Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

LEMBU PRU

  • 0
  • Adika
  • 11 years ago
  • 4,133
  • FREE

 

     LEMBU PRU

 

Matahari yang mencanak naik mencengkam ke ubun batin Haji Mihad. Dia berjalan tak tentu hala mengelilingi ruang tamu rumahnya. Sesekali tangannya menyelak langsir rumah kayunya dan melihat banyak lori-lori hantu melepasi kawasan rumahnya. Sekali lagi dia menoleh ke kanan, ramai penduduk kampung mengarah ke balai raya kampung. Dia sudah tak betah menunggu di dalam rumah.  

     Suasana di kawasan perkampungannya benar-benar berbeza. Bagai satu perayaan besar yang bakal disambut meriah oleh penduduk kampung. Bukan biasa-biasa kali ini. Sepanduk, kain rentang, poster-poster dan bendera-bendera parti politik tergantung-gantung berwarna-warni memenuhi sekitar kampung. Anak-anak kampung juga tak kurang yang menunggang motosikal tanpa bertopi keledar membawa bendera parti-parti kesukaan ibu bapa menerawang di sekitar kampung.

     Beberapa hari lagi, hari pembuangan undi akan dijalankan. Begitulah kesibukan penduduk-penduduk kampung berkumpul sambil merancang kaedah-kaedah menaikkan lagi kepercayaan orang ramai terhadap parti-parti politik yang menjadi paksi kepercayaan masing-masing. Anak-anak juga ada yang bergaduh di dalam masjid. Salah bapa di parti A, Bapa dia di parti B, cukuplah diketahui habis dibelasahnya.

            “Ke mana abang tu?” Rogayah melihat Haji Mihad sudah siap berpakaian kemas dengan jubah putih. Nampak tergesa-gesa sedangkan tadinya cuma memakai kain sarong berbelang-belang. Perut boroinya juga habis terlindung.

            “Abang mesti hendak jumpa YB Abu sekarang ni” Haji Mihad berkata.

            “ Apa yang tak kena?”

            “ Tanah orang kampung nak kena jual ni!” Haji Mihad terangguk-angguk lagi sambil mencebikkan bibir menguntum rasa benci dalam dirinya.

            “ Dia tu bukannya rapat dengan kita bang, tanah kita dulu tu pun dia dah tipu.” Rogayah mengingatkan kembali Haji Mihad tentang tanahnya yang telah terjual dengan harga yang rendah. Ketika itu, YB Abu menjadi broker tanah, sepupu katanya. Tentulah dipercayai penuh.

            “Abang ingat, kena pergi juga jumpa dia. Dia dah makin gemuk sekarang ni. Macam lembu-lembu di kandang dia juga”. Rogayah dan Haji Mihad sama-sama membayangkan rupa YB Abu yang bertubuh gempal pendek, buncit perutnya, kepalanya habis botak di hadapan, hidungnya kembang dan berkopiah biru laut.

 

            Haji Mihad tahu afal YB Abu yang selalu memberi makan lembu-lembu di kandangnya sendirian. Lembu-lembu yang begitu pelahap. Air-air yang digunakannya bukanlah perlu dibayar. Ambil dari air sungai yang disalurkan melalui batang paip. Bukannya perlu diminta kebenaran penduduk kampung. tidak cukup dengan itu mereka sendiri yang meminta untuk menyiapkan kandang lembu dan keperluan-keperluan yang diperlukan oleh lembu-lembu di kandang. Penduduk kampung memang setia apatah lagi YB Abu itu banyak jasanya termasuklah lembu-lembu dikandang itu.

            Haji Mihad teringat mengenai lembu-lembu yang pernah terlepas dari kandang itu, habis tanaman rakyat kampung dipagut. Bukan seekor dua, tetapi terlalu banyak. Boleh dikatakan sikap-sikap lembu itu juga pelbagai kerenah. Bukan hendak memberi kesenangan kepada penduduk kampung, tetapi menyebarkan kerosakan.

            Ada seekor dua yang menghidap penyakit lembu seperti kancing gigi dan virus kecil, semuanya dibunuh oleh YB Abu kerana  penyakit itu berjangkit. Takut banyak lembu yang mengikut. Lembu-lembu yang gemuk dan berisi itulah paling dijaga rapi oleh YB Abu kerana perhatian pembeli tersasar kepada jenis lembu yang ini. Manakala, lembu-lembu yang kurus akan terus tunduk dan memberi laluan kepada lembu gemuk untuk melahap menambah isi perut yang sudah sedia gemuk.

            Haji Mihad kenal setiap seekor dari lembu itu, dia melangkah masuk ke dalam kandang dan menghidu bau busuk dari setiap ekor. Masing-masing ada bau yang tersendiri. Masam, tengik, bau najis juga melantung baunya mengembang-kempis hidungnya. Haji Mihad mengangkat-angkat jubahnya hingga terlihat lututnya takut tersentuh najis habis kotor jubah putihnya.

            “ Aku datang ni Abu, sibuk sampai tak nampak aku” Haji Mihad berbasi-basi sambil memegang seekor lembu kurus yang tertunduk-tunduk.

            “ Sibuk sedikit sekarang ni. Aku seorang mana nak terjaga lembu-lembu ni” YB Abu mengira-ngira lembu-lembunya yang makin bertambah.

Banyak kenangan Abu dengan lembu-lembunya. Ada yang menjilat punggungnya tanda mahu makan. Menguak-nguak apabila tak puas hati dan membuang najis jika perlu. Tompok-tompok di tubuh lembu itu semuanya bertanda. Ada jurai-jurai bangsanya dan tentulah ada yang dihormati dan disayangi.

“Ada yang aku nak adukan ni?” Haji Mihad masih lagi berjengket-jengket dan mahu keluar dari kandang lembu YB Abu. YB Abu mengekor dari belakang terkedek-kedek mengendung perutnya yang membuncit.

           “Kau nak cakap soal tanah?” YB sudah boleh meneka tampuk persoalan yang ingin dibicarakan oleh Haji Mihad.

            Haji Mihad memandang ke arah kandang lembu itu yang sudah mula membingit. Entah apa lagi yang dimahukan oleh  lembu-lembu itu pada saat tuan mereka keluar sebentar. Takkan sudah bercakaran? Haji Mihad memandang serius wajah YB Abu meminta penjelasan darinya.

        “ Tanah engkau tu takkan berusik, aku ni sepupu kau” YB Abu meminta Haji Mihad mempercayai YB Abu tanpa mempersoalkan pendiriannya sebagai bakal Ahli Dewan Undangan Negeri, kawasan Kuak. Mata mereka bertembung lagi dan YB Abu  mengharapkan sepenuh kepercayaan dari Haji Mihad.

         “ Aku pasti akan tolong kau Mihad. Sekarang pun aku nak tolong lagi.” YB Abu menepuk bahu Haji Mihad hingga terjongket sebelah kanan.

         YB Abu menggamit Haji Mihad masuk ke kandang lembu miliknya. Bertambah bising sekalian lembu dan kebanyakan dari mereka kemudiannya tertunduk-tunduk memakan produk-produk kenetik yang diberikan oleh YB Abu.

         “ Aku janjikan kau bekerja untuk aku. Jaga lembu-lembu ni untuk aku.” Haji Mihad meletakkan tangannya di atas kayu yang menjadi pagar diantara lembu dengan ruang ditengah-tengah kandang yang mensisakan sedikit kotoran pada lengan jubah putihnya.

        “In shaa Allah, tak ada masalah asalkan kau janji yang tanah rumah aku tu tak terjual”. Bagaimana Haji Mihad tidak menjadi takut, rumahnya terjual. Letaknya saja di tepi jalan raya besar. Pembangunan yang terlampau pesat boleh saja meragut haknya kelak.

        “ Mari sini Mihad, aku tunjukkan seekor lembu yang aku nak serahkan pada kau sekarang ni juga” Haji Mihad tertinjau-tinjau hingga terlupa persoalan tanah yang cuba dibangkitkan tadi. Seekor lembu berharga 2 Ribu Ringgit Malaysia hingga ke 3 Ribu Ringgit Malaysia, fikirannya terbawa-bawa melihat lembu yang dijanjikan YB Abu.

        Seekor lembu yang sedang tidur malas dan gemuk ditunjukkan oleh YB Abu. Lembu itu kalau dijual tentu saja tinggi nilainya. Bukan sengaja hendak membesar-besarkan cerita tetapi Haji Mihad boleh terus bersetuju tanpa syarat. Pekerjaan pun dapat, lembu seekor sudah pasti menjadi miliknya. Apa lagi yang tak mengenyangkan?

         Lembu yang dijanjikan YB Abu warnanya hitam legam tetapi cukup gemuk dan sihat. Kerjanya cuma tahu tidur. Masih muda tapi badannya gemuk, tidak bertanduk lagi. YB Abu mengatakan lembu itu lembu bertuah. Tak akan dijualnya sampai bila-bila. Mujurlah Haji Mihad itu sepupunya kerana itu dia memberikan kepada Haji Mihad.

          Malam itu, bukan main panjang leter isterinya. Tak usah dikira panjang bibir isterinya yang mencemuh suaminya sendiri. Anak-anak di rumah semuanya berkurung ketakutan.

           “Mengapa sampai tak dapat hasil bang?” Rogayah mencekak pinggang kemudian menghidang minuman sambil terketar-ketar tangannya.

            “ YB Abu tu kan sepupu abang, abang percayakan dia seratus peratus” Haji Mihad menggunakan kedua-dua tangannya sambil menunjukkan bulatan dua di hadapan isterinya.

            “Itu dua kosong, bukannya seratus!” Rogayah risau kalau-kalau suaminya mampu diumpan YB Abu dengan wang ringgit. Rogayah sudah lama mengetahui perangai YB Abu yang banyak menerima berbanding memberi.

             “ Abang dapat pekerjaan darinya” Haji Mihad merasakan dia tidaklah gagal sepenuhnya. Ada juga sedikit pencerahan yang dirasakan akan memutik kegembiraan pada jiwa isterinya yang sedari tadi meletuskan amarah bagai bertih jagung.

             “Jaga lembu saja bang?” Rogayah sempat membayangkan bagaimana rupa Haji Mihad yang selalu minta yang bukan-bukan. Padahal dia bukanlah golongan miskin. Hidup mereka sudah cukup serba-serbi. Hendak dikatakan duit pencen, sepatutnya memadai untuk hidup mereka berdua.

             “Bukan setakat jaga lembu, kita pun dapat lembu seekor” Haji Mihad bangun dan mendepakan tangannya menunjukkan saiz lembu yang diberikan.

             Rogayah kemudiannya membayangkan berapa banyak pula lembu yang akan diperoleh jika YB Abu menang pilihan-raya akan datang. Tentu hasilnya akan jatuh ke tangan suaminya juga. Rogayah menggeleng-geleng kepala dan masuk ke dalam biliknya. Haji Mihad pula menyilang kaki dan melihat telefon bimbitnya yang diletakkan gambar lembu yang diberikan kepadanya.

           Matahari yang mencanak 90 darjah mengasah ubun-ubun kepala Haji Mihad yang tidak berkopiah atau berjubah. Haji Mihad sekadar memakai baju kemeja T kusam dan seluar lama yang disaluti lumpur. Duduk di tengah-tengah kandang lembu sambil menunggu kedatangan YB Abu.

           Petang itu, YB Abu datang berdua dengan Taukeh Lim untuk melihat lembu-lembu untuk dijual. Haji Mihad kemudiannya terbangun apabila melihat kedatangan YB Abu. Sebagai majikannya, tentu YB Abu tidak senang hati jika melihat Haji Mihad mencuri tulang dan memudahkan pekerjaan.

          Taukeh Lim berkeliling memerhati lembu-lembu yang terdapat di kandang itu. Menepuk-nepuk setiap seekor melihat lembu mana yang paling patuh, pasti lembu itu yang dibelinya. Mata Taukeh Lim terus memerhati lembu hitam yang tidur saja di dalam kandang. Pada makrifatnya, lembu yang kerjanya hanya tidur dan meragut rumputlah paling mudah dijaga. Terbeliak mata Haji Mihad apabila Taukeh Lim ingin membeli lembu yang dijanjikan kepada Haji Mihad.

        “Kau nak beli lembu ni ke Lim?” YB Abu menunduk dan menggosok-gosok lembu itu kemudian mengerling ke arah Taukeh Lim.

        “Mestilah, lembu jantan baka Bali Brahman ni bagus” Taukeh Lim memegang lembu hitam itu dan mengerling ke arah Haji Mihad untuk memberikan sebarang pendapat.

       \"Ya, lembu itu lembu bagus” Haji Mihad teragak-agak untuk menjawab. Dia merasakan dirinya teraniaya oleh YB Abu. Lembu itu sepatutnya menjadi kepunyaannya. Entah apa bakanya pun dia tak tahu. Baginya lembu semuanya sama, Bezanya cuma gemuk dan kurus.

       “ Aku bagi kau Rm 13 ribu, untuk lembu ni” YB Abu kemudiannya mengira-ngira di jarinya.

        ‘Lembu begini dijual empat kali ganda harga lembu biasa’ YB Abu memikirkannya dengan mendalam apabila mendapati duit itu terlalu lumayan dan terlupa terus janjinya terhadap Haji Mihad lantas bersetuju dengan Taukeh Lim.

         Beberapa orang suruhan berkulit sawo matang kemudiannya masuk ke dalam kandang dan membawa lembu hitam itu naik ke atas lori. Taukeh Lim dan YB Abu berpelukan dan bersalam-salaman sejurus urus niaga itu berjalan dengan baik. Berbeza sekali dengan Haji Mihad yang terkutil-kutil mengizinkannya biarpun sebenarnya dia telah tertipu dan tidak mendapat keuntungan sebenarnya. Selesai sahaja urus niaga barulah YB Abu menemui Haji Mihad.

         Bukan main lebar senyuman YB Abu kali ini. Dia merasakan keuntungan betul-betul mencurah,Tak sempat hendak difikirkan lagi tentang muka Haji Mihad yang masam mencuka. Bila dilihat muka Haji Mihad yang sudah merona merah, barulah dia meminta maaf kepada Haji Mihad tentang lembu tersebut.

         “Lembu tu lembu biasa Mihad, lepas aku menang pilihan raya akan ada yang luar biasa untuk kau!” YB Abu menabur janji tak ubah seperti manifesto yang manis semanis gula. Haji Mihad yang mendengarnya terpegun sekali lagi. Karisma, dan keyakinan yang didirikan YB Abu tidak dapat dilenturkan lagi. YB Abu terlalu yakin dengan kreadibilitnya sebagai seorang pemimpin dan penghibur janji-janji.

          Serentak dalam pilihan raya berlangsung, semua lembu di kandang YB Abu semuanya berkelakuan baik. Tak ada yang meragam meminta yang bukan-bukan. Biarpun disembelih pada hari pilihan raya, mereka tidak pula membantah. YB Abu kemudiannya diumumkan menang dengan majoriti yang besar. Habis satu kampung mengaraknya bagai satu perayaan besar.

            Dua ekor lembu kurus ditumbangkan untuk memberi makan penduduk kampung. YB Abu tak risau kerana itu semua memang menjadi kemestian di awal musim kemenangan. Haji Mihad sendiri yang melapah lembu-lembu itu dan memasaknya dengan perencah-perencah yang membisu-butakan penduduk kampung dari melihat kotoran-kotoran lembu yang mengalir menerusi alur sungai terenang.

            Haji Mihad sendiri meneliti sungai itu semakin lama makin tercemar malah membusuk dengan kehadiran lembu-lembu yang bertambah. Haji Mihad makin bosan dengan telatah lembu-lembu YB Abu. Entah lembu mana yang dijanjikan pun tak diketahui. Bahagian-bahagian itu semuanya diambil, seperti tanah penduduk kampung yang tergadai satu lot hinggalah kini menghampiri lot rumahnya.

            “Engkau tak nak jual lot tanah kau tu Mihad?” YB Abu menepuk bahu Haji Mihad apabila melihat Haji Mihad termenung meneliti sungai yang lesu berkelodakkan najis lembu.

             “Mengapa pula nak jual? itukan tanah saya” Haji Mihad tercengang dengan pertanyaan sebegitu.

              “ Tapi harganya mahal tahu. Tak lama lagi jalan besar akan dibina. Tanah tu tetap akan dibeli kerajaan” YB Abu menerangkannya dengan cara yang sangat lembut takut kalau-kalau disalah tafsir oleh YB Abu.

               “Lembu-lembu kau pun makin lama makin bertambah” Haji Mihad memerhati lembu-lembu yang membuang najis, makan, tidur, dan menguak sepanjang masa di kandang itu dengan penuh rasa bosan.

                 “Engkau jualkan saja pada aku Mihad.” YB Abu mulai mendesak dengan menjanjikan wang ringgit serta lembu-lembu yang makin banyak setelah dihantar oleh Taukeh Lim selepas selesai pilihan raya.

                   Haji Mihad meninggalkan YB Abu tercengang-cengang sendirian. Bukan lembu dan gembala lembu yang diinginkannya. Haji Mihad cuma mahukan tanahnya terjaga. Dia perlu mempertuankan tanahnya sendiri. Mengapa itu sukar difahami YB Abu?

                    Lembu-lembu di kandang YB Abu terus menguak sekuat hati seolah mentertawakan kebodohan YB Abu, Langkah YB Abu diatur hingga terpijak najis lembu yang tidak lagi dibersihkan Haji Mihad. Tugas itu kini kosong dan boleh diisi sesiapa yang berhajat.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan Adika

Read all stories by Adika