Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Janji ke Syurga

Cerpen sebelumnya:
Violet
Cerpen selanjutnya:
Izzanna

Roda basikal itu berputar laju. Melalui jalan-jalan yang penuh selekoh. Suasana pagi yang berembun pada mulanya telah bertukar sedikit hangat. Kemudian matahari mula terbit perlahan-perlahan dari ufuk. Cahaya kemerah-merahan sang matahari menikam mata. Keadaan sekeliling seakan-akan mula cergas, burung-burung berkicauan disambut dengan bunyi kereta melalui jalan utama dan jalan kecil belakang kawasan istana Johor itu.

            Tyana berbasikal perlahan sambil memandang ke dalam kawasan istana yang beratus-ratus hektar luas itu. Kawasan yang dipagari pagar besi itu luas tak terkata. Keluasannya seakan-akan istana zaman dahulu kala dan kerajaan di dalamnya. Tyana membetulkan headphone di telinganya. Lagu Terukir Di Bintang alunan Yuna masih berkumandang di telinga. Pagi ini sangat mendamaikan.

            Namun, malang tidak berbau. Basikal yang dikayuh Tyana terlanggar batu dan dia bersama basikalnya tumbang ke atas jalan tar itu. Tangan serta lutut Tyana melecet dan berdarah. Dia cuba untuk bangun namun kudratnya tidak berdaya. Tyana terduduk semula di atas jalan tersebut sambil mengaduh kesakitan.

            Dari kejauhan sebuah kereta Honda CRV sedang memacu laju. Melingkari belakang kawasan istana yang besar itu. Kereta tersebut meningkatkan kelajuan sebaik sahaja melalui suatu selekoh. Dia yang berkaca mata gelap menekan pedal brek dalam-dalam apabila melihat seorang gadis terduduk di tengah jalan.

            Tyana memandang dari kejauhan sebuah kereta sedang meluncur laju ke arahnya. Dia tak mampu berbuat apa-apa cuma mengucap panjang. Matanya dipejam dan tangan menekup ke muka.

“Ya Allah jikalau inilah ajalku aku hidup dan mati dengan menyebut namaMu, Allah..”

Tretttttttt!

            Hanya tinggal sejengkal lagi di antara badan Tyana dan Honda CRV milik jejaka berkaca mata hitam itu. Lelaki itu keluar dari kenderaannya sambil melibas kuat pintu kereta.

“Eh! Awak ni dah gila ke duduk tengah-tengah jalan macam ni?!”

Muka jejaka itu merah menahan amarah. Mahu tak marah. Kalau terlanggar orang free free je kena masuk jel.

Tyana perlahan-lahan membuka mata dan menurunkan tangan yang menekup mukanya. Dipegang-pegang bahagian muka serta tangan hingga ke kaki. Aku masih hidup! Ya Allah!

“Hey, saya bercakap dengan awak! Dengar ke tak?”

“Maaf! Maaf! Saya berbasikal tadi. Lepas tu saya terjatuh.. tangan.. kaki semua sakit..”

Tyana mengusap-usap lututnya yang melecet teruk akibat terseret ke jalan bertar itu. Lelaki itu membuka cermin matanya. Lalu menunduk melihat kecederaan yang dialami Tyana.

“Awak boleh jalan tak?” Lelaki itu bertanya lembut. Mungkin dia agak bersimpati dengan keadaan Tyana sambil malu sendiri akibat tindakannya memarahi Tyana tak tentu pasal.

“Boleh rasanya..”

Tyana cuba untuk berdiri namun kestabilan dirinya tidak mampu dicapai akibat lututnya yang tidak boleh diluruskan. Di saat Tyana hampir tumbang jejaka itu menyambut Tyana dari belakang. Dia kemudiannya memimpin Tyana masuk ke dalam kereta dan basikal Tyana di bawa bersama masuk ke dalam perut kenderaan tersebut.

**

“Terima kasih sebab tolong bawakan saya ke klinik” Tyana tersenyum sambil memegang bungkusan ubatan.

            “It’s okey, lagipun saya nak minta maaf.”

            “Maaf?”

            “Sebab saya main serbu je marah awak tadi”

            “Oh.. takpe takpe.. saya pun ada salah jugak. Bahaya sebenarnya berbasikal kat situ.”

            “Jadi cik..?”

            “Tyana.. boleh panggil saya Tya je.”

            “Cik Tya nak balik macam mana? Nak saya hantarkan ke?”

            “Encik..?”

            “Just call me Kamal.”

            “Kamal tak payah la susah-susah, kawan saya dah janji nak ambil. Haa tu pun dia.” Tyana menuding jari ke arah kereta Honda Jazz merah milik Alisa, rakan baiknya.

            “Ohh, okey tunggu sekejap” Kamal mengeluarkan sekeping kad dari dompet miliknya.

            “Ini kad saya,” Kamal menghulurkan kad hitam miliknya itu ke Tyana.

            Tyana menyambut lembut sambil membaca tulisan tertera di kad tersebut. ‘Kamal Ariff.. KA Photography.. Wedding, Pre Wed.. Pejabat.. Kuala Lumpur..’

            “Awak bukan orang sini?” Tyana bertanya sambil mengeluarkan sesuatu dari beg sandang Nike miliknya.

            “Ohh tidak. Saya bercuti je kat sini.”

            “Ini kad saya. Saya pergi dulu, bye..” Tyana meninggalkan Kamal terkebil-kebil di situ dan terus berjalan ke arah kereta rakannya.

            Kamal mengamati kad yang diberikan Tyana. Tertera tulisan nama Tyana Nur Alya Fakri. Kemudian di baca lagi perkara yang tertera di bawah nama tersebut.

Director of Megah Holdings.. bla bla.. Kuala Lumpur..’

Kamal tersenyum meleret sendirian. Lalu dia memasukkan kad tersebut ke dalam koceknya dan berlalu pergi.

**

“Jadi kau jumpa lelaki tu macam tu je?” tanya Alisa yang berkobar-kobar ingin mengetahui lanjutan dari pertemuan singkat Tyana dan Kamal.

“Yelah, macam tu je,” Ringkas. Tyana malas nak berfikir panjang.

            “Alaaa.. kau tak contact dia ke ape ke?”

            “Buat apa nak contact? Kalau tangan aku ni patah ke ape ke kot la..”

            “Tya, mana tahu dia jodoh kau,” Alisa mendesak Tyana lagi. Sampai bila kawan aku ni nak membujang. Sedangkan dia sendiri sudah ada dua orang anak.

            “Sapelah yang nak kat aku ni.. Kau tahu kan.. Jadi tak payahlah nak excited sangat,” Tyana berjalan laju sedikit sambil melihat telefon bimbitnya. Jadi emosi seketika. Iyalah, teringat akan rakan-rakannya yang lain yang sudah beranak pinak, tinggal dia seorang yang forever alone di sini membuatkan dirinya runsing seketika.

            “Tya! Janganlah laju sangat!” Alisa mengekor dari belakang. Memang kena pujuk minah ni. Nanti mau tak bertegur dua tiga hari. Sensitif sangat semenjak balik dari Johor ni.

            Tyana melangkah laju. Asyik dengan beri hitam miliknya. Buat-buat sibuk. Tiba-tiba terasa nak Google itu ini. Tanpa disedari Tyana terlanggar seseorang dihadapannya sehinggakan Blackberry miliknya jatuh ke lantai dan berkecai! Tyana yang memang sedia emosi itu terduduk di lantai melihat serpihan Blackberry Bold miliknya.  

            Ini memang mendatangkan marah!

            Tyana bingkas bangun dari bersedia untuk menghamburkan kata-kata namun bibirnya kelu seketika tatkala melihat susuk tubuh dan raut wajah manusia di hadapannya.

            “Kamal! Buat apa kat sini?”

            “Tyana? Sorry your BB.. I..” Kamal menuding jari ke arah Tyana lalu mengutip serpihan Blackberry Tyana.

            “It’s okey Kamal. It’s okey. Biar I yang kutip.” Tyana cepat tunduk dan mengumpul serpihan Blackberrynya. Emosi Tyana juga berubah dengan tiba-tiba. Berdebar-debar rasanya jantung. Bagai nak terkeluar. Kalau boleh menjerit memang dah buat dah.

**

“Terima Kasihlah awak.. buat susah-susah je belikan saya telefon ni..” Tyana membelek-belek telefon bimbit Nokia E63 yang ala-ala Beri Hitam itu.

            “Telefon murah je tu, lain kali kalau saya ada duit sikit saya gantikan awak dengan Blackberry yang awak guna sebelum ni,” Kamal tersenyum melihat Tyana yang masih membelek bagaimana untuk mengoperasi telefon itu. Itulah terbiasa sangat guna Beri Hitam tu, sampai handphone simple macam Nokia ni pun tak tau pakai.

            “EH! Takpe takpe.. lagipun memang salah saya. Tak pandang orang bila berjalan.” Tyana yang semakin memerah pipinya cepat-cepat menolak tawaran Kamal. Sian laki ni, siap beli handphone baru lagi kat aku.

            “Awak tahu tak nak pakai macam mana?”

            “Ahh.. tahu tahu.. tapi.” Tyana garu-garu kepalanya yang sememangnya tidak gatal.

            “Takpe, biar saya ajarkan awak,” Kamal tersenyum.

**

Semenjak dari pertemuan itu Kamal dan Tyana semakin intim. Selalu ke sana dan ke mari bersama-sama. Bagi Tyana yang sudah lama tidak berteman, dia merasakan Kamal telah memberikan nafas baru dalam kehidupannya. Kamal baik, merendah diri, ada humor, dan pandai mengambil hati. Tapi Tyana terlupa akan sesuatu. Sehinggalah selepas 5 bulan perkenalan mereka, Kamal telah menyatakan sesuatu yang menyedarkan Tyana dari angan-angan mimpinya.

            Kamal diam melihat Tyana yang semakin berkerut dahinya. Kemudian wanita itu bangun dari kerusi yang didudukinya dan terus keluar dari kedai kek Secret Recipe yang mereka kunjungi. Tyana bergerak ke arah kereta yang dipandunya dan mula membuka pintu kereta. Kamal menahan tingkah Tyana dan memegang tangan Tyana sambil meragut kunci kereta Honda Altis milik wanita itu.

            “Awak nak ke mana? Kenapa ni? Saya ada cakap benda salah ke?” Kamal yang bertambah keliru dengan tindakan Tyana mahukan penjelasan. Dia tahu Tyana mempunyai perasaan yang sama sepertinya tetapi kenapa wanita ini seakan-akan mengelak dari semua itu.

            “Awak takkan faham Kamal. Maafkan saya.” Tyana mengambil semula kunci kereta miliknya dari tangan Kamal dan masuk ke dalam perut kereta. Dia terus memacu laju kenderaannya jauh dari kawasan tersebut. Jauh dari Kamal dan segala-galanya.

            Dia sudah terlupa siapa dirinya. Dia sudah terlanjur dengan semuanya. Pada pengakhirannya, inilah semua yang bakal terjadi. Tiada cinta, tiada kebahagiaan. Yang ada cuma derita menanggung perasaan. Kamal pun kalau tahu pasal semua ini, pasti dia akan meninggalkannya seperti lelaki-lelaki terdahulu. Zharif yang dahulunya sanggup mati kerananya pun meninggalkan dia begitu sahaja dengan alasan keluarganya tidak mampu menerima keadaan Tyana.

            Otak Tyana semakin berserabut. Airmata juga mula bercucuran turun dari kelopak matanya. Jikalau ibu serta ayahnya masih disini, sekurang-kurangnya dia tidak terlalu kecewa. Sekurang-kurangnya dia masih punya tempat untuk bermanja, dibelai serta dikasih. Tapi mereka semua sudah tiada. Yang tinggal aku bersendirian. 

**

Telefon miliknya berlagu kembali. Kalau yang menyanyikan lagu Biarlah Rahsia itu benar-benar Siti Nurhaliza secara live, mahu penat penyanyi wanita itu dibuatnya. Skrin telefon Nokia itu memaparkan sudah cukup 50 missed call yang tidak dijawab Tyana. Kemudian masuk pula mesej yang entah ke berapa kali ini. Tyana menggapai telefon bimbitnya, terdetik hatinya mahu melihat mesej apa pula kali ini yang dihantar Kamal untuk memujuk.

‘Tya tolong jangan buat saya macam ni. Kalau awak ada apa-apa masalah bersemuka dengan saya. Nyatakan perkara sebenar. Saya benar-benar cintakan awak’

            Hati Tyana jadi luruh kali ini. Dia juga sudah jatuh hati kepada jejaka ini. Tetapi dapatkah Kamal menerima kekurangannya? Tak salah kalau memberitahu hal sebenar. Lebih baik Kamal tahu sekarang dari nanti bertambah rumit masalah ini. Lebih cepat Kamal tahu, lebih cepat dia lupakan aku.

‘Baiklah Kamal. Kita jumpa malam ini. You pick me up. Kita dinner sama’

**

Kamal menjemput Tyana dan membawanya makan malam di Full House Ampang. Mereka diam sepanjang menjamah makan malam. Kamal mahupun Tyana dua-dua tidak bersuara. Melihat pinggan masing-masing. Akhirnya Kamal mula bersuara. Dia tidak tahan lagi berada di dalam kediaman ini.

            “Tyana..”

            “Hmm..”

            “I wont give up on us.. Saya benar-benar sukakan awak. Maksud saya I love you”

            “Kamal.. Kalau awak benar-benar sukakan saya, awak harus dengar beberapa perkara tentang saya yang saya nak beritahu awak. Dan saya yakin yang awak akan tinggalkan saya selepas mendengar semua ni..”

            “Saya bersedia untuk mendengar semua ini..”

            Tyana membersihkan bibirnya dengan napkin yang disediakan. Dia menegakkan badannya tanda bersedia untuk bercerita. Kamal pula menarik kerusi kehadapan dan menongkat dagunya dengan tegak. Ia bagaikan semua bunyi sekeliling mereka terdiam dan menumpukan perhatian. Tyana memejamkan matanya dan mula bersuara.

**

 “Doktor kenapa dengan anak saya ni? Dia selalu tak bermaya dan sakit perut. Muka dia pun kuning. Saya risau doctor,” Puan Maya mula menyuarakan kerisauannya kepada Doktor Azizi.

            “Puan, berat untuk saya katakan tetapi anak puan menghidap Talassemia. Antara gejala penyakit ini ialah masalah pucat atau lambat dari segi tumbesaran.”

            “Penyakit ni bahaya ke doctor? Macam mana nak rawatinya? Saya dan suami saya akan bayar semua biaya perubatan anak kami. Dia seorang sajalah anak saya doctor. Tolonglah..”

            “Puan.. kalau tidak diberi rawatan lazimnya pesakit talasemia meninggal dunia pada usia yang muda iaitu sekitar belasan tahun dan ada yang mencapai hingga usia 30 tahun…”

            “Ya Allah! Doktor tolonglah buat apa saja.!”

            “Anak puan perlu menjalani transfusi darah setiap bulan tetapi transfusi darah ini pun mempunyai beberapa masalah puan. Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut. Rawatan penyingkiran zat besi berlebihan ini pula perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine menggunakan alat khas. Anak puan perlu pakai alat itu selama lapan jam sewaktu tidur.”

            Puan Maya mula menangis dan merebahkan kepalanya di bahu suaminya, Encik Fakri.

            “Doktor selain dari itu.. ada apa-apa lagi yang anak saya akan lalui doctor?”

            “Anak tuan dan puan juga apabila besar nanti tidak digalakkan hamil kerana ibu hamil yang mengidap talasemia menghadapi risiko keguguran atau jika bayi itu lahir ia boleh menyebabkan kematian.”

**

Tyana memandang ke mata Kamal dengan tajam. Melihat reaksi Kamal dan cuba menganalisanya. Lelaki ini tampak tenang. Namun tiada secebis senyuman di bibirnya.

            “Ada cara lain selain transfusi darah tu untuk pulihkan penyakit awak ni?”

            “Ada. Pemindahan sum-sum tulang jika sesuai. Tetapi pada masa tu kami tidak melakukannya oleh kerana kekangan kewangan. Sekarang saya ada duit tapi tak ada yang sesuai dengan saya.”

            “Berapa banyak lelaki yang telah tinggalkan awak setelah tahu awak ada penyakit ni?”

            “Soalan apa awak tanya ni??” Satu-satunya soalan Kamal yang menaikkan amarah Tyana secara mendadak. Macam tak percaya pulak orang sakit.

            “Saya cuma nak tahu je.. siapa bekas-bekas teman lelaki awak yang bodoh tu”

            “Saya bukan orang yang mudah untuk jatuh cinta Kamal. Dan pabila saya mencintai seseorang itu, saya benar-benar mahukan dia di dalam hidup saya. Yang pertama semasa zaman kolej dulu. Amar perlahan-lahan putuskan hubungan cinta saya dengannya bila dia tahu tentang sakit saya. Saya tak kisah sangat masa tu sebab sama-sama masih muda. Namun bila tunang saya sendiri putuskan pertunangan kami sebab masalah ini, ia dah jadi suatu masalah besar. Zharif cakap ibu bapanya yang tak suka mengenai diri saya tetapi tiba-tiba saya dapat tahu yang dia telah berkahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan saya. Saya kecewa Kamal.. oleh sebab itu saya terpaksa memutuskan hubungan ini awal-awal lagi supaya awak tak kecewa dan saya tak terluka.”

            Tyana memandang ke luar restoran. Kemudian mengelap air matanya. Jelas dia benar-benar sudah serik. Sudah cukup banyak derita yang ditanggung. Menahan diri dari mencintai orang lain. Menahan diri dari fitrah manusia yang sebenarnya mencintai dan menyayangi yang lain.

            “Tyana.. kalau awak sangka awak ada kekurangan, begitu juga orang lain. Cuma awak tahu dan tak tahu je. Saya pun ada kekurangan. Tapi tak perlulah saya beritahu sebab ia tak penting pun. Yang paling penting saya jujur mencintai awak.. dan.. saya tak ada keluarga lain hehe.. jadi awak tak perlu nak risau untuk berhadapan dengan sesiapa pun.”

            “Tak ada keluarga? Anak yatim?” Tyana mengerutkan dahinya.

            “Iya. Saya anak yatim. Ibu meninggal pada usia saya 4 tahun. Ayah meninggal semasa saya dalam kandungan ibu lagi,”

            “Maafkan saya..”

            “Tak apa. Tyana.. pertama kali saya melihat awak, saya tahu awak akan menjadi sesuatu dalam hidup saya. Jadi saya ingin melamar awak menjadi teman hidup saya.. buat selamanya.”

            Kamal mengeluarkan kotak merah itu. Tyana pula menerimanya dengan hati yang tenang.

**

Setahun perkahwinan Kamal dan Tyana semuanya berjalan dengan indah. Kamal seorang yang penyayang dan kadang-kadang sedikit nakal. Dia sering memberikan Tyana kejutan walaupun sekecil-kecil perkara. Manakala Tyana pula seorang isteri yang menyenangkan. Dia telah membantu Kamal untuk meluaskan perniagaan pekhidmatan fotografinya. Mereka sering menghabiskan masa di rumah bersama-sama dengan mengemas rumah sampailah mengecat bilik mereka sendiri. Kamal dan Tyana juga bercadang untuk mengambil anak angkat. Namun, kebahagiaan ini bertahan sehinggalah Kamal tiba-tiba jatuh sakit dan di diagnosis mengalami komplikasi buah pinggang.

            “Kamal.. kenapa awak rahsiakan ini semua dari saya?” Tyana menangis. Perasaannya tak mampu dibendung. Semua ini bagaikan igauan mimpi ngeri dalam hidupnya.

            “Tya.. kenapa awak menangis? Sudahlah, kalau dah ajal saya.. cepat atau lambat saya pasti pergi..” Kamal berbicara tersekat-sekat. Menahan derita kesakitan.

            “Saya dah cakap dengan doctor, saya akan buat apa saja supaya awak sembuh cepat okey? Jangan banyak dalih and jangan banyak cakap..”

            “Tyana, saya juga dah berbincang dengan doctor. Saya nak buat pemindahan sum-sum tulang tu.”

            “Kamal! Apa awak cakap ni? Sudah! Saya tak nak dengar..”

            “Tya.. ini permintaan saya. Saya tahu saya takkan lama..”

            Tyana menoleh wajahnya daripada melihat Kamal. Degil! Kenapa tak diam saja dan terima keputusan aku. Awak bukan tuhan yang boleh mengagak hidup awak tak lama di dunia ni.

            “Tya, saya tahu awak marahkan saya. Tolonglah.. dengar cakap saya.”

            “Kalau awak nak mati. Saya pun nak matilah. Senang kan?”

            “Tya.. awak ada perjalanan hidup yang lebih panjang dari ni. Awak boleh kahwin lagi dan dapat anak.”

            “Mereka semua tu tak cintakan saya macam awak cintakan saya. Saya tak mahu kehilangan awak, Kamal.” Tyana mula mengelap air matanya lagi. Tidakkah Kamal faham? Dia tak perlukan anak dan dia tak perlukan orang lain. Dia cuma perlukan Kamal. Kamal!

            “Kalau tak mahu buat pemindahan tu, lebih baik kita bercerai. Awak dah tak gunanya lagi dalam hidup saya.” Kamal mula mengugut. Dia tahu Tyana lemah dengan semua ini. Dia cuma mahu Tyana bahagia. Fahamilah dirinya ini!

            “Kamal! Apa yang awak cakap ni? Awak dah gila??”

            “Awak yang gila sebab tak mahu terima benda percuma. Saya dermakan sum-sum tulang ini atas tanda kasih sayang saya pada awak. Awak yang gila sebab awak memang nak berpisah dengan saya. Awak bencikan saya kan?”

            “Kamal! Jangan cakap macam tu.. saya tak pernah terlintas pun nak berpisah dengan awak. Baiklah.. saya akan jalani pemindahan tu. Tapi awak janji dengan saya, jangan tinggalkan saya.”

            “Saya janji..” Kamal tersenyum lemah. Tyana, awak masih tak faham..

**

Semuanya berjalan lancar. Seminggu selepas pemindahan sum-sum tulang itu, Kamal dan Tyana menjalani hidup seperti biasa. Cuma Kamal tak mampu nak bergerak jauh. Hanya sekitar kawasan rumah sahaja. Manakala Tyana pula semakin sihat berbanding dahulu. Dia tak lagi penat dan wajah serta matanya juga tak kuning lagi macam dulu.

            Petang Ahad itu Kamal dan Tyana bersantai di halaman rumah mereka. Memberi ikan di kolam ikan mereka makan. Bersenda tawa seketika sambil berbicara tentang plan mereka tentang masa depan.

            “Kamal.. awak nak anak berapa? Sekarang ni kita boleh batalkan niat kita nak ambil anak angkat tau”

            “Berapa yang awak larat lah. Nanti awak merungut gemuk pulak kalau dah banyak-banyak anak. Hehe”

            “Tak adalah! Merepek je awak ni tau. Saya tak kisahlah.”

            “Iya lah tu.. Tya.. dah lama awak tak suapkan saya agar-agar jeli tu. Suapkan saya?”

            “Oh kejap ye.. saya buka dulu plastiknya.”

            Tyana membuka plastik agar-agar itu dengan cermat. Kemudian dia mengambil sudu dan mencedok agar-agar itu perlahan-lahan. Tyana menghalakan sudu ke arah mulut Kamal.

Ketang! Sudu terjatuh dari tangannya. Kamal kelihatan seperti tidur. Wajahnya tersenyum dan suci bersih. Tyana memeriksa nadi di tangan suaminya. Tiada sebarang degupan lagi.

“Kamal!”

Tyana menangis teresak-esak dan memeluk tubuh suaminya.

            “Awak dah janji dengan saya.. awak dah janji.. Kamal… Saya cintakan awak.. Kamal!”

 Tyana terus memeluk tubuh Kamal. Janji tunggu saya di Syurga, Kamal.

Cerpen sebelumnya:
Violet
Cerpen selanjutnya:
Izzanna

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
2 Penilai

Info penulis

Ilmuna Ismail

Writing rocks!
syaida | Jadikan syaida rakan anda | Hantar Mesej kepada syaida

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya syaida
VIOLET 2 (kesinambungan Violet) | 2848 bacaan
Izzanna | 2252 bacaan
Violet | 2157 bacaan
Salsa dan Konspirasi | 2278 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

5 Komen dalam karya Janji ke Syurga
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik