Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Jenaka

Cik Kia

Cerpen sebelumnya:
Joyah, oh Joyah!
Cerpen selanjutnya:
Kepulangan

KERTAS kerja diperiksa buat kali terakhir. Cik Kia tersenyum puas. Kerjanya hari ini sudah selesai. Senyuman diukir lebar. Sesekali cermin mata yang melurut di hidung ditolak dengan hujung jari telunjuk ke atas.  Meja dikemas rapi. Tudung yang dipakai dibetulkan sedikit. Dia segera mencapai beg tangan dan kunci motorsikal. Hatinya berbunga riang. Satu lagi kes selesai. Usahanya selama ini menjadi kenyataan. Dia segera menuju ke arah Bandar Baru Bangi. Sekejap tadi dia mendapat panggilan dari penyiasat peribadinya. Wah! Terasa diri seperti VVIP.

         Dia sendiri tidak menyangka akan menjadi popular dalam masa sebegitu singkat. Ini semua gara-gara karya yang dihantar untuk suka-suka di sebuah laman web. Bermula dari situ, dia dihujani dengan e-mel dan panggilan telefon sehingga  terpaksa mengupah  seorang penyiasat persendirian. Dan kini dia berbangga mempunyai ruang pejabat sendiri walaupun tidak sebesar ruang pejabat menteri.

         Modenas Kriss  laju  membelok ke arah sebuah restoran. Laju kakinya melangkah menuju ke sebuah meja yang terletak di luar restoran. Angin kipas berhawa sejuk nyata memberi keselesaan kepada temannya yang sudah lama menunggu.

         “Dah lama sampai?” Cik Kia senyum sambil menarik kerusi dan terus duduk. Helmet diletak atas meja. Tudung yang sedikit senget dibetulkan semula. Cermin mata ditarik dan dilap dengan hujung tudung.

         “Baru je, so, apa citer? Ada kes baru lagi ke?” Lan hembus asap rokok. Berkepul-kepul mengikut arah kipas angin.

Cik Kia jeling tempat habuk rokok atas meja. Hampir lima batang sudah lunyai di situ.

          “Ada satu lagi. Aku nak kau siasat. Any way, sebab satu kes dah selesai, nah! Ni upah kau!” Cik Kia sengih. Puas hati dengan tugas Lan.

          Lan capai sampul yang dihulur Cik Kia. Dia buka perlahan. Wow!!

          “Err..mana kau dapat duit banyak ni?” Lan bulatkan mata sambil memandang Cik Kia yang tersenyum di depan.

          “Alah..ambik jelah! Banyak tanya pulak.” Cik Kia sengih lagi.

          Lan mula sengih. Macam ni, sepuluh kes pun aku boleh ambik! 

          Cik Kia mula pesan makanan. Mereka sama-sama menikmati makanan tengah hari itu dengan hati yang puas. Cik Kia puas kerana kesnya telah selesai. Lan pula puas kerana mendapat habuan lumayan dari Cik Kia.  Cik Kia sempat menghulurkan sampul baru kepada Lan sambil tersenyum. Lan pula sudah faham senyuman Cik Kia. Mereka membawa haluan masing-masing.

*********************

 

          SKRIN komputer riba ditenung lama.  Jenuh memikirkan susun atur yang sesuai untuk mencantikkan lagi blog peribadinya.  Bila idea sudah menjengah otak, laju tangannya menaip dan menukar HTML java script . Sekali lagi dia periksa susun atur gambar dan slot ruangan peribadi setiap pendaftar agar tidak mudah diakses oleh orang yang tidak berkenaan. Ruangan itu hanya boleh diakses oleh ahli berdaftar sahaja.

          “Hmm..settle!” Cik Kia mengorak senyum. Lebar.

          Kini Cik Kia lega. Sebelum ini segala-galanya diuruskan secara manual. Melayan setiap e-mel dan panggilan telefon yang sudah semestinya mengganggu kehidupan sehariannya. Dengan adanya ruangan itu di blog peribadinya nanti, akan memudahkan urusannya untuk membantu mereka yang serius. Dia tersenyum puas.

         Telefon Blackberry berwarna merah mula berdering. Cik Kia intai nama yang tertera di skrin. Private number. Siapa pulak ni? Kalau ahli berdaftar semuanya dia tahu. Siang-siang lagi dia sudah set nama masing-masing dalam senarai.

         “Hello..” Cik Kia menjawab tanpa nada perasaan.

         “Err..boleh saya bercakap dengan Cik Kia?”

          Kedengaran suara lelaki di hujung talian.

         “Ya, bercakap. Siapa ni?”

         “Boleh kita jumpa?”

          “Jumpa? Saya tak kenal awak. Mana boleh jumpa sesuka hati. Awak nak apa?” Cik Kia mula rasa tak sedap hati. Belum kenal apa-apa, dah nak jumpa!

          “Err..maaf. Saya Sam. Saya terbaca ruangan Cik Kia dalam blog tu. So, saya ingat nak join tapi segan pulak nak daftar kat situ. Boleh jumpa?”

         “Hmm..kalau ikut panduan situ, awak kena daftar dulu. Macam ni..awak daftar dulu sebagai ahli, kemudian kita jumpa” Cik Kia mula beri saranan.

        “Oh..okey. Kalau macam tu saya daftar dulu.”

         Talian putus.

         Cik Kia pandang pula skrin. Sekali lagi dia senyum. Nampaknya semakin ramai yang ingin menjadi ahli berdaftar. Kembang hidungnya bila blog peribadi yang dulunya sepi kini menjadi hit bila adanya ruangan itu. Dia tersenyum puas, gara-gara karya yang  ditulis hanya untuk suka-suka dan sekadar melepas perasaan di alam maya, kini dia boleh berbangga dengan blog pula. Tidak pernah terlintas sedikit pun.

          Dia renung lagi skrin. Cuba mencari apa-apa yang boleh dimasukkan dalam ruangan itu. Panduan yang sengaja diletak di bahagian atas blog sengaja dihighlightkan agar pengunjung laman blognya nanti tidak menyalahgunakan ruangan itu sesuka hati.

          Cik Kia tersenyum puas. Dia periksa semua ahli yang berdaftar. Alhamdulillah, hingga ke saat ini, sudah lima kes selesai. Mana ahli yang tidak mengikut garis panduan dan cuba melanggar etika yang telah ditetapkan akan terus disenaraihitamkan. Setakat hari ini, hanya satu kes saja yang menjurus ke arah itu. Semua itu hasil usaha Lan. Dia senyum lagi. Pada mulanya, semua yang dilakukan adalah atas dasar ingin menolong sesama manusia. Tidak sangka perkhidmatannya mula mendapat perhatian walaupun pada mulanya hanya sekadar menolong, kini dia mula menjadikan ruangan itu satu perniagaan yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini. Hanya bayaran minimum saja dikenakan ke atas setiap ahli berdaftar dan jika kes selesai, terpulang pada mereka untuk membayar lagi atau tidak. Dia tidak kisah. Bibirnya mengukir senyum, lega kerana setakat ini mereka berpuas hati dengan perkhidmatannya.

************************

CIK KIA bergegas ke restoran mamak berdekatan dengan rumah Lan.  Terkial-kial dia mencari kelibat Lan.  Helmet dipegang kemas. Tangan kirinya pula menggenggam sampul surat bersaiz A4. Dia terus senyum bila terpandang seseorang sedang senyum kepadanya di sebuah meja hujung sambil menghembus asap rokok.

        “Ada apa kau panggil aku ni? Kes yang kau beri semalam belum start lagi la..” Lan menjentik sisa rokok ke dalam semak.

        Cik Kia geleng. “Hoi! Kalau terbakar pokok tu siapa nak jawab?”

        Lan hanya sengih. “Ala..setakat habuk rokok tu..tak ada kesan lah!”

        Cik Kia mula mengeluarkan sekeping sampul surat dan diletak atas meja. Dia terus panggil pelayan untuk memesan minuman.

         “Minum je?” Lan sengih lagi.

         “Bankrap la aku kalau kau asyik mencekik je..” Cik Kia mencebik.

         Lan sengih lagi. Dia terus buka sampul surat yang terletak atas meja.  Ada beberapa helai kertas termasuk sekeping gambar. Mukanya mula berkerut.

         “Err..macam familiar je mamat ni..” Lan mengusap dagunya yang ada seketul jerawat.

         “Kau kenal ke?” Cik Kia renung Lan.

         “Hmm..entah tapi rasanya aku pernah jumpa dia ni..tak pa nanti aku siasat.” Lan letak semula gambar dalam sampul surat bersama kertas lain.

         “Dia ni baru daftar tapi dia nak jumpa aku. Aku ingat nak suruh kau siasat dulu, baru aku nak jumpa dia. Kau rasa macam mana?” Cik Kia pandang Lan yang mula mengeluarkan sebatang lagi rokok.

         “Aku rasa dia ni padan dengan kau je. Dari segi umur pun..tak banyak beza..” Lan senyum.

         Cik Kia mula masam. “Aku serius ni!”

         “Alah..kau tu sibuk nak selesaikan kes orang, kes sendiri apa citer?” Lan mula gelak.

         Cik Kia mula terfikir. Selama ini dia sibuk menguruskan kes orang sedangkan diri sendiri tidak pernah ambil tahu.  Ah! Lantaklah! Janji aku bahagia.

         “Dahlah! Aku nak kau siasat latar belakang mamat ni.” Cik Kia menghabiskan minumannya.

         Lan hanya memerhati Cik Kia berlalu pergi setelah segala perbincangan tadi selesai. Patutlah sampai sekarang macam ni..selalu kepoh! Kelam kabut! Baju kurung besar gedabak, cermin mata besar, gincu merah menyala, kasut pulak kasut sukan!  Memang tak matching langsung!

        Lan mula menafsir ciri-ciri yang padanya cukup geli hati melihat penampilan  bos tak rasminya. Dia gelak sendiri.

 

************

 

JAM sudah hampir lapan  malam. Melilau matanya mencari helmet. Habis satu bilik digeledah. Dia cuba mengingati kembali di mana helmetnya. Balik dari berjumpa Lan tadi, dia ke kedai runcit, lepas tu kedai gambar. Sampai rumah, seperti biasa helmet tu diletak dekat dengan rak kasut tepi tangga tapi puas dicari. Takkanlah..tadi aku letak kat sini. Mana pulak helmet tengkorak aku ni. Adoi!! Macam mana ni? Aku dah la nak cepat ni!!

         Dijeling lagi jam di dinding. Sudah hampir lapan suku malam. Dia cari lagi.

         “Ah! Lantaklah! Habis pun, aku kena saman je. Malam ni tak boleh miss! Ceramah ustaz hensem tu best!” Cik Kia terus capai sesuatu dari dapur dan terus diletak atas kepala. Hmm..ngam-ngam dengan saiz kepala aku.

         Dia terus menunggang  motorsikal ke masjid dekat rumahnya dengan harapan tiada apa yang menghalangnya nanti. Keyakinan mesti ada.

         Setiap malam Jumaat dia tak pernah ketinggalan berjemaah di masjid berdekatan rumahnya. Habis solat Isyak, selalunya ada sesi ceramah dari ustaz jemputan.  Jarang dia tunggu lepas solat Isyak tapi bila tersua dengan ustaz yang mengajar di situ secara tak sengaja di tempat letak motosikal, hatinya mula kembang. Tak sangka ustaz muda itu menghulurkan senyuman kepadanya. Maka bertambah rajin dia mendengar ceramah.

         Motor Modenas Kriss dibawa laju membelah jalan besar sebelum sampai ke masjid. Tiba-tiba motornya terhenti. Bukan rosak tapi sengaja diberhentikan. Matanya tepat memandang ke arah depan di simpang masuk ke arah masjid. Dua orang pegawai polis sedang memeriksa setiap motosikal yang lalu jalan itu.

         “Alamak! Macam mana ni? Takkan nak patah balik! Aduh!!” Cik Kia mula menggelabah. Dahinya sudah berpeluh. Baju kurung yang terselak menampakkan betis putihnya ditarik sedikit ke bawah.  Otaknya ligat berfikir. Apa alasan yang akan diberi nanti. Sesekali dia meluku kepalanya sendiri. Tu la kau..over confident! Hatinya mula gelisah.

         “Berhenti! Sila ke tepi!” Polis itu mula menahan.

         Cik Kia semakin menggelabah. Dia segera ke tepi sambil mengheret motorsikal bersama. Dia pandang pegawai polis yang mula mengekorinya ke tepi jalan. Aduh!! Macam mana ni!!!

         “Bagi lesen!” Polis itu renung Cik Kia tidak berkelip. Bibirnya mula mengukir senyum.

         Cik Kia segera  menghulur lesen memandu. Sempat dia jeling tag nama di poket baju polis tersebut. Jelas tertera nama. L’STRI.

          Peliknya nama? Macam mana nak sebut…Lestari kut..Cik Kia mengagak.

         “Nak ke mana ni sampai pakai macam ni?” Polis muda itu jeling Cik Kia yang memakai telekung dan berkain baju kurung. Ditambah lagi dengan aksesori cantik atas kepala.

          “Err..saya nak ke masjid depan tu encik..” Cik Kia semakin menggelabah. Dijeling jam tangan, sudah hampir lapan setengah malam.

          “Cantik topi keledar awak!” Polis itu senyum lagi.

           Cik Kia turut senyum. Dia pandang beberapa mat rempit yang ditahan. Masing-masing berbisik sesama sendiri sambil ketawa.  Memang dia dah agak, mesti dirinya diketawakan nanti. Aduh!! Tak sangka pula ada sekatan jalan raya. Selalunya jalan clear saja. Hmm..nasib akulah malam ni. Saman pun samanlah!

          “Err..saya nak cepat tadi encik....Li..Lestari.” tergagap-gagap Cik Kia menjawab. Memang salahnya.

          Pegawai polis itu senyum lagi. Dia pandang rakan setugas yang sedang memeriksa lesen memandu mat rempit.

          “Mesti mahal helmet awak ni! Berapa awak beli?” Polis itu mula ketawa.

           Cik Kia mula sengih. Perli aku ke apa ni?? Tahu la aku pakai bekas plastik ais krim! Geramnya!!! Teringat tadi, nak cepat punya fasal dia terpaksa ambil bekas plastik ais krim bulat yang masih ada pelekat Magnolia dan terus diletak atas kepala sebagai pengganti helmet.

          “Mana cukai jalan awak?”

          “Err..cukai jalan? Apa tu encik? Saya tak pernah bayar cukai apa pun!” Cik Kia mula panik. Entah kenapa otaknya mula tidak betul. Dari tadi dia asyik memikirkan ‘helmet’ cantiknya.

           “Hah! Cukai jalan pun tak tahu?” Polis itu mula pelik. Minah ni betul ke tidak ni? Dahla pakai bekas plastik bulat atas kepala! Sah tak betul minah ni!

           Cik Kia geleng. Mukanya pucat.

           Polis itu terus membuat gerak tangan menggayakan bentuk cukai jalan untuk motosikal bila melihat Cik Kia terpinga-pinga.

          “Cukai jalan tu ada yang bulat dan ada yang empat segi..selalunya diletak kat bawah tempat duduk motor.”

           Cik Kia masih terkial-kial memikirkan apa yang dimaksudkan oleh pegawai polis tadi. Bulat? Empat segi? Aduhh!!! Apa benda tu??? Dia cepat-cepat buka tempat duduk  dan diangkat ke atas. Memang sah ada sesuatu yang berbentuk empat segi kecil terlekat di situ.

           “Tapi yang ni road tax encik..” Cik Kia masih bingung. Keliru.

           Polis itu terus ketawa terbahak-bahak. Cik Kia tercengang melihat gelagat polis muda itu yang mula menekan perut menahan ketawa. Mat rempit dan polis satu lagi mula berpaling. Mereka turut sama ketawa. Tinggal tak sampai terguling je lagi. Lucu sangat ke???

           Cik Kia pula masih tidak mengerti. Betul la…tu kan road tax..itu pun nak gelak??

           “Cik adik…road tax tu cukai jalan la! Road tax..bahasa Inggeris..dalam bahasa Melayu...cukai jalan! Faham!” Polis gelak lagi. Kali ini semakin kuat.

            Cik Kia sengih lagi. Selama ini dia hanya sebut road tax. Dah terbiasa. Macam mana aku tak terfikir cukai jalan pulak. Haru!! Otaknya dirasakan sudah biul.

           “Ni..satu lagi..betul ke nama awak ni?” Polis itu masih ketawa.

           Cik Kia angguk. Mukanya mula merah menahan malu. Bila menyentuh pasal nama,  dia memang tak boleh buat apa-apa. Itulah nama yang diberi ibunya sebaik saja dia dilahirkan ke dunia tiga puluh tahun dulu.

           “Tak apalah. Awak boleh pergi. Tak sampai hati saya nak saman awak.” Polis itu menyerahkan semula lesen memandu dan cukai jalan kepada Cik Kia sambil tersenyum.

 

***********************

 

CIK KIA termenung. Masih memikirkan kejadian malam tadi. Malunya tuhan saja yang tahu. Kalau boleh mahu saja disorokkan muka bawah motor masa itu juga. Dia segera menatap skrin komputer. Tidak ingin mengingati kejadian memalukan itu. Laman blog ditatap lagi. Sam, lelaki yang menelefonnya dua hari lepas rupanya ingin berkenalan dengannya. Dia mula gelisah. Sudah banyak gadis yang sesuai disua kepada Sam. Gambar dan butir peribadi  semua gadis yang berdaftar dihantar kepada Sam melalui e-mel tapi tidak satu pun menarik perhatian Sam. Tak faham dengan sikap Sam. Nama penuh pula tidak disertakan sekali dalam data blog sebagaimana mengikut syarat panduan kedua. Bila tanya Lan, Lan pula yang menyokong lelaki tanpa nama penuh itu. Kononnya sudah kenal, tak perlu siasat lagi. Ah! Rumit! Mengapa mamat tu nak kenal sangat dengan aku??

           Petang nanti, Sam ingin bertemu dengannya. Ah! Haru betul!  Kenapa pula aku yang kena jumpa dia? Sepatutnya dia kena jumpa aku seperti dalam syarat panduan tu!  Adoi!!! Pening. Aku sendiri melanggar garis panduan dan syarat-syarat yang aku sendiri buat! Dia baca semula panduan di skrin.

  1. MESTI BUJANG
  2. Jujur dengan diri sendiri
  3. Ada kerja (Lelaki-nak bagi makan anak orang kenalah kerja)
  4. Janji temu perlu ditemani(berdua nanti ada pihak ketiga yang bertanduk)
  5. Serius dengan perhubungan (bukan main-main atau saja nak menggatal)
  6. Janji temu pertama di pejabat Cik Kia(nak sahkan kesepadanan gambar dengan empunya badan)
  7. MBA (Married but Available) tak dibenarkan (Shoo all married men)
  8. Bukan Bini Orang (Nak langgar hukum?)
  9. Gambar sebenar disertakan (Dari kepala sampai ke kaki- mana tahu ada cacat ke)

10.  Berpendidikan (tak semestinya pelajaran tinggi)

          CIK KIA renung lagi. Kali ini dia sendiri telah melanggar syarat nombor enam. Nyata Sam ingin bertemu di luar. Dia segera capai telefon.

          “Lan, kau pasti ke Sam tu kawan kau?” Cik Kia mula resah.

          “Sure! Kau pergi la jumpa dia. Kau kat mana ni?”

          “Aku kat rumah ni..err..tak boleh ke jumpa kat ofis aku je?” Cik Kia terasa dia sendiri melanggar prinsip.

          “Alah..Sam tu okey je la. Aku kenal dia tu. Kau tak payah risau!”

          “Lan, kau temankan….” Cik Kia ketap bibir bila Lan sudah letak telefon sebelum habis dia bercakap.Talian terus dimatikan.

           Cik Kia kaget. Selama ini hidupnya gembira menyelesaikan kes pasangan lain . Sudah lebih sepuluh pasangan berjaya disatukan hingga ke jinjang pelamin tapi kali ini dia sendiri terjerat. Sam ingin berkenalan dengannya dan bukan dengan gadis yang berdaftar di ruangan itu. Dia mula picit dahi. Pening!

           Kini dia terperangkap dalam dunia yang diciptanya sendiri.Ruangan ‘ JODOH@CIK KIA.COM’. Ruangan yang dihasilkannya sendiri di blog. Dan ruangan itu jugalah hasil idea dari karya yang dihantar ke satu laman web suatu ketika dulu. Karya yang mendapat sambutan pembaca di laman web tersebut. Pening!

*****************

 

CIK KIA termangu sendiri di meja restoran. Sesekali dia jeling jam tangan. Sudah menghampiri empat petang. Hatinya mula berdebar. Pukul empat nanti, jejaka bernama Sam akan muncul. Cermin mata yang terlurut diangkat ke atas.

          “Baik aku ke toilet dulu.” Cik Kia segera ke bilik air bila terasa darah gemuruh mula menyimbah.

          Di bilik air, lama dia merenung cermin. Sesekali dia menepuk kedua belah pipi.

          “Wake up Kia! Kali ini  kau yang kena blind date!” Dia berkata sendiri. Pipinya ditepuk lagi.

          Segera dia menarik nafas panjang. Kemudian menghembus semula. Dia segera keluar dari bilik air menuju ke meja tadi. Berjalan perlahan tanpa memandang ke depan. Darah gemuruh masih kejap menapak dalam hati.

           “Kia, kau kena cool. Kau kena tenang. Kau kena..” Dia mula berkata sendiri sambil melangkah perlahan ke arah  meja yang dia duduk sebentar tadi bila tiba-tiba kakinya tersepak kaki seseorang. Terjelepok dia jatuh macam  nangka busuk.  Cermin mata tercampak entah ke mana.

           “Err…awak okey?”

           Cik Kia masih meraba mencari cermin mata bingkai hitam. Pandangannya mula kabur.

           “Cik..awak okey ke?”

            Cik Kia pandang ke arah seorang lelaki yang ingin menolongnya bangun dari jatuh tadi. Wajah lelaki itu kelihatan samar. Dia mengambil cermin mata yang dihulur lelaki itu dan terus memakainya.

           Alamak! Malunya! Cik Kia mula tunduk bila melihat dengan jelas wajah lelaki yang membantunya tadi. “Err…saya okey..thanks.”

          “Awak..Cik Kia kan?”

          Cik Kia mula menoleh. “Awak Sam?”

           Sam angguk.

           Mereka mula duduk di meja berdekatan.

           “Assalamualaikum.” Sam mula memberi salam perkenalan.

           Cik Kia pandang jejaka di depannya. Lelaki berusia pertengahan tiga puluhan itu memandangnya sambil tersenyum. Nyata jejaka di depannya seorang yang gentleman. Ada kumis nipis dan sedikit janggut. Kulit pula tak putih tak hitam…sawo matang. Ketinggian pula sederhana.

           “Wa’alaikumussalam..” Cik Kia cuba senyum.

           “Awak Cik Kia kan?” sekali lagi Sam bertanya.

           Cik Kia angguk. Gementar. 

           “Saya Sam.”

            Apalah mamat ni..memanglah nama kau Sam. Aku dah tahu tu semua! Nama penuh kau je aku belum tahu! Kalau ikutkan hati mahu saja dia pergi dari situ.

            “Maaf sebab ajak jumpa kat sini. Saya tahu saya sepatutnya jumpa di ofis Cik Kia kan? Saya dah baca semua garis panduan di blog Cik Kia tapi saya rasa elok saja kita jumpa kat sini. Lagi ramai orang. Lagipun saya memang bujang. Belum berpunya. Jangan bimbang.” Sam senyum lagi.

           “Mengapa awak nak kenal saya? Macam mana awak tahu saya ni masih single? Saya bukannya cantik pun. Cantik lagi gadis yang saya e-mel kat awak hari tu.” Cik Kia betulkan tudungnya yang mula senget. Cermin mata diangkat lagi bila terasa mula melurut.

            Seorang pelayan restoran membawa minuman ke meja mereka. Perbualan mereka terhenti seketika.

            “Saya tahu. Tapi pada saya awak lagi cantik. Awak jujur. Saya suka gadis jujur.”

            “Saya ni dah tua tau..awak boleh pilih gadis lebih muda dari saya.” Cik Kia masih tidak puas hati.

            “Sebenarnya banyak saya tahu fasal cik Kia. Nama penuh cik Kia, kat mana Cik Kia tinggal, di mana Cik Kia belajar dulu. Dan semua karya cik Kia saya baca. Memang bagus. Idea di dalam cerpen tu sangat baik.” Panjang lebar Sam berbicara. Lembut tutur katanya.

             “Jadi..awak baca cerpen saya?” Cik Kia besarkan mata. Terkejut mendengar pengakuan Sam.

             “Ya..cerpen yang saya paling suka..’Mencari Jodoh @ kapasitor.net’  Watak dalam tu terasa macam saya pula.” Sam senyum lagi.

              Cik Kia ternganga. Rupanya selama ini dia ada peminat misteri.

             “Anyway, saya rasa kita ada chemistry. Saya suka cara awak perkenalkan diri awak dalam cerpen tu..connecting people, sesuai dengan tajuk.” Sam sambung lagi kisah nya bersama cerpen Cik Kia. Dia mula gelak.

            “Kenapa awak gelak? Lucu sangat ke? ” Cik Kia ketap bibir.

            “Tak..saya rasa kita ni sama!”

            Cik Kia bingung. Sama??? Apa yang sama??

            “Saya serius. Saya  rasa saya dah jumpa pasangan hidup saya.” Senyuman Sam masih terukir di bibir. Keningnya diangkat sambil mengenyit mata.

             Cik Kia masih bingung.

            “Err..nama penuh awak apa ek? Sampai nak berahsia sangat dalam ruangan tu!” Cik Kia mula teringat Sam hanya mendaftarkan namanya sebagai Sam saja.

            “Oh ya! Lupa pula. Saya Samsung! Selamat berkenalan cik Nokia!” kali ini senyuman Sam semakin lebar. Penuh makna.

            Cik Kia terkedu. Patutlah  Lan beria sangat menyuruhnya menyambut perkenalan mamat ni. Mamat ni pula beria nak kenal aku.   Dia terdiam lagi. Tak tahu apa yang patut dibicarakan. Lidahnya kelu. Hanya mata yang berkata-kata tika itu.

Cerpen sebelumnya:
Joyah, oh Joyah!
Cerpen selanjutnya:
Kepulangan

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.3
3 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9023 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9447 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2554 bacaan
Sebuah Harapan | 2779 bacaan
Kau Jodohku | 4589 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3756 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3371 bacaan
Begitukah? | 2651 bacaan
Dendam Hani | 10055 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2846 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

5 Komen dalam karya Cik Kia
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik