Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

SEPAT

 

KOLAM yang sekian lama tenang berkocak tiba-tiba.  Nun di atas longgokan busut yang masih basah di tepi kolam bertenggek seekor gagak memerhati kelibat kawanan sepat berenang mundar-mandir dalam kolam sebagai tanda  memberontak dan menunjukkan rasa tidak senang hati terhadap penghuni lain di kolam tersebut.

Gagak menyeringai senyum dengan herotan paruh hodohnya tanpa silu.  Megah bertenggek atas busut, dibusungnya dada ke depan sambil menarik sedikit kepalanya ke belakang.  Tika itu hanya ia yang paling tampan dan paling berkelibar hingga dapat menakluk pemikiran spesis ikan air tawar.  Lamunannya terhenti bila sayup-sayup terdengar suara garau ketua Kawanan Keli memberi amaran kepada penghuni kolam tersebut supaya tidak melibatkan diri dengan perhimpunan yang bakal diadakan tengah malam itu.

“Dengar sini semua warga kolam, pihak kami tidak pernah memberi apa-apa kebenaran kepada mana-mana kawanan yang ingin mengadakan perhimpunan haram malam ini.  Ini adalah amaran.  Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap warga kolam yang terlibat secara langsung mahupun  tidak langsung”, keras sekali bunyi amaran yang disampaikan oleh ketua Kawanan Keli.  Beberapa ekor puyu dan haruan yang berlegar di situ mengangguk sesama sendiri.  Sepat-sepat yang berada di situ hanya menjuihkan bibir hodoh.

“Omong kosong!” Jerit seekor sepat melepaskan geramnya sambil berenang dengan laju melepasi kawanan ikan-ikan yang lain.  Ikan sepat  yang bertubuh sederhana; lebar dan pipih, sepanjang 15 cm dengan mulut agak meruncing berenang laju.  Warnanya yang hitam kehijauan pada hampir seluruh tubuhnya menampakkan kegarangannya. Sesekali melenggok dalam renangan yang pantas, sisi tubuh nampak agak terang berbelang-belang miring. Sejalur bintik besar kehitaman, jelas kelihatan di sisi tubuh mulai dari belakang mata hingga ke pangkal ekor.  Sirip-sirip punggung, ekor, sirip dada dan sirip anal turut meliuk dan tampak gelap. Sepasang duri terdepan pada sirip perut merupakan deria rasanya  yang paling peka kelihatan memanjang hingga ke ekornya.

Hatinya panas mendengar amaran dari ketua Kawanan Keli tadi.  Terasa benar kata-kata itu disemburkan kepadanya.  Renangannya dilajukan. Ingin segera ia sampai kepada kawanannya di sudut kolam sana.  Sapaan anak haruan pun tidak dihiraukannya lagi.

“Huhh... sombong!”  Dengus anak haruan spontan bila sapaannya tidak mendapat balasan dari sepat tersebut. 

“Kawanan Keli ugut kita!  Ia kata kalau kita teruskan juga, mereka tidak akan teragak-agak bertindak terhadap kita.  Bagaimana ni tok ketua?”  Sepat tadi memecah kegusaran hatinya dengan pertanyaan yang tersekat-sekat kerana keletihan berenang.

“Tenang saja.  Kita jangan tergugah oleh ugutan itu.  Biarkan ia menyalak macam anjing.  Perjuangan kita mesti diteruskan”, jawab ketua sepat menenangkan sepat tadi.

Senyuman gagak makin lebar menampakkan lagi hodohnya. 

“Yaa.., perjuangan kalian mesti diteruskan!  Jangan hiraukan amaran tok misai itu.  Mereka tu cakap saja, mana mereka berani bertindak” hasutan Gagak makin memarakkan lagi keberangan kawanan sepat.  “Kalian lupa?” gagak berhenti berkata sambil merenung tajam ke wajah-wajah sepat yang kian membengis dan menyambung “Selama kalian tinggal di kolam ini, apa yang kalian dapat?  Siapa yang menguasai kolam ini?  Majoritinya kawanan mana yang menjadi tuan?  Kalian ditindas.  Kalian dianaktirikan.  Padahal nenek moyang kalian juga pernah berjuang mempertahankan kolam ini dari diceroboh oleh kawanan toman dari kolam sebelah sana.  Sekarang ini mereka pandang kalian dengan sebelah mata saja, tahu kenapa?”  Ia berhenti seketika sambil menarik nafas angkuhnya dan cuba  menyucuk-nyucuk jarum kebencian di benak yang sudah sedia hangat serta membakar semangat kawanan sepat untuk memberontak   bila merenung kembali sejarah bagaimana mereka boleh masuk ke dalam kolam tersebut.  Sepat-sepat memandang sesama sendiri sambil mengeleng-gelengkan kepala sebagai tanda tidak tahu.

“Kenapa gagak?  Kenapa mereka cuba tindas kami?”  tanya salah seekor sepat jantan yang sudah lama berdiam diri kerana sibuk menjaga sebuah sarang busa yang mengandungi telur-telur sepat betina. Begitulah lazimnya, Ikan sepat menyimpan telur-telurnya dalam sebuah sarang busa dan dijagai oleh sepat jantan.  Setelah menetas, anak-anak sepat akan diasuh oleh bapaknya hingga anak-anak sepat dapat mencari makanan sendiri.

“Hmm...”  Gagak semakin yakin.  “Sebab kalian kawanan minoriti.  Tengoklah diri kalian ini.  Tinggal di sudut kolam. Cetek! Berselut!  Berlumut!  Kotor!  Naik loya tekak aku.  Tapi sebab kalian kawan aku, maka aku dengan rela hati menenggek di sini semata-mata untuk membantu kalian. Lihat sana...” gagak memuncungkan lagi paruhnya ke arah tengah kolam.  Sepat-sepat semua memusingkan kepala ke arah yang ditunjukkan oleh gagak.  Mereka terpegun mendengar kata-kata gagak.  Padahal gagak memang suka tempat yang kotor.  Malah mereka selalu ternampak gagak memakan sampah dan bangkai di sekitar kolam mereka.

“Nampak sana tu?”  tanya gagak.  Sepat-sepat menjuihkan bibir tanda memahami pertanyaan gagak.  “Apa kalian masih mahu berdiam diri lagi?  Mahu dituduh ikan-ikan lain bacul?  Kalau akulah diperlakukan begini, hmmm... aku mesti berjuang menuntut hak aku.  Kalau aku tidak berjuang, aku rela mati disasar peluru sesat pemburu haram”.  Begitu bersemangat gagak bersyarah memancing kepercayaan kawanan sepat.  Sesama sepat mula mengangguk tanda setuju.  Semua sepat memandang ke arah sepat tua yang sudah lama berdiam diri.  Menunggu.  Masa terus berlalu.  Sepat tua masih senyap.  Bukan takut tapi sedang memikirkan kata-kata gagak tadi.  Sepat-sepat yang berada di sekitarnya semakin riuh bercakap sesama mereka.  Gagak hanya memerhati.  Menanti.

Menjelang petang sepat tua mula berenang ke tengah kolam sendirian.  Sepat-sepat lain hanya memerhati saja.  Tidak berani bertanya.  Gagak sudah lama terbang entah ke mana.  Namun keberangan kawanan sepat masih belum reda.  Kata-kata gagak pagi tadi benar-benar menyedarkan mereka.  Mereka mesti bertindak.  Memalukan saja kalau ikan-ikan dari kolam lain tahu yang mereka masih sanggup berdiam diri.  Mereka memerhati sepat tua berenang tenang ke tengah kolam.

“Hmm... segarnya air di tengah-tengah kolam ini. Dalam.  Tiada selut.  Baunya pun amat menyenangkan”.  Sepat tua berguman sendirian.  Matanya melilau ke kiri dan ke kanan.  Kata-kata gagak pagi tadi mengganggu fikirannya. Sepat tua mesti bertindak segera.  Dia mesti berfikir semasak-masaknya tindakan yang diambil nanti untuk mengubah nasib mereka. Agar mereka tidak lagi tinggal di sudut kolam yang cetek dan berbau busuk.

Dari jauh sepat tua melihat haruan, puyu dan keli yang sebaya dengannya leka bercerita.  Sepat tua menghampiri kumpulan tersebut untuk mengintai apa yang dibincangkan hingga begitu leka sekali. 

“Kita dah lama hidup bersama dalam kolam ini.  Susah senang kita sentiasa bersama.  Tidak pernah kita berkira... kau puyu, ia keli.  Dan selama ini kaum kami tidak pernah mengabaikan kaum ikan yang lain.  Kami tak makan anak-anak ikan yang lain kerana kami menghormati nenek moyang mereka.  Kami masih berpegang teguh kepada kontrak sosial yang kita ikrar bersama.”  Demikian bersemangat sekali haruan tua melontar bicara.  Puyu dan keli turut angguk.

“Apa lagi yang kurang?  Kita sudah lama hidup aman damai di sini.  Tiada pecah belah, tiada sengketa walaupun kita dari spesis ikan yang berlainan.”  Celah keli sambil misainya terliuk disapa arus. 

“Benar katamu wahai keli.  Kita cukup aman di sini.  Kenapa ada haiwan asing cuba mengocak-ngacik ketenangan kolam ini.  Sekarang ini dah ada basa-basi dari sudut kolam sana yang kawanan sepat mahu buat perhimpunan menuntut hak mereka”.  Sambut puyu.

“Kawanan sepat nak tuntut hak?  Hak apa tu puyu?” tanya haruan kehairanan.

“Hak untuk kependudukan tetap tengah kolam ini kabarnya.  Itu yang aku dengar desas-desusnya dari mulut gagak yang lalu sekejap tadi,” terang puyu.  Haruan mengherot bibirnya.  Entah apa yang difikirkannya.  Keli hanya melopong.  Seketika kemudian  kelihatan haruan mengeluarkan sesuatu dari celahan batu. 

“Apa benda tu haruan?” tanya keli semakin hairan.

“Ini... sudah seminggu aku jumpa di tebing kolam sana.  Ada anak manusia terjatuh benda ni dalam kolam.  Haruan menunjukkan sebuah objek berwarna hijau berjalur hitam.  Tebal.  Puyu membeliakkan matanya.  Puyu seakan kenal benar dengan objek aneh itu.

“Kalau tak silap aku... ini buku kamus namanya.  Dulu masa aku dipelihara manusia dalam akuarium, selalu sangat aku lihat tuan aku membaca buku kamus ini. Kalau kamu nak tahu, inilah kitab ilmu.  Kita boleh tahu apa saja dalam buku kamus ini,” terang puyu dengan penuh yakin.

“Betul kata awak tu puyu.  Aku dah seminggu menalaah benda ni.  Ada sesuatu yang menarik ingin ku kongsi bersama kalian,” kata haruan sambil membelek ke mukasurat yang ditanda dengan daun. “Dengar aku baca,” kata haruan lagi.  “Ikan Sepat adalah sejenis ikan air tawar. Di Jawa Barat dan Jakarta, ikan ini disebut sepat siam, sedangkan di Jawa Timur ia juga dikenal dengan nama sliper. Dalam bahasa Inggeris disebut snake-skin gouramy, merujuk pada pola warna belang-belang di sisi tubuhnya. Nama ilmiahnya adalah Trichogaster pectoralis” Haruan berhenti seketika sambil menarik nafas.  Sepat tua yang sedang menyorok di balik akar teratai semakin berminat ingin mengetahui.  Keli makin melopong.  Kagum betul dia mendengar haruan membaca. “umumnya ikan sepat menyukai danau, sungai dan parit-parit yang berair tenang; terutama yang banyak ditumbuhi tumbuhan air.  Juga kerap terbawa oleh banjir dan masuk ke kolam-kolam serta tali-tali air hingga ke sawah. Sebahagian besar makanan sepat adalah tumbuh-tumbuhan air dan lumut. Namun ikan ini juga mahu memangsa haiwan-haiwan kecil di air, termasuk ikan-ikan kecil yang dapat termuat di mulutnya. Ikan ini sering ditemui di tempat-tempat yang terlindung oleh tumbuhan air atau sampah-sampah yang menyangkut di tepi air.”  Haruan berhenti sambil merenung ke wajah puyu dan keli.  ”Hmmm... awak berdua dah dengar tentang sepat ini bukan?  Jadi, apa hak yang mereka nak tuntut itu?  Dalam buku kamus ini dah terangkan tentang habitat dan tabiie sepat ni.  Jangan nak salahkan ikan lain jika mereka tinggal di tepi kolam sana.  Mereka yang suka mengasingkan diri mereka”.  Keli dan puyu hanya angguk.  Sepat tua hanya tunduk malu di balik akar teratai.  Dalam hatinya berharap, tiada seekorpun ikan-ikan itu perasan kehadirannya di situ.

Nekad!  Sepat tua berenang kembali ke sudut kolam mendapatkan kerabatnya yang sudah lama bergelumang dengan persoalan setelah pemergiannya sekejap tadi. Ratusan mata sepat memandang tepat ke wajahnya dengan penuh harapan.   Gagakpun sudah lama bertenggek di busut basah menanti berita dari sepat tua.

“Kita batalkan niat kita!”  kata sepat tua sepatah.

”Tapi...” sepat lain seakan memprotes keputusan tersebut.

”Tak ada tapinya lagi.  Ini dunia kita.  Ini tempat kita.  Jangan salahkan sesiapa kalau kita masih tetap kekal di sudut kolam ini.  Memang inilah tempat kita sejak zaman nenek moyang.”  Segera sepat tua membidas.  Gagak terkedu mendengar hujah sepat tua.  Rasa tidak puas hati bersarang di hatinya.  Gagak masih berazam untuk menghasut kawanan sepat ini.

”Jangan  jadi bodoh.  Entah apa yang ikan-ikan di tengah kolam itu beri pada awak.  Awak jangan  termakan hasutan ikan-ikan hipokrit di sana tu.” hasut gagak.  Namun sepat tua sudah nekad.  Keputusannya muktamad!

”Aarrrkkk....”  tiba-tiba terdengar jeritan gagak sepatah.  Sepat-sepat menoleh ke arah suara gagak di atas busut basah.  Hanya bulu-bulu gagak kelihatan berterbangan dibawa angin petang dan kelibat seekor biawak meluru laju depan kawanan sepat.

                               *********************
 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) hmmmm setelah lama menyepi diri bertapa sekolam dgn sepat, akhirnya terhasil juga sebuah cerpen ttg sepat. Cool
  • 2) wow! heheh dari dulu teringin nak buat cerita sebegini. tapi belum kesampaian. dunia fiksyen yang penuh imaginasi. kasta sosial di kolam pun boleh dijadikan cerita :)
  • 3)

    aaa..sepat ni pun msti baca ensikopledia nih..tau plak psl anjing padahal anjing tak dok dalam air..hehheehe..

    komen: suka! bgusnyer cerita psl ikan..dah lama xbaca cite2 mcm ni..last time waktu sekolah.. keep it up! =)

  • 4) hemm...banyak membaca nihh...cume citer pasal sepat die taww....
    saya suka penggunaan bahasanya...
    agak lama tidak membaca...
    want to start again...thanks and congrat for ur story...

Cerpen-cerpen lain nukilan RawanHiba

Read all stories by RawanHiba