Kisah Benar Pertama Aku Cerita

 

Lantai di bawah tapak kaki aku bergegar. Malah seluruh lantai di situ sebenarnya sedang bergerak-gerak. Badan aku mula hilang imbangan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Tapi aku tak pula tercampak. Mungkin gegaran tu tak cukup kuat untuk melayangkan badan aku. Atau mungkin tekanan graviti di sini kuat. Atau mungkin jumlah jisim aku yang tinggi membuatkan kedua-dua kaki aku masih kukuh terpacak.

Waktu-waktu macam ni, aku tak nak jadi bodoh untuk fikir fasal benda-benda yang aku belajar di kelas Fizik. Apa yang aku perlu buat sekarang ialah dengar pengumuman berulang-ulang yang aku syak datangnya dari pembesar suara di satu sudut betul-betul atas kepala aku. Boleh tahan kuat suara lelaki yang sedang bercakap walaupun dalam keadaan yang cukup genting macam sekarang ni.

Walaupun aku tahu orang akan cakap aku bongkak, tapi aku rasa untuk berterus-terang tentang di mana aku berada sekarang merupakan perkara asas yang perlu aku buat untuk kau orang tahu situasi yang aku dan beberapa ribu orang yang lain tengah hadapi. Entah macam mana, aku mampu untuk bercuti di atas sebuah kapal besar yang aku dengar ramai orang panggil 'cruise'.

Destinasi? Tak pasti.

Untuk jadi bangga sekarang kerana berpeluang untuk naik kapal sebesar Titanic adalah satu tindakan yang bodoh. Hiasan dalaman kapal ni pun bukanlah mewah. Aku rasa macam tengah naik bot dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi pun ada – beberapa baris kerusi disusun beberapa lapis. Cuma ruangnya lebih besar dan selesa, kerusinya pula beribu dimuatkan dalam berapa ratus bilik yang aku sendiri tak pasti.

Aku patut tahu kapal sebesar Titanic ni memang nasib di akhir cerita akan karam. Dua kali aku 'khatam' tonton filem tu, masih tak dapat 'hidayah'. Tapi seperti orang lain, aku akan cakap semua benda ni jadi sebab takdir. Dan menjadikan takdir ni lebih tragik, aku rupa-rupanya berlayar seorang diri. Entah kenapa.

Tapi kapal yang aku naiki ni belum sepenuhnya karam. Lebih tepat lagi, aku tak pasti sama ada kapal ni akan karam atau tak. Efek gegarannya tak sedramatik filem Titanic. Menurut lelaki yang masih mengulangi pengumumannya, kapal yang aku dan beberapa ribu orang lagi sedang naiki ni terlanggar satu batu besar yang membuatkan beberapa sistem dalam kapal ni gagal berfungsi. Jadi, pengemudi kapal ni sedaya upaya untuk kekalkan pergerakan kapal untuk berlabuh di salah sebuah daratan yang sudah semakin hampir.

Selang beberapa minit kemudian, kapal berhenti. Mungkin dah sampai daratan. Semua orang berebut-rebut untuk keluar. Aku tak terkecuali. Orang yang bodoh atau punya neuron emosi terlebih – merujuk kepada kapten Titanic – saja yang masih akan berdiri gah dalam kapal ni.

Sesampainya aku di daratan, aku memang rasa lega. Mungkin sebab aku rasa ajal aku masih belum sampai. Tapi entah macam mana, seseorang tepuk belakang aku dan bagitahu, “Kau tertinggal laptop dalam kapal tadi.”

Ah, sudah! Komputer riba aku tu mahal. Bukan nak bongkak, cuma nak kata mak memang sayang aku sebab dia yang belikan. Aku tahu aku memang tak ada pilihan lain. Aku kena berpatah balik. Aku kena pergi ambil komputer riba aku tu. Tak kira!

Aku pusing memandang kapal yang aku naiki tadi. Masih elok berhenti di situ. Mungkin tak akan bergerak dah kut aku syak. Lalu aku dengan yakin masuk balik ke dalam kapal tadi.

Setibanya aku dalam kapal, aku rasa macam tak pernah naik. Aku rasa lain macam. Aku lupa kat mana tempat duduk aku tadi. Jadi, aku buka satu-satu bilik yang ada. Sejak bila ada tangga kat sini pun aku tak pasti. Aku turun naik tangga dan cuba untuk buka bilik-bilik yang lain pula.

Beberapa ketika kemudian, pandangan aku jadi setajam mata Sherlock. Dalam beribu-ribu buah kerusi, aku terpandang komputer riba yang aku sumbatkan dalam beg bimbit berwarna hijau terletak elok atas meja kecil yang terlekat di belakang kerusi hadapan tempat duduk aku. Aku berlari untuk mendapatkannya.

Sesudah aku peluk komputer riba aku, tiba-tiba kapal tu berlayar. Aku tergamam. Ah, sudah! Adakah aku akan karam bersama-sama kapal ni walaupun aku masih lagi tak pasti kapal ni akan karam atau tak. Tapi aku tak nak berada dalam kapal ni. Aku nak keluar. Tapi macam mana?

Tiba-tiba aku dengar bunyi bising. Bunyi tempikan orang ramai. Rupa-rupanya masih banyak lagi penumpang yang belum turun. Katalah situasi ni pelik, tapi aku boleh rasa kapal ni sedang buat pusingan-U. Ya, kapal ni sedang menuju ke daratan semula.

Setelah kapal berhenti di daratan yang sama buat kali yang kedua, aku meluru keluar bersama-sama penumpang-penumpang yang masih terperangkap selepas memastikan tak ada lagi barang aku yang tertinggal.

Untuk menjejakkan kaki atas tanah, sekali lagi aku rasa lega yang amat. Aku terus berlari ke kereta Kancil milik mak yang aku pinjam.

Aneh, bukan? Tiba-tiba ada pula kereta aku kat daratan yang aku sendiri tak tahu kat mana.

Aku nampak ada seorang lelaki botak sedang cuba menghidupkan enjin sambil pintu di bahagian pemandu terbuka dan sebelah kakinya masih di luar kereta. Sah nak mencuri!

Aku penggemar drama televisyen. Seperti dalam drama-drama yang aku tonton, jika aku menjerit pada pencuri tu ditambah pula di kawasan awam seperti sekarang ni, pencuri tu akan lari. Jadi, aku jerit.

“Hoi, pencuri!”

Tapi drama-drama televisyen rupa-rupanya menipu aku. Abang botak tu pandang aku dengan wajah yang tak takut langsung lalu mengeluarkan sepucuk pistol.

BANG!

Dia tembak aku. Aku tergamam. Tak rasa sakit pula. Entah kenapa. Aku pun tak pernah pula rasa kena tembak sebelum ni. Rupa-rupanya peluru yang ditembak kena komputer riba besi yang aku sedang peluk.

Nak saja aku cium komputer riba aku tu tapi tak jadi sebab aku hairan tiba-tiba abang botak tu lari. Mungkin dia takut sebab dia dah tembak aku kut. Mungkin dia tak tahu yang komputer riba yang aku peluk ni dah selamatkan tuannya dan sangka aku dalam proses kematian.

Lepas tu, aku tak tahu apa jadi. Sebab mak aku tiba-tiba telefon suruh masak nasi untuk kakak aku. Dia dan mak dalam perjalanan balik rumah.

Lepas matikan talian, aku tengok jam. Dah pukul 5.15 petang. Aku tahu aku patut bangun sebab dah petang. Dalam hati aku, walaupun kedengaran ganjil, aku rasa mimpi aku ada kaitan dengan cerita yang aku tengok sebelum aku tidur tadi – How I Met Your Mother dan Karoot Komedia – dan cerita hantu aku tengok sorang-sorang yang bermula pukul 12 malam dan habis pukul dua pagi tadi – Insidious.

Macam tahi. Aku tahu.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Aksi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Choi! hehehe tapi by perenggan kelima di mana belayar seorang diri dan tak pasti itu ini. saya yang jadi pasti ini mimpi.

    kiki
  • 2) Mimpi apa pun..benda tak mustahil jadi mustahil....pernah mimpi terbang sambil menebarkan sayap macam burung helang..hihihi..tak tahu apa maknanya..

  • (Penulis)
    3) cahatomic: terlalu jujur pun payah. huehuehue.

    ciksal: tapi mimpi ni memang rasa real. dan diingati. (:

Cerpen-cerpen lain nukilan DLHaqifa

Read all stories by DLHaqifa