Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Pergi

  • 0
  • adra
  • 10 years ago
  • 5,365
  • FREE

 

Gelanggang di hadapannya direnung dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Dia tenang bersendirian di sini menghabiskan saki baki masa. Sessunguhnya saat-saat begini teramat sukar untuk dihadapi. Tapi apa yang telah terjadi adalah ketentuan. Bukan dalam genggamannya.

Kelibat seseorang yang menghampiri bangku tempat dia duduk mengalih perhatian. Ada bola dalam pegangan lelaki berseluar pendek dan berbaju T kelabu itu. Tanpa sepatah kata lelaki berkenaan duduk selang satu bangku di hadapannya.

Perlahan dia menyentuh bahu lelaki itu. Buat seketika mereka saling berpandangan. Masing-masing sepi tanpa suara. Sebetulnya dia ingin mereka berbicara walau hanya sekejap. Tapi dalam keadaan begini tak mungkin apa yang dia mahu berlaku.

“Semua dah hancur. Usaha kita lebur macam tu je. Aku tak tahu nak buat apa lagi,” keluh sahabatnya.

Berkali-kali lelaki itu meraup tangan ke muka. Lama dia berteleku. Seribu satu perasaan kurang enak mulai menyesakkan dada.

Namun keadaan tetap sepi tanpa bicara. Hanya sesekali bunyi tren yang silih ganti bertukar haluan memecah sunyi malam.

Soalan sahabat tersayang dibiarkan tanpa jawapan. Buat masa ini biarlah dia sekadar penjadi pemerhati. Diam bukan bererti mengalah. Tapi diam kerana keadaan menuntut demikian. Bukankah itu lebih baik daripada menyampuk dan merapu yang bukan-bukan? Saat dia mengelamun, kawan baiknya bangun dan mula membaling bola ke lantai. Berkali-kali membuat lantunan dan menyumbat bola ke dalam keranjang. Untuk satu tempoh yang lama sahabatnya mengulangi perbuatan itu seolah tidak penat. Sehingga tubuh bermandi peluh dan kelelahan menghela nafas.

“Syuk! Kau pergi mana? Kau sedar tak kau tengah susahkan kita orang sekarang ni? Baliklah bengong! Kita orang tunggu kau! Cukuplah kalau kau nak gila seorang! Jangan buat orang lain gila sama!” laung sang teman semahu-mahunya. 

Dia termangu. Garau suara itu memecah hening malam yang mula sunyi. Menggantikan bunyi tren yang telah tamat waktu operasi.

Dalam teriakan sang sahabat terduduk sendiri. Menangis.

Perlahan anak muda ini bangun dan menghampiri susuk tubuh sahabatnya yang mulai terhinggut-hinggut. Bahu sahabat tersayang ditepuk berkali-kali seolahnya memberikan kekuatan.

“Maafkan aku.” Bisiknya sebelum berlalu dari situ.

***

“Woi Kau pergi mana semalam? Aku telefon kau tak jawab. Silent ke apa?” teguran itu menghentikan langkah Alep.

Dia tayang muka tanpa emosi. Paan tunduk. Anak muda ini tarik nafas panjang kemudian hembus. Tarik dan hembus. Tarik lagi dan hembus lagi. Sakit jiwa betul kalau cakap dengan Alep. Suka buat macam dia seorang saja ada masalah.

Padahal satu sekolah tengah heboh dengan berita yang mereka terpaksa tarik diri dari mewakili Kuala Lumpur dalam Kejohanan Bola Keranjang Sekolah-Sekolah Malaysia. Satu pasukan Bereh Boh sedang tanggung malu.

Mana taknya, pasukan mereka hilang kelayakan sebab seorang ahli gagal menghadirkan diri pada sesi pengenalan kepada pihak penganjur. Sehari suntuk mereka tunggu Syuk tapi sampai sekarang pun Syuk belum tunjuk muka. Semua ahli pasukan tak sabar nak kasi penumbuk kat muka Syuk sebab sikap lepas tangan mamat tu!

“Aku tertinggal telefon kat bawah bantal. Mana nak dengar? Jomlah masuk kelas dulu. Lambat dah ni. Aku tak kuasa kena denda. Dah tingkatan 6 pun takkan nak berdiri kat luar pagar lagi?” Ajak Alep sambil memaut leher Paan. Terhuyung-hayang budak dua orang ini masuk kelas.

Baru sahaja menjejakkan kaki ke kelas, mereka terasa lain macam. Suasana muram, diam dan pelik. Memang lain sangat. Tak macam biasa. Dengan perasaan teragak-agak Alep dan Paan melabuhkan duduk di tempat mereka.

“Kau orang dah baca berita hari ni belum?” Soalan Nazmi buat Paan dengan Alep saling berpandangan. Terpinga.

“Belum. Kau ingat hobi kita orang ke baca surat khabar? Lainlah budak nerd macam kau,” sempat lagi Paan buat  lawak sewel.

Tali leher yang sepatutnya dipakai kemas pada baju tak fasal-fasal diikat pada keliling kepala.

Konon nak ceriakan suasana pagi. Sebaliknya lain yang jadi bila Alep dah senyap bila terbaca tajuk utama surat khabar.

PELAJAR SEKOLAH MENENGAH MAUT DISYAKI MANGSA ROMPAKAN

Dengan jantung yang bergetar kencang seolah hendak tercabut dari kedudukan asalnya, mereka berdua meneruskan bacaan. Nazmi terdiam memerhatikan tingkah laku teman-teman baik, merangkap teman sepasukan Bereh Boh. Dia sudah baca berita menyedihkan ini awal-awal lagi. Syukri Rahem, kawan baik mereka adalah mangsa kejadian. Semuanya sudah cukup menjelaskan sebab arwah Syuk tidak menghadirkan diri semasa sesi pengenalan kepada pihak penganjur semalam. Patutlah arwah gagal dihubungi. Patutlah panggilan dan mesej dari mereka terbiar begitu sahaja.

Semalam tiada seorang pun daripada mereka mendengar berita di televisyen. Masing-masing layan jiwa lara. Ada yang tidur awal, ada yang melepas geram di gelanggang. Ada yang melalak sambil dengar lagu di dalam bilik. Siap pesan kepada ahli keluarga jangan ganggu. Dan pagi ini mereka dikejutkan dengan kejadian tragis yang menimpa kawan baik sendiri.

“Adib dah tahu belum?” tanya Alep dengan suara bergetar. Nampak benar dia sedang cuba tahan air mata.

“Aku tak pasti budak tu dah bangun tidur ke belum,” jawab Nazmi.

Dengan surat khabar yang tidak lepas dari tangan Alep bergegas keluar dari kelas. Beg sekolah semua dia tinggalkan. Alep dengan Nazmi tak sempat nak tahan. Masing-masing terus meluru ikut Alep. Mujurlah mereka atlet. Setakat berlari laju tak jadi hal punya.  

Kelam-kabut tiga sekawan ini berlari. Sampai cikgu disiplin yang kebetulan lalu hanya geleng kepala. Nazmi terniat hendak berhenti sekejap tapi tak sempat. Kecemasan. Cikgu pun diam lepas nampak surat khabar pada tangan Alep. Dia faham.

***

Ketar lutut empat sahabat ini sebaik sahaja melihat ramai orang di pekarangan rumah teres dua tingkat itu. Pagarnya terbuka luas. Namun suasana suram menjerut perasaan mereka. Dalam longlai dan gigil anak-anak muda ini melangkah masuk. Seketika pandangan mereka terhenti pada sebiji bola yang biasa menjadi peneman latihan Bereh Boh. Tersadai di tepi pasu bunga tanpa ada siapa yang peduli.

 Empat sahabat ini kuatkan hati. Namun Alep tidak semena-mena terduduk. Hatinya berbelah bahagi. Hendak masuk atau pun tidak. Hendak tengok jenazah untuk kali terakhir atau pun tidak. Dia hanya ada dua pilihan. Sama ada hendak ataupun tidak.

“Elok kita masuk dulu Lep. Jangan macam ni. Tak tenang arwah nanti,” pujuk Paan.

Dia faham kesedihan sahabat karibnya. Mereka sedang berkongsi rasa yang sama.

Lambat-lambat Alep bangun. Punya kental dia tahan perasaan sehingga tiada setitis pun air mata yang mengalir. Selama ini semua orang anggap dia paling keras dan degil dalam pasukan mereka. Tapi hari ini adalah hari yang paling lemah baginya. Lemah kerana suatu kehilangan yang tidak pernah dia bayangkan akan berlaku sepantas ini. Sehingga tenaga untuk berjalan seakan diambil pergi.

Alep, Paan, Nazmi dan Adib saling berpegangan tangan. Erat dan utuh. Seteguh cinta mereka kepada satu sama lain. Hanya Allah yang tahu perasaan mereka sewaktu memandang sekujur tubuh kaku Syuk buat kali terakhir. Wajah yang pucat milik sahabat mereka itu bagaikan sedang tersenyum. Tenang benar di pembaringan abadi.

“Semoga kau tenang di sana, sahabat. Maafkan aku yang selalu salah faham tentang kau. Aku ingat kau sengaja nak larikan diri pada saat akhir. Rupanya kau dah ‘pergi’ tempat lain,” tutur Alep sebak.

Buat kali terakhir, mereka seorang demi seorang mengucup dahi arwah Syuk. Tanda kasih sayang yang tidak berbatas buat sahabat yang telah pergi selamanya.

***

“Terima kasih kerana mengiringi perjalanan terakhir aku, sahabat. Teruskan perjuangan kita. Tak semua benda dalam hidup ni kita sempat buat. Aku tinggalkan selebihnya kepada kau orang. Kalau ada kelapangan, jangan lupa doakan aku. Maaf sebab aku terpaksa pergi tanpa ucapkan selamat tinggal,”

Empat sahabat ini terdiam. Bayu yang berpuput menambah galau mereka di hening petang. Masing-masing merasakan seperti Syuk ada di sisi mereka. Buat beberapa ketika mereka beristighfar.

“Tanggungjawab kita lepas ni adalah doakan dia. Dan teruskan perjuangan Bereh Boh. Tersingkir kali ni tak bermakna kita tak boleh mulakan lain kali,” luah Nazmi.

Alep dan Paan sama-sama angguk. Inilah erti persahabatan mereka. Meneruskan cita-cita bersama, walau sahabat tersayang sudah tiada lagi. Hidup akan berakhir apabila tiba masanya. Nafas akan terhenti apabila jantung sudah tidak lagi berdegup. Mereka yakin itu.

Empat anak muda ini bangun. Mereka membetulkan kopiah di kepala. Dengan perasaan berbaur mereka melangkah. Bersama satu kalimah menemani. “Innalillah….”  

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan adra

Read all stories by adra