Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

BERSEDIH ITU BUKAN PILIHANKU LAGI !

 

 

Tiada sesuatupun yang menimpa seorang Muslim dari susah hati, dukacita, penat dan penyakit yang berterusan, tidak pula dengan kesedihan dan kesakitan, hinggalah kepada tusukan duri, melainkan dengannya Allah hapuskan dosa hamba itu.  ( Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim  )

FADLI merenung jauh pantulan bayang sepenuh dirinya dalam cermin besar di hadapannya. Semakin merangka. Matanya bagaikan bebola separuh terbenam di tanah mendap.  Sinar yang terpancar dari irisnya bagai pelita malap, bukan lagi gejolak api yang marak menyala, apatah lagi untuk menandingi gemilang bintang Thuraya yang menjadi sang ratu di langit malam. Pipinya pun demikian juga, menyerlahkan lagi tulang pipi yang sememangnya tinggi menonjol.  

Seri di wajahnya kini udam bagaikan tembaga kusam tak bergilap, sebagaimana malapnya kandil semangat tuan empunya wajah untuk hidup.

( CINTA BOLEH MEMBUAT MANUSIA EDAN ! Aku sangkakan diriku sudah cukup kuat untuk berdepan dengan hakikat yang kuhadapi sekarang. Rupa-rupanya tidak ! )

"Maaf, kiranya email ini tidak selembut yang saudara harapkan, namun ini bukanlah masanya untuk saya menjadikan surat ini sebagai gelanggang bermain bahasa, apatah lagi untuk memainkan kata-kata demi mempermainkan perasaan saudara. Saya hanya ingin menyatakan yang saya tak sanggup menanggung akibat yang saya bakal terima jika saya menuruti sahaja kemahuan saudara."

Email kiriman Anizah minggu lepas masih menjadi hantu dalam diri seorang Fadli. Titipan yang telah menoktahkan segala harapan dan impian yang tersimpan sejak lima purnama nan berlalu.

Sejak itu, ingatan Fadli sarat berisi montaj imbauan kenangan zaman remajanya yang saling asak-mengasak tanpa henti. Zaman yang penuh tipu daya dan fitnah pesona. Ego yang beraja dan bersultan. Bisikan iblis laknatullah dan pujuk rayu nafsu menjadi perdana menteri serta para menteri kabinet kerajaan diri.

( Fahd yang kacak,
Fahd yang pintar,
Fahd yang ranggi,
Fahd yang loaded... )

Terpedaya. Fadli tenggelam dalam alam syok sendiri. Dangkal amat pula akal fikirnya dalam mentafsirkan wujud manusia di sekelilingnya, hingga dia sampai hati melakukan penindasan.

"Nak jadi kawan aku konon... EH ANIS, TENGOKLAH MUKA KAU TU DULU DI CERMIN !", itu yang pernah dijerittempikkannya pada Anizah di hadapan seisi kelas.

Babak pertemuan semula di luar duga melela pula ke ingatannya...

( Ketika melangkah masuk lewat pintu cermin McDonalds, dadaku berdebar semacam, seakan-akan ada sesuatu yang hebat akan berlaku hari itu. Lalu aku terlihat seorang gadis bertudung hitam duduk di sudut yang terpencil bersama seorang gadis lain. Manis. Debar semakin hebat. Nanar rasanya. Kaukah itu, Anis ? Mustahil ! Semakin aku mendekati meja itu, hakikat itu semakin nyata. Aduhai, kau bukan lagi si gadis yang `berdosa padaku' hanya kerana kau bertubuh gempal dan tidak jelita. Kulitmu sudah bertukar cerah dan halus. Matamu bersinar ceria sekalipun tidak sebundar mata Iffah Sabarinah. Hidungmu tidak mancung macam hidung Iffah, tetapi wajahmu seakan ada aura penarik. Ada getar tenaga yang menyebabkan kau tidak jemu untuk kupandang berkali-kali. Tiada lagi tanda-tanda hina diri dalam bahasa badanmu. Alangkah !

Meskipun wujud gendala yang menjadi aral, aku tak hiraukan semua itu.  Apa alamat emailmu dan di mana alamat posmu, sanggup aku lacaki. Syukur, pada balasan email pertamaku kau menyatakan keikhlasanmu untuk memaafkan dosa-dosa yang pernah kulakukan. Argh Anis, mulianya hatimu! Dan aku tidak lagi malu untuk mencintai dirimu. )

Lalu email terakhir Anizah tiba...

"Namun saya tak akan menamatkan email ini begitu sahaja, tanpa sebarang penjelasan kepada jawapan saya. Mudah-mudahan saudara memperolehi kekuatan dan ketenangan lalu melangkah jauh untuk melupakan terus diri saya yang tidak menjanjikan apa-apa buat saudara."

Fadli pun merasakan, bagaimanakah rasanya berada di tempat Anizah pernah berada dulu.

( Azab. Sengsara. Lara.  Amat menyakitkan, sekalipun penolakanmu berasaskan rasional akal, masih berlapis santun lagi penuh penghormatan.  Apapun, apa yang telah aku lakukan padamu dulu lebih perit lagi. Bukankah mulutku sendiri yang telah melontarkan kata-kata yang tak pantaspun disebut oleh makhluk yang bernama manusia, lalu menjatuhkan nilai diri Anis di hadapan orang lain ? Tak cukup lagi, aku kibarkan pula api permusuhan, hanya kerana dia tak memiliki apa yang aku impikan dari seorang gadis! Inikah namanya kifarah ? )


II

" FAHD, boleh jadi, kekecewaanmu sekarang adalah perkara terbaik yang ditakdirkan harus berlaku. Tentunya, untuk kebaikan dirimu juga...", [1] Sheikh Muzzakir menuturkan kata-katanya dengan nada lembut memujuk, butir demi butir, seusai membaca aksara terakhir dari kertas bercetak di tangan kanannya.

Dengan perlahan-lahan, dia pun menepuk bahu Fadli yang asyik tertunduk menghadap muka meja yang diperbuat  daripada simen.

Fadli mengangkat kepalanya lalu merenung jauh ke hadapan dengan pandangan mata yang rudu, ke arah pokok-pokok bunga yang menghiasi taman. Ada air mata yang mengalir dari sudut mata Fadli. Tatkala mata Sheikh Muzakkir melihat ke dalam iris mata Fadli yang kelam bagai siang ditabiri mega mendung, ada firasat yang memberi isyarat bahawa masih ada duka dan kecewa yang sedang membelenggu.

Anizah !

Sekalipun air dapat menang atas api dengan kekuatannya,
Air pun mendidih oleh api saat ia berada dalam kendi.
Saat kendi menjadi pemisah di antara keduanya,
Udara ( keinginan ) pun menjadikan aksi air nihil.

Terlihat dirimu adalah pemimpin dari isterimu, bagai air;
Hakikatnya, dirimulah yang dipimpin olehnya dan memohon padanya.
Itulah keanehan lelaki,
Ia tak mampu menahan keinginan haiwaninya, itulah kelemahannya. [2]


Sheikh Muzzakir hanya menggelengkan kepalanya tatkala mengingati kembali bait demi bait, stanza demi stanza puisi nukilan Maulana Jalaluddin Rumi yang tiba-tiba merapung di kotak mindanya.

Kemudian, isi email Anizah pula yang mengambil-alih :

"Pertama, bercintan-cintun sebelum kahwin, yang menjadi budaya popular muda-mudi zaman sekarang, bukanlah gaya hidup pilihan saya...

Agama yang kita sama-sama anuti ini bukan hanya datang untuk mengajar kita melafazkan dua kalimah syahadah, solat fardhu lima waktu ( dan fardhu jumaat buat yang lelaki ), puasa, zakat dan haji mahupun apa-apa sahaja yang kita belajar dari darjah satu sampai habis SPM dalam matapelajaran Pendidikan Islam, tetapi turut menjaga kesucian dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan, mengatur ia agar berada dalam kadar yang sewajarnya demi keamanan dan ketenteraman dalam masyarakat. Dan apa yang saudara pohonkan dari saya, jelas bertentangan dengan apa yang Islam ajarkan. Bukanlah Islam yang kita anuti ini menentang percintaan atau bercinta-cintaan, tetapi percintaan biarlah berada dalam saluran yang dihalalkan dan menuntut kematangan peribadi serta pertanggungjawaban lagi menghormati nilai kendiri- PERKAHWINAN !  Bukannya hubungan yang masih dalam teka-teki ke mana akhirnya, tanpa matlamat yang jelas. Saya dan mana-mana perempuan bukanlah bahan eksperimen `try and error', yang boleh dibuang bagai sampah, macam bola ditendang ke sana ke mari bila hati sudah tak suka.

Ketahuilah, pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak dijaga merupakan satu daripada puluhan pintu kehancuran akhlak dan moral. Memang kita pernah belajar tentang Tamaddun Rom, permulaan serta kejatuhannya daripada subjek Sejarah Peradaban Dunia semasa Tingkatan 4 dulu. Tetapi, apa yang kita tidak pelajari dan ketahui di masa itu ialah
seks dan keruntuhan moral menjadi punca sebenar kejatuhannya !"


( Maha Suci Allah yang menunjukkan padaku dan orang-orang seperti Anizah tentang bahaya yang tersembunyi dan arus ganasnya sedang menghanyutkan ummah Islam sekarang. Romantisisme dan sentimentaliti. Jiwang-jiwang dan bersentimen emosi semata-mata. Senjata syaitan untuk membawa manusia kepada pemujaan makhluk dan ideologi muluk-muluk. Kerananya, manusia tidak lagi hidup dalam keadaan rasional dan sedar akan Allah SWT sebagai penguasa alam semesta yang mengatur kehidupan mereka, tetapi lebih menurut orak-arik nafsu dan emosi, lalu kehidupan masyarakat menjadi seperti daun-daun kering yang berterbangan simpang-perenang dipuput angin. Justeru itu dimanipulasikan Barat untuk memperbudakkan umat yang kian jauh dari kesyumulan ajaran Islam. Mesej demi  mesej dipropagandakan lewat wadah elektronik mahupun medan susastera, lebih menyihirkan dari Harut dan Marut ! ) [3]

Entah mengapa, indera keenam Sheikh Muzzakir dapat merasakan aura keistimewaan Anizah, sekalipun tidak pernah bersua wajah dengan gadis ini. Dan dia dapat merasakan Fadli bukanlah jejaka yang terbaik untuk Anizah.

"Saya ingin berterus-terang bahawa sesungguhnya saya berasa terganggu dengan permintaan saudara - hingga prestasi pelajaran saya jatuh. Apakah kesannya kepada saya? Saya kecewa kerana telah mengecewakan harapan semua orang yang telah mempercayai dan menaruh harapan kepada saya - keluarga, pihak kerajaan yang telah membiayai pengajian saya dan seluruh rakyat Malaysia yang membayar cukai kepada kerajaan, lebih-lebih lagi rakyat Sabah yang menunggu kepulangan saya untuk berbakti kepada mereka.

Sayalah pemegang amanah mereka, berdosalah saya andai saya kecewa kerana kecuaian saya sendiri. Bukan hanya berdosa kerana mencuaikan amanah untuk menuntut ilmu, tetapi juga berdosa kerana membazirkan wang rakyat !"


( Ya Allah, bagaimanakah aku harus menjelaskan kepada Fahd bahawa penolakan Anizah itu wajar keranaMu? Sedangkan ketika aku menyampaikan baru sedikit kebenaran kepadanya buat membasuh hati yang luka, dia lebih senang membiarkan perasaan menjongoskan dirinya. )

Kenangan demi kenangan terus datang silih berganti, menjadi kolaj yang saling bertindanan di atas kanvas nubari.

" Zakir, Mak Ngah risaulah tengok budak Fahd tu. Dah bukan macam orang lagi. Asyik berkurung sahaja dalam bilik dia. Ajak turun makan dengan Mak dan Pak Ngah pun tak nak. Entah ada apa dengan dia. Eloklah pun kau datang ke sini tengok-tengokkan dia, sementara cuti belajar kau belum habis. Mak Ngah haraplah Fahd tu dah okay sebelum kau balik semula untuk belajar di Jordan.", entah bagaimana, kata-kata Datin Siti Suwaibah jelas terngiang-ngiang di telinganya. Ketika itu, dia baru tiba dari Kuala Lumpur dan sedang berada dalam perut kereta Dato' Zami yang meninggalkan Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

" `Bertuah' punya budak ! Nasib baik kau ni anak adik perempuan aku. Kalau tidak, biarlah kau jadi sotong kering dalam lokap sana !", Sheikh Muzzakir bagaikan terdengar pula suara bapanya yang bernada keras lagi tinggi.

( Ya, pada malam minggu yang hitam itu, kau flying lagi dari asrama, Fahd. Sudah berkali-kali kau mengulangi perbuatan itu semenjak datang belajar di Kuala Lumpur ini. Aku sudah berusaha menegahmu, namun kau degil. Dan berkali-kali juga kau berjaya memboloskan diri dari kawalan warden. Rupa-rupanya, kau masih tidak dapat meninggalkan tabiat hidup liarmu yang membarah sejak di KK lagi- ke disko dan pub untuk berhibur dan minum-minum hingga mabuk.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kebetulan Pihak Polis dan Jabatan Agama Islam sedang membuat operasi anti-maksiat.  Kantoi, kau tertangkap dalam keadaan mabuk. Kau ditahan di lokap hingga ayahku terpaksa menjaminmu keluar. )

" Mak bapak kau hantar kau ke KL untuk jadi manusia, bukannya untuk kau jadi syaitan jembalang !"

( Berita tertangkapnya kau sampai juga akhirnya ke pengetahuan pihak sekolah. Kau dibuang sekolah kerana telah mencemar imej sekolah menengah agama. Sudahnya, kau terpaksa dihantar pulang ke KK. Dan aku, dek maruah yang tercemar, memilih untuk bertukar sekolah ke Kelantan dan belajar di sebuah Mahaad. )

Sheikh Muzzakir segera mewaraskan keadaan, sebelum montaj kenangan yang berona kelam itu mengorak-arikkan emosinya lebih jauh.

( Ya Allah, ampunilah aku. Sebagai seorang bakal pendakwah yang akan berjuang menegakkan kebenaran dan kasih sayang di tengah masyarakat, aku seharusnya bersikap lebih optimis terhadap orang-orang seperti Fahd. Mereka sebenarnya amat dahagakan bimbingan ke jalan yang benar !  Ternyata Fahd, seperti majoriti anak muda yang lain, telah dininabobokkan dengan sentimentaliti dan idea romantisisma sejak kecil.  Berilah aku kekuatan dan kemudahan untuk mewaraskan kembali keadaan dirinya, agar dia mampu berdiri gagah mendepani kehidupannya sendiri. )

Dia sebenarnya masih sangat mengambil berat akan perkembangan Fadli dari semasa ke semasa. Meskipun kini dia sibuk melayari hidup di bumi Irbid sebagai mahasiswa Usuluddin. Ruang maya dimanfaatkan sebaik-baiknya, sekalipun Fadli begitu liat membalas emailnya.

" Zakir, apakah ini satu pembalasan buat aku ? Kifarahkah ini ?", suara Fadli memintas gulatan rayanan Sheikh Muzakkir. Dia kembali menajamkan fokusnya. Garis jujuhan air mata di wajah sepupunya itu kian kering, tetapi suaranya masih kedengaran bagai orang yang sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.


III

" APA sebabnya kau berfikir yang demikian, Fahd ?", soalan Sheikh Muzzakir tiba-tiba sahaja menjadi punat yang ditekan untuk mengarahkan minda Fadli kembali menghimbau dengan jelas, betapa satu persatu keberkatan dan nikmat ditarik dari kehidupannya secara perlahan-lahan, sejak dia menyakiti Anizah.

Fadli teringatkan keputusan PMR yang mengecewakan, sekalipun masih melayakkannya ke tingkatan empat. Gagal  dalam subjek Bahasa Inggeris, manakala Matematik pula sekadar cukup makan. Namun, pintu keinsafannya belum terkuak jua.

" SPM pula lebih mengecewakan. SAP sahaja yang mampu aku raih. Tinggallah cita-citaku untuk menjadi seorang  peguam. Itupun aku tak sedar-sedar lagi, sehinggalah Anizah muncul kembali bersama transformasi fizikal dan reformasi personaliti.", Fadli mengakhirkan penjelasannya di situ.

Hening jeda menguasai gazebo tempat mereka berdua duduk berdua. Lama. Hinggalah Sheikh Muzzakir kembali membentangkan analisisnya.

"Aku tidak dapat menolak kemungkinan bahawa apa yang telah terjadi ke atas kau adalah satu kifarah atas apa yang kau telah lakukan pada Anizah dulu."


Jagung yang ditanam, jagunglah jua yang dituai
Jika padi, padilah tidak yang lain
huma yang ditanam
masakan labu pula yang tumbuh !


" Memang padan muka aku ! Kalaulah aku tidak menyakitinya... ", tukas Fadli dengan nada penuh kesal.

" Astaghfirullahalazim... Tak baik berkalau-kalau, berandai-andai atau berjika-jika. Itu samalah dengan tidak redha akan ketentuan Allah.  Apapun, kifarah itu terjadi sebagai sebab untuk mendorong hatimu untuk bertaubat nasuha, berhijrah dari keadaan yang buruk kepada yang lebih baik. Kesakitan itu lebih baik supaya kau tidak lagi bertindak menyakiti orang lain. Bagaimana seseorang itu akan merasakan pahitnya jadam dan serik untuk meminumnya lagi, kalau dia tidak meminumnya terlebih dahulu? Allah Maha Penyayang dan Maha Mengetahui segala-galanya, Fahd."


IV

FADLI menyerahkan kepilan boarding pass bersama kupon tiket penerbangan kepada kakitangan yang bertugas di Pintu Berlepas 1. Senyumannya terukir menatang ramah. Lelaki separuh baya yang menyambut berkas itu membalas senyuman, kemudian memisahkan berkas kepada dua bahagian.

" Terima kasih.", ucap Fadli tatkala dia menerima boarding passnya. Dia melangkah gagah menuju ke aerobridge, tanpa menoleh lagi ke belakang walau sesaat.

" Mama, Papa... Saya mahu ke Mekah. Pergi berumrah.", entah dari mana datangnya keberanian Fadli untuk membuat permintaan di luar dugaan pada dua minggu yang lepas.

" Ke Mekah ? Kenapa dengan tiba-tiba sahaja, nak ? ", tanya Datin Suwaibah. Khuatir. Resah. Hairan. Dia berkalih pandang lalu bertentang mata dengan suaminya. Namun Dato' Zami hanya tersenyum.

" Mama, janganlah fikir yang bukan-bukan. Buat masa ini, biarlah Fahd pergi ke tempat yang jauh dari sini. Mencari ketenangan jiwa dengan bertaubat dan memohonkan kekuatan untuk memulakan hidup baru yang ada keberkatan. Selama ini Fahd banyak berbuat dosa. "

" Alhamdulillah, Papa senang sekali mendengarnya. Pergilah nak."

Seusai memasang tali pinggang keselamatan, Fadli memandang ke luar tingkap. Langit bagaikan lembar kertas gergasi yang menuliskan kembali kata-kata dari email Sheikh Muzzakir.

Walaupun Anizah menolak untuk berpacaran dengan kamu, tak bererti dia tidak menyayangi kamu. Dia tetap menyayangi kamu, sebagai saudara seiman dan seakidah. Dek rasa sayang itu, dia rela menolak permintaan kamu, agar kamu tidak hanyut dalam kehidupan yang merugikan di dunia dan akhirat. Tetapi dan seringkali, kita sebagai manusia yang banyak khilaf ini, mudah tidak berpuas hati andainya kebaikan datang bukan dalam bentuk yang kita kehendaki.

Mungkin apa yang kamu kehendaki itu boleh merosakkan silaturrahim, siapa tahu ? Persahabatan, percintaan dan perkahwinan serta banyak perkara lagi adalah urusan yang datang dan pergi. Tiada yang kekal melainkan hubungan kita dengan Allah yang kekal abadi. Jadi, usah berputus asa mahupun terlalu bersedih dengan kekecewaan ini, Fahd !


(Ya Allah, ampunilah hambaMu! Anis, maafkanlah aku yang tamak dan terlalu mementingkan diri sendiri ini !)
Fadli menyeka air mata yang berjujuhan di pipi.


Sia-sia kucuba bunuh engkau
kerana engkau tidak mati
kerana engkau adalah sejarah
sejarah tidak mati.

Sia-sia kucuba bunuh diriku
kerana aku masih hidup
kucuba bunuh kesedihan
kerana kesedihan menghitam segala-galanya. [4]


( Akan aku hapuskan perkataan `cuba' dari mindaku, kerana berkata cuba adalah tanda ketidaksungguhan hatiku, membuka ruang keraguan dan kegagalan sebelum ditakdirkan gagal.

Menghapuskan kenangan, sama ada didahului dengan perkataan `cuba' atau tidak, tidaklah termampu kerana kenangan akan terus berada dalam diri manusia itu selama hayatnya masih ada. Persoalannya, perasaan apakah yang timbul dari dalam hati ketika berdepan dengan kenangan?

Jadi...

Akan aku hapuskan kesedihan.  Insya-Allah, lantaran bersedih itu bukan pilihanku lagi ! )



TAMAT.


[1] Intipati dialog berasaskan al-Quran; ayat 216, Surah al-Baqarah

[2] Jalaluddin Rumi, Puisi `Pria Takluk Oleh Wanita'.

[3] Bacaan lanjut : Harun Yahya ( 2002 ), Romanticism, Weapon Of Satan,
Millat Book Center.

[4] Nahmar Jamil ( 1971/72 ), fragmen puisi  Ku Cuba Bunuh Engkau dalam
artikel Karyawan Bulan Ini, Nahmar Jamil: Roh Islam Di Hujung Jarinya
oleh A. Rahim Abdullah, Dewan Sastera, April 2007.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) belum baca habis lagi. baru sepintas.
    ini memang hasilan myelina? *kagum*
  • 2)

    khalas~ [habis] eh..ye ke? hehe..nice story walaupun ada sedikit kekeliruan dalam menghantar isi.. =) syud suka pada msg yg ingin disampaikan...moral yg dpt dikutip:

    1. manusia itu leka..selalu mementingkan duniawi dari akhirat~

    2. cinta itu tidak kekal kecuali padaNYA

    3. buta mata itu lebih bagus dari buta HATI..=)

    p/s: keep on doing more cerpens with more islamic values in it..go2 chaiyyok!

  • 3) myelina... kenapa ada rasa2 novel ayat-ayat cinta?
  • 4)

    wah..cerpen yg mcm ni yg sy suka..buat kita berfikir..jatuh dan bangun semula..

    ada banyak kata yg sy tak tau dlm cerpen ni : nihil, lacaki, menjongoskan... myelina mmg hebat, kosa kata cukup mantap..hehe..tp dininabobokkan tu buat sy rasa nak tergelak..myelina pandai selitkan lawak..=)


  • (Penulis)
    5)

    caha & syud: terima kasih

    zinggOf:  ada rasa2 novel ayat-ayat cinta?

    nurie: nihil =  tak ada apa2 (kosong), lacaki = jejaki, menjongoskan = menjadikan hamba :-)

     

  • 6) maaf kak mas..bru berpeluang baca..
    nice sgt2 and eme suka!
    btol2..its all about our choice..
    kita yg pilih nk jadi mcm mane..
    jika hati di dorong nafsu syaitan, jadilah perkara yg tak diingini & menyesalkan..
    andai hati di dorong iman & takwa, sgt bertuah manusia itu..
    overall, i lyke tis story alot!
    n i like u too..huhu..~~
  • 7) nice..
    garapan yg sarat dengan fakta berdasarkan kepada ayat Al-Quran..menceritakan tentang apa yg berlaku dlm diri seorang remaja yang memberontak apabila kemahuan tidak dituruti.. tetapi sedar di akhir kali..but still..got some space 4 improvement..chaiyok!

Cerpen-cerpen lain nukilan myelina

Read all stories by myelina