Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Pisang dan Epal

 

Sayangku,

Aku masih ingat ketika kau berjenaka tentang asal usul namamu. Katanya, namamu diambil daripada nama saintifik buah ini. Musa paradisiaca L. Aku ketawa sayang apabila kau berjenaka begitu. Pinggangmu aku cubit. Jahat dan nakal. Selalu sahaja bergurau begitu denganku. Kau cuba membalas dengan mencubit pipi mongelku. Aku lari meninggalkan mu jauh.

            Rupanya aku berlari terlalu jauh sayang. Jauh sehingga meninggalkanmu. Aku akur akan takdir apabila Tuhan menjemputmu lebih awal. Namun aku ralat kerana seumur hidup cintamu, aku  terlalu banyak menyulitkan.

Sayangku

Aku kini bersendirian di bawah pohon pisang yang kau usahakan. Pokok-pokok renek yang menjalar disetiap batangnya aku tebas dan buang. Seperti mana yang kau ajarkan ketika aku masih lagi hijau mengenai usahamu ini.

            “Ini ulat gulung daun. Di dalamnya gulungan tersebut ada larva. Larva ini akan makan daun pisang dan menyebabkan penyakit. Apabila nampak, keadaan daun sebegini kita perlu ambil dan musnahkan,” masih terngiang-ngiang tunjuk ajarmu persis seorang pegawai pertanian apabila aku bertanya tentang daun yang bergulung.

            Kemudian kau mengusikku dengan ulat daripada daun tersebut. Aku menjerit kegelian apabila ulat yang kau lontarkan jatuh di atas kaki ku. Mak... dari dapur lantas meluru. Takut aku diapa-apakan kau. Kau memang selalu suka mengusik. Padan muka kau bila mak meleterimu kerana mengusikku.

            Namun alhamdulillah... dari jenaka dan tunjuk ajarmu aku mula mengenal penyakit sigatoka, panama, larva pengorek umbisi pisang dan kumbang pengorek batang pisang.

****

            “Aku pisang dan kau epal. Kita berbeza,” itulah kata kau bila pertama kali aku mencurahkan isi hatiku. Ketika itu ladang ini masih baru digembur tanahnya. Anak-anak pisang berselerakan. Kau basah dipancar teriknya mentari. Tanganmu masih mengenggam cangkul.

            “Tapi kita manusia. Dalam manusia normal tidak ada kasta dan darjatnya. Seperti juga pisang dan epal. Kedua-duanya buah. Kita bukan berlainan spesis,” rayu aku. Sebetulnya aku membuang seribu rasa malu apabila merayu. Biarlah aku kejian masyarakat kerana timba mencari telaga. Aku tidak peduli. Khadijah juga mencari Mohammad.

            “Tapi antara pisang dan epal punya warna berbeza. Punya rasa yang tak seiras. Iklim yang menumbuhkanmu dan aku adalah berbeza. Aku anak kampung dan kau masyarakat bandar,”

            Aku tahu mungkin ayah sudah menemuimu dan memberi amaran. Namun dari sinar matamu kau tidak boleh berbohong. Kau juga mencintaiku.

            “Apalah yang kau harapkan daripada lelaki seperti aku. Aku tidak kaya. Pelajaranku tidak menjejak ijazah. Sedangkan kau bakal menjadi seorang profesional,”

            Aku diam. Kau terlalu merendah diri. Sesungguhnya engkau mempunyai kelebihan. Cintamu menusuk dalam setiap nadiku yang berdenyut. Cinta. Itulah yang aku harapkan daripada kau.

            Mungkin kerana lamanya aku berdiam. Atau mungkin kerana alam sekeliling kita turut sama berdiam. Kau bangun. Mendepaniku begitu hampir. Tangan sasamu diletakkan dibahuku. “Dahlia... aku juga menyayangimu. Namun cinta kita punya tentangan. Usah derhaka kerana cinta,”

            Gugur juga egomu dengan menyatakan rasa cinta itu. Air mata begitu murah menitis di pipiku.

****

Sayangku                                                      

Aku berjalan melewati ladang kita. Pohon-pohon pisang kita tumbuh subur. Barangkali kau baja dengan semangatmu dan kau siram dengan cinta kita. Kerana itulah rastali, awak, nangka, embun, raja, nipah dan berangan tumbuh subur.

            Oh... ya. Pisang mas ini sudah boleh ditebang. Warna sudah kekuningan. Katamu dahulu, pisang ini pisang kegemaran kau. Kelakar juga apabila setiap hari aku melihat kau ratah pisang mas itu.

            “Pasti pisang-pisang lain cemburu kerana tidak dimakan tuannya,” giliran aku pula bergurau. Kau tersenyum. Cuba menampar manja. Aku lari. Kau mengejar. Aku terjatuh di gigi sungai yang mengalir jernih. Kau juga sengaja menjatuhkan dirimu. Kita berdua terhempas di tanah aluvium, jenis tanah yang kau kata sesuai ditanam pisang. Kita bercanda.

            Aku masih ingat waktu itu sayang.

****

            Sebetulnya aku tidak menyukai pisang. Epal kegemaranku. Tapi entah mengapa sejak mengenalimu aku mula berjinak-jinak merasa sedapnya pisang. Betullah kata orang, cinta mampu merubah segalanya. Cintamu merubah kesukaanku.

            “Pisang mengandungi vitamin A, B1, B2 dan C. Komposisi  air dan karbohidratnya banyak. Malah pisang membantu kita menyenangkan proses perkumuhan,”

            “Epal juga banyak khasiat,” sengaja aku mengusikmu.

            “Memanglah. Tapi utamakanlah buahan-buahan tempatan,”

            “Macam kempen makan buahan-buahan tempatan je,” usik aku lagi. Kali ini kau tidak seperti selalu. Mencubit pipi mongelku tiap kali aku berseloroh. Kau diam sebentar. Sedikit pun tidak teruja dengan keletahku tadi.

            “Abang akan buktikan,” tiba-tiba sahaja ayat itu terkeluar daripada mulutmu.

            “Buktikan apa?”

            “Buktikan yang abang mampu menjadikan pertanian ini sumber rezeki kita. Kita boleh berjaya dengan menjadi petani,”

            Aku tahu kata-katamu pasti ditujukan kepada ayah. Ayah yang tidak menyukai usahamu.

            “Disini akan dicacakkan papan tanda syarikat kita,”

            “Syarikat?”

            “Ya. Syarikat yang berasaskan pertanian. Dahlia Agroland,”

            Aku tersenyum mendengar nama syarikat itu. Besar bangganya namaku diabadikan.

            Sesungguhnya aku sebagai isteri, sentiasa akan menadah tangan dan mengaminkan doa untukmu.

***

             “Mampukah budak Musa itu beri kau makan. Dengan projek pisang dia yang entah berjaya atau tidak, aku tak nampak dia boleh beri kau kesenangan,’ seperti peramal takdir, sesenang itu juga ayah meramal masa hadapan kita.

            “Ayah... tapi dia pilihan yang terbaik buat lia,” dengan nada lembut aku melawan. Harapnya nada itu mampu memecahkan keras hatinya. Namun ia tidak semudah itu.

            “Aku besarkan kau. Hantar kau belajar tinggi tinggi. Bila besar dengan budak kampung yang tak berpelajaran juga kau nak kahwin,” marah ayah. Ibu hanya mendiamkan diri. Kali ini ibu tidak terdaya membantu. Marah ayah memang menyala.

            Entah atas rasukan apa aku jadi hebat untuk mempertahankan cintaku.

            “Ayah... tidak ada bezanya antara budak bandar dan kampung. Dalam perkahwinan yang penting adalah kebahagiaan. Musa juga berpelajaran,”
            “Setakat diploma?”jerling ayah.

            Ayah menyambung dengan sindiran sinis “Diploma sains komputer yang bercita-cita menjadi petani moden. Sungguh retorik dengarnya,”

            Aku jadi sekecilnya. Jika pelajarnya mendengar pasti mereka akan memandang rendah ayah. Seorang profesor matematik bercakap begitu.

            Aduhai ayah. Fikirmu banyak sangat logik. Kau fikir kehidupan ini adalah angka dan formula statik yang kau gelumang hari-hari.

****

”Umi... umi...,”

Panggilan itu mematikan kenanganku. Aku berpaling melihat seorang anak kecil berlari-lari. Anak lelaki itu semakin hampir kepadaku.

            “Ya haziq,”

            Anak itu memelukku. Aku mengusap-usap rambutnya yang lebat. Dia sahaja waris yang kau tinggalkan. Haziq memiliki genetikmu. Rupanya, hidungnya, matanya persis parasmu.

            “Nak makan pisang,” haziq meminta. Aku kembali tersenyum. Memang dia sepertimu juga. Tidak berenggang dengan pisang.

            “Tadikan atuk ada belikan epal,” kataku mengingatkan yang ayah datang sebentar tadi membawa epal untuk cucunya. Juga melawatku. Sejak pemergianmu, ayah mula menerimaku. Suatu ketika dahulu dia menangis teresak-esak terhadap kesalahannya. Seperti katamu, usah derhaka kerana cinta, aku memaafkannya.

            “Haziq tak nak epal. Haziq nak pisang,”

            “Jom ikut ibu,” aku memimpinnya. Menerjah ke tengah ladang. Meninggalkan papan tanda Dahlia Agroland yang sejak tadi aku tatapi. Biar kali ini Haziq memilih sendiri pisang yang disukainya.

Sayangku... aku juga akan mengajarkan Haziq sesuatu. Kali ini biarlah dia mengenal tentang ulat gulung daun.

 

 * Lama dulu, pernah terbit di Majalah NUR

ikhlas daripada mkriza.blogspot.com 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) cantik metafora pisang dan epal
  • 2) garapan yang sangat menarik! itulah kama, memang berkesan betul personafikasi yang digunakan.

    pisang dan epal

    mesej yang selalu didengar, tetapi diolah menggunakan perumpama dan penceritaan yang segar.

  • (Penulis)
    3) Terima kasih.
  • 4) tulisan ini berjaya membawa aku meneroka kebun pisang yang sering aku kunyah di hari Jumaat. Garapan yang berinformasi dan sederhana mengalir.

    nota : sempat aku teringat pada cerpen Kerana Manisnya Epal yg prnh aku ulit lama dulu.
  • 5) garapan yang sangat kemas dangan simbolisme yang jelas. nais one

Cerpen-cerpen lain nukilan khairulr

Read all stories by khairulr