Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Orang Terbuang

  • 2
  • aleph
  • 11 years ago
  • 5,530
  • FREE

 

Sudah terlalu lama saya berdiri di hadapan cermin. Sampai mula berharap. Entah apa yang bagaimana saya mahukan. Keinginan palsu atau benar, tidak saya mengertikan. Pada muka cermin kabur seperti guli tidak bergilap. Hidup ini sendiri semacam igauan atau kelupaan.

Saya berdiri lama di hadapan cermin. Seolah-olah saya kekasih atau sahabat. Yang diri saya bak patung lilin dinamik. Masa tidak pernah wujud kerana tiada ketuaan pada fizikal saya. Saya umpama spirit sejarah di muzium tertua di tengah bandar. Kemudaan dan modenisasi menelan realiti kemanusiaan. Siapa yang tidak terkurung dalam dimensi segiempat masa. Sejarah kononnya menanggung penderitaan. Tiada labirin sejarah di sini. Hanya ruang lapang.

Jangan tanyakan siapa yang saya hadapi saban hari. Saya tidak akan menjawab. Tidak ada satu manusia atau jin pun akan kecewa jika saya tidak menjawab. Sedang ahli falsafah juga berhak untuk tidak memberikan jawapan, bukan. Sudah lama. Putus harap juga tidak dapat melekat seperti cicak kerana dunia saya licin dan polos. Biarkan terbang dan dan terus melanggar dinding bak pepatung menghempas ke tingkap kaca.

Di hadapan cermin. Saya sendiri bingung mengapa saya menghabiskan waktu di sini. Siapa yang saya depani setiap masa? Bodoh benar soalan. Itu adalah diri saya sendiri – andaian saya yang timbul saat menekuni Homo Erectus tersebut – makhluk aneh berlawanan pandangan saya. Perilaku makhluk aneh itu tidak memeranjatkan saya. Hampir 99 peratus tiruannya menyamai kualiti dan nilai saya sendiri. Apakah yang dia mahu daripada saya? Saya tidak berhutang dengan sesiapa apatah lagi saya bukan penjawat awam atau biro pengaduan demokrasi pilihan harapan rakyat. Saya bukan pakar kejiwaan tauliah universiti.

Tiada perbualan sedikit pun antara kami. Debat telah mati semenjak mulut terbuka. Era depan adalah zaman hujung jari runcing. Pembicaraan adalah terkebelakang. Dan diskusi yang mahu wujud sudah sedia dalam tong sampah semenjak ilmu didedahkan. Terbuang dengan hanya sebelah persepsi. Hipokrit dan apati lebih ringan daripada atmosfera lalu menjadi angkasawan tidak kembali. Sedang kepedulian dan kejujuran pula terpasung dek graviti bumi dan menjadi penggali kubur selama-lamanya.

Belum lagi saya lihat wajah sebenarnya. Apakah dia mengalami kecacatan rupa paras akibat radiasi? Jika tidak, kemana perginya mata, hidung, mulut dan sebagainya yang memperindahkan rekabentuk roman ciptaan Tuhan. Atau sebenarnya mata saya yang mengalami kecelaruan pemprosesan maklumat di otak. Tiada ralat pada lobus parietal dan lobus oksipital saya walaupun pernah dibelah dengan guillotine semasa revolusi.

Pernah dirinya saya temui di tandas, bilik kuliah, pejabat pos, bank atau pasar? Saya tidak mempunyai apa-apa memori kecuali sebuah buku panduan setebal ionosfera di celah sulkus otak. Saya tidak dapat mendengar suaranya meskipun dia menggunakan telepati. Yang acapkali saya dengar adalah jerit payah suara saya sendiri. Benar, saya tidak mengalami halusinasi.

Selama seratus tahun, sebelas bulan, sepuluh hari, sebelas minit atau sedetik pun tidak. Setelah saya mati dan hidup semula beberapa kali akibat kehausan. Pengalaman yang saya lalui merupakan ekspedisi yang paling dahsyat sepanjang hidup. Saya tidak dapat faham sama ada dia gembira atau sedih dengan dunia yang disarungkan bersama fabrik tidak berwarna lagi suram itu. Hitam putih pandangan saya tidak menipu. Kami tidak dapat menyentuh sesama sendiri. Umpama wujud sesuatu yang nol antara kami secara fizikal atau metafizikal.

Pada hari diberitahu tentang kiamat. Saya menjadi amat marah. Dan kemarahan itu bukanlah dikira sebagai amarah pun. Kerana semua sistem saya semenjak diciptakan adalah dari perdalangan homo sapiens itu. Rupa-rupanya yang menjadi peniru bukanlah makhluk penghina itu tetapi diri saya sendiri. Tidak wujud tali-tali boneka pada saya. Dunia tanpa wayar. Sungguh zalim apabila dia melemparkan sampah kejiwaan kepada saya. Saya pengutip sampah secara percuma.

Saya menjadi salinan fotokopi kualiti murah dan boleh ditransformasikan menjadi kertas tisu. Dunia saya paradoksikal dan terbalik. Tiada persembunyian di dunia saya. Pendedahan adalah awal dan akhir. Adakah saya kelihatan bogel penuh?

Peperangan, kemiskinan, kejahilan, kesakitan, kesepian dan kelaparan terkeluar daripada dimensi saya. Saya merupakan pakar kitar semula nombor satu dunia. Semua yang dibuang diproses saya sebagai memenuhi kempen kesedaran alam jiwa kemanusiaan. Dikembalikan kepada pengguna tanpa dikenakan cukai. Betapa kasihan dirinya. Dia tidak sedar yang dia pulang dengan sampah terpakai sendiri.

Ketika dia berpaling membelakangi saya. Saya secara simetrinya membelakanginya. Paksi kami adalah alam individu. Sudut personaliti tirus darjah terendah. Tidak wujud dunia poket seluar. Adakah malang jika ada lelaki yang terselit pada keadaan demikian? Dia tidak berpeluang menyembunyikan ke dalam kocek seluar. Mana mungkin wujud gajet sensasi dunia, kad identity rahsia atau wang manipulasi dunia. Sudahkah dia menjadi manusia tidak bernafsu? Saya menjadi bingung tanpa sebab.

Apakah dunia selebar depaan tangan saya? Bagaimanakah horizon fiksyennya? Dunia tidak pernah sempit, tetapi siapakah yang menyempitkannya?

Saya tidak dibantah walaupun saya berbohong. Saya dilatih dengan seni visual berupa selut eksentrik bersesuaian persepsi. Saya merayau-rayau di hujung dunia namun terperangkap di dalam tengkorak sendiri. Seni alkaloid adalah pemanis saya secara paksa atau tidak. Saya menjadi paranoid dengan tetamu  saya yang memberikan imej dirinya. Saya tidak rasa bersalah meskipun saya memohon kepada Tuhan yang saya tentukan sendiri secara rambang saat celik mata. Saya tidak tinggal di syurga tetapi saya ditemani bidadari melalui intuisi.

Apabila saya bersedih, para birokrat dan politikus akan dipersalahkan. Bila saya bahagia, Hadiah Nobel mendapat pemenang baharu. Hidup saya dikabusi misteri. Saya tidak tinggal di derah perang tetapi menjadi semut yang mencari jalan keluar dari balang kaca berisi gula. Siapa yang memberi saya sayap? Adakah itu sebahagian manifestasi keinginan homo sapiens tersebut pada dunia realitinya sendiri? Saya berdiri lama di hadapan cermin.

Hidup ini sendiri semacam igauan atau kelupaan. Pada muka cermin kabur seperti guli tidak bergilap. Keinginan palsu atau benar, tidak saya mengertikan. Entah apa yang bagaimana saya mahukan. Sampai mula berharap. Sudah terlalu lama saya berdiri di hadapan cermin. 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Kuat pengaruh dengar muzik rap melayu ala Malique

    Taip dalam Word dulu ke? Penggunaan bahasa ada sedikit bercampur aduk.

    Baca puas-puas dahulu, betulkan kesalahan ejaan. Tak rugi sebab kita ini editor untuk setiap hasil tulisan sendiri.

    Peace.

  • (Penulis)
    2) terima kasih kerana tegur. pembetulan itu akan saya lakukan kemudian.

Cerpen-cerpen lain nukilan aleph

Read all stories by aleph