Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Aksi

Kerana seekor lembu dan sebatas sayur

Cerpen sebelumnya:
Refleksi Diri
Cerpen selanjutnya:
Pelarian Perasaan

Sudah riuh sekampung! Pak Him mati terkapak kepala sendiri dan Pak Kob terburai perut! Tapi bukan cerita Pak Him dan Pak Kob yang menjadi perhatian, kekebalan Pak Ya yang  menjadi bualan hangat! Sana sini hanya cerita itu yang dibualkan mengalahkan cerita artis terkenal. Masing-masing bawa versi berlainan.

Zainab tidak berani menunjukkan muka. Dia terkenal dengan guru mengaji Quran budak-budak kampung situ. Sebulan dia mengurung diri bersama-sama anak-anak. Dia hanya pesan kepada jiran jika hendak beli apa-apa di pasar. Sudah lima bulan suaminya di penjara. Anak-anak pula habis sekolah terus balik ke rumah.

Malam itu, hatinya cukup terusik. Terasa baru semalam kejadian menyayat hati itu berlaku. Lima bulan lalu...

***************************************************************************************

PAK KOB pegang perutnya yang terasa pedih. Darah membuak keluar membasahi rumput. Matanya tajam melihat Pak Ya yang tercegat dengan sabit di tangan. Sabit itulah yang telah merodok perutnya hingga terburai segala isi perut! Dia menahan perutnya dengan tangan. Tenaganya sudah lemah. Tidak berdaya melawan lagi.

"Aku dah kata! Jangan cabar aku!" Pak Ya masih tercegat di situ.

Pak Kob perlahan-lahan sandar di perdu pokok kerian. Tidak bermaya.

Pak Ya pandang pula ke arah Pak Him yang sedang melangkah laju ke arahnya. Sebilah kapak tergenggam kemas di tangan Pak Him. Merah padam muka Pak Him memandang Pak Ya.

"Kau gila Ya! Berani kau rodok perut adik aku!" Pak Him mula menghayun kapak ke arah Pak Ya.

Pak Ya cepat-cepat mengelak. Bertubi-tubi Pak Him melibas Pak Ya. Sesekali kapak terpelanting jatuh ke tanah. Pak Him segera mengambil dan teruskan libasan ke arah Pak Ya. Pak Ya mengelak. Silat dibuka sepantas libasan kapak Pak Him.

"Kau jangan cabar aku Him! Aku tak salah!" Pak Ya menahan mengah.

"Ahh!! Kau mesti mati!" Kali ini Pak Him libas sekuat hati ke arah Pak Ya.

Pak Ya mengelak lagi. Kapak terpacak di batang pokok kelapa.

Pak Him masih tidak puas hati. Dia cabut kapak dan terus melibas Pak Ya bertubi-tubi! Zap!Zap!Zap!

Pak Ya mengelak laju libasan kapak dari Pak Him. Kapak ditepis kuat dengan tangannya. Sekali lagi kapak terpelantimg jatuh ke tanah.

Pak Him semakin berang. Dia ambil semula kapak dan mula menyerang Pak Ya. Pak Ya menepis lagi dengan tangan dan kakinya. Zap!!!

Pak Ya diam. Darah memancut keluar dengan laju membasahi baju dan mukanya. Rumput hijau bertukar menjadi merah. Pak Him rebah ke bumi. Tidak bergerak.

Pak Ya menghampiri Pak Kob yang masih pengsan. Dia dukung Pak Kob menuju ke rumahnya yang terletak tepi sawah tak jauh dari kebun sayur Pak Kob.

Sampai di rumah, Pak Ya segera menempek herba daun yang telah ditumbuk lumat ke perut Pak Kob.

"Nab..panggil polis dan ambulan.." Pak Ya masih membalut luka Pak Kob.

"Kenapa ni bang? Apa sudah jadi?" Zainab terketar-ketar melihat Pak Kob berlumuran darah begitu.

"Panggil polis cepat!"

Zainab segera  mendial nombor telefon.

 

****************************************************************************

 

TIGA JAM lalu.........

 

PAK KOB mengisi air kopi panas ke dalam bekas minuman dan sebungkus nasi lemak diletak dalam bakul kecil. Dia sandar cangkul tuanya atas bahu dan terus mengatur langkah ke arah kebun sayur di tepi sawah. Agaknya sawi dan kangkung sudah matang! Bolehlah aku petik. Kalau jual kat pekan dapat jugak sesen dua! Pak Kob berkira sendiri. Kakinya laju melangkah.

Dia tersenyum melihat sawi dan kangkungnya tumbuh subur di batas. Cangkul diletak tepi pokok kerian dan dia mula memetik kangkung. Sebakul besar kangkung berjaya dikutip untuk dijual di pekan nanti. Dia tersenyum puas. Dipandang pula batas sebelah. Sawi tumbuh menghijau dengan daun lebar. Subur!

Pak Kob mula mencangkul batas baru untuk ditanam benih baru pula. Sedang asyik mencangkul, dia pandang batas sebelah. Seekor lembu sudah terpacak di atas batas. Habis sayur sawinya lunyai dipijak lembu. Pak Kob mula halau lembu ke tepi tapi lembu itu duduk pula di batas. Kali ini sawinya habis musnah.

"Celaka punya lembu!" Pak Kob lempar batang pokok ke arah lembu. Lembu itu buat bodoh!

"Hoi! Sapa punya lembu ni?" Pak Kob laung sekuat hati. Dia lihat sekeliling. Tiada sesiapa. Mahu saja dihambur tuan punya lembu itu.

"Bodoh! Kenapa tak ditambat lembu ni??" Pak Kob tarik tali yang menyucuk hidung lembu. Lembu itu masih tidak berganjak.

Pak Kob mula berang. Dia terus mencapai cangkul dan zappp!!!

"Puas hati aku!" Dia meneruskan membuat batas baru.

 

 

PAK YA menyusun rumput panjang di belakang basikal. Rumput itu diikat kemas-kemas. Sabit diselit celah pinggang seluar. Dia melihat rumput yang penuh di belakang basikalnya. Cukuplah ni! Fikirnya sendiri. Basikal dikayuh perlahan menuju ke sawah padi. Teringat lembunya ditambat di situ.

Kayuhannya terhenti bila melihat lembunya berlumuran darah. Tidak bergerak.

"Kob! Sapa yang bunuh lembu aku?" Pak Ya mendekati lembunya yang sudah jadi bangkai.

"Jadi ni lembu kau la!" Pak Kob letak cangkul di tepi. Dia cekak pinggang.

Pak Ya angguk.

"Aku yang bunuh! Habis sayur aku dipijaknya!" Pak Kob berkata selamba. Dia menyambung semula membina batas baru.

Pak Ya menahan marah. " Takkan sebab sayur kau tu, kau bunuh lembu aku!"

"Penat aku tanam sayur, senang-senang lembu kau pijak! Kenapa kau tak tambat?" Pak Kob renung tajam Pak Ya.

"Aku dah tambat!"

"Tipu! Tengok!" Pak Kob tuding jari ke arah hidung lembu. Tali sudah terputus.

Pak Ya tidak puas hati. "Kau halau sajalah! Kenapa sampai nak bunuh bagai!"

Pak Kob mula berang. Dia genggam cangkul sambil merenung tajam Pak Ya.

Pak Ya sudah bersedia jika Pak Kob cuba menghayun cangkul ke arahnya. Dia faham benar sikap panas baran Pak Kob. Seperti yang diduga, Pak Kob terus mengangkat cangkul dan menghayun ke arahnya. Dia segera mengelak. Bertubi-tubi cangkul Pak Kob dilibas. Pak Ya masih mengelak dan menepis dengan tangan dan kaki.

"Kalau kau berani, kau letak cangkul tu! Kita lawan pakai tangan!" Pak Ya tidak mahu pertumpahan darah berlaku.

Pak Kob tidak menghiraukan kata-kata Pak Ya. Dia sudah menjadi gila. Bertubi-tubi cangkul dihayun ke badan Pak Ya. Darah mengalir dari luka bila mana cangkul mula menetak badannya.

Pak Ya mula keluarkan sabit di celah pinggang. Dia harus pertahankan nyawanya yang ternyata dalam bahaya. Pak Kob masih menggila melibas dan menghayun cangkul. Zappp!!

Pak Kob diam. Tangannya pegang perut yang mula dirasakan pedih hingga ke ulu hati.

 

 

"AYAH! Pak ngah kena tikam!" Ahmad tercungap-cungap berlari ke arah Pak Him.

"Kena tikam? Sapa tikam?" Pak Him mengilas kain pelikat kemas-kemas.

"Pak Ya! Mereka bergaduh dekat kebun pak ngah!" Ahmad termengah-mengah. Kebetulan tadi dia berada di sawah padi mencari belalang yang bertenggek atas daun pokok padi.

Pak Him segera mencapai sebilah kapak dan terus berlari ke arah kebun adiknya. 

 

*****************************************************************************

 

LIMA JAM kemudian........

 

"Pakcik yakin yang pakcik pertahankan diri?" Polis berjalan mundar mandir di depan Pak Ya.

Pak Ya angguk.

Polis itu memerhati badan Pak Ya yang hanya mengalami luka kecil. Pelik.

"Hmm..dari cerita pakcik, sepatutnya pakcik yang kena teruk tapi saya tengok hanya luka dan calar saja." Polis itu mengusap dagu.

Pak Ya diam.

"Saya dengar, pakcik ni guru silat, betul ke?" Polis itu letak kedua tangannya atas meja sambil membongkok merenung Pak Ya.

Pak Ya dongak. Dia menoleh ke arah seorang lagi polis yang laju mencatat segala butir kata darinya.

Pak Ya masih diam. Sudah menjadi syaratnya semasa berguru dulu, tidak menghebahkan ilmu yang ada. Ilmu kebal yang diajar guru silatnya dulu hanya diguna untuk tujuan baik saja. Tidak boleh disalahgunakan atau untuk menunjuk-nunjuk. Jika keadaan terpaksa barulah dia gunakan untuk tujuan pertahankan diri.

"Ok! Oleh kerana pakcik serah diri, saya rasa hukuman ke atas pakcik boleh dikurangkan berdasarkan bukti yang ada." Polis itu megarahkan seorang lagi pegawai polis lain membawa Pak Ya ke lokap untuk ditahan reman.

Cerpen sebelumnya:
Refleksi Diri
Cerpen selanjutnya:
Pelarian Perasaan

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.3
3 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 8878 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9276 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2485 bacaan
Sebuah Harapan | 2717 bacaan
Kau Jodohku | 4527 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3705 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3284 bacaan
Begitukah? | 2607 bacaan
Dendam Hani | 8376 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2801 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

8 Komen dalam karya Kerana seekor lembu dan sebatas sayur
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik