Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku

 

*Cerita lama yang diubah suai sikit.


Kehadapan sahabatku,

Maaf berjuta kali maaf. Setelah berbelas-belas tahun kau hilang daripada pandangan, aku masih tidak mampu lagi menitipkan sepucuk surat pun buatmu dan keadaan ini adalah sangat memalukan. Maka, di sini sepucuk surat cinta telah aku cuba-cuba karang pada musim tengkujuh ini khas buatmu. Jika dihitung-hitung, sebenarnya sudah beratus-ratus pucuk surat telah cuba aku karang sebelum ini namun hasilnya seringkali menghampakan. Segala bait ayat, perkataan dan huruf-huruf yang terhasil tidak satu pun menepati makna cintaku kepadamu.

 

Ini adalah percubaanku yang ke seratus tiga kali untuk menulis surat cinta dan jujur aku nyatakan di sini, hasilnya tetap meloyakan. Aku tidak tahu badi apa yang menimpa diriku sehingga payah sungguh untuk aku meluahkan perasaan cintaku kepadamu melalui sepucuk surat. Adakah disebabkan aku seorang wanita dan kau seorang lelaki maka surat berbaur cinta seharusnya ditulis oleh para lelaki dahulu. Wanita hanya membalas sahaja? Ah, itu sememangya pantang larang yang mengarut! Atau adakah mereka sebenarnya sudah lama tahu bahawa tidak akan pernah berbaloi menulis surat kepadamu kerana mereka, kau dan juga aku sangat menyedari bahawa surat ini tidak akan pernah sampai ke tanganmu apatah lagi dapat membacanya. Namun, jangan pernah berharap bahawa aku akan menghiraukan segala kata mereka. Aku akan tetap menulis surat cinta ini untuk kau. Biar mereka tahu bahawa surat ini merupakan tanda kewujudanmu walaupun mereka tidak pernah dan tidak akan dapat melihatmu.

 

Sahabat,

Mengarang surat cinta bukan sesuatu yang mudah bagi diriku, lebih-lebih lagi untuk seorang sahabat khayalan yang tidak pernah wujud pada mata manusia lain. Jikalau kau dapat merasai walau sekelumit keperitan menghasilkan surat ini, sudah tentu kau akan menangis lalu berdoa pada Tuhan agar mampu membaca surat ini walau hanya sekali. Dan mungkin pada waktu itu akulah manusia pertama yang akan tertawa kegembiraan meraikan kemenangan kita yang berjaya membuktikan bahawa cinta itu ada di mana-mana tanpa perlu memperlihatkan siapa pun pemilik dan yang akan memilikinya.

Proses yang berlaku semasa surat ini mula-mula dizahirkan tidaklah semudah yang disangkakan. Pelbagai emosi yang bercampur baur bermain-main sepanjang surat ini dihasilkan. Kemarahan, kekecewaan, kemurungan dan kesedihan segalanya sebati menjadi satu perasaan yang aneh walaupun sedikit-sedikit timbul juga perasaan gembira dan teruja memandangkan ini surat untuk sahabat yang paling disayangi.

 

Namun, ia bukanlah semudah yang disangka. Selama lima jam tiga belas minit setiap hari selama tujuh tahun, tidak pernah sepucuk surat cinta pun dapat aku karang sehingga habis. Alangkah manisnya jika dengan sepatah perkataan dapat mengungkapkan segala perasaanku terhadapmu. Namun sayang seribu kali sayang, aku tidak mampu. Sayangku mungkin melebihi segala perkataan yang ada di muka bumi ini. Aduhai... kedengarannya seakan melampau-lampau. Namun jika kau percaya kata-kataku maka benarlah ia.

 

Sahabatku,

 Siapalah aku ini. Aku hanyalah seorang pembantu rumah yang bekerja dengan sebuah keluarga yang ketua rumahnya berpangkat seorang Datuk yang diambil setelah sepuluh orang pembantu rumahnya yang dari negara seberang berturut-turut hilang tanpa jejak mengikut teman lelaki Bangladesh mereka. Aku hanyalah seorang pembantu rumah yang tiap-tiap pagi membancuh kopi yang kadangkala tidak pernah berusik pun oleh para penghuni rumah tersebut kerana mereka sering kali menyangka diri mereka terlalu sibuk sehingga tanpa disedari ada sekelumit rasa terkilan dalam diriku walaupun segala cawan, peralatan dan serbuk kopi itu merupakan hasil wang mereka juga.

 

Secara klisenya, aku hanyalah wanita biasa yang tiada rupa mahupun harta! Apatah lagi bahasa yang seharum bunga bakawali untuk menulis surat cinta kepada sahabat baik sendiri.

 

Maka, dengan alasan-alasan tersebut aku sangat terdesak untuk menulis kepadamu surat cinta ini sepanjang yang boleh. Sekurang-kurangnya surat ini akan menjadi sesuatu yang paling manis yang pernah berlaku sepanjang aku hidup. Dan, dalam diam aku mengakui hakikat itu.

 

Sahabat,

Saat aku masih lagi terkial-kial mecari bait-bait kata untuk surat ini, titis-titis hujan turun dengan tiba-tiba. Oh, sungguh klise dan melankolik tetapi itulah hakikatnya. Jangan pernah menafikan hal itu. Mungkin hujan juga sedang bersimpati denganku atau tanpa sedar ia mengejekku dalam diam-diam kerana masih lagi bersusah payah menulis surat kepada manusia yang tidak pernah diakui kewujudannya. Ah, persetankan sesiapa pun yang menafikan kewujudanmu! Aku merasakan mereka itu semua adalah golongan yang tidak pernah merasakan dipunyai oleh seorang sahabat yang benar-benar memahami diri mereka. Sedangkan sepanjang mereka hidup di dunia ini, pura-pura sentiasa berada di mana-mana sahaja. Adakah kawan diperlukan sebagai alat semata-mata? Adakah aku yang bersalah dalam mentafsir maksud kawan yang sebenarnya? Berikan aku pencerahan, sahabatku. Sebab apa yang boleh aku buat untuk seorang sahabat ialah menjadi sahabatnya sahaja.

 

Ah, aku mengakui kita pernah mengalami beberapa siri salah faham dan melalui surat ini izinkan aku membuka sekelumit kisah kita sebagai kenang-kenangan.

 

Sahabat,

Masih ingatkah kau saat pertama kali kita bertengkar? Segalanya kerana layang-layang Idris Zaid. Kau tidak akan pernah setuju bukan jika aku menyukai layang-layang sotong kurita kepunyaan Idris Zaid itu. Seolah-olahnya kau berpura-pura tidak peduli bahawa kuning sampai bila-bila pun akan tetap menjadi warna kegemaranku. Jadi, bukanlah sesuatu yang aneh jika layang-layang sotong kurita kuning bermata merah Idris Zaid yang lebih menarik perhatianku berbanding layang-layang ikan ungu bermata biru kepunyaanmu. Kau tidak mengendahkan langsung alasanku dan secara tiba-tiba kau mengeluarkan satu kenyataan aneh lagi berbaur cemburu bahawa layang-layang sotong kurita dan layang-layang ikan tidak boleh bersahabat. Lalu kau memaksa aku memilih di antara keduanya yang akhirnya membawa kita ke pergaduhan pertama apabila aku memilih layang-layang kurita kuning bermata merah Idris Zaid.

 

Kemudian, aku terlihat kau datang bersama-sama seorang kanak-kanak lelaki sambil bermain-main layang-layang ikan ungu bermata biru dengan ditemani oleh kanak-kanak itu. Aku tidak mengenalinya dan telah aku andaikan pada ketika itu bahawa dia adalah sahabat khayalanmu. Sahabat khayalanku sudah mempunyai seorang sahabat khayalan. Hebat sekali! Jelas sekali sahabat, kau memang berpotensi besar untuk menabur cemburu di dalam hatiku, bukan? Dan kau telah lakukannya dengan baik sekali. Aku memang benar-benar cemburu ketika itu.

 

Maka, jika dipendekkan ceritanya aku akan memberitahumu di dalam surat ini bahawa kau dan aku akhirnya bersahabat semula selepas peristiwa layang-layang itu. Namun, jika kisah tersebut dipanjangkan ia akan membawa kepada bagaimana kau dan Idris Zaid berlawan di antara satu sama lain layang-layang siapakah yang akan terbang paling tinggi dan semestinya Idris Zaid tidak menyedari bahawa dia telah bertanding secara tidak sengaja denganmu. Ataupun, jika kisah ini dipanjangkan lagi ia akan membawa pula kepada peristiwa pergaduhan di antara kau dan sahabat khayalanmu kerana aku jangkakan dia tidak memberi apa-apa sokongan moral kepadamu sebagaimana yang aku lakukan kepada Idris Zaid. Segalanya kerana cemburu, untuk cemburu dan demi cemburu. Bukankah yang tidak cemburu itu tandanya tidak cinta?

Jadi, adakah kita saling mencintai antara satu sama lain?

 

Sebenarnya jika dihitung setiap hari, terlalu banyak peristiwa yang boleh kita jadikan kenang-kenangan, tetapi sayang, aku tidak dapat mengingati semuanya. Malah, semakin lama kenangan-kenangan itu semakin hilang dan terhakis dari hidupku. Adakah kedewasaan telah menghalangku daripada terus menyimpan kenangan-kenangan itu. Jikalau itulah penyebabnya, alangkah hancur berderainya hatiku ini. Barangkali lebih hebat daripada kaca terhempas ke batu. Sedang aku masih lagi terkial-kial mengarang surat cinta ini aku berfikir-fikir, apakah yang akan terjadi untuk sepuluh atau tiga puluh tahun akan datang? Adakah kenang-kenangan kita itu masih lagi mampu diingati atau adakah wajahmu masih lagi jelas tergambar di dalam hatiku? Dan yang paling malang, takut-takut aku tidak pernah lagi mengingati bahawa kita dahulu pernah menjadi sahabat yang paling baik sekali yang pernah wujud pada kurun ini!

 

Sahabat,

Aku mengandaikan inilah surat yang pertama dan yang terakhir aku karang untukmu. Tidak lagi aku sanggup mengarang apa-apa surat untukmu memandangkan ia sekaligus menambah lagi kesedihan yang berterusan. Pernah aku cuba-cuba untuk melupakanmu dengan sekeras hati tetapi berlaku satu perasaan takut yang amat sangat kerana aku telah menyedari bahawa perasaan mengingati dirimu merupakan perasaan terbaik yang pernah aku miliki sepanjang hidupku. Apakan daya, hatiku telah jatuh dilamun cinta.

 

Maka, biarlah aku tamatkan sahaja surat ini dengan sejuta maaf yang tak terungkap kerana telah mengabaikanmu selama ini. Kenangan bersama kau mungkin akan padam bersama dengan kedewasaanku. Namun percayalah, rindu dan sayang aku padamu tidak akan berganti baharu kerana sepuluh bintang bertaburan, tidak akan sama dengan bulan yang satu.

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) hui perlukah begitu emotif sifat surat ini. haha.
    sahabat khayalan yang mempunyai sahabat khayalan lain adalah sangat nadir.
    skizo yang melampaui beautiful mind.

  • (Penulis)
    2) beautiful mind...superb!
  • 3) Dan sampai satu masa, kita akan terlupa juga. Siapalah manusia tanpa emosi. Kan kamalia?
  • 4) Kita tak pernah ada kawan khayalan. Berkhayal selalu, tapi benda yang dikhayal tak pernah kita nampak.

  • (Penulis)
    5) ucu: yep... manusia kalau takde emosi bukan manusia
    haqifa: cuba keras lagi, pasti boleh!
  • 6) gua x percaye yg surat ni utk teman halusinasi... mati hidup balik pun gua tetap x percaye

  • (Penulis)
    7) ganjil: mungkin sebab kau tak dapat terima kenyataan yg surat ni utk kau
  • 8) Haha! Mujur sahabat khayalan kepada sahabat khayalan tak turut punya sahabat khayalan!
  • 9) Bintang pertama dab kedua, mimpi juga ya?
  • 10) Aik? Kenapa komen terakhir muncul di sini? :-P

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia