Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Izz Wardina

Cerpen sebelumnya:
Anak Muda Tak Keruan - Bahagian 1
Cerpen selanjutnya:
Tahun Baru, Palestin dan Darah

Suasana redup petang itu sungguh menenangkan hati, namun bukan waktu untuk dirinya bertenang pada saat ini. Fikirannya mula berkocak, terganggu dengan hadirnya perkhabaran duka. Kini segalanya tak lagi seindah dulu. Kamera Nikon D80 yang berada dalam pegangan dipandang sayu. Satu persatu imej seorang gadis dalam pelbagai mood ceria yang dirakam pelbagai gaya ditatap satu persatu. Kandid adalah elemen wajib buatnya tatkala mengabadikan imej. Namun wajah itu paling manis apabila tersenyum. Kini senyumannya mati bersama pegunnya imej tersebut. Bibir merah itu tentu sahaja akan mengukir senyum tetapi sudah pasti bukan untuk dirinya lagi.

“Dahlah tu Izz. Aku tahu kau sedih, tapi apa yang kita lakonkan tadi mesti dipertahankan. Kalau tak Dina jugak yang serba salah,” ucapan teman wanita abangnya itu sedikit sebanyak mengembalikan semangat yang hampir hilang. Inilah pengorbanan yang paling berat pernah dilakukan. Melepaskan wanita yang dicintai ke pangkuan lelaki lain. Namun Izz Zulkhairi tiada pilihan, melainkan rela akan segalanya dan berdoa agar si dia bahagia.

“Terima kasih Natily. Kau banyak tolong aku. Kau memang kakak ipar yang paling sekepala dengan aku,” gadis itu hanya tersengih. Faham benar dengan perangai Izz yang gemar mengusik.

 

Wardina Aisyah, kehalusan tutur katanya mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang mendengar. Ulas bicara yang kedengaran petah dan bersahaja mengundang perhatian kepadanya. Dia bijak, bersopan namun tetap merendah diri. Kematangannya menyerlah bersama pesona yang ditonjolkan. Mungkin orang luar menyangka dirinya sedang berbahagia kini. Jauh di sudut hati, segalanya dirasakan serba tak kena. Si manis ini runsing memikirkan nasibnya setelah dinikahkan sebentar lagi. Bakal suaminya, bukanlah ternama orangnya. Tidak juga terlalu istimewa tetapi cukup ciri untuk menjadi menantu idaman mama dan papanya. Dia sendiri bingung. Hatinya berbolak-balik memikirkan kewarasan akal yang begitu mudahnya menyatakan persetujuan. Naluri seorang anak membuatkan Wardina tidak tergamak menghampakan harapan kedua orang tua yang telah bersusah payah menjadikannya ‘orang’ seperti sekarang. Lantas dek kerana tidak mahu menjadi anak derhaka, dia rela mempertaruhkan kehidupan demi nama seorang isteri kepada lelaki yang sebelum ini hanya dikenali dengan sikap angkuh dan sombong selain mementingkan gaya hidup sosial.

 

“Aku terima nikahnya Wardina Aisyah bt Mukhsin dengan mas kahwin RM 80.00 tunai,” apabila terhenti sahaja lafaz ijab yang meniti di bibir suaminya, Dina gagal menahan air mata. Emosinya benar-benar terganggu pada hari ini. Sepatutnya seorang wanita harus berbahagia apabila dinikahi, namun dia sebaliknya. Biarlah mama dan sanak saudara menganggap dirinya menitiskan air mata kegembiraan. Tetapi hanya dia yang tahu. Menangislah, menangislah hati. Aku dah tiada upaya lagi untuk menahannya. Dia rindukan kisah cinta yang telah diusir realiti getir ini. Namun dia pasrah dengan segala ketentuanNya.

Izz hanya terdaya memerhatikan dari luar. Tak sanggup rasanya untuk menatap wajah gadis yang paling dikasihinya itu. Dina kini telah jadi hak orang lain. Dia terpaksa berusaha sendirian untuk mengubati luka yang amat dalam. Sekali lagi lensa kameranya tertancap pada wajah polos yang dirias indah. Jauh di sudut hatinya, Izz tahu kekasih hatinya itu hanya berpura ceria. Sedangkan gadis itu tidak pandai berlakon. Dia amat memahami Dina. Pergilah Dina, Izz lepaskan. Semoga Dina sentiasa berbahagia bersamanya. Bersama ucapan itu, Izz melarikan dari daripada keriuhan majlis. Hatinya bagai telah mati. Dia menahan air hangat yang mula mengacah tubir mata. Mata yang merah biarlah dikata masuk habuk. Untuk apa ditangisi sebuah perpisahan, andai dia tahu cinta gadis itu kental buatnya seorang. Tetapi tempoh yang lama berupaya merubah hati seorang manusia, Izz yakin tentang itu.

 

Bagai putera puteri mereka berdua diraikan oleh kaum keluarga pada majlis persandingan ala taman. Dina mengenakan blaus ungu krim labuh fabrik lace dipadankan dengan tudung dan selendang warna senada renda Perancis. Manakala Farouk memakai tuksedo berwarna krim yang cukup menyerlahkan kesegakannya. Keayuan yang terserlah pada wajah Dina langsung tidak menimbulkan kekaguman di hatinya. Tetapi dia bangga dapat memiliki gadis yang sering menjadi perhatian sejak di bangku sekolah lagi. Bukan kerana cantik, tetapi kerana kebijaksanaan. Saat gadis itu kelihatan serba salah memaut tangannya, semakin bertambah sikap riaknya. Dia seronok dapat mengawal segala tingkah laku Dina kelak. Kerana apa sahaja yang gadis itu lakukan, perlu berada dalam pengetahuannya nanti.

 

Anak mata puan Faridah menyorot langkah anak tunggal kesayangannya. Kini masanya telah tiba. Sebagai ibu, dia telah membesarkan dan memberi segala yang termampu sepanjang menjaga Dina. Dia perlu akur bahawa anak kesayangan beliau dan suami telah bergelar seorang isteri. Sudah menjadi kewajipan untuk seorang isteri mengikut suami ke mana sahaja dia pergi. Jadi isteri kebanggaan suami, itulah kalimat yang sering dipesan buat anak gadis tersayang. Berat hatinya untuk melepaskan Wardina Aisyah, mungkin inilah yang dinamakan kasih sayang seorang ibu. Tidak betah berjauhan dengan anak. Tambahan lagi hanya dia seorang saja permata hati. Dialah penawar, dialah teman kelahi.

“Mama, jaga diri elok-elok. Nanti senang-senang mama boleh datang rumah kami. Dan Dina mesti akan balik kalau rindu kat mama,” lantas dia tunduk menyalami si ibu. Begitu juga papa. Lama mereka anak beranak berpelukan buat seketika. Farouk tunduk menyalami ibu dan bapa mentuanya.

Sambil memasang cd pada pemacu cakera, Farouk hanya memandang sinis Wardina yang masih menyeka air mata.

“Dahlah sedih-sedih tu. Bukan I nak bawak you pergi mati,” kata-kata itu menusuk jantungnya. Belum apa-apa, Farouk dah berani tunjuk belang. Tetapi di luar pengetahuan ibu bapanya. Ya Allah, lindungilah setiap langkah kami, pohonnya dalam hati. Dia akui, sejak hari pertama dinikahi, Farouk memang sukar untuk difahami. Hanya lagak angkuh dan sombong jejaka itu cukup untuk Dina merasa jengkel. Jika tidak kerana lelaki yang sedang memandu ini adalah suaminya, mahu saja dia menjauhkan diri. Namun apakan daya, telah tertulis di suratan takdir bahawa jodoh mereka sebagai suami isteri. Tiada daya untuknya mengelak meski telah bertahun menyulam cinta dengan lelaki bernama Izz Zulkhairi. Semoga perangai Farouk akan berubah menjadi lebih baik selepas ini.

“Saya tak kata pun awak nak bawak saya pergi mati. Saya cuma sedih sebab saya  kena ikut awak. Tu je,” balasnya sambil mencebik. Tergambar terus reaksi yang melingkari hati kala ini.

