Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Aksi

Takdir Di Hujung Kuku

Cerpen sebelumnya:
Buat lu yang selalu mekar mewangi dalam relung hati gua
Cerpen selanjutnya:
Mata Pedang Di Daerah Kalbu

TAKDIR DIHUJUNG KUKU

 

             Kepulan asap yang dihembus-hembus kian menebal mengisi ruang kamar Pak Mail yang tersusun rapi. Berbekal usia yang separuh abad, keletahnya tidak langsung menampakkan keperibadian orang-orang yang seusia dengannya. Berbaju kemeja T berjenama Polo, berseluar pendek separas lutut dan berkaca mata hitam, personalitinya sering menggamit pandangan setiap mata yang melihat. Sebutkan sahaja nama Pak Mail, majoriti penduduk kampung Layaran Bakti pasti menjaja ikhlas ceritanya merata-rata kawasan. Pak Mail itu tahi judi, perokok tegar, tidak pernah kenal apa itu tanggung-jawab sebagai suami. Mak Limah tidak sanggup membuka pekung di dada, cukuplah dia yang “mendukung biawak hidup” sendirian berbanding membuka keaiban di khalayak ramai. Tapi benarlah kata orang kalau sudah namanya bangkai baunya tetap akan melenting kemudiannya.

          “ Assalamualaikum Kak Limah ?” Pak Usu memberi salam sewajarnya sebagai umat Islam. Memberi salam itu sunat  muakkad disisi Allah dan menjawabnya lantaran wajib bagi setiap umat Islam.  Pak  Usu melihat wajah Kak Limah yang muram durja bagai menerangkan kesulitan hidup yang meruncing.

             “Waalaikumussalam. Oh, Usu Aidit rupanya !” sepasang tangan Mak :Limah lincah membungkus setiap pesanan pelanggannya biarpun dia cuba beramah dengan Pak Usu. Tanpa disuruh Pak Usu segera menyinsing lengan membantu Mak Limah menyiapkan pesanan yang diminta. Sesudah matahari berpasak sembilan puluh darjah, barulah Pak Usu dan Mak Limah berehat dan melepaskan lelah di bangku usang yang dibawa bersama.

          Aidit menyeka peluh yang merintik didahinya.  Dilihatnya wajah Mak Limah yang tua berkedut seribu, tetap bekerja untuk melunaskan beban hidup, sudah “duduk meraut renjau.tegak meninjau jarak”  mana tidak, abangnya sendiri menjadi “ duri dalam daging dalam kehidupan Mak Limah. Sudahlah  Rahim anak kepada Mak Limah akan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun ini. Belanjanya tentu sekali besar . Namun “rendah gunung tinggi harapan” untuk melihat anak saudaranya berjaya dalam hidup. Sebagai bapa saudara Aidit berasa sangat berbangga dengan pencapaian darah dagingnya. Aidit tekad akan membantu Rahim seberapa daya yang mungkin. Dulu dia hanya menduduki Sijil ‘HCE’ yang melayakkannya menjadi cikgu sekolah rendah. Itupun sudah menjadi kebanggaan baginya.  Kerana ilmu yang dihirup selepas berhempas pulas mereneh kesusahannya menampakkan hasil melalui sijil tersebut. Namun, zaman sekarang dilihat mudah.  apa gunanya sijil berelung-relung tapi pengisian ilmunya kurang.

          “ Kak Limah, saya beransur dahululah Kak Limah ?” Aidit meminta diri kerana masih banyak pekerjaan yang perlu dibereskan dirumah. 

         Aidit membawa langkah pulang. Tanpa pengetahuan Mak Limah, Aidit telah mengisi sejumlah tiga ribu ringgit didalam tin simpanan yang berisi duit hasil jualan nasi lemak milik Mak Limah.

         “ Subhanallah ! “ Mak Limah tergamam melihat sejumlah wang yang besar kini berada didalam tin murah miliknya,

       Aidit, hanya Allah yang mampu membalas jasamu “dalam setandan pisang, bukan semuanya busuk” Mak Limah bermonolog sendirian apabila mengenangkan kebaikan Aidit yang berbeza dengan sikap suaminya Pak Mail.

        Mak Limah menyimpan kemas wang simpanan buat perbelanjaan awal anaknya di luar negeri kelak di dalam bekas kecil yang disembunyikan di dalam tong berisi beras kerana disitulah tempat yang selamat baginya untuk menyembunyikan wang pemberian Aidit itu. Rahim berasa kehairanan melihat perbuatan ibunya yang satu itu.

      “Ibu buat apa tu? “ Rahim duduk menyerangguh bersebelahan ibunya. Dilihat ibunya sedang menutup semula tong beras tersebut.

        “Disinilah ibu letak wang perbelanjaan kau semasa di rantauan” ibunya mengusap lembut pipi anaknya yang seorang itu.

       “Kita bukan orang senang, lihat sahaja bapak kau Rahim kalaulah ibu tak sorok wang ini sudah tentu habis disapunya” Mak Limah merenung lantai kayu yang menjadi alas kakinya dirumah itu.

        Bagai manik putus pengarang, gugur sudah air mata di kelopak tua milik Mak Limah. Rahim yang merasa sebak memeluk lembut ibunya dan terdetik dalam hatinya untuk membawa ibunya keluar dari kehidupan yang sukar itu.

         “Rahim, biarlah ibu ‘ mati berkapan cindai’ jangan fikirkan sangat susah ibu” Mak Limah mendengus halus.

         Kalau itulah yang tercatat di loh mahfuz semenjak azali, Mak Limah reda dengan qada’ dan qadar yang ditetapkan. Allah maha adil. Mak Limah yakin yang Allah akan menerima doa-doa hambanya yang teraniaya. Baru Mak Limah hendak bangun dari duduknya yang lama, Pak Mail datang dari arah belakang dan menolaknya jatuh tersungkur ke tepi. Rahim terkejut dengan perbuatan ayahnya. Rahim terus mendapatkan ibunya dan dilihatnya tangan ibunya sudah berdarah terkena bucu singki. Pak Mail memandang menyeringai kearah Rahim.

        “Anak dengan emak sama saja berkomplot” Pak Mail terus menendang tong beras itu sekuat hatinya. Bertaburan beras dilantai dapur, Mak Limah hanya mampu menangis melihat perilaku suaminya yang tidak waras. Sedang Rahim luluh hati melihat ayahnya sendiri memperlakukan ibunya sebegitu rupa. Pak Mail terus menunduk dan mengambil bekas yang berisi wang itu. Mak Limah tiba-tiba bangun dan mendapatkan semula wang tersebut kerana itu sahaja yang boleh menjadi bekalan bagi Rahim di luar negara kelak. Pak      Mail lebih pantas berbanding Mak Limah. Leher Mak Limah dicekik sekuat hati dan dibawanya Mak Limah ke sudut dinding. Mak Limah meronta-ronta untuk melepaskan diri namun pegangan Pak Mail dirasakan bertambah kuat.

       Rahim bergegas keluar dari rumah dan mencapai basikalnya untuk mendapatkan pak usunya. Jarak antara rumahnya dan rumah pak usu Aidit cuma sepelaung jaraknya. Aidit yang sedang berkebun di halaman rumah terus mengalihkan pandangannya kearah Rahim yang laju kayuhannya. Aidit meletakkan cangkul dan segera menemui Rahim. Rahim tidak sempat menceritakan apa-apa dan terus menyuruh Aidit mengekorinya. Aidit berlari-lari      anak mengekori kayuhan Rahim. Aidit dapat merasakan ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku namun dia perlu kekal tenang.  

     Setibanya di pintu rumah, mata Aidit tertancap teguh pada kelibat Pak Mail yang mencekik keras leher Mak Limah. Aidit segera melepaskan pegangan tangan Pak Mail lalu menumbuk keras muka Pak Mail.

        “Apa yang abang buat ni ? laku seperti bangsat sepera ! “ nafas Aidit berombak-ombak menahan amarah akibat perilaku abangnya sendiri. Selama ini dia hanya mendengar perkhabaran buruk mengenai abangnya, hari ini mata dan tangannya menjadi saksi dan hakim perilaku buruk abangnya sendiri.

      “Engkau tak payah campuri urusan rumah tangga aku Aidit!” Pak Mail yang tersembam meludah sedikit apabila melihat darah pekat mengalir dari bibirnya yang pecah akibat tumbukan Aidit sebentar tadi. Tangannya mengepal keras dan segera bangun bagi melepaskan buah pukul. Pak Mail terus menolak Aidit sehingga jatuh dan menumbuk Aidit berulang kali di atas lantai kayu. Aidit sekadar mampu bertahan dengan kedua-dua belah tangannya. Pak Mail kemudiannya bangun dan mencapai sebilah pisau yang terletak di tepi singki dapur.

        “Puas engkau campuri hidup aku Aidit ?” Pak Mail tertawa puas melihat Aidit yang mengerang kesakitan sambil memegang rusuknya. Aidit tidak mampu bergerak banyak. Kecederaan yang dialami bagai menusuk-nusuk terus ke batang tubuhnya.

        Pak Mail menyeringai memandang Aidit sambil menghunuskan pisau ke arah Aidit. Aidit sempat mengepit kaki Pak Mail lalu menjatuhkan Pak Mail ke lantai dapur. Aidit terpaksa memerah sepenuh keringat memegang tangan Pak Mail agar mata pisau tidak tertikam batang tubuhnya. Aidit menendang perut Pak Mail dengan kepala lututnya berulang kali. Pak Mail kian lemah dan ini memberi peluang kepada  Aidit merampas pisau dari tangan Pak Mail dan mencampakkannya jauh ke sudut rumah.  

        Aidit sekadar mampu melihat pergelutan antara Pak Usunya dengan ayahnya. Tidak terdaya baginya membantu kerana manakan sanggup seorang anak mencederakan bapanya sendiri.  Rahim memangku ibunya yang sudah tidak sedarkan diri. Badannya kelihatan terhenjut-henjut menahan tangisan apabila melihat keadaan ibunya yang sudah lemah. Aidit perlahan-lahan  melepaskan pegangannya ke atas Pak Mail apabila dilihatnya Pak Mail sudah kelihatan  tenang. Aidit berdiri dengan tidak stabil kerana keletihan sesudah bergelut sebentar tadi. Aidit terus mendapatkan Mak Limah dan memberikan roman wajah semanis mungkin apabila dilihatnya Mak Limah sudah mula sedar.

       “Sudah selesai kak, mari kita laporkan perkara ini ke balai polis” AIdit  segera bangun dan membantu Rahim memapah bahu Mak Limah. Baru mereka hendak bergerak meninggalkan rumah, Pak Mail pantas bangun dan cuba menikam liar ke arah mereka. Rahim yang menyedarinya menolak ibunya ketepi dan tikaman liar Pak Mail akhirnya tepat mengenai perut Rahim. Darah merah mengalir deras mencurah-curah membahasahi baju putih yang dipakai Rahim. Menggigil-gigil Rahim menahan kesakitan. Matanya terbeliak dan kakinya seakan-akan kebas dibuatnya. Dua kakinya tidak mampu lagi menahan beban badannya. Terjatuh Rahim secara tiba-tiba. Pak Mail juga turut menggigil-gigil dibuatnya. Dilemparkan pisaunya ke tepi. Kepalanya terasa perit yang mencucuk-cucuk. Mak Limah dan Pak Usu Aidit  menjadi walang melihat keadaan Rahim yang sungguh menyedihkan. Terus mereka mendapatkan Rahim dan dibaringkan kepalanya beralas peha Mak Limah.  Beberapa orang penduduk kampung mulai memenuhi perkarangan rumah tua milik Mak Limah. Mungkin kehairanan melihat jeritan dan esak tangis yang berpanjangan. Namun tidak ada seorang pun yang berani naik.

        “Ibu, duit itu ibu pakailah ibu” Rahim menatap redup wajah ibunya. Nafasnya seakan-akan berat. Rahim terbatuk-batuk kecil menahan kesakitan.

       “Rahim jangan cakap macam itu nak, ibu akan pastikan Rahim selamat” tangisan Mak Limah tak henti-henti mengalir melintasi pipi tuanya. Rahim menggigil-gigil mengangkat tangannya dan menyapu air mata ibunya.

       “Ibu janganlah menangis, Rahim akan selamat di alam lain nanti” Rahim cuba tersenyum biarpun kelihatannya payah. Aidit sekadar mampu merenung lantai dengan tangisan yang bercucuran jatuh.

        “Pak Usu, tolong jagakan ibu bila Rahim sudah tiada” Rahim memegang lengan Aidit dengan penuh mengharap. Warna merah pekat melekat ditangan Aidit. Aidit cuma mampu mengangguk.

       Rahim merenung syiling rumahnya dengan tangisan yang memilukan. Tinggallah ibunya yang menjadi api bara dalam jiwanya. Kalimah “kun fa ya kun” tuhan lebih bermakna, api bara menjadi sumbu kaku. Maka tinggallah ibu tinggallah sayang. Bagai hendak putus benang tenunan hayatnya, nafas Rahim menjadi semakin berat bagai dihimpit dikiri kanan kerongkongnya.

        Aidit mengucap kata syahadah dicuping telinga Rahim perlahan-lahan. Diulangnya beberapa kali sehinggalah dalam nafas penghabisan Rahim berjaya mengucap kata tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Akhirnya pulanglah Rahim Bin Ismail menemui Allah azzawajalla. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya jualah kita kembali.

       Penduduk kampung mulai memenuhi ruang tamu milik Mak Limah. Suasana pilu memenuhi ruang rumah.Pak Mail telah dibawa ke balai polis bagi siasatan lanjut.

        Pak Mail telah dibicarakan mengikut seksyen 302 kanun keseksaan dan didapati bersalah membunuh dengan bersebab. Hakim Datuk Omar Bakti telah menjatuhkan hukuman mati mandatori dan Pak Mail telah mendapat balasan yang sewajarnya melalui hukuman tersebut. Allah itu maha adil dan akan memberi pengajaran buat hamba-hamba-Nya yang lalai.

          Aidit yang duduk bersila dilantai menceritakan kisah perjalanan hidup Mak Limah kepada anak-anaknya seraya membacakan firman Allah seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran    “ Katakanlah (Muhammad), ‘ Yang buruk dengan yang baik tidak sama. Meskipun berlimpah-limpah yang buruk menarik hati kamu.’ Maka takutilah Allah, wahai orang-orang yang mempunyai minda agar kamu beruntung. (5:100)”.

Cerpen sebelumnya:
Buat lu yang selalu mekar mewangi dalam relung hati gua
Cerpen selanjutnya:
Mata Pedang Di Daerah Kalbu

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis

Nian Adika

Hiduplah bagai gobok usang penuh isi! adanya memberi robohnya ditangisi!
Adika | Jadikan Adika rakan anda | Hantar Mesej kepada Adika

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Adika
Hang Kurrat ( Cahaya) | 1755 bacaan
Mata Pedang Di Daerah Kalbu | 3079 bacaan
DI MANA BENARNYA? | 1773 bacaan
LEMBU PRU | 1795 bacaan
Bara Di Kebunan | 2073 bacaan
Tetamu Bukit Berot | 2213 bacaan
Gema | 2019 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya Takdir Di Hujung Kuku
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik