya.

 

Nak jawab macam mana, aku pun tak tahu. Tapi aku pasti, papa, mama, Kak Ina dan Izah sayangkan aku sebagaimana aku sayangkan mereka. Cuma, iyalah, bukan semua orang perlu bercakap dengan orang yang lain untuk setiap perkara, kan.

 

 

Makan malam, sedapnya!

 

Makan malam adalah waktu paling aku suka. Bukan apa, aku ni jenis yang kuat makan. Memang aku selalu jadi orang terakhir yang hantar pinggan ke dapur. Tapi ini lagi pelik, mama dan papa tak pernah marah, Kak Ina pun tak marah, cuma Izah yang suka memerli.

 

Tak sedap sangat rasa masakan mama kalau dibandingkan dengan papa, tapi bila makan bersama keluarga, aku tengok muka mereka semua satu persatu, buatkan aku rasa teruja nak makan. Mama memanglah tahu macam mana nak goda aku dengan makanan, macam mana nak pujuk aku makan banyak-banyak. Dia tahu, ada warna merah di putih mataku, tanda aku baru lepas menangis. Ada tanda cengkung, tapi bukan kerana tak cukup tidur. Mama tahu, aku tersesksa.

 

Tapi tak apa, itu cerita dulu. kebahagiaan yang dulu, saat Kak Ina mendodoikan aku kembali menemani saat aku putus cinta atau gagal dalam peperiksaan di sekolah menengah. Izah pun kadang-kadang minta aku temankan dia cari kerja semasa cuti sekolah, katanya kawan-kawan sebayanya lebih gemar ke kelas tuisyen sebab boleh mengular. Haha, tergelak aku mendengarnya. Tapi sejujurnya, aku tahu, Izah memang ada fikiran seorang pemimpin.

 

“Aku cari kerja ni sebab aku nak duit belanja lebih, pengalaman lebih. Habis SPM, aku nak belajar kat UiTM, lepas tu aku nak kerja bagus-bagus. Dalam setahun dua, kalau asyik naik pangkat, gaji besar, aku nak simpan. Aku nak buka syarikat pengiklanan, macam yang papa kerja dulu. Kau bolehlah jadi pekerja aku, senang aku nak suruh kau buat iklan aku nanti. Haha!” dalam dia memperkecilkan aku, aku nampak dan aku tahu, dia ada cita-cita yang dia zahirkan dengan tindakannya. Dan secara tak langsung, dia nampak bakat aku dalam seni. Itu sudah cukup bagi aku.

 

 

“Kalau kau bahagia dengan keluarga kau,  aku pun bahagia dengan keluarga aku. Tak perlu aku jelaskan perbezaan kami dengan kamu semua, kerana kami bahagia dengan cara kami sendiri. Inilah keluarga kami. Dan aku sayang keluarga ini.”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan j_ana

Read all stories by j_ana