Farouk meraih jemari Dina yang dari tadi mencubit-cubit lengannya sendiri. Tak diam langsung. Mungkin gelisah agaknya. Dia naik lucu melihat telatah gadis itu. Pandang wajahnya macam nampak hantu.

“Pandai mulut you ni menjawab. I kagum lah dengan you. Maybe I lupa, you ni bijak orangnya,” sinis sekali jawapan yang meniti di bibir Farouk. Dina hanya membatukan diri. Malas nak cari pasal dengan suaminya. Senyum bukannya ikhlas! Nak menyakitkan hati orang saja.

Sesampai sahaja mereka di kediaman mewah yang merupakan hadiah perkahwinan daripada ibu bapa Farouk, jejaka itu terus mematikan enjin kereta. Dia berpeluk tubuh menanti isterinya keluar dari perut kereta. Sesekali bibirnya mengukir senyum sinis. Dina yang masih tiada mood bermalas-malasan menuju ke arah suaminya. Farouk sedang bercekak pinggang. Macam mando sahaja lagaknya!

“Angkat sendiri beg-beg you ni bawak masuk. I letih, tak boleh tolong. Nak rehat,” belum pun sempat dia bersuara, Farouk terlebih dahulu mengeluarkan perintah. Dina menyambut arahan yang diterima daripada suaminya dengan gelengan. Kenapalah berlagak sangat? Tak ada sifat mengalah langsung. Tak habis-habis nak pentingkan diri sendiri.

 

 Rambut panjangnya yang melepasi pinggang itu disikat lembut. Bau harum syampu membangkitkan kesegaran buat sesiapa sahaja yang duduk di sisi Dina. Bergetar naluri Farouk namun dia hanya menahan sahaja. Masih tekun membaca majalah CLEO yang menjadi bahan bacaan paling digemarinya sejak dulu.

“Dina rasa kan bang, kita tak payah susah-susah nak ambil pembantu rumah,”

Ayat keramat yang keluar daripada mulut Dina begitu menarik perhatian Farouk. Lantas majalah tersebut diletakkan di tepi katil. Apa seriuskah isterinya ini? Sedangkan perempuan lain pasti takkan menolak jika ditawarkan dengan perkhidmatan pembantu rumah.

“Siapa nak kemas rumah ni? You? Pandai ke buat kerja?” seakan menyindir suara Farouk. Namun wajahnya serius. Sekilas matanya memandang Dina yang kelihatan yakin dengan cadangannya.

“Dina boleh uruskan rumah kita bang. Nak kata pakar sangat tak adalah. Tapi membazir je kalau kita upah pembantu rumah,” lembut suara Wardina. Farouk mengukir senyum. Bagus! Boleh jimatkan duit aku.

“Kalau macam tu kata you, I ikut saja. Asal you senang I pun takde halangan,” padahal dalam hatinya tahulah dia nak ajar perempuan begini. Tak nak pembantu rumah konon! Aku akan buat sampai kau merayu nak pembantu rumah.

 

Izz kini telah menyepi dari hidupnya. Tiada langsung khabar berita yang diterima daripada jejaka berperwatakan gila-gila itu. Tentu Izz telah berbahagia dengan kehidupannya sekarang. Mungkin juga telah menemui seorang wanita yang sedia berkongsi hidup dengannya. Bukan seperti dia, masih terumbang-ambing melayari bahtera perkahwinan. Semoga kemanisan berumatangga menyinari hidupnya dan Farouk selepas ini. Hampir setahun mendirikan rumah tangga, Dina hanya mampu memohon kepada Allah agar suaminya dibukakan pintu hati untuk berubah. Dia sudah mati akal untuk berbicara dengan orang keras hati seperti Farouk. Kedudukannya dalam rumah ini tak lain dan tidak bukan sekadar menjadi orang suruhan. Tarafnya sebagai isteri langsung diketepikan. Apakah salahnya pada Farouk? Derhakakah dia setelah menyerahkan seluruh kehidupan buat seorang insan bergelar suami? Disuruh berhenti kerja, dia akur. Tidak dibenarkan pulang ke rumah mama dia turutkan. Tidak cukup dengan itu, Farouk membangkitkan pula soal anak. Hanya kerana mereka masih belum dikurniakan cahaya mata, suaminya menuduh dirinya mandul.

 

“Akuarium ikan I dah cuci ke? Nanti mati pulak ikan I macam dulu tu. Mahal tahu nak beli?” Tersentak Dina mendengar tengkingan suaminya. Habis bersepai segala lamunannya.

“Dah bang. Saya dah bagi ikan makan,” tanpa menunggu bicara si isteri yang selanjutnya, Farouk mengheret Dina menuju ke arah akuarium yang menempatkan ikan flower horn kesayangannya. Alangkah terkejutnya Dina bila melihat mata ikan itu terbuntang. Tubuh haiwan itu kaku! Jantung Dina bagaikan terhenti berdegup.

“Apa you dah buat ni Dina? Mati ikan I! Bagi makan ke bagi racun?” Jerkah Farouk. Ditolaknya akuarium itu hingga berkecai bekas kaca tersebut. Dina terpempan. Air matanya merembas dek kerana ketakutan yang amat sangat. Semakin bertambah sakit hatinya melihat si isteri terhinggut-hinggut menangis.

“Ni je ke yang you tahu buat? Menangis, menangis, menangis? Cubalah bagi jawapan yang sedap sikit untuk I dengar. Bingit telinga ni bila you menangis!” sela jejaka itu lantas menolak tubuh Dina ke dinding. Kudrat seorang wanita gagal menahan tingkah lelaki yang sedang naik angin. Dia hanya beristighfar. Bermohon agar tidak terjadi perkara yang bukan-bukan. Mujurlah tidak terbaring di atas kaca yang bertaburan di atas lantai. Tubuhnya terhentak padu. Tak cukup dengan itu, Farouk melempang pula pipi kanan Dina.

Langsung tiada belas melihat isterinya yang sedang mengaduh kesakitan. Farouk mengambil kunci kereta lantas menghilangkan diri begitu sahaja. Dina mengetap bibir.

 

Kesakitan kali ini bukan seperti biasa. Perutnya terasa merengat-rengat. Kakinya terlalu lemah untuk diangkat. Demi terpandangkan darah yang mengalir sehingga ke buku lalinya dan telah membasahi lantai, Dina mula teresak-esak. Adakah dirinya sedang mengandung? Mengapa dia tidak menyedarinya? Dan kini dia telah menyebabkan satu nyawa baru tidak berpeluang mengenal dunia. Penuh kepayahan dia menuju ke meja telefon dan mencapai gagang. Hanya satu nombor sahaja yang terlintas di ingatannya. Dan dia terus mendail nombor tersebut kerana khuatir dirinya tidak mempunyai banyak masa lagi.

 

Izz yang sedang meneliti satu persatu gambar di mejanya berkira-kira untuk menjawab nombor asing yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Namun kata hatinya begitu mendesak.

“Assalamualaikum, siapa ni?” Lembut dia bertanya.

“Izz, Dina ni. Tolong Dina,” dia terkedu mendengar suara bekas kekasih yang terketar-ketar di hujung talian. Kenapa dengan Dina? Apa dah berlaku kepadanya?

“Dina! Kenapa ni?” soalnya tanpa dapat bertenang.

“Tolong telefon mama dengan papa. Suruh datang rumah, Dina sakit,” setelah menghabiskan permintaannya gagang terlepas dari pegangan. Matanya terpejam. Dia gagal menyedari apa-apa lagi.

“Dina! Dina!” Panggilan Izz tidak bersahut. Kebimbangannya telah sampai ke tahap yang paling maksimum. Kerja-kerja yang masih terbengkalai ditinggalkan begitu sahaja. Wardina Aisyah lebih penting berbanding soal hidupnya sendiri!

 

Suasana muram di wad tersebut diiringi dengan air mata Puan Faridah. Encik Mukhsin dan Izz hanya mampu berpandangan. Pilu melihat keadaan Dina yang tak henti-henti mengalirkan air mata. Tiada sepatah kata pun terucap di bibir anak kesayangan mereka itu. Apabila mereka tiba di hospital bersama Izz, yang merupakan sahabat baik Dina tadi, gadis itu semakin teresak-esak. Sebenarnya Dina terlalu sebak mengenangkan kerinduan terhadap Izz. Lebih mendukacitakan, doktor memberitahu bahawa kandungan Dina tidak dapat diselamatkan.

Izz meminta diri untuk mengambil angin di luar seketika. Sedang elok dia memulas pintu wad itu, Farouk memunculkan diri dengan wajah sombongnya. Izz ketap bibir. Terasa darah menyerbu naik ke muka. Lelaki ini menghancurkan hidup Dina tanpa perikemanusiaan.

“Kau! Jangan ingat kau bagus sangat! Kau dah hancurkan hidup Dina, Farouk! Kau pernah fikir tak bahawa tindakan kau dah buat dia menderita? Anak dia dah mati, Farouk!” berserta dengan kata-kata itu, sebiji penumbuk hinggap di muka Farouk. Pecah bibirnya. Dia ingin melawan, namun Izz lebih tangkas menggunakan kaki untuk menendang perutnya. Mujurlah tiada sesiapa lalu lalang di situ.

“Masuklah kalau kau rasa dia nak jumpa kau. Aku takde kuasa nak halang,” sempat Izz berpesan. Wajahnya tampak bersahaja. Sebenarnya masih belum cukup kemarahan yang ditunjukkan kepada Farouk. Tetapi apalah haknya untuk menghukum, sedangkan lelaki durjana itu bersalah terhadap Dina. Isteri yang tak pernah dihormati selayaknya.

“Tak guna! Aku benci kau! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Keluar dari sini! Aku nak kau ceraikan aku! Berambus syaitan!” Bentak Dina.

 

Dia masih lemah untuk bangun. Hanya tangannya terdaya menumbuk-numbuk dada Farouk. Hatinya luluh. Dia sedih kerana zuriat yang dinantikan, hilang dalam sekelip mata. Kini tiada gunanya untuk mereka hidup bersama andai dirinya hanya untuk dipersenda dan dipersiakan saban waktu.

Farouk memandang wajah kedua-dua ibu dan bapa mentuanya. Hanya renungan tajam yang memaku pandangan matanya. Dia kelu. Untuk berbicara dia gugup apatah lagi untuk memohon kemaafan. Dan tentunya berita si isteri sedang hamil berada di luar pengetahuannya. Jika tidak, tak mungkin dia akan bertindak sejauh itu. Namun tahukah dia bahawa isteri bukanlah tempat untuk melepaskan amarah yang tidak menentu? Tahukah dia bahawa isteri perlu dihormati sewajarnya? Islam meletakkan taraf seorang wanita di tempat yang mulia dan terhormat. Bukan untuk dihina.

 

Izz memandang Dina yang masih mendiamkan diri di hadapannya. Puan Faridah dan Encik Mukhsin turut menanti jawapan yang akan keluar daripada mulut anak tunggal mereka.

“Dina tetap dengan keputusan Dina mama, papa. Dina dah fikir masak-masak. Izz, terima kasih tolong Dina ya. Kalau takde Izz, tak tahulah macam mana,” sayu kedengaran suara itu di pendengarannya. Hatinya sungguh tersentuh. Inilah kali pertama mereka bersua dan berbual-bual setelah gadis itu bergelar isteri. Dan kasih serta cintanya tak pernah sekalipun terhakis. Segalanya tersimpan kukuh buat Wardina Aisyah.

“Tak mengapa Dina. Izz bangga dapat tolong Dina masa Dina memerlukan. Kalau Dina perlukan apa-apa, jangan abaikan Izz. Ingatlah Izz sentiasa menyokong Dina,” setitis demi setitis air mata menitis di pipi gadis itu. Izz teringin menyekanya, namun dia masih ingat. Gadis ini masih hak Farouk yang sah. Dan dirinya akan terus menyayangi Dina seadanya.

Muramnya wajah cinta hatinya ini. Sejak mereka berkenalan, bercinta Dina yang dikenalinya bukanlah gadis yang senang mengalirkan air mata. Tetapi sejak kebelakangan ini, Izz maklum benar dengan kesedihan Dina. Murah benar air mata mengalir lesu di pipi si dia. Izz sangat mengerti, jika Dina gembira bukan begini keadaannya. Tidak keterlaluan jika dia katakan, inilah kali pertama dia melihat air mata Dina jatuh. Tugasnya sebagai jurufoto sering menjadikan senyuman dan keceriaan gadis ini sebagai subjek utama. Dia dapat menebak ada mendung yang terlukis di wajah Wardina Aisyah. Dia kenal air muka Dina. Dengan sinar matanya, cukup untuk Dina berbicara tentang kegembiraan yang dirasakan.

“Dina dah dapat surat mahkamah, nanti Dina akan selesaikan segalanya secara baik,” usul gadis itu lagi. Terbang segala khayalan Izz. Dia mengangguk lemah.

 

“Apa yang Dina rasakan sekarang?” Izz sekadar ingin bertanya. Setelah melalui fasa baru dalam hidupnya setelah diceraikan, dia dapat melihat kembali semangat yang kian membara dalam diri Dina. Lebih positif dan tabah.

“Lega yang amat sangat, Izz. Dina dah jumpa diri Dina semula. Dan Dina nak lalui semula saat-saat yang dah Dina lepaskan. Dina tak nak lakukan pengorbanan lagi,” Izz tersenyum bahagia mendengar ucapan optimistik Dina. Dia tumpang gembira melihat perubahan positif ini. Dan tentu sekali Dina lega kerana tidak perlu mendengar sebarang cerita mengenai lelaki kejam itu.

Masih jelas tergambar di ruang matanya, Farouk menitiskan air mata saat melafazkan cerai beberapa bulan yang lalu. Untuk apa menangis andai lelaki itu yang terlebih dulu melukakan? Semuanya dah terlambat, tiada guna untuk bekas suaminya itu menyesal. Dina tidak perlukan Farouk untuk meneruskan hidup. Lelaki itu hanya tahu memahatkan kenangan pahit dan menggores luka paling dalam di hatinya.

 

“Eh! Dina! Ke tepi, ada kereta!” Mereka berdua tidak sempat berbuat apa-apa kerana jarak kenderaan pacuan empat roda itu semakin hampir. Dina tergamam. Namun dalam kekalutan itu, sempat Izz menolak tubuhnya ke bahu jalan. Dina mengaduh kesakitan apabila badannya tersembam ke atas pasir. Berdarah sedikit tapak tangannya. Namun kedengaran bunyi dentuman yang kuat membuatkan dia tersentak.

“Izz!” Laungnya sekaligus menarik perhatian anak-anak muda yang ada di taman berdekatan. Mereka bergegas menghulurkan bantuan.

“Izz! Ya Allah! Bangun Izz!” Berderai air matanya apabila melihat Izz yang kaku terbaring di atas jalan. Dipangkunya kepala jejaka itu. Dia diburu rasa bersalah. Cemas melihat keadaan Izz, tergigil tangannya. Izz takkan jadi begini jika tidak kerana ingin menyelamatkannya.

 

…………………

 

Izz memandu keretanya dengan sepenuh ketenangan. Sudah lama dia mengidamkan detik-detik sebegini. Siapa sangka, setelah mengalami kemalangan beberapa tahun lalu dia disahkan lumpuh daripada pinggang ke bawah namun hasil dorongan Dina dia berjaya pulih sepenuhnya. Paling memberi erti, dia mampu untuk berjalan kembali. Benar, Dina adalah sumber inspirasinya. Dulu kini, malah hingga ke akhir hayat. Dipandang sekilas Dina yang berada di sebelah. Wanita itu hanya tersenyum manja bila menyedari dirinya diperhatikan.

“Teringat kisah dulu-dulu. Sekolah ni banyak simpan kenangan kita. Paling tak boleh lupa masa orang tu tersalah bagi baton. Dah kalah satu pasukan,” usik Dina.

Ketawa mereka bergema. Masing-masing tenjengah dari cermin kereta untuk melihat bangunan sekolah yang tersergam indah itu. Terlalu banyak perubahan seni binanya sekarang, bersesuaian dengan peredaran semasa yang kian maju. Namun bangunan yang memiliki nilai sentimental buat mereka ini tetap teguh berdiri di tapak yang sama.

“Alah, awak tu pun apa kurangnya. Pandai jugak buat lawak, masa perhimpunan. Ada ke boleh silap naikkan bendera, dah kena gelak,” Dina terik muka masam. Dia paling tak boleh lupa waktu itu. Sebagai pengawas yang ditugaskan untuk menaikkan bendera pada waktu perhimpunan, dia akan menjalankan tanggungjawab itu bersama pengawas sengal, siapa lagi jika bukan Izz. Tetapi pada hari itu entah apa pula halnya, dia tersalah menaikkan bendera persatuan pengawas sewaktu lagu sekolah sedang berkumandang. Izz ketawa sampai bergegar badan. Bukannya nak tolong, tapi tergelak-gelak di sebelahnya.

Dina masih memikirkan sesuatu perkara. Entah kenapa, dia merasakan bagai mereka sedang tertinggalkan sesuatu yang amat penting. Tetapi apakah gerangan sesuatu tersebut?

“Abang! Kita terlupa Zati dengan Wafiy,” ujar Dina dalam tawa.

Serta merta Izz menekan brek. Si kembar kesayangan mereka itu? Bagaimana pula boleh terlupa. Kesian sungguh. Padahal tengah meronda berhampiran persekitaran sekolah.

“Aduhai! Macam mana mama dengan papa boleh lupa ni?” rungut Izz sambil tergelak. Pastilah memuncung wajah Izzati Zalia dan Wafiy Aiman yang berusia tujuh tahun itu sebentar lagi. Dan sebagai langkah memujuk, haruslah papa membelikan coklat Cadbury kegemaran mereka sekeluarga. Tanda obsesi terhadap coklat tersebut dibuktikan dengan kemenangan mereka dalam pertandingan foto bersama Cadbury yang dianjurkan tidak lama dulu.

 

Kedua-duanya masih tergelak. Lucu mengenangkan bahawa mereka hampir meninggalkan anak-anak di sekolah. Mujurlah teringat, kalau tidak pulang ke rumah berdua sahaja nampaknya. Maklumlah, bila telah mempunyai cahaya mata hanya sesekali mereka berpeluang menghabiskan masa untuk keluar bersama. Orang beranak ini memang lain tanggungjawabnya. Dina memandang Izz. Manisnya senyuman suaminya itu tetap sama seperti jejaka selamba yang dikenalinya seawal usia remaja. Sudah hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga, kehidupan mereka sentiasa ceria dengan usikan Izz. Suaminya ini belum pernah meninggikan suara apatah lagi menjentik dia dan anak-anak. Izz pandai menangani setiap permasalahan mereka dengan bijak selain cukup sabar melayani kerenah Zati dan Wafiy. Kerukunan rumah tangga mereka begitu harmoni ditambah pula dengan kelahiran cahaya mata ketiga yang bakal menyusul dalam beberapa bulan sahaja lagi. Mereka sepakat untuk memberikan sepenuh perhatian buat si kembar itu meskipun bakal dikurniakan dengan anak kecil. Siang dan malam mereka berdoa agar segalanya berjalan dengan sempurna.  Izz meraih lalu mengelus lembut jemari isterinya. Sempat dia berbisik lembut ke telinga Dina. Sungguh romantis suaranya.

“Dina menjadi pelengkap buat diri abang selama ni. Kalau boleh, abang tak nak kehilangan Dina dan anak-anak kita. Abang sayangkan kamu semua. Harta abang yang paling berharga untuk seumur hidup,” hanya bicara itu yang dapat menggambarkan betapa dia menghargai kehadiran Wardina Aisyah dan anak-anak mereka dalam hidupnya.

    

 

     

 

 

Cerpen sebelumnya:
Anak Muda Tak Keruan - Bahagian 1
Cerpen selanjutnya:
Tahun Baru, Palestin dan Darah

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.3
3 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2455 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6239 bacaan
Berikan Hatimu | 4036 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3579 bacaan
Tiada Sesalku | 2920 bacaan
Laksana Bulan | 2947 bacaan
Seribu Impian | 3936 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3372 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3765 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3461 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

12 Komen dalam karya Izz Wardina
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik