Suatu Malam...

 

SUASANA semakin gelap. Kiri kanan sudah berubah. Tiada lagi lampu jalan yang menerangi . Hanya pokok-pokok tinggi yang kelihatan di kiri kanan jalan. Jalan pula semakin sempit, cukup-cukup  untuk sebuah kenderaan saja.  Entah kenapa kali ini dia mengambil jalan lama. Dari lebuh raya tadi, tergerak hatinya untuk melalui jalan lama menuju ke destinasi. Jam sudah menghampiri sembilan setengah malam.

Ali meneruskan juga perjalanan. Tidak dihiraukan segala apa yang terfikir di benak. Panggilan dari isteri tersayang siang tadi cukup merentap hatinya untuk pulang segera. Ah! Beginilah rutin hidup bila sudah berjauhan.  Dia di KL, isteri pula di bandar KT. Terpaksa berjauhan demi mencari sesuap nasi . Teringat wajah isteri yang setia menunggu kepulangannya setiap hujung minggu. Usai kerja, dia terus memecut laju ke lebuh raya. Walaupun penat, demi isteri dia rela memandu pulang walaupun jauh. Jarak yang jauh sudah tidak ada dalam kamus hidupnya. Semuanya terasa dekat. Sesekali dia menguap.

Pemanduannya masih diteruskan meredah kegelapan malam. Jam sudah melebihi sepuluh malam. Matanya melilau mencari surau atau masjid. Masuk waktu maghrib tadi dia sudah berniat untuk jamak takhir. Kali ini keretanya dipandu perlahan. Sekeliling masih gelap. Kiri kanan pula kini dipenuhi hutan tebal. Hanya cahaya lampu keretanya saja yang menerangi sepanjang jalan yang dilalui.

       “Mana pulak surau ni..”

Ali memandu perlahan. Kali ini dia amati betul-betul di kiri kanan jalan. Nun jauh di depan kelihatan cahaya  berbalam-balam. Dia mula senyum. Mungkin dia sudah sampai di sebuah kampung. Lega. Pedal minyak ditekan kuat. Tiba di simpang jalan, kelihatan di kiri jalan sebuah rumah kecil. Cahaya berbalam tadi rupanya datang dari arah rumah tersebut. Keretanya segera membelok ke kiri.

Ali masih lagi dalam kereta. Masih memerhati. Perlahan dia keluar dari kereta dan mula melangkah ke arah rumah itu. Pintu diketuk beberapa kali sambil memberi salam. Senyap. Sekali lagi dia memberi salam. Masih senyap. Angin mula bertiup perlahan. Dia intai melalui celah lubang di pintu. Memang tepat jangkaannya, cahaya berbalam tadi datang dari sebuah pelita usang dalam rumah itu. Daun pintu ditolak perlahan. Kelihatan seorang lelaki tua berkain pelekat dan berbaju melayu sedang duduk bersila. Kopiah atas kepala sudah senget, hampir melurut. Lagaknya seakan menahan lelah. Mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu. Dia perhati lagi. Di tepi dinding ada sebuah rak lama. Hanya ada beberapa buah kitab lama disusun atas rak itu. Sehelai sejadah lusuh dilipat kemas atas lantai yang dialas dengan tikar getah kusam.

        “Assalamualaikum.”

Lelaki itu masih kumat kamit membaca sesuatu. Mungkin berwirid bila melihat ada seutas tasbih di tangannya. Sekali lagi Ali memberi salam. Lelaki tua itu mendongak sambil tersenyum. Muka lelaki tua itu dipenuhi peluh.

Ali pandang sekitar rumah itu. Tiada tanda-tanda bahang dari situ malah angin luar menyapa lembut ke dalam rumah itu. Macam mana pula pakcik ni boleh berpeluh begitu???

        “Err..boleh saya tumpang solat?”

Agak gementar suara Ali memulakan bicara. Dia senyum kepada lelaki tua itu. Tanpa sepatah kata, lelaki tua itu hanya mengangguk.

Ali segera mendekati tempayan besar yang terletak di depan rumah. Gayung yang memang telah tersedia di tepi tempayan itu dicapai dan mula mengambil wuduk. Dia mula masuk ke rumah. Lelaki tua itu mula memberi ruang kepada Ali. Dia undur ke belakang supaya Ali boleh menunaikan solat di bahagian hadapan.

Selesai solat, Ali sempat berdoa. Tangan ditadah sambil mulut kumat kamit membaca doa. Usai berdoa, dia menoleh ke arah lelaki tua itu dengan niat ingin bersalam dan mengucap terima kasih kerana sudi mempelawanya menunaikan solat di situ. Dilihatnya lelaki itu sudah tiada.

          “Mana pulak orang tua ni..”

Ali pandang pula ke arah pintu. Angin dari luar semakin kuat menerpa masuk ke dalam. Kesejukan angin itu terasa hingga menusuk tulang. Dia bersandar sekejap di tepi dinding melepaskan penat memandu. Melunjurkan kaki bagi menghilangkan lenguh.

 

ALI  mula bangun  dan menuju ke arah keretanya. Dalam hatinya tertanya-tanya siapa gerangan lelaki tua tadi. Sekelip mata lelaki itu hilang dari pandangan.

        “Ah..janji aku sudah selesai melaksanakan suruhan Tuhan.”

Kini perasaannya mula lega. Urusannya sudah ditunaikan. Dia meneruskan perjalanan.  Tiba di simpang jalan tadi, Ali mula bingung. Seingatnya tadi jalan itu bersimpang tiga. Kali ini, simpang itu telah menjadi empat. Dia menggaru kepala memikirkan simpang mana yang harus diambil. Jenuh dia mengingati arah asal di mana dia membelok ke arah rumah tadi.

         “Agaknya simpang ni kut..”

Ali mengagak sendiri jalan yang dilalui tadi. Keretanya perlahan meredah jalan kecil. Kali ini dia terpaksa menggunakan lampu tinggi untuk melihat jalan di depan. Kiri kanan masih dipenuhi dengan semak dan pokok-pokok besar. Gelap pekat.

Dia memandu lagi. Dari jauh dia nampak seakan sebuah perkampungan. Cahaya malap kelihatan di kiri dan kanan jalan. Lega. Ada juga kampung di laluanini.

         “Eh! Apa pula tu?”

Kening Ali berkerut. Dari cahaya lampu kereta, dia dapat melihat dengan jelas ada sesuatu di hadapannya. Dia beranikan diri memandu ke depan. Jalan itu yang dipilih tadi. Dalam hatinya mula gementar. Otaknya mula berfikir pelik. Terkumat kamit dia membaca ayat Kursi. Terasa lidahnya sudah keras.

Ali masih memerhati kelibat itu. Kali ini semakin jelas. Dari dalam kereta dia dapat melihat satu susuk tubuh sedang berdiri di tengah-tengah jalan. Dia semakin berdebar bila lembaga itu mula menghampiri keretanya. Dari cahaya lampu kereta, lembaga itu masih kelihatan samar.

        “Alamak! Benda apa pulak ni!!”

Ali pasang CD bacaan Al Quran dan terus  tekan volume hingga ke maksimum. Dia mula panik. Matanya bulat memandang ke arah lembaga itu. Kereta dikunci cepat-cepat. Lembaga itu kini sudah berada di depan keretanya.

        “Makhluk apa ni???”

Ali mula berpeluh. Ayat Quran yang dipasang tadi tiba-tiba terhenti. Dia semakin panik. Digagahi juga membaca segala apa ayat yang diingati. Segala-galanya terasa lintang pukang. Makhluk di depannya sudah menampakkan giginya. Dia dapat melihat dengan jelas rupa makhluk itu. Jelas gigi tajam dengan tanduk dua yang melengkung ke atas, berbulu hitam lebat.  Mata merah menyala! Pada firasatnya, ia bukan  kerbau..bukan lembu dan tak mungkin kambing. Kerana ia lebih besar dari kambing yang selalu dilihat. Ah! Takkan gajah pulak?? Makhluk itu  merenungnya tidak berkelip.  Ali masih diam kaku di dalam kereta.

         “Ah! Baik aku langgar je benda ni! Kalau aku macam ni..bila aku nak sampai rumah??”

Ali terus menekan pedal minyak dan mula memecut melanggar makhluk di depannya. Dari cermin belakang, dia dapat melihat makhluk itu terpelanting dan terus hilang. Keretanya dipandu laju membelah kegelapan malam. Dalam hatinya mula merasa menyesal. Menyesal kerana melalui jalan lama itu. Kononnya jalan itu jalan pintas.

Sekali lagi dia sampai di simpang empat. Setahunya hanya satu saja simpang empat di jalan itu. Sudah dua kali dia melalui jalan lama itu. Dilihat kiri kanan jalan. Suasana seakan sama dengan simpang yang mula-mula tadi. Dia mula pening. Bingung.

         “Nak pergi arah mana ni..kalau dulu aku terus je..”

Ali mula tidak peduli pada simpang itu. Dia terus memandu tanpa membelok mana-mana arah. Terasa masa begitu lambat. Dia jeling jam. Sudah melebihi dua belas tengah malam. Kiri kanan jalan masih gelap.

Tiba-tiba dia menekan brek bila melihat satu kelibat mula melintas di depan. Jantungnya berdegup kencang. Dia mengurut dada. Kuuss! Semangat! Hampir-hampir dia terlanggar! Dia terus berpaling ke kiri. Matanya terbeliak. Mulutnya ternganga.

          “Macam mana pulak pakcik ni boleh ada kat sini???”

Ali mula bingung. Lelaki tua dari surau yang tak macam surau tadi sudah tercegat di bahu jalan. Dari sinaran cahaya lampu keretanya dia dapat melihat dengan jelas di tangan lelaki tua itu  ada sebuah mangkuk yang berasap. Bau kemenyan menusuk hidung. Lelaki itu masih merenungnya. Kali ini bukan dengan senyuman tapi riak wajah lelaki tua itu nyata berlainan.

Ali segera keluar dari kereta dan mendekati lelaki tua itu. Dirinya merasa bersalah. Teringat kebaikan lelaki tua itu yang  telah memberinya ruang untuk solat tadi.

          “Err..assalamualaikum pakcik..terima kasih kerana sudi benarkan saya solat tadi. Tapi macam mana pulak pakcik boleh ada kat sini?” Ali memberanikan diri bersuara.

Lelaki tua itu masih diam. Wajahnya mula berubah. Dia pandang Ali dengan riak bengis. Ali mula kecut. Apa kena pulak orang tua ni?? Salah ke aku tanya tadi??

           “Kau buat apa lalu jalan ni?”

Ali tersentak mendengar suara garau lelaki tua itu. Ada nada marah.

          “Err..saya sebenarnya nak balik ke rumah saya di bandar KT. Selalu juga saya lalu jalan ni..shortcut! Kenapa pakcik?” Ali garu kepala. Masih keliru dengan pertanyaan lelaki tua itu.

Lelaki tua itu masih merenung tajam ke arah Ali. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak membaca  sesuatu. Ali hanya memerhati tingkah lelaki tua itu. Seolah-olah lelaki tua itu sedang membaca mantera.

           “Mana benda tu?”

Ali masih bingung bila lelaki tua itu mula bertanya soalan yang pelik. Dia pandang lelaki tua itu dengan pandangan keliru.

           “Benda apa pakcik?”

           “Benda yang kau langgar tadi! Mana dia??!!”

Lelaki tua itu mula meninggikan suara. Matanya tepat memandang Ali yang masih berdiri di depannya. Tangannya mengipas-ngipas asap kemenyan menghala ke arah kiri dan kanan. Sesekali  dia tiup bara kemenyan dan menghembus perlahan.

Ali semakin bingung dengan lagak lelaki tua itu. Bingung bila melihat di tengah-tengah hutan dan lorong jalan yang sempit pada waktu malam begitu tiba-tiba ada seorang lelaki tua bersama kemenyan berasap. Siapa gerangan lelaki tua itu?? Pening!

          “Err…saya tak faham..benda apa pakcik?”

Ali masih bingung. Dia pandang pula ke arah jalan di depannya. Ada cahaya dari beberapa buah rumah tidak jauh dari situ. Bermakna sudah dekat dengan kawasan kampung. Kalau lelaki tua itu cuba berbuat sesuatu, dia akan terus berlari ke arah kampung. Dia berkira sendiri.

          “Kau langgar benda tu! Mana dia???!!” Lelaki tua itu mula marah-marah.

Ali mula teringat makhluk yang dilanggar tadi. Makhluk itu telah terpelanting jatuh entah ke mana. Tiada kesan. Hilang begitu saja. Dia pandang pula lelaki tua itu. Apa kena mengena makhluk tu dengan lelaki tua ni? Siapa sebenarnya lelaki tua ini? Semuanya bermain di benak. Dan…asap kemenyan itu pula…untuk apa???

          “Err..benda tu..sebenarnya apa pakcik?” Ali memberanikan diri bertanya.

Lelaki tua itu masih merenung Ali. Matanya mula merah. Kali ini bekas kemenyan diletak atas tanah.  Kedua tangannya mula cekak pinggang.

Ali mula takut. Lagak lelaki tua itu tidak ubah seperti seorang pendekar yang bila-bila masa bersedia untuk bertempur. Gelanggang sudah ada.

           “Kenapa kau langgar benda tu?”

Ali pandang lagi lelaki tua itu. Pening. Jelas benda yang dilanggarnya tadi begitu bermakna buat lelaki tua itu!

           “Err..saya tak sengaja..” Ali bersuara tersekat-sekat. Bimbang sebiji penumbuk singgah di pipinya nanti.

           “Tak sengaja??? Aku nampak kau sengaja langgar! Sekarang kau kena cari balik benda tu! Aku tak peduli!”

Ali tercengang. Bingung dengan sikap lelaki tua itu. Cari??? Mana nak cari?? Rupa benda tu pun tak berapa pasti! Adoi!!!

Ali jeling jam di tangannya. Sudah hampir satu pagi! Pukul berapa aku nak sampai kalau macam ni??? Dia garu kepala lagi.

           “Err..nak cari kat mana pakcik?” Ali sengih. Dia sendiri pun pening.  Makhluk itu sudah hilang entah ke mana!

Lelaki tua itu terus mencapai bekas kemenyan yang diletak atas tanah tadi. Dia mula mengipas dengan tangan sambil kumat kamit. Ali hanya mengikut rentak lelaki tua itu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan.  Lelaki itu undur beberapa langkah, Ali juga turut mengikut. Seketika kemudian lelaki tua  itu tersenyum. Ali turut senyum macam orang bodoh.

           “Aku dah hampir dapat!” Lelaki tua itu senyum lagi. Semakin lebar.

Ali pandang lelaki tua itu dengan muka berkerut. Hampir dapat?? Apa yang dapat???

Lelaki tua itu meneruskan apa yang dibuat sebentar tadi dan mengulanginya semula.

Tuih! Tuih! Tuih! Puhhh!!!

Ali melompat bila lelaki tua itu mula meludah ke sekitar tempat itu. Dari cahaya lampu kereta, dia dapat melihat dengan jelas.  Tersembur air warna merah pekat dari mulut lelaki tua itu. Dia tergamam. Darah ke??

Lelaki tua itu senyum. Cebisan sirih yang melekat di celah giginya ditenyeh dengan hujung jari telunjuk. Warna merah sirih masih melekat di gigi lelaki tua itu.

Ali lega. Nasib baik sirih…dalam otaknya mula membayangkan yang warna merah itu adalah darah yang dicarik dari daging! Mula terbayang lelaki tua itu seorang cannibal! Selamat aku! Fuuuuhhhhh……dia mengesat peluh di dahi.

           “Syyy!!!”

Ali jeling lelaki tua itu. Hujung jari telunjuk  diletakkan atas mulut yang dimuncungkan, terjuih ke depan! Dia mula diam. Kemudian lelaki tua itu letak pula tangannya di sebelah telinga kanannya. Tangan kiri masih memegang tempat bara kemenyan. Badannya dibongkokkan sedikit sambil cuba mendengar sesuatu dari arah kanan.

           “Kau dengar tak?” lelaki tua itu berbisik.

Ali turut membongkokkan badannya dan mula memasang telinga. Tiada sebarang bunyi. Dia pandang pula lelaki tua itu. Dia hanya geleng.

          “Sah kau pekak!”

Ali mula bengang. Betul ke tak betul pakcik ni?? Aku tak dengar apa-apa pun!

Lelaki itu masih begitu. Cuba mengamati suara dari arah kanan. Dia senyum lagi.

          “Dah dapat! Aku dah dapat!”

          “Err..dapat apa pakcik?” Ali masih bingung.

Tanpa menghiraukan Ali, lelaki tua itu segera ke arah suara yang didengar tadi.  Tempat bara kemenyan diletak atas tanah semula. Dia tarik hujung kain pelekat dan diselitkan  pada pinggang.  Lengan baju Melayu pula disingsing tinggi. Dia terhendap-hendap ke arah semak di malam gelap begitu.

Ali hanya mengikut dari belakang.  Nak tak nak dia terpaksa mengikut mencari makhluk itu. Bulu roma  sudah mula meremang bila ternampak pokok-pokok kecil berkocak-kocak sendiri. Semakin lama semakin kuat. Pantas saja tangan Ali pegang bahu lelaki tua itu.

           “Kau takut apa?”

Ali pandang lelaki tua itu. Sengih.

           “Err…sa..saya tak biasa tempat ma..macam ni..” Ali pandang sekitar hutan  yang gelap. Angin kuat menerpa pipinya. Meremang tengkuknya bila membayangkan suasana di situ. Hanya orang gila saja yang akan berada di situ pada waktu begitu. Peluh menitik laju di seluruh badan.

Lelaki tua itu meneruskan misinya. Terhendap-hendap meredah semak tebal di depannya. Tiba-tiba lelaki tua itu berhenti. Diam.

          “Kau tunggu di sini! Nanti isyarat dari aku! Kalau aku jerit, kau bertindak cepat. Faham!”

Ali bingung. Tunggu? Isyarat? Bertindak???? Argghh!!! Apa ke benda semua ni????

Lelaki tua itu membaca sesuatu.

Tuih! Tuih! Tuih!! Puhhh!!!

Secepat kilat dia melompat ke dalam semak. Hilang! Ali mula panik. Mana pakcik ni? Apa yang harus aku  buat??? Adoiii!!!!

          “Cepat!!! Tangkap!!!”

Tiba-tiba dia mendengar sayup dari dalam semak suara lelaki tua tadi. Ali makin panik. Tangkap?? Nak tangkap apa???

          “Tangkap!!!!”

Sekali lagi suara lelaki tua itu bergema kuat. Ali kelam kabut. Tangannya mendepa luas. Kakinya melangkah ke kiri dan ke kanan, lagak ingin menangkap seekor ayam jantan! Mengepung kawasan! Tak tahu apa yang hendak ditangkap. Bingung!!

Tak semena-mena tiba-tiba muncul di depannya makhluk  dari celah semak. Makhluk sama yang dilihat tadi. Lelaki tua itu masih hilang. Kini hanya makhluk berbulu hitam saja berdiri di depannya. Matanya galak memandang Ali dengan dengusan kuat. Ali terdiam. Kakinya menggeletar.

          “Mengapa kau langgar aku??”

Ali tercengang. Tiba-tiba makhluk itu bersuara. Matanya bulat memandang makhluk itu yang masih tercegat di depannya. Di mulut makhluk itu penuh dengan darah!  Ah..mana pulak pakcik ni???? Haru betul la!!

          “Mengapa kau langgar aku????!!!”

Sekali lagi makhluk itu bersuara mengulangi soalan tadi. Ali semakin panik. Takkan binatang boleh bercakap? Alien ke apa ni???Entah-entah pakcik tadi menjelma sebagai makhluk ni! Atau..entah-entah makhluk ni telah makan lelaki tua tadi!!

Ali semakin takut. Semua persoalan mengacau mindanya tika ini.

          “Haa…er..er…ma..macam mana kau boleh bercakap?Ali garu kepala. Kakinya perlahan melangkah ke belakang beberapa tapak. Bersedia untuk lari.

Makhluk itu semakin dekat. Ali pula mula mengatur langkah berundur . Matanya tepat memandang makhluk itu.

         Hahahahaaaa!!! Aku tahu apa kau fikir! Lelaki tua bodoh tu telah mati kena siat! Aku sudah makan dagingnya! Lazat! Kini giliran kau pula!!”

Ali panik. Tekaannya benar! Makhluk itu telah membunuh lelaki tua itu. Kini dirasakan seluruh anggotanya lemah. Kakinya pula sudah kaku. Keras. Peluh memercik laju.

Makhluk itu terus menerkam Ali. Belum sempat Ali mengatur langkah, badan makhluk  itu sudah jatuh ke atas badannya. Ali rebah. Bulu lebat yang berwarna hitam mula menutupi mukanya. Sesekali di bersin bila bulu makhluk itu mula menyentuh hidungnya.

Ali meronta dan cuba melawan. Nyata kudratnya tidak setanding makhluk itu. Terasa nyawanya sudah di hujung tanduk! Pedih mula terasa. Ali lihat tangannya diratah rakus! Dia lihat pula kakinya disiat dengan lahap oleh makhluk itu.

Arggghhh!!!!! Tolong!!!!! Jangan bunuh aku!!!!! Aku nak hidup lagi! Aku baru kahwin!!!!!

 

 

           “NAK!!! NAK!!!”

Ali pandang  sekitar rumah itu. Matanya tertancap pada lelaki tua tadi. Seluruh badannya berpeluh! Lelaki tua itu tersenyum. Masih dengan kain pelekat, baju Melayu dan berkopiah. Tiada bara kemenyan.

           “Err..pakcik tak mati ke?”

           “Mati???” lelaki tua itu keliru.

Ali angguk.“Pakcik mati dibaham oleh makhluk hitam tadi.” Mukanya pucat.

            “Makhluk hitam? Anak ni bermimpi agaknya!” Lelaki tua itu senyum lagi. Pengantin baru rupanya anak muda di sebelahnya. Teringat kata-kata anak muda itu yang menjerit tadi.

Ali pandang pula tubuhnya. Dia raba. Tangannya tidak putus!  Kakinya tidak koyak! Semuanya normal. Dia pandang pula lelaki tua itu. Jelas muka lelaki tua itu berpeluh seolah habis berlari pecut!

            “Anak ni tertidur tadi. Lepas solat tadi, pakcik tengok anak bersandar di tepi dinding dan terus terlelap. Penat sangat agaknya.”  Lelaki tua itu senyum lagi.

Ali diam. Dia pandang lelaki tua yang masih berada di sebelah.  Di fikirannya terasa bukan satu mimpi. Tapi mengapa tangan dan kakinya tidak luka??

            “Err..mungkin kut..” Ali bersuara perlahan. Dia sendiri masih keliru.

            “Anak ni nak  ke mana malam-malam ni?”

            “Saya nak balik bandar KT. Habis kerja tadi saya terus balik. Saja ikut jalan sini ingat nak cepat. Singgah kejap nak solat kat rumah ni..” Ali pandang lagi sekitar rumah.

            “Ohh…sebenarnya rumah ni rumah lama pakcik. Jadi pakcik jadikan tempat persinggahan untuk orang macam anak ni..”

Ali mula keliru dengan kata-kata lelaki tua itu.

            “Maksud pakcik..rumah ni dijadikan tempat berhenti rehat?”

Lelaki tua itu angguk.

           “Err..boleh saya tanya sikit..mengapa pakcik berpeluh?” Ali masih tidak faham dengan kejadian tadi.

“Oh..sebenarnya dari siang lagi pakcik cari kambing pakcik yang hilang. Jenuh cari tapi tak jumpa! Jadi pakcik berehat sekejap kat sini. Kambing tu kena cari sampai dapat. Pakcik sayang kat kambing tu!”

Ali tercengang. Kambing??

            “Err..rupa kambing tu..besar, ada tanduk melengkung ke atas, berbulu tebal warna hitam dan mata merah kan?”

Lelaki tua itu pula tercengang. “Anak ada jumpa ke?”

Ali terdiam. Dia menepuk berkali-kali pipinya. Mimpi ke realiti??? Dia mula bingung.

            “Err..saya bermimpi agaknya..” Ali garu kepala.

Lelaki tua itu pandang Ali. Kali ini pandangannya lain. Dia tenung Ali.

            “Mimpi?”

Ali angguk.

Lelaki tua itu pula garu kepala. Kalau mimpi.. macam mana pula ciri-ciri kambing tu tepat?

Ali mula minta diri bila melihat jam di tangannya sudah melebihi dua belas tengah malam. Perjalanannya masih jauh. Malam semakin larut. Dia bersalam dengan lelaki tua yang masih tercengang.

Lelaki tua itu hanya memerhati dengan ekor mata. Dia masih keliru. Macam mana anak muda itu boleh tahu dengan tepat ciri-ciri kambing kesayangannya. Dagunya diusap perlahan. Ada sesuatu yang dia perlu tahu….

 

ALI termenung dalam kereta. Dia masih memikirkan kejadian tadi dan mimpi itu..mimpi???  Semua nya masih menjadi tanda tanya.  Macam mana aku boleh mimpi kambing pakcik tu???

Enjin kereta dihidupkan. Perlahan keretanya membelok ke arah jalan tadi. Kali ini dia perlu berhati-hati. Jelingan lelaki tua tadi seolah ada sesuatu yang terbuku di hatinya. Dia memandu perlahan sambil menjeling kiri kanan jalan. Matanya mula bulat. Terbuka luas. Sekitar kiri kanan jalan sama dengan apa yang dilihat dalam mimpi. Dari jauh dia sudah nampak cahaya berbalam dari beberapa buah rumah. Serupa  dalam mimpi. Kereta dipandu lagi. Masih perlahan. Jam menunjukkan hampir pukul satu pagi.

            “Alamak!”

Ali tekan brek. Matanya terbeliak. Di depan keretanya kini ada satu susuk tubuh berbulu hitam sama seperti dalam mimpinya. Dia mula gelisah. Perasaan takut mula menyelubungi diri. Kini Ali dan makhluk itu saling berpandangan. Nyata dengusan makhluk itu sama!

Tak berani dia keluar dari kereta. Makhluk itu berdiri betul-betul di tengah jalan laluannya. Mata merahnya semakin galak memandang.

          “Mana  dia???”

Ali tersentak. "Hah! Kambing tu..bo..boleh bercakap!”

Dia mula mengesat peluh di dahi. Teringat dalam mimpinya tadi, makhluk itu juga boleh bercakap.  Terbayang tindakan makhluk itu yang menerkam dan membaham tubuhnya. Tangannya masih melekat pada stereng.

          “Mana dia??”

Sekali lagi Ali tersentak.  Dia pandang makhluk itu tidak berkelip. Makhluk ni nak apa sebenarnya?

          “Maaaaakkkkk!! Hantuuuu!!”

Ali melompat keluar dari  kereta bila terasa bahunya disentuh dari belakang. Mukanya pucat. Kalau ditoreh pun tidak akan keluar darah. Dia berdiri kaku di tepi kereta sambil melilau mencari apa yang menyentuh bahunya tadi. Sesekali dia jeling makhluk yang masih tercegat di depan keretanya.

Tiba-tiba lelaki tua tadi buka pintu kereta dan berjalan ke arah Ali.

          “Mana kambing aku?”

Ali ternganga! Bila masa pakcik  ni masuk kereta aku???

Lelaki tua itu berpaling pula ke arah makhluk yang masih terpacak depan kereta Ali.

          “Mana kau pergi sayang? Dari pagi aku cari tau tak? Dah! Mari balik sayang!”

Lelaki tua itu tarik tanduk makhluk itu sambil menggosok-gosok badannya yang berbulu hitam itu. Dia mencium berkali-kali.

Lelaki itu mula bernyanyi-nyanyi riang sambil mencium makhluk itu.

 

♪Di mana dia..kambing hitam saya..

Kambing hitam saya ada di depan kereta….

Di mana dia cinta hati saya..

Cinta hati saya kini di depan mata

 

Ali terdiam. Kaku. Tiada kata-kata.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Jenaka

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) mimpi dalam mimpi ke cemane ni kak. ke dejavu dengan mimpi dan realiti. hehehe.

    ni akak main cuba-cuba eh cerita seram pulopp.

  • (Penulis)
    2) hehehe..apa2 pun boleh..
    cuba-cuba..tulis citer ni sementara nak dapat idea nak buat report..tiba2 terbau nasi hangit pukul 5 pagi!..hahaha!

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal