Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Cinta Antara Kita

 

1994

 

SEMILIR petang bertiup lembut menampar dedaun ketapang yang lebar. Kicau burung meriuhkan suasana petang. Kelihatan seorang budak lelaki bersama-sama seorang kanak-kanak perempuan sedang seronok bermain ditemani panorama petang yang indah.

            “Em, bila dah besar nanti, Lia nak kahwin dengan Khairul, boleh?” pinta seorang budak perempuan yang memakai gaun berwarna merah jambu ketika dia dan kawannya sedang bermain masak-masak di bawah pokok ketapang yang rendang.

Budak lelaki yang berseluar pendek dan berbaju T-shirt gambar watak superhero ‘Spiderman’ hanya menganggukkan kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan gadis kecil itu.

“Janji?”

“Ya, Khairul janji. Lia juga tak boleh tinggalkan Khairul ya,” balas budak lelaki itu.

“Janji!” jawab gadis kecil itu sambil mengunjukkan jari kelingkingnya tangan kanannya kepada budak lelaki di hadapannya.

Lalu, jari mereka bertaut bersama-sama janji yang telah dimeterai...

 

* * * * *

 

2004

 

“KHAIRUL tunggu Lia! Janganlah kayuh laju sangat!” jerit seorang gadis yang berpakaian seragam sekolah menghangatkan pagi Isnin itu.

Pelajar lelaki di hadapannya semakin mempercepatkan kayuhan basikalnya, sengaja membiarkan gadis itu mengejar di belakang.

“Kita lumba! Siapa sampai lambat, dia kena belanja waktu rehat nanti!” teriak pelajar lelaki itu.

“Hah? Mana aci! Awak main tipu!!!” bentak pelajar perempuan itu.

Kedengaran gelak besar dari kawannya di hadapan. Nadzlia mempercepatkan kayuhannya. Khairul memang suka mencabar dan Nadzlia sendiri pantang dicabar. Tengoklah, dia pasti menang!

“Eii... lambatnya orang tu, macam kura-kura!” sindir Khairul.

Nadzlia mencebikkan bibir. Kemudian, dia melukis segarit senyum. Pantas, dia membelok basikalnya ke arah kanan, teringat jalan pintas ke sekolah. Kali ni, dia yang akan menang. Khairul semakin laju mengayuh tanpa menyedari kehilangan Nadzlia di belakangnya. Dia yakin, dia akan menang pagi itu. Tersengih-sengih dia. Lima minit mengayuh, dia membelok ke kiri, memasuki lorong menuju ke sekolahnya.

Pintu pagar sekolah mula kelihatan sedikit demi sedikit dan senyuman Khairul semakin lebar. Dia masih tidak berpaling ke belakang kerana dia tidak mahu hilang tumpuan. Sampai di pintu pagar sekolah, dia mengangkat tangan kirinya, menyapa Pak Kassim, pengawal keselamatan di sekolah itu. Sambil bersiul kecil,  Khairul

memperlahankan kayuhannya menuju ke tempat letak basikal yang dikhaskan berhampiran dengan tempat meletak motorsikal.

Kayuhannya terhenti tiba-tiba. Alangkah terkejutnya dia melihat Nadzlia sedang menunggunya dengan senyuman sinis, penuh makna.

“Wei, lambatnya orang tu, macam kura-kura!” perli Nadzlia memulangkan paku buah keras.

Khairul menarik nafas panjang kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dia turun dari basikal lau menolaknya ke arah tempat Nadzlia berdiri. Sebuah senyuman diukir di bibirnya.

“Kau main tipu! Mana boleh ikut jalan short-cut!” ujar Khairul dalam nafas yang tercungap-cungap.

“Awak yang main tipu dulu. Lagipun, awak tak cakap pun tak boleh ikut jalan short-cut,” balas Nadzlia.

“Ah, kau penipu!”

Excuse me Encik Khairul Anuar, saya bukan penipu ya. Jangan sedap mulut je nak menuduh. Dah kalah tu, buatlah cara dah kalah, terimalah hakikat...” sindir Nadzlia.

Khairul membulatkan matanya, tersentap dengan kata-kata Nadzlia tadi. Gadis ini memang suka berbalah dengannya.

“Kau...”

“Ah, dah, dah! Jangan lupa rehat nanti, Lia nak nasi goreng dengan air bandung ya,” ujar Nadzlia sambil mengenyitkan mata lalu melangkah pergi meninggalkan Khairul terpinga-pinga.

Khairul hanya memerhatikan langkah Nadzlia dengan hati yang berbahang. Siaplah, ada lori ada bas, ada hari nanti kubalas!

 

* * * * *

 

BUNYI loceng menandakan waktu persekolahan sudah tamat untuk hari itu. Para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana mula mengemas peralatan sekolah masing-masing.

“Baiklah, jangan lupa cuti sekolah nanti jangan nak berhibur je. Buku jangan lupa. Lepas cuti ni, awak semua tinggal tak lebih sebulan untuk SPM. Ingat tu!” Cikgu Salina memberi peringatan pada para pelajar Tingkatan 5 Sains 1 sebelum menamatkan kelas tengah hari itu.

“Baik cikgu!” hampir serentak semua pelajar menjawab.

“Khairul, saya nak ke bilik guru hantar buku latihan kejap. Tunggu saya ya,” pinta Nadzlia.

“Tengoklah, kalau lambat, aku tinggal je,” jawab Khairul.

Nadzlia menjeling lelaki yang sedang menggalas beg sekolah berwarna hitam itu. Dia tahu, Khairul tidak bermaksud untuk meninggalkannya. Sejak sekolah rendah hinggalah sekarang, Khairul pasti akan menunggunya, tidak kira semasa hendak pergi atau pulang dari sekolah.

Nadzlia membawa beberapa buah buku latihan para pelajar untuk dihantar ke bilik guru bersama-sama kawannya, Aimy. Pantas dia berjalan, tidak mahu membuat Khairul tertunggu-tunggu.

“Amboi, lajunya. Kau nak pergi mana?” tanya Aimy.

“Saya kena cepat, nanti Khairul tinggalkan saya,”

“Ala, tak ada maknanya. Takkanlah dia nak tinggalkan kau. Bukan kau tak kenal dia,” ujar Aimy.

“Sebab terlalu kenallah saya cakap macam tu. Awak bukan tak tahu Khairul tu, kalau dia dah bosan, ditinggalnya saya,” balas Nadzlia.

Selesai menghantar buku-buku latihan tersebut di bilik guru, Nadzlia pantas berlari menuruni anak tangga sehingga tanpa sedar melanggar seseorang menyebabkan beg sekolah pelajar itu terjatuh.

“Ah, maafkan saya,” ucap Nadzlia.

It’s okay,” balas pelajar lelaki yang memakai cermin mata itu.

Nadzlia kembali menyambung langkahnya. Sampai di tempat letak basikal, dia terpana!

“Apa dah jadi ni?” soal Nadzlia kepada Khairul.

“Mana aku tahu... bila aku sampai tengok dah jadi macam ni,”

Nadzlia melihat tayar basikal kepunyaan Khairul yang kempis tidak berangin.

“Bocor ke?” tanya Nadzlia lagi.

“Tak pasti,”

“Jadi sekarang macam mana?”

“Macam mana apa, kau kena tumpangkan akulah,” jawab Khairul.

“Hah? Err...” ujar Nadzlia agak gemuruh.

“Kalau tak nak tumpang tak apalah. Aku boleh jalan kaki,” ujar Khairul berjauh hati.

“Saya tak cakap pun tak boleh. Okey, awak bawa, saya duduk kat belakang,” balas Nadzlia.

“Hmm.. ni basikal kau, kan? Jadi, kaulah bawa, aku duk kat belakang,” ujar Khairul.

“Hah? Awak jangan nak bergurau. Saya tak nak!” bantah Nadzlia.

“Okeylah, kalau macam tu aku balik jalan kaki je,”

Nadzlia bungkam. Ada ke patut perempuan bawa lelaki? Tak gentleman langsung Khairul ni. Nadzlia memandang wajah Khairul yang meminta simpati lagaknya. Hai, kasihan pula melihat. Jauh juga kalau nak jalan kaki. Serba-salah pula. Yalah, kitaorang berjiran, nanti apa pula kata orang.

“Yalah, yalah, cepat naik!” akhirnya Nadzlia mengalah.

Khairul tersenyum-simpul. Nadzlia membuka mangga kunci yang merantai basikalnya. Kemudian, dia menolak basikalnya keluar dari tempat letak basikal di bawah pondok beratapkan genting itu.

“Betul awak nak saya bawa ni?” soal Nadzlia sekali lagi meminta kepastian.

“Yalah atau kau nak aku jalan kaki?” duga Khairul.

“Awak ni!”

Khairul tergelak besar. Nadzlia menaiki basikalnya lalu mula mengayuh. Terasa agak payah mulanya namun dia gagahkan juga.

“Hish, terhegeh-hegeh! Tak makan apa?” usik Khairul.

“Wei, cakap baik sikit ya. Awak tu yang berat. Makan batu agaknya,” perli Nadzlia semula.

Khairul menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri menyebabkan Nadzlia kelam-kabut mengawal basikalnya dari jatuh.

“Wei, cuba duduk diam-diam. Kalau jatuh nanti sapa yang susah?”

“Mereka dan keluarga mereka,” jawab Khairul, berlawak.

Nadzlia menjeling geram. Lelaki ini, makin dilayan makin menjadi-jadi loyar buruknya. Lantas, dia kembali mengayuh basikal tanpa mempedulikan Khairul yang bersiul riang di tempat duduk belakang. Eii... menyampah!!!

 

* * * * *

 

CUTI sekolah penggal kedua tamat semalam. Hari ini merupakan hari yang baru yang bakal ditempuh dengan harapan dan semangat untuk terus berusaha kerana peperiksaan SPM akan berlangsung tidak lama lagi.

“Wah, tengok tu!” ujar Aimy lalu mengunjukkan jari telunjuknya ke arah meja di bahagian kanan belakang sekali semasa dia dan Nadzlia sedang menikmati air batu campur di kantin.

Nadzlia segera mengalihkan pandangannya pada arah yang ditunjukkan oleh Aimy tadi. Bagai petir menusuk ke hati melihat kemesraan antara Khairul dan seorang pelajar perempuan sedang berbual-bual sambil menghirup air limau nipis. Benarkah apa yang sedang disaksikan kala ini? Siapakah budak perempuan di sisi Khairul itu?

“Senyap-senyap je rupanya diaorang ya,”

“Awak kenal ke budak perempuan tu?” soal Nadzlia.

“Apa tak kenal pula. Takkan kau tak tahu, dia tu kan ratu kat sekolah ni,”

“Ratu? Tak fahamlah...”

“Nama dia Nur Maisarah Diaz, pelajar 4 Sains 2. Dia baru pindah seminggu sebelum cuti hari tu. Ayah dia orang Sepanyol tau! Dahlah cantik, pandai pula tu,” jelas Aimy.

“Oh...” hanya itu yang dapat Nadzlia lafazkan.

Waktu rehat tamat apabila bunyi loceng kedengaran. Aimy segera menghabiskan suapan terakhir air batu campur di dalam mangkuknya. Kemudian dia melihat pula pada mangkuk Nadzlia yang masih tinggal separuh.

“Tak habis ke?”

“Tak ada selera,” jawab Nadzlia ringkas sambil matanya melirik pada Khairul yang masih setia berbual dengan pelajar perempuan itu.

 

* * * * *

 

JAM di tangan tepat menunjukkan pukul satu petang. Matahari terik memancar. Waktu persekolahan sudah tamat pada hari itu. Nadzlia berjalan bersama-sama Aimy ke tempat meletak basikal. Khairul sudah keluar awal sejurus loceng berbunyi. Entah apalah yang dikejarnya. Belum sampai ke tempat yang dituju, dia melihat Khairul sedang menunggu seseorang di bawah pokok mempelam yang rendang. Tidak lama kemudian, seorang pelajar perempuan menghampiri Khairul. Dari jauh, Nadzlia dapat melihat jelas kelibat pelajar perempuan itu. Maisarah!

“Hai, nampaknya, mulai hari ni, kau balik dengan aku jelah ya,” ujar Aimy membuatkan Nadzlia tersentak.

Sebuah senyuman cuba diukir namun dapat dirasakan senyuman itu kelat. Mereka berdua meneruskan langkah sejurus selepas Khairul menghilang bersama-sama Maisarah yang membonceng di tempat duduk belakang basikal lelaki itu.

“Bagus juga, tak adalah saya bosan menghadap muka Khairul tu hari-hari,” sempat Nadzlia bergurau.

“Yelah tu. Bukan aku tak tau yang kau sukakan Khairul betul tak?”

Telahan Aimy membuatkan Nadzlia terkesima. Mustahil kawannya itu dapat membaca isi hatinya selama ini.

“Eii.. mana ada. Pepandai je awak ni. Saya dengan Khairul cuma kawan je,” dalih Nadzlia.

“Dahlah, tak payah nak berselindung. Jelas kat muka kau yang kau memang ada hati kat dia,” ujar Aimy.

“Hah? Nampak sangat ke?” Nadzlia bertanya.

“Kenapa kau tak nak berterus-terang je pada dia sejak awal lagi?”

Nadzlia membuka rantai kunci basikalnya. Kemudian, dia menolak basikalnya perlahan-lahan diekori oleh Aimy di sebelah. Sungguh, dia tidak punya jawapan untuk soalan Aimy tadi.

“Saya dengan dia rapat sejak kecil lagi. Kami berjiran. Rumah sebelah-menyebelah. Mungkin, dia anggap saya ni tak lebih dari seorang adik. Saya tak mahu dikatakan perasan. Nanti, saya juga yang malu,” terang Nadzlia.

“Tapi, memendam rasa tak akan selesaikan masalah. Mana tahu Khairul juga menyimpan perasaan yang sama pada kau?” getus Aimy.

“Tak mungkinlah! Awak sendiri tengok dia dengan orang lain kan?”

“Mungkin sebab dia tengok tiada respon dari kau, sebab tu dia beralih arah,” jawab Aimy.

“Ah, tak mungkinlah!” dalih Nadzlia.

“Terpulanglah, aku hanya beri pendapat. Selebihnya, terserah pada kau. Mememdam perasaan ni menyakitkan. Lebih-lebih lagi bila lihat orang yang kita sayang, rapat dengan orang lain sebab dia ingat kita tak sayangkan dia. Lia, sebagai kawan, aku tak mahu lihat kau berduka...” ujar Aimy sayu.

Langkah kaki Nadzlia terhenti tatkala mendengar kata-kata Aimy tadi. Tiba-tiba air matanya gugur mencucuri pipi mulusnya. Aimy memegang bahu sahabat baiknya menghantar sedikit semangat. Sabarlah Lia, aku yakin kau akan dapat lelaki yang lebih baik...

 

* * * * *

SEMAKIN hari hubungan Nadzlia dan Khairul semakin renggang. Mereka tidak lagi pergi ke sekolah bersama-sama. Balik apatah lagi. Nadzlia dapat merasakan yang lelaki itu semakin menjauhinya. Bayang-bayang lelaki itu tiada lagi di sisinya. Sudah lama tidak mendengar usikan dan gelak-tawa lelaki itu. Cuma sesekali mereka akan berbual. Itupun perbualan yang berunsurkan akademik. Peperiksaan SPM tinggal seminggu saja lagi. Bagi Nadzlia, dia sudah cukup bersedia, tidak kira dari segi mental atau fizikal. Nasihat Aimy telah memberinya kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Kata Aimy, lebih baik menumpukan perhatian pada pelajaran dari memikirkan soal hati buat masa ini. Hidup ini masih panjang dan masih banyak perkara yang akan ditempuh. Pelajaran lebih penting dari menyemakkan fikiran dengan masalah cinta. Mungkin sudah ditakdirkan antara dia dan Khairul hanya kekal sebagai kawan. Dia harus redha. Lagipun, dia sedang cuba mengemaskan perasaannya pada lelaki itu. Lelaki itu hanya kawan. Hanya kawan...

“Nadz, kita balik sama hari ni ya,” ujar Khairul sewaktu mereka menunggu kelibat Cikgu Katyal yang mengajar matapelajaran matematik.

“Em, saya ada hal. Awak balik dululah,” balas Nadzlia.

“Hal apa?”

“Sejak bila pula awak berminat nak masuk campur dalam urusan saya?”

Khairul berubah wajah, terkejut dengan kata-kata Nadzlia tadi.

“Ah, maaf. Saya ada group discussion dengan Aimy dan kawan-kawan lain,” jelas Nadzlia apabila melihat perubahan pada wajah Khairul.

“Okey,” balas Khairul lalu berpaling semula ke hadapan.

Nadzlia memerhati belakang badan Khairul yang duduk di hadapannya. Terasa hatikah lelaki itu dengan kata-katanya tadi? Tapi, kenapa dia nak balik bersama hari ni? Maisarah tidak datang ke sekolah ke?

Aimy memandang Nadzlia dengan pandangan sayu. Dia tahu kawannya itu sedang cuba mengelakkan diri dari membiarkan perasaan cintanya terhadap Khairul terus bercambah. Khairul, tidak perasankah kau pada cahaya cinta yang bernyala di wajah Nadzlia  untuk kau?

 

* * * * *

 

“PUTUS?”

“Ya, aku dengar dia dengan Maisarah dah putus tapi tak tahu betul ke tak. Cubalah kau tanya dia,” cadang Aimy.

“Takkanlah, saya tengok mereka berdua okey je,”

“Tapi, kalau kau nak tahu, dua tiga hari kebelakangan ni, Khairul pergi sekolah dan balik sekolah seorang. Takkan kau tak perasan?”

“Entah, saya tak tahu. Dah lama tak berbual dengan dia,”

“Nilah peluang kau Lia! Luahkan perasaan kau,”

“Saya dah tak simpan apa-apa perasaan pada dia lagi. Khairul tu hanya kawan. Tak lebih dari itu,”

Khairul muncul dari celah-celah rak buku di perpustakaan membuatkan Aimy dan Nadzlia tersentak. Khairul memandang Nadzlia sekilas sebelum berlalu pergi. Nadzlia dan Aimy saling berpandangan. Mulut terasa bagai dikunci. Adakah Khairul mendengar apa yang diucapkan oleh mereka berdua tadi?

“Apa yang kita nak buat ni? Aku yakin dia dengar apa yang kita cakap tadi...” ujar Aimy.

“Tak perlu buat apa-apa. Kalau dia dengar, biarlah. Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang saya rasa,” jawab Nadzlia sambil matanya meliar pada tajuk-tajuk buku cerita di hadapannya.

Dalam hati, jiwanya bergelora, hatinya bergelodak dengan pelbagai rasa. Andai kata-katanya didengari oleh Khairul, ini bermaksud, antara mereka sudah tidak punya apa-apa ikatan istimewa lagi.

 

* * * * *

 

PEPERIKSAAN SPM akan tamat beberapa minit saja lagi. Kertas Biologi merupakan kertas terakhir untuk peperiksaan tahun ini. Nadzlia membelek-belek kertasnya kemudian melakukan semakan untuk kali terakhir. Seketika kemudian, terdengar suara ketua pengawas peperiksaan meminta mereka berhenti menulis. Sejurus selepas kertas habis dikutip, mereka dibenarkan keluar. Kedengaran sorakan dan gelak-tawa para pelajar kerana pertarungan mereka sudah selesai. Sekarang adalah masa untuk menikmati hidup sepuasnya sebelum keputusan peperiksaan keluar. Nadzlia mencari kelibat Khairul namun tidak ketemu. Pasti dia bersama-sama kawan lelakinya.

“Eh, Lia, tu...” Aimy mencuit bahu Nadzlia menyebabkan gadis itu berpaling ke kanan.

“Awak ni Nadzlia?”

“Ya, saya. Ada apa yang boleh saya tolong?”

I’m Maisarah. Just call me Sarah. We need to talk,” ujar Maisarah memperkenalkan diri.

Aimy memandang gadis bertudung hitam di hadapannya sebelum mengalihkan pandangan pada wajah Nadzlia yang nyata terkejut dengan kehadiran tetamu yang tidak disangkanya itu.

“Boleh kita berbincang, berdua?” pinta Maisarah.

Aimy menganggukkan kepala lalu melangkah pergi. Sempat dia memegang bahu Nadzlia bagai menghantar kekuatan buat kawannya itu.

“Okey, apa yang awak nak bincangkan? Saya rasa mesti penting sebab awak sanggup datang  petang-petang begini. Waktu peperiksaan SPM pula. Tak sabar nak ambil ke?” sempat Nadzlia memerli.

“Tentang Khairul,” jawab Maisarah membuatkan Nadzlia sedikit tersentak.

“Kenapa dengan dia?”

“Awak tahu yang saya dan dia bercouple kan?”

“Ya, ada juga saya dengar tapi apa kaitannya dengan saya?” soal Nadzlia tidak faham.

“Dia menolak saya sebab awak” beritahu Maisarah.

“Hah? Takkanlah...”

“Ya, dia kata dia sukakan orang lain. Seorang perempuan yang dikenali sejak kecil lagi. Dan saya yakin perempuan yang dimaksudkan oleh Khairul tu awak,”

“Mana awak tahu itu saya?” Nadzlia menduga.

“Sebab awak saja perempuan yang dikenalinya sejak kecil. Saya tahu dari kawan-kawan dia,” jawab Maisarah.

“Jadi, awak nak saya buat apa?”

“Jauhkan diri dari dia. Khairul milik saya!” tegas Maisarah.

Nadzlia diam. Jika benar kata-kata Maisarah tadi, ini bermakna yang Khairul juga... menyimpan perasaan yang sama sepertinya! Oh, apakah yang telah dilakukan pada lelaki itu?

“Maaf, saya tak dapat lakukakannya. Khairul, saya juga cintakan dia,” balas Nadzlia sekaaligus membuatkan Maisarah terperanjat.

“Tak, kau tak boleh!” bentak Maisarah.

“Saya boleh, dia milik saya dan saya miliknya. Maaf, lebih baik awak cari orang lain,” ujar Nadzlia lalu melangkah pergi.

“Oh ya, sebelum tu, saya ucapkan terima kasih!” sambung Nadzlia.

“Hei, tunggu! Tunggu!” teriak Maisarah namun tidak dipedulikan Nadzlia.

 

* * * * *

 

NADZLIA bergegas ke tempat letak basikal. Harap Khairul masih belum pulang lagi. Oh, mujur basikalnya masih ada tapi, di manakah lelaki itu? Nadzlia berlari ke kantin. Tiada. Kemudian, dia ke berlegar-legar di sekeliling bangunan sekolah. Dari satu blok ke satu blok namun kelibat Khairul tetap tiada. Nadzlia melepaskan lelah di anak tangga Blok C. Tercungap-cungap dia menarik nafas dan menghembuskannya. Ke manakah Khairul berada saat ini? Dia harus segera mencari lelaki itu. Tidak sabar untuk meluahkan perasaannya pada Khairul. Lelaki itu harus tahu perasaannya. Rupanya, dia yang pentingkan diri selama ini. Dia tidak dapat mengesan getaran cinta lelaki itu. Dia buta. Khairul, awak kat mana?

“Aku ingat nak main bola petang nanti. Kau ajaklah budak-budak lain,” ujar seorang pelajar lelaki ketika melintasi ruang legar Blok C.

Padang! Ya, dia masih belum mencari di situ. Harap lelaki itu berada di situ. Lantas, segara Nadzlia berlari menuju ke padang sekolah. Hatinya berbunga ceria apabila melihat Khairul sedang duduk terlentang di bawah bayang pokok ketapang yang rendang.

Segera Nadzlia berlari ke arahnya. Nadzlia memandang wajah Khairul yang sedang memejamkan mata. Wajah yang amat dirinduinya. Wajah yang menemani lenanya saban malam. Khairul menyedari ada seseorang berdekatan dengannya apabila mendengar adanya desah nafas yang berat.

“Nadz?”

Nadzlia duduk di atas hamparan rumput yang menghijau, menarik nafas sedalamnya lalu melepaskannya perlahan-lahan. ‘Nadz’... Baru Nadzlia sedar, hanya lelaki itu yang memanggilnya dengan nama begitu. Mengapa dia baru perasan saat ini?

“Kau okey? Dari mana ni?”

“Sa... saya ca...cari awak,” jawab Nadzlia masih tercungap-cungap.

“Okey, okey, awak berehat dulu, tarik nafas perlahan-lahan, lepas tu baru cakap,” ujar Khairul, cuba menenangkan gadis di sebelahnya.

“Ta... tak boleh... sa... saya...” kata-kata Nadzlia mati di situ kerana dia masih termengah-mengah.

“Rilekslah, saya ada kat sini. Tak lari. Awak...”

“Saya cintakan awak!” ucap Nadzlia mematikan kata-kata Khairul yang seterusnya.

“Hah?”

“Saya cintakan awak! Saya cintakan awak Khairul!” ucap Nadzlia sekali lagi.

Kali ini Khairul diam seribu bahasa. Dia benar-benar terkejut dengan lafaz yang diungkapkan oleh Nadzlia tadi.

“Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?”

“Ya, saya dah dengar segalanya dari Maisarah,” terang Nadzlia.

Sekali lagi raut wajah Khairul berubah. Seketika kemudian, dia tersenyum.

“Saya juga cintakan awak, sejak dulu lagi,” ujar Khairul.

“Tapi, kenapa awak dengan Maisarah...”

“Saja, nak uji awak. Saya tahu tak baik gunakan Maisarah tapi saya tak tahu perasaan awak pada saya, sebab tu saya tak ada pilihan lain. Awak pula, cakap antara kita hanya kawan masa di perpustakaan dulu, jadi, saya anggap awak tak pernah sukakan saya,” jelas Khairul.

“Saya minta maaf. Saya tahu saya tak patut cakap macam tu. Saya minta maaf,” ucap Nadzlia.

“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Cuma, awak harus tahu yang saya tak pernah dan tak akan mungkir janji,”

“Janji?”

“Lupalah tu. Ni...” ujar Khairul sambil mengunjukkan jari kelingkingnya pada Nadzlia.

Seketika, kenangan lalu menjengah minda Nadzlia. Kemudian, dia mengukir segarit senyum.

 

“Em, bila dah besar nanti, Lia nak kahwin dengan Khairul, boleh?”

 “Ya, Khairul janji. Lia juga tak boleh tinggalkan Khairul ya,”

“Janji!”

 

Perlahan-lahan, jari kelingking mereka bertaut. Masing-masing saling berbalas senyum. Nadzlia tidak menyangka bahawa Khairul masih mengingati janji yang mereka lafazkan sewaktu berumur lapan tahun itu. Fikir Nadzlia, itu kisah budak-budak, tidak tahu apa makna yang diucapkan masa itu.

“Saya takkan lepaskan tangan ni,” ucap Khairul.

“Janji?” soal Nadzlia.

“Janji!” ucap Khairul.

Di bawah langit biru yang luas bernaungkan pokok ketapang yang rendang, sama seperti dulu, sekali lagi, janji antara mereka termeterai. Kali ini, dengan hati yang memahami makna kasih sayang dan erti sebuah cinta!

 

TAMAT


Cinta Antara Kita: Ada benci bersulam sayang, ada duka bersulam cinta...


Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) waahhh..so sweet..
  • 2) nice.. sweet.. walau sedikit cliche.. tapi kemanisan cerita ni, plot yang teratur dan gaya yang bagus, menjadikannya istimewa... bagus! bekerja keras utk idea, tdk mustahil, byk karya yg bagus akan menyusul.... *okey, sy cuma pandai komen*
  • 3) Setuju dengan shazmiey.kemas.
  • 4) ermm,,
    karya smart!
    mngimbau memoriku!
  • 5) betul, betul, betul (ipin)
    mengimbau kenangan manis bercinta hanya semata-mata nakkan semangat untuk melepaskan SPM...
  • 6) mesti cinta khairul ngan nadzlia bukan cinta monyet lg...bestnye!
  • 7) >ceta yg cute...
  • 8) best2
  • 9) mwhaxxxxxxx3.....
    heart dis story damn much!!!
    so lovely story teenzz....

  • (Penulis)
    10) adra: kalau nak tahu cinta monyet atau tidak, jemput baca sambungannya, Cinta Antara Kita II... =)
  • 11) ouh ok
    malangnya tiada kawan lelaki dr kecil
    adeh
    melepas peluang mcm ni

  • (Penulis)
    12) uculer: tak apa ucu, ramai lagi lelaki kat malaysia ni... hehehe... tapi itulah, nak mencari yang benar-benar memahami, perjalanannya sukar...

  • 13) wah..
    so sweet..
    nak jugak camtuh..
    tp cm xde jerk..
    huhu..

  • (Penulis)
    14) tia_ixora: sekarang mungkin tiada tapi hari esok mungkin ketemu. teruskan mencari dan smeoga berjumpa dengan yang memahami...

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 15) awak, sy suke la citer neh.. sweet jek.... ahaksss

  • (Penulis)
    16) cahya_aina: terima kasih aina. jangan lupa baca sekuelnya yakni Cinta Antara Kita II dan akan menyusul Cinta Antara Kita III tidak lama lagi... Yosh!!!
  • 17) “Lupalah tu. Ni...” ujar Khairul sambil mengunjukkan jari kelingkingnya pada Maisarah.

    typo erk?atau aciq salah bc?
  • 18) sweet sangat citer nie..

  • (Penulis)
    19) cikaaluk: ha'ah, tersalah nama. hehehe...

    rasyidah: as sweet as you... cewah...

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 20) great!

  • (Penulis)
    21) kosong: terima kasih sudi singgah membaca...
  • 22) best2...
    banyakkan lagi karyamu sdara ridhrohzai...
    hemmm..bole kami baca lagii..

Cerpen-cerpen lain nukilan ridhrohzai

Read all stories by ridhrohzai