Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban
Kau tahu, tema pertandingan PCB# 4 kali ini memang betul-betul menyesakkan dada aku. Apa? Temanya tentang sukan dan permainan? Kau cuba pandang aku? Cuba tengok betul-betul. Aku ni ada rupa macam atlet kebangsaan ke? Hendak jadi teman wanita penjaga gol pasukan bola sepak Malaysia pun aku tak pernah mimpi.
Kalau hendak diikutkan, pertandingan ni bukanlah pertandingan secara paksa pun. Sesiapa pun boleh sesuka hati hendak masuk atau tidak. Tidak ada hukuman kerahan tenaga angkat batu sambil berlari keliling padang sebanyak sepuluh pusingan jika tak mahu masuk. Suka hati kau, suka hati aku. Terserahlah.
Tapi...tapi tema kali ini memang mencarik-carik hati aku. Jadi aku perlukan ubat untuk redakan sedikit kesakitan hati ini. Maka, aku merasakan ubat terbaik setakat ini adalah dengan sama-sama menjerumuskan diri dalam pertandingan ini. Aku tak mahu menang (ayat coverline bajet suci), aku cuma mahu ubat sahaja. Dalam diam-diam aku mengakui kebijaksanaan si pencetus idea (yang aku sudah lupa namanya, maaf).
***
Ini cerita lama. Kira-kira lima belas tahun yang lalu. Ya, aku masih kecil lagi. Masih sekolah rendah. Kau tahu, lima belas tahun yang lalu (atau mungkin beberapa tahun sebelumnya) ada satu permainan yang sangat popular dan disenarai pendek sebagai salah satu permainan diva di sekolah kami. Permainan itu adalah batu seremban. Budak-budak perempuan tidak kira dari golongan mana pun akan bermain permainan ini. Sesiapa yang tidak tahu cara-cara bermain batu seremban, mereka semua secara automatik akan dilabel sebagai loser. Kau tahu, gelaran loser untuk budak-budak sekolah rendah adalah satu bentuk penderaan mental yang dahsyat. Boleh buat gila.
Betapa hebatnya penangan batu seremban di sekolah kami. Janganlah kau cuba-cuba hendak pandang rendah. Silap haribulan kau boleh dipulaukan.
Batu seremban yang telah menjadi taraf selebriti di sekolah kami ini menyebabkan ia bukan sahaja dimainkan oleh budak-budak perempuan sahaja. Budak-budak lelaki pun tidak segan-silu untuk turut serta dalam permainan ini. Apa yang hendak dimalukan? Nama pun budak-budak sekolah rendah. Kadang-kadang kami akan buat pertandingan tidak rasmi sesama sendiri. Tiada hadiah. Saja suka-suka. Lelaki vs perempuan.
Aku adalah antara wakil perempuan yang akan selalu diajak untuk turut serta dalam pertandingan ini. Aku bukan hendak sangat. Aku main batu seremban ni saja-saja suka sementara tunggu cikgu masuk kelas atau semasa rehat bila aku tidak ada selera makan sebab Abang Johan tak jual nasi lemak hari itu.
Mereka, kawan-kawan perempuan aku beriya-iya sangat suruh aku turut serta dalam pertandingan ini disebabkan oleh satu alasan yang kukuh. Aku adalah anak murid kepada Mariah. Mariah adalah murid Tahun Enam di sekolah kami dan merangkap Penolong Ketua Pengawas. Selain meraih populariti daripada jawatannya itu, dia juga sangat terkenal sebagai seorang pemain batu seremban yang handal di sekolah kami. Dia pernah beberapa kali menjadi juara dan kejuaraannya sukar sekali untuk digugat. Aku jadi anak muridnya pun secara tidak sengaja.
Ia berlaku pada waktu itu. iaitu setengah jam sebelum waktu persekolahan bermula. Aku berada di kantin sekolah. Lengang. Jadi, aku yang pada masa itu baru berjinak-jinak ke alam batu seremban mula mengeluarkan batu seremban buatan ibuku dari kocek baju kurung. Main seorang diri.
Pang...pang...pang...!
Macam itulah lebih kurang bunyinya. Untuk pengetahuan, itu adalah bunyi aku menepuk meja secara ganas yang tidak disengajakan semasa sesi melambung dan menangkap buah seremban yang tidak satu pun aku dapat sambut. Hodoh bunyinya, hodoh lagi pemandangan tersebut.
PANG...!
Dan itu pula adalah bunyi tempeleng yang pipi kiriku aku terima dari tangan kanan Mariah tatkala dia melihat kehodohan aksi aku bermain batu seremban. Sakit? Memang sakit tapi mana satu lagi sakit. Tempeleng Mariah atau digelar loser?
Mariah tidak salah dalam hal ini. Malah aku semacam mendapat satu pencerahan melalui tempelengnya itu. maka, sejak daripada itu aku pun menjadi anak muridnya. Mariah memang guru yang bagus. Dipendekkan cerita lama-kelamaan aku menjadi salah seorang yang hebat dalam seni permainan batu seremban di sekolah kami. Terima kasih, Mariah.
***
Hendak dijadikan cerita, tersebarlah satu pertandingan tidak rasmi yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Seperti biasa, pertandingan melibatkan geng budak lelaki dan geng budak perempuan. Perlu diingatkan di sini bahawa pertandingan tersebut tidak langsung melibatkan perkara-perkara sampingan termasuklah unsur seksis. Malah, kami selaku pemegang gelaran budak-budak sekolah rendah tidak pernah langsung tahu akan kewujudan perkataan tersebut. Pertandingan adalah kerana semangat kecintaan kepada seni permainan batu seremban semata-mata. Percayalah!
Seperti biasa juga, akulah yang menjadi ayam tambatan bagi budak-budak perempuan di sekolah kami. Bukan mahu menunjuk kehebatan. Seperti aku katakan tadi, aku bermain secara suka-suka tetapi setelah didesak dan dipujuk serta dibelanja sebungkus nasi lemak Abang Johan sebagai pembakar semangat, aku menerima juga pelawaan itu. lagi pula, aku rasa elok juga aku memanfaatkan apa yang diajar oleh Mariah. Selain daripada itu, mereka mahu aku kalahkan Firdaus.
Firdaus, aku tidak ingat sama ada itu nama sebenar ataupun tidak. Maaflah, aku memang teruk dalam mengingati nama orang. Tetapi aku sangat ingat akan susuk tubuhnya. Firdaus sama tinggi dengan aku. Kulit gelap sedikit daripada aku dan dia seorang pengawas. Ketua Pengawas. Ketua kepada Mariah. Firdaus adalah juara bertahan bagi budak-budak lelaki dalam permainan batu seremban ini. Sama seperti Mariah, kehebatannya sukar digugat.
Oh ya, Mariah tidak mahu bertanding. Katanya dia tidak mahu menimbulkan perasaan kurang senang di antara dia dan Firdaus selepas pertandingan berakhir nanti. Maklumlah, mereka berdua sentiasa perlu bekerjasama.
***
Masa pun tiba. Tempat, tentulah di kantin sekolah pada waktu rehat. Hari itu, makanan di kantin sekolah kurang laku. Maklumlah, ini perlawanan besar. Selera makan harus ditolak ke tepi dahulu.
Satu kumpulan ada tiga orang. Geng budak perempuan terdiri daripada Juriah, Zulaika dan aku. Geng budak lelaki terdiri daripada Fazli, Zaid dan Firdaus.
Pertandingan dimulai dengan Juriah yang berlawan dengan Fazli. Aku tak tahu kenapa geng budak lelaki perlu ambil si Fazli ni. Main tunggang-langgang dan tidak ada gaya langsung. Sekadar mencukupkan ahli sahaja. Jadi, Juriah menang mudah.
Pusingan kedua adalah di antara Zulaika dan Zaid. Zulaika bolehlah aku kategorikan sebagai pemain yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang menang, kadang-kadang kalah. Kami mengambil dia sebab dia tidak pernah putus asa. Dia ada sikap kesukanan yang tinggi di mana dia tidak melenting bila kalah. Dia senyum dan senyum sahaja. Dan senyumnya jadi melebar pada hari itu. Paling parah adalah apabila senyuman lebar Zulaika itu menjadi punca kekalahannya. Kalau aku tahu jadi begitu, tidak akan aku pasangkan Zulaika dengan Zaid. Rupa-rupanya Zulaika ada hati dengan Zaid. Sungguh... masalah hati memang tidak boleh dicampur aduk dengan dunia pertandingan. Macam minyak dengan air.
Jadi, keputusannya adalah 1-1. Seri. Penentuannya kini adalah di antara aku dan Firdaus. Aku mengaku aku sedikit gementar tetapi aku masih lagi boleh mengawal keadaan. Lagipun aku tidak ada persoalan hati dengan si Firdaus ini. Jadi, ia sepatutnya tidak menjadi satu halangan yang besar, fikirku.
***
Setelah undian, Firdaus telah terpilih untuk memulakan aksinya terlebih dahulu. Batu satu, dia melambung dan menyambut buah-buah seremban dengan mudah. Ah, meluat! Aku menjeling.
Batu dua, kali ini dia memandang aku dengan senyum sinis. Aku buat-buat tidak nampak. aku mahu gilirannya mati cepat, jadi aku dapat mulakan aksi aku lalu menang. Mudah, bukan?
Batu tiga, melihatkan aku tidak endah dengan perang psikologi yang diguna pakai olehnya , dia terus sahaja bermain. Nah, padan muka!
Batu empat, kali ini dia memandang aku semula. Mahu lihat reaksi aku agaknya. Kali ini aku nekad memandangnya juga. Bagi chance la. Tapi dengan pandangan tajam. Dia ingat dia seorang saja ke yang pandai main psikologi. Aku pun! Tapi dia cuma tergelak kecil dengan ekspresi wajah aku. Malu pula rasanya. Terus aku tertunduk pandang meja. Hati aku beritahu yang Firdaus ni boleh tahan comel juga. Ah, sudah!
Batu lima, aku dah tak pandang siapa-siapa, hatta batu seremban yang dilambung-lambugn oleh si Firdaus itu. Aku pandang meja. Akal aku sudah mula beritahu bahawa ini bakal membawa malapetaka. Tapi aku cuba menafikannya. Aku berlagak tenang. Berlagak saja, padahal dalam hati Tuhan sahajalah yang tahu betapa dadaku sesak ketika itu.
***
Firdaus kalah pada batu yang kelima. Jadi, giliran aku pula akan bermain. Seperti biasa, aku tarik nafas dalam-dalam dan kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Aku tak pandang Firdaus. Aku tak mahu pandang dia sebab aku tahu dia sedang fokus pada aku ketika itu.
Batu satu, aku campak lima biji buah seremban di atas meja. Masa itu budak-budak perempuan sudah bersorak sambil bertepuk tangan. Gila apa! Budak-budak ni tak tahu ke sorakan mereka itu boleh buat jantung aku tercabut. Macam biasa, aku lambung dan sambut buah seremban satu persatu. Semuanya berjaya disambut dengan penuh gaya. Aku sudah mula tersenyum. Akal aku mungkin salah. Ini bukan malapetaka. Mungkin petanda kepada kejayaan yang gilang-gemilang.
Aku kembali mendapat semula keyakinan aku. Saat buah terakhir aku lambung dan aku ingin sambut, mata aku entah macam mana rasa ditarik-tarik mahu memandang ke arah Firdaus. Dan pada masa itulah segala-galanya berakhir. Buah yang aku lambung tidak dapat aku sambut. Sebaliknya ia tercampak betul-betul di mukanya.
Aahh...memang malapetaka!
Firdaus mengutip buah seremban yang tercampak ke mukanya itu. Lalu memberinya kepadaku dan tentulah dengan satu senyuman yang entah aku tidak tahu hendak tafsirkannya sebagai senyuman apa. Cuma hati aku sahaja yang pandai-pandai memberi tafsiran bahawa itu senyuman nakal.
Bwuek!
Okeylah, aku mengaku memang comel pun senyumannya itu. Budak sekolah rendah kan semuanya comel-comel belaka.
Keputusan pertandingan meletakkan geng budak lelaki menang dan kami kalah. Habis.
***
Tapi untuk aku, cerita ini belum habis. Selepas lima belas tahun aku mula-mula berjinak mahu mencari Firdaus semula. Ini pun gara-gara ada pertandingan gila macam PCB# 4 ini yang menggunakan tema sukan dan permainan. Aku tidak tahu mahu cari Firdaus di mana. Facebook tak boleh pakai. Blog juga. Jadi aku guna medium ini sebagai tempat aku mencari semula si Firdaus itu. Boleh jadi dia membaca cerpen aku tentang kisah ini dan kami berdua mungkin ada peluang untuk bertemu lagi. Dan kalau sudi, bolehlah kami bermain batu seremban bersama-sama.
Betullah, persoalan hati ini memang tak boleh dicampur aduk dalam mana-mana pertandingan. Lebih-lebih lagi dalam seni permainan batu seremban.
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen UmumCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) cerita kamalia mengheret saya pada zaman silam. kalau beginner main batu seremban, memang riuh mcm bergaduh tepuk meja.
cerpen ini mmg bawa saya ke zaman silam. semoga anda bertemu dengan firdaus anda.- uculer
- 14 years ago
-
2) Sebagai orang yang tak tahu main 'batu seremban', aku baca banyak kali 'perseteruan' antara watak.
Agak bagus jika Kamalia luangkan masa untuk menerangkan apa peraturan permainan ini
Susunan cerita yang mengasyikkan- 26life
- 14 years ago
-
3) ucu: tepuk meja, pung pang pung pang tp main taklah hebat mana pun, kan? hahaha...firdaus adalah watak separa benar. sebahagiannya adalah fiksyen dalam cerita ini. terima kasih membaca
26: aaaa....aku ingat semua org tau main batu seremban! atau sekurang-kurannya tau cara bermain. silap aku! ini utk 26life dan siapa2 yg tak tau cara2 nak main batu seremban.
kalau ikut masa aku kecik2 dulu. batu seremban ada 5 biji. lps tu ada 7 batu. sesetengah org sebut 7 buah. semakin tinggi tingkat batu/buah, semakin sukar sikit cara menangkap/melambung. cth: batu 2 lebih susah drp batu 1. begitulah seterusnya. lps berjaya mengharungi 7 peringkat tu, ada sesi menimbang pulak. tak silap aku, lain tempat lain cara mainnya. boleh rujuk sini kalau mau:
http://malaysiana.pnm.my/03/0302batu_seremban.htm
dan terima kasih kerana membaca
- kamalia
- 14 years ago
-
4) kamalia: memang pun! lps tu ade satu peraturan bodoh tak boleh main sambil berdiri. konon-konon kalau berdiri nnt lebih hebat.
selalunya peraturan begitu, amatur je buat. yang dah pro memang tak kisah.- uculer
- 14 years ago
-
5) ucu, eh rasanya pernah dgr pasal peraturan tu. so bila nak main, kwn2 akan tanya, nak main berdiri atas meja atau main bersila atas lantai hahaha!
- kamalia
- 14 years ago
-
6) Hari ni aku belajar hikmah daripada Maria. Tempeleng merupakan senjata pencerah... hahaha... akan aku praktikkan.
- toti
- 14 years ago
-
7) toti : salah tempeleng, mau bisu nanti hehe hati-hati!
- 26life
- 14 years ago
-
8) sampai sekarang, aku masih tak faham kenapa namanya batu Seremban? Aku faham maksud Se- Satu. Remban tu apa pula ya? Seremban rocks!
- Kurusawa
- 14 years ago
-
9) toti: mungkin pencerahan tu berkesan dgn tempeleng Mariah saja
kuru: entahlah. dulu2 ingat batu seremban asal dr seremban, negeri sembilan. tadi selak2 kamus dewan. kalau 'se' maknanya satu. 'remban' ikut kamus dewan maknanya rembat. kiranya logik jugaklah. merembat batu satu persatu hihi- kamalia
- 14 years ago
-
10) demmm! eh, pengadil tak boleh menang eh?
too bad!- cahatomic
- 14 years ago
-
11) biasanya, cerita yang pandangan orang pertama ni saya penalti sikit mark, sebab kadang tu lebih macam PELIT rather than cerpen. tapi exception buat yang ini.
sebab strukturnya ceritanya nampak dan ... best!- cahatomic
- 14 years ago