Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB: Pengumuman Dan Ulasan Karya Para Pemenang PCB# 4!

 


Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada warga Kapasitor.


Saya menulis entri ini sambil mendengar lagu Hati lebur Jadi Debur nyanyian Hetty Koes Endang. Ya, lagu tersebut memang tiada kena-mengena dengan tema PCB#4 iaitu sukan/permainan. Mungkin lebih kepada permainan hati...hahaha!

Baiklah, tujuan saya menulis entri ini adalah sebagai janji kepada anda semua untuk mengumumkan para pemenang serta membuat sedikit ulasan tentang Pertandingan Cerpen Bertema Edisi Ke-4. Seperti biasa, Pertandingan Cerpen Bertema mengambil masa selama 2 bulan dan edisi ke-4 kali ini tarikh tutupnya adalah pada 25 April 2011 yang lepas.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang memeriahkan PCB#4 kali ini yang sudi memeriahkan pertandingan ini dengan menghantar cerpen-cerpen anda. Saya kira, cerpen-cerpen yang dihantar pada edisi kali ini adalah yang terbaik sepanjang PCB dimulakan.

Apabila Tuan Cahatomic mengumumkan temanya adalah sukan/permainan saya sedikit tergamam. Akan adakah orang yang ingin turut serta dalam tema kali ini? Kalau ada pun mungkin dimonopoli oleh pihak lelaki. Dan, kalau dari pihak lelaki pun pastinya sukan bola sepak yang menjadi pilihan. Tetapi, ramalanku silap belaka! Daripada 6 peserta yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini, tiada seorang pun yang bercerita perihal bola sepak. Daripada 6 orang yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini, 3 orang daripadanya adalah perempuan termasuklah si empunya diri, ehem!

Sebenarnya tidak kisahlah, sukan atau permainan apa pun yang dipilih untuk anda semua bercerita, janji ianya mengikut tema.

Okey, setelah berhempas pulas, bersengkang mata, makan tak cukup, tidur tak lena dan hanya mandi kerbau selama beberapa hari dek asyik memikirkan siapakah yang layak untuk memenangi PCB#4 kali ini, akhirnya terjawab sudah segala persoalan!

Dengan ini saya mengumumkan 3 pemenang Pertandingan Cerpen Bertema Edisi Ke-4 iaitu... jeng...jeng...jeng...!

.

..

...

....

.....

......

.......

........

.........


 

penglipur dan uculer! Kedua-dua pemenang ini dinilai karyanya berdasarkan beberapa faktor yang akan saya ulas sebentar lagi.Tahniah! Pemenang ke-3 pula dinilai berdasarkan jumlah ‘like’ terbanyak di Facebook  yang dikumpul sehingga 30 April 2011, jam 11.59 malam. Jadi, setelah dihitung-hitung,  gelaran pemenang ke-3 akhirnya berjaya dirembat oleh saudari dayya dengan mengumpul 5 like walaupun dayya adalah peserta terakhir yang menghantar cerpennya. Tahniah!

 


Saudara penglipur sengaja meletakkan gambar 5 keping not RM 10 untuk mengaburkan minda orang ramai dengan menyangka ianya lebih tinggi nilainya daripada sekeping not RM 50. Padahal nilai sama je.


 

Saudari uculer pula hanya meletakkan sekeping not RM 50 dan 2 jari misteri untuk mewakilkan wajah beliau.

 


 

Saudari dayya menunjukkan kehebatannya menegakkan not RM 50 disamping kelihatan sepasang tangan. Mungkinkah ia simbol rahsia?

 

Ulasan ringkas karya-karya pemenang


Jurus Guntur Tunggal - penglipur

Membaca cerpen ini membawa fantasi saya melayang-layang ke dunia kung fu sebentar. Ia mengenai 2 orang musuh iaitu Razak dan Lah dalam merebut satu gelaran. Saya memilih cerpen ini kerana ia berjaya membuat saya seperti menonton wayang gambar. Aksi-aksi perebutan gelaran oleh Razak dan Lah berjaya dinyatakan dengan baik sekali. Adalah agak sukar sedikit untuk membuat pembaca seolah-olah menonton wayang gambar dan bukan membaca secra ala kadar sahaja. Susunan ayatnya menjadi! Dan, apa yang menambah tarikan pada cerpen ini adalah pengakhiran ceritanya. Tepuk dahi saya setelah selesai menghabiskan cerpen ini kerana telah tertipu bulat-bulat oleh si penulisnya. Jika mahu tahu apa pengakhirannya dan gelaran apa yang Razak dan Lah rebutkan, jemput-jemputlah membaca cerpen ini bagi sesiapa yang masih tidak berkesempatan lagi.

 

Yang Seperti Permainan Susun Suai Gambar – uculer

Tajuknya sahaja sudah menarik perhatian saya. Cerpennya bermula dengan satu dialog, “Aku nampak apa yang ada di dalam mata kau”. Dialog tersebut secara tidak langsung akan ‘memaksa’ pembaca untuk terus mengikuti ceritanya sehingga ke akhir. Ceritanya sederhana, tidak melebih-lebih. Ia berkisar tentang perbualan di antara seorang pemuda bernama Husnan dengan seorang lelaki tua yang misteri. Ia bercerita tentang perhubungan dan perhubungan yang dianggap seperti satu permainan susun suai gambar. Bagaimana satu perhubungan dan permainan susun suai gambar boleh berkait? Nah! Di sinilah si lelaki tua misteri itu cuba bercerita mengenainya. Penggunaan dialog yang berleluasa di dalam cerpen ini sedikit pun tidak mencacatkan ceritanya. Ini kerana, cerpen ini sarat dengan falsafah jadi penggunaan dialog sedikit sebanyak berjaya menyeimbangkan antara isi cerita dan keseronokan membaca. Bak kata orang, 2 dalam 1. Pada sesiapa yang masih belum membaca dan ingin mengetahui siapakah lelaki tua misteri yang galak berborak dengan Husnan, diharap sudi-sudikanlah membaca cerpen ini. Berbaloi!

 

 Alahai, potong stim! – dayya

Ya, cerpen ini memang potong stim! Hahaha! Cerpen ini dipilih berdasarkan jumlah ‘like’ yang paling banyak. Secara peribadi cerpen saya menyukai cerpen ini kerana pertama, ia menyuluh tentang satu sukan yang kurang popular di negara kita (walaupun seingat saya kita pernah memenangi pingat di Sukan Komanwel melalui sukan ini). Kedua, ada unsur sejarah diselitkan di situ. Sungguh saya suka bahagian itu! Ketiga, bagaimana cerpen ini diolah supaya rasa seronok dibaca dan kemudian berjaya menyiat-nyiat hatiku di akhir ceritanya. Ceritavini secara jujurnya seronok dibaca dan jika anda mahu rasa kejutan di akhir cerita, saya syorkan cerpen ini buat anda!

 

Cerpen-cerpen lain yang terlibat

Selain daripada 3 cerpen di atas, ada 3 lagi cerpen yang memasuki PCB#4 kali ini. Masing-masing bercerita tentang sukan dan permainan yang dirasakan mampu menimbulkan berahi untuk dijadikan cerita yang menarik, iaitu:


Trek Sintetik Dan Reformasi Kesihatan Saya - 26life

Kelab Memanah Cinta Bersepuh Emas Pelsu – Kurusawa

Aku, Firdaus Dan Batu Seremban - Kamalia

 

Sekali lagi saya katakan, Pertandingan Cerpen Bertema kali ini menyaksikan penyertaan cerpen-cerpen yang berkualiti di kalangan peserta! Tahniah untuk para peserta! Tahniah juga kepada para pembaca yang sudi membaca kesemua cerpen-cerpen yang bertanding serta tidak segan silu memberi komen dan rating untuk cerpen-cerpen tersebut.

Sebelum mengakhiri entri kali ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Cahatomic kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengadili PCB#4 kali ini. Semoga PCB#5 akan datang, lebih banyak lagi peserta yang turut serta dalam pertandingan ini. Hoyeah!!


Sekian, terima kasih!

Baca perbualan