Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Wanita Serba Putih

 

Wanita Serba Putih

Ifa Zafrah

Never put the keys to your happiness in someone else’s pocket. - Anonymous

I

Arina melihat wajahnya yang kusam di hadapan cermin.Dahinya yang dulunya halus mulus kini ditumbuhi jerawat.Bibirnya pucat, matanya sembap.Sudah berhari-hari dia mengurungkan diri di dalam bilik.Dan sudah berhari-hari juga perutnya tidak menjamah makanan yang berkhasiat.

Tisu yang bertimbun di dalam tong sampah ditenung. Masuk kali ini entah sudah berapa kotak tisu dihabiskannya. Manakan tidak, setiap malam dia akan meraung minta dikembalikan apa yang telah diambil darinya. Sesungguhnya dia belum redha dengan kehilangan ini. Dia belum puas mengecap kebahagiaan itu!

Perut yang berkeroncong minta diisi diusap perlahan. Di saat-saat begini, tiada lagi yang bermain di fikirannya kecuali mati, mati dan mati! Kalau boleh mahu saja dia terjun bangunan tingkat 20 atau telan pil tidur berbotol-botol.Tapi mustahil.Di mana dia hendak cari bangunan 20 tingkat di kawasan perumahan teres ini?Apa kata Damia atau penjual ubat tidur kalau dia membeli berbotol-botol ubat tidur? Arina memerhatikan sekeliling. Mati, mati, aku nak mati!

Ada gunting kain di meja soleknya.Arina mendapat idea.Singkat.Mudah dan pantas. Tetapi gila!

Ketika nafsu menguasai fikirannya, syaitan beraja di hatinya, Arina memilih untuk mengambil keputusan singkat.Dengan pantas, gunting kain dicapai dan urat di pergelangan tangan kirinya dicucuk sedalamnya.

PRANG! Habis berselerakan bedak, minyak wangi, losyen, dan segala macam lagi barang di atas meja soleknya.Arina merasakan kesakitan yang amat di seluruh urat sendinya.Pandangannya berpinar-pinar. Ketika dia memikirkan tentang kematian, fikirannya menerawang memikirkan Allah, Allah, Allah! Ya Allah, singkatnya keputusan ini! Ya Allah, hamba tidak mahu mati lagi.Hamba tidak mahu dalam keadaan hamba yang berdosa ini hamba menemui Mu dalam keadaan kufur. Allah!

Dalam kelam, dilihatnya Damia terkocoh-kocoh mendapatkannya dan mengikat pergelangan tangannya dengan kain selendang.Ketika Damia sedang kalut bercakap-cakap di telefon, pandangan Arina menjadi semakin gelap.Pekat.

 

II

“Awak ingat hidup tak senang, mati akan mudah?”

Arina mengesip-ngesip matanya.Pedih.Cahaya putih yang terang-benderang menyilaukan matanya.Di sebalik cahaya yang menyinar ada sesusuk tubuh wanita berkerudung putih, berjubah putih.Persis Oki Setiana Dewi dalam video klipnya Wanita Syurga Bidadari Dunia.Cuma bezanya, ini tidak bermuzik. Tiada dedaun gugur, dan wanita itu juga tidak bernyanyi dan berpusing-pusing!

Arina bangun.Mencuba untuk duduk.Disekelilingnya cuma ada pokok berakar banir besar.Dahannya dililitkan dengan sutera putih, seperti dalam cerita puteri-puteri bunian.Wanita serba putih bersembunyi di balik sutera putih yang berjuntai.Arina mula membina teka-teki di dalam kepalanya.

Aku di mana sekarang?

Kenapa aku tidak dibawa ke hospital?

Siapa wanita berjubah putih?

Mana Damia?

Apa tempat ini?

Nyata itu bukan semata-mata soalan retorik. Arina memerlukan jawapan. Dia mahu persoalannya dijawab secepat mungkin! Dia sudah mulai merasa curiga dan takut.Dia takut kalau-kalau dia sebenarnya sudah berada di alam satu lagi. Dia akan dihadapkan kepada amarah Tuhan!

“Awak masih hidup.Siapa saya, itu awak tak perlu tahu.”

Seperti dapat membaca teka-teki yang bermain di fikirannya, wanita serba putih menampakkan dirinya.Arina ternganga.Bidadari dunia?

“Kenapa awak nak bunuh diri?”

Soalan daripada gadis serba putih mengejutkan Arina dari lamunannya.

“Sebab hidup aku dah tak bererti lagi!”

“Itu sebab awak manggantungkan pengertian hidup awak pada manusia lain.”

“Maksud?”Arina mengerutkan wajah.

“Kenapa awak rasa hidup tak bererti lagi?”

Bukannya nak menjawab soalan. Gerutu Arina.

“Sebab boyfriend aku dah tinggalkan aku. Dia pergi dengan perempuan lain!” Serentak dengan pengakuan itu, Arina merasakan kelopak matanya basah.Dadanya sakit.Berombak.Nafasnya tersekat-sekat.Badannya terasa ringan.Perlahan, dia menjatuhkan dirinya.Kakinya tidak kuat untuk menampung berat badan dan kesedihan yang dialami.

Wanita serba putih tersenyum.Tidak sinis seperti kebanyakan orang.Tidak mencebik seperti rakan-rakannya yang mengejek tindakannya yang separuh gila ditinggalkan kekasih. Senyumannya manis. Tenang dan menenangkan.

“Aku tau, ini bodoh.Malah tersangat bodoh. Tapi ini soal hati! Takkan ada yang faham kalau tak melalui.”

Wanita serba putih lantas melabuhkan punggungnya dan duduk di sebelah Arina yang sedang teresak-esak.Dia mendongak.Menghembuskan nafas perlahan.

“Awak tahu, awak dah letak kebahagiaan awak dalam kocek orang lain. Susah nak simpan, susah jugak nak dapat.”

Arina mengesat air matanya.Dia menoleh ke arah wanita serba putih.Keningnya terangkat.

“Awak sepatutnya meletakkan kunci kebahagiaan awak di dalam kocek sendiri.Supaya senang awak ambil bila-bila awak nak.Supaya senang awak simpan.”

Jeda.Arina diam. Gadis serba putih juga diam. Melihatkan keadaan yang diam dan Arina yang tidak berkutik, wanita serba putih menyambung kata-katanya.

“Bahagia sepatutnya tidak bersyarat. Kalau awak dah letakkan kunci kebahagiaan awak kat kocek orang lain, syarat untuk awak mendapatkan bahagia awak tu adalah dengan berada dekat dengan pemilik kocek. Kalau pemilik kocek itu menghilangkan diri, dia akan pergi bersama kunci kebahagiaan awak.”

“Maksud awak, saya meletakkan kunci kebahagiaan saya di dalam kocek boyfriend saya?Eh maksud saya, ex-boyfriend.”

Wanita serba putih tersenyum mesra.

“Mungkin dah tiba saatnya awak meletakkan kunci kebahagiaan itu di kocek sendiri.”

Arina menitiskan air matanya.Satu satu.

“Maksud awak, bahagia itu sepatutnya terletak pada diri sendiri? Bukan orang lain?”

“Keputusan untuk bahagia sepatutnya di tangan kita.Kita yang memutuskan sama ada hendak berbahagia atau tidak.”

“Saya bahagia dengan dia.”Arina tersedu-sedan.

“Tapi dia dah cari lain. Dia tinggalkan awak dan memutuskan untuk berbahagia dengan insan lain. Kenapa awak tak buat benda yang sama?”

“Maksud awak, cari orang lain?”

Wanita serba putih tersenyum lagi. Lebih manis.

“Tak semestinya awak kena cari pengganti berupa bentuk manusia. Awak boleh mencari kebahagiaan dalam rupa bentuk yang lain. Kembali pada hobi lama, meluangkan masa bersama kawan-kawan rapat dan keluarga, mencipta hobi baru..”

Arina tunduk.Mengangguk.

“Terpulang awak nak definisikan bahagia tu macamana.Kunci kebahagiaan ada kat kocek awak.”

“Bahagia menurut awak?”Arina menelan liur sebelum meneruskan kata-katanya.

“Kebahagiaan itu maksud awak melupakan dia kah?Hidup baru itu maksudnya memberi ruang untuk diri ini bernafas dalam cinta baru kah? Atau hidup baru itu bermaksud berhenti menanti bayang-bayang yang tidak akan dapat pernah disentuh itu kah? Atau maksud hidup baru padamu berhenti jadi fobia dan berhenti menolak cinta?Begitu?”

Arina menagih pandangan wanita serba putih.

“Arina, kebahagiaan tak perlu ada lelaki, kan? Tak perlu ada seorang dia, kan? Kebahagiaan itu boleh bermula dengan diri sendiribukan? Hidup baru itu boleh bermula dengan cara menghargai masa yang ada, menghargai setiap orang di sekeliling kita. Paling penting, hidup baru mestilah dimulai dengan redha dengan ketentuan Allah. Redhalah Arina. Redha dengan ketentuan Allah.”

Arina mendepakan tangannya.Ingin memeluk wanita serba putih.

Wanita itu tersenyum.

“Ingat sayang, jangan sesekali meletakkan kunci kebahagiaan mu di dalam kocek orang lain.” Serentak dengan itu, cahaya yang tadinya malap kini kembali terang benderang. Ada asap putih dari segenap penjuru menutupi tubuh wanita serba putih.

Arina mengesip-ngesip matanya.Pedih.Terbatuk-batuk.Tangannya mengagau ingin mencapai wanita serba putih.Dia tidak mahu wanita itu pergi.Masih banyak persoalan yang perlu dirungkaikan.

“Jangan!Jangan pergi dulu!”

III

“Jangan! Jangan pergi!!”

“Arina!”Bahunya dikoncