Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Berbaloikah?

Cerpen sebelumnya:
Permintaan
Cerpen selanjutnya:
Fantasi Mental Gila

            Berbaloikah apa yang dia lakukan?

            “In nak bebas?” dia menyoal gadis yang langsung tidak memandangnya meskipun sudah hampir setengah jam mereka duduk berhadapan. Insyirah sekadar memandang gelas yang berisi minuman sejuk kegemarannya.

            “Bukan tentang nak bebas. In tak pernah terfikir nak bebas. Malah, abang patut tahu, hidup In tak pernah ada kebebasan yang abang maksudkan. In perlukan ruang untuk diri sendiri,” jawab Insyirah, masih tidak memandang Fadli.

            “Itulah yang abang maksudkan. In nak bebas daripada abang kan?”

            “Abang!” baru kali ini Insyirah memandang Fadli.

            “Insyirah, abang cuma nak In beritahu abang perkara sebenar. In bosan dengan abang?” Fadli cuba mengawal keadaan. Dia tahu Insyirah sedang marah. Dia sedar kata-katanya membuatkan hati gadis itu tersiat. Tapi, dia juga keliru. Kalau bukan ingin bebas dari dirinya, kenapa Insyirah memohon perpisahan?

            “Abang, tolonglah. Berapa kali perlu In beritahu abang? Dari dulu sampai sekarang, In tak pernah bosan dengan abang. In gembira dengan abang.In sayangkan abang. Sampai bila-bila pun In tetap akan sayangkan abang. Cuma kali ini saja, In mohon kita bawa haluan masing-masing. Andai betul abang berhasrat untuk jadikan In suri hidup abang, walau jauh mana pun In bawa diri, lama mana pun In merantau di tempat orang, In percaya abang tahu macam mana nak cari In nanti,” Insyirah meluahkan isi hatinya. Fadli masih tidak berpuas hati.

            Dia membetulkan duduknya. Fadli terus memandang Insyirah. Wajah mulus gadis itu membuatkan tidurnya tidak lena. Segala yang dilakukan selama ini hanyalah berteraskan kasih sayangnya terhadap Insyirah, gadis yang dikenali setahun yang lalu.

            “In... abang tak tahu nak cakap apa lagi. Abang tak faham apa sebenarnya yang In mahukan. In sayangkan abang, tapi In nak putuskan juga hubungan kita. In tahu abang serius untuk jadikan In sebagai isteri abang yang sah. Tapi, In tetap juga dengan pendirian In untuk terus berada di sana. Apa sebenarnya ni In?” giliran Fadli pula meluahkan isi hatinya.

            “In cuma mahu ruang untuk diri sendiri. Abang tahu kan, banyak beban yang tergalas di bahu In. Sebab tu In perlukan ruang. In tak mahu fikirkan tentang orang lain selain diri In sendiri. In tak mahu fikirkan tentang kisah cinta kita kerana In perlu fikirkan tentang kisah hidup In sendiri.”

            “Biar abang tolong In! Abang sayangkan In dan abang tak mahu In pikul beban tu sendiri!” Fadli berkeras untuk terus bersama gadis yang dicintainya. Betapa keras hati In, keras lagi hati Fadli untuk mengukuhkan cinta mereka. Dia tahu sangat In sendiri tidak rela untuk memutuskan hubungan mereka.

            “Itu yang In tak mahu! In tak mahu abang susahkan diri kerana In! Ini hal In. Masa depan In. Biar In sendiri yang tanggung!” Insyirah sama seperti Fadli. Tetap berkeras.

 Tanpa mahu melanjutkan cerita, Insyirah bangkit dan berlalu dari situ. Fadli tidak menghalang. Dia masih ada masa sehingga hujung minggu ini. Itu janji Insyirah. Untuk bertemu dengannya sepanjang keberadaan di kota besar itu.

***

            Insyirah merenung jauh ke luar jendela. Langsir merah tua yang menutup tingkap gelongsor di tingkat 10 itu diselak sedikit bagi membolehkannya merenung telus ke langit gelap. Bintang-bintang yang bertaburan malam itu tidak sedikit pun dapat mencuri hatinya seperti selalu. Begitu juga dengan deretan neon yang menghiasi tepi-tepi jalan.

            Insyirah berpaling meninggalkan jendela lalu merebahkan diri ke katil empuk. Rancangan yang bersiaran juga tidak dapat mengusik hatinya yang tengah lara. Lalu, tangannya mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja. Diperhatikan skrin telefon berkenaan, dicari nama Fadli. Fikirannya berputar-putar mereka cerita yang ingin direalisasikan.

            Tidak lama, Insyirah menekan butang kembali dan meletakkan semula telefonnya ke atas meja sisi. Dia mengeluh entah untuk kali yang ke-berapa. Gebar putih tebal ditarik lalu menutupi tubuhnya. Seketika, dia keluar dari gebar lalu menutup televisyen dan memadamkan lampu.

            Biarpun sudah berada di dalam bilik yang gelap, pandangannya masih cerah menayangkan wajah-wajah Fadli yang menjadi kesayangan hatinya. Insyirah membuka gebar kembali. Dia bersandar pada kepala katil dan terus merenung ke dinding seakan-akan ditayangkan satu ceritera.

            Berbaloikah? Berbaloikah pengorbanan yang cuba dilakukannya? Diikutkan rasa, dia tidak mahu mengorbankan rasa cinta dan sayangnya pada Fadli. Memang dia ingin terus bersama dengan lelaki itu. Menyemai cinta dan membina mahligai bahagia... Mimpi mungkin, kerana yang benarnya dia dan Fadli berbeza pandangan. Dia dan Fadli berbeza impian.

            Namun dari sudut yang lain, perbezaan mereka itulah yang menguatkan lagi kisah cinta mereka. Impian yang berlainan menjadikan warna-warna cerita mereka lebih ceria, juga membuatkan hati Insyirah terbahagi dua.

            Mengejar impian sendirian di tempat orang atau berdua dengan Fadli dan melupakan separuh daripada impian juga harapannya?

***

            Kesibukan orang yang melintas di antara mereka langsung tidak dihiraukan. Mereka berdiri menghadap antara satu sama lain namun kedua-duanya kaku tidak bersuara. Insyirah hanya menundukkan kepala. Fadli tidak pernah jemu memandang wajah gadis yang disayang. Riuh rendah di lobi lapangan terbang langsung tidak diendahkan.

            “In, kahwin dengan abang,” pinta Fadli. Insyirah mengangkat wajahnya dan tersenyum memandang Fadli. Fadli turut membalas senyuman itu. Kalau dapat, mahu disentuh senyuman yang membuatkan hatinya luluh.

            “Abang, In memang nak kahwin dengan abang. In sayangkan abang. In nak hidup dengan abang. Tapi bukan sekarang. In nak kita bawa haluan sendiri dulu. In tahu abang pun ada hal sendiri yang nak diselesaikan tanpa In. Bila semuanya dah selesai, In akan pulang dan In janji In akan cari abang,” ujar Insyirah. Senyuman Fadli serta merta pudar.

            “Berapa lama, In? Abang tak mahu berpisah lama-lama dengan In.Cukuplah kita berjauhan, takkan In sanggup lupakan abang begitu saja,” Fadli masih cuba untuk memujuk buah hatinya agar tidak membawa diri begitu.

            “In tak lupakan abang dan In tak minta abang lupakan In. In cuma nak berikan lebih masa untuk diri sendiri. Tak lama abang, sekejap saja. Kita dah berjauhan sejak dari dulu lagi, kenapa sekarang tidak boleh?”

            “Entahlah, In. Abang penat begini,” ada nada mengalah.

            “Sebab tu In minta kita bawa haluan masing-masing. Abang dengan kehidupan abang, In dengan kehidupan In. Jangan fikirkan tentang hubungan kita... In pun penat. Fikirkan abang, fikirkan kita tapi kesudahannya entah ke mana kerana ada halangan yang tak mampu kita rempuh...” 

            “In...”

            “In dah lambat. Insya Allah, bila dah selesai semua tugas, In akan pulang. In akan cari abang. Masa tu, In dah bersedia untuk jadi suri abang,” itu kata putus daripada Insyirah. Fadli mengeluh. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk membalas kata nekad Insyirah. Insyirah terlalu degil dan sukar untuk difahami. Walaupun dia berusaha untuk memahami hati gadis itu.

***

            Seminggu sudah Insyirah pergi. Seminggu itu cukup seksa untuk dirinya. Dia terlalu merindui Insyirah. Segala gerak lakunya, pasti wajah Insyirah muncul mengganggu. Pun begitu, dia harus hormat akan keputusan Insyirah kerana dia begitu menyayangi gadis tersebut. Tidak menghormati Insyirah sama seperti dia tidak sanggup menjaga hati Insyirah. Tapi, bagaimana pula dengan hati dan perasaan dia sendiri? Dia terlalu merindui dan rindunya itu begitu tebal sehingga dia sanggup melakukan sesuatu yang tidak pernah diduga oleh dirinya sendiri, apatah orang lain. Berbaloikah?

            “Kenapa dengan kau ni? Kau tahu tak, apa yang kau nak buat ni kerja bodoh? Hanya kerana seorang perempuan,” tegur Amirul, teman yang sentiasa menjadi tempat dia melepaskan segala rasa. Amirul tidak senang dengan keputusan Fadli untuk berhenti kerja yang dia ada sekarang kerana mahu dekat dengan Insyirah yang jauh di mata.

            “Kau tak faham,” mudah sekali tuturnya. Amirul menggelengkan kepala tanda protes.

            “Ya, aku tak faham kenapa kau bodoh sangat. Fadli, dia bukannya isteri, cuma kekasih. Kalau dia isteri kau sekali pun, dia yang kena ikut kau.”

            “Kau takkan faham,” sekali lagi Fadli menuturkan kata-kata yang sama. Amirul mengalah.

            Fadli tidak sabar untuk memberitahu Insyirah akan berita yang dirasakannya berita gembira untuk mereka berdua. Untuk kali pertama dalam tempoh seminggu usia ‘perpisahan’ mereka, Fadli mendail nombor telefon Insyirah. Kali pertama, panggilannya tidak bersambut. Fadli mencuba sekali lagi. Panggilannya sekali lagi tidak berjawab. Fadli jadi tidak senang duduk.

            Kalau diikutkan, itu bukan kali pertama panggilannya tidak bersambut. Selalu sangat lantaran tugasan Insyirah membuatkan dia tidak dapat menyambut panggilan dengan segera. Fadli tahu itu, tapi hari ini dia gelisah tidak menentu. Seolahnya dia tidak dapat memahami dan tidak mahu faham akan kerja Insyirah. Dia cuba mendail sekali lagi.

***

            Insyirah marah. Marah dengan tindakan Fadli. Marah dengan diri sendiri. Marah dengan keadaan. Tapi, berbaloikah dia marah? Siapa sebenarnya yang perlu dipersalahkan?

            “In tak minta abang buat kerja bodoh macam ni! Bukan ini yang In mahukan. Apa yang buatkan abang fikir sampai macam tu? In bukan sesiapa untuk abang korbankan segala-galanya. In dah cakap, ada rezeki kita pasti bersama... abang cuma perlu bersabar,” pertama kali Insyirah meninggikan suara kepada lelaki yang tiga tahun lebih tua daripadanya.

            “In tak faham ke? Abang terlalu sayangkan In, abang rindukan In. Abang tak sanggup berpisah dengan In. Kalau inilah pengorbanan yang perlu abang buat supaya kita dapat bersama, abang sanggup In,” Fadli seakan sebak. Tidak terduga Insyirah tidak menganggap hubungan mereka begitu penting. Dia tidak mengharapkan penghargaan yang besar namun tidak pernah menduga Insyirah akan meninggikan suara.

            “In tak perlukan pengorbanan abang, sebab In sendiri tak sanggup korbankan masa depan In. Kalau inilah cara abang, In rasa ada baiknya kita terus tidak bersama. Abang tak boleh nak hormat cara hidup In,” Insyirah juga sebak kerana dalam hatinya dia ikhlas menyayangi Fadli.

Tapi prinsip dan cita-cita yang dipegangnya dari dulu tidak mungkin berkubur begitu sahaja. Jauh lagi jalan yang ingin ditempuhnya dan sokongan Fadli amat diharapkan. Bukannya bertindak mengikut rasa.

            “In terlalu ego, pentingkan diri sendiri.”

             Panggilan itu putus begitu saja. Putus. Berbaloikah? Insyirah tiada jawapan. Fadli juga tiada jawapan.     

Cerpen sebelumnya:
Permintaan
Cerpen selanjutnya:
Fantasi Mental Gila

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.5
8 Penilai

Info penulis

Shazmiey NSMY

apabila hidup ini dicurahkan dengan kasih sayang... kebencian sukar menjelang. namun sekali terpalit kelukaan, kebencian sukar terpadam... haruskah aku membenci atau membiarkan kehidupan dengan rona warna yang tak pasti.
shazmiey | Jadikan shazmiey rakan anda | Hantar Mesej kepada shazmiey

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya shazmiey
misteri kain putih | bacaan
Obsesi | 2365 bacaan
no title | bacaan
Hitam Putih Kehidupan | 2407 bacaan
no title | bacaan
Kisah benar seorang guru | 10656 bacaan
Aku anak si kupu-kupu | 3135 bacaan
Chairel | 2274 bacaan
MO1S08- KEMBALI KE ASALAN | 2325 bacaan
Aku, dia dan kamu | 2166 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

14 Komen dalam karya Berbaloikah?
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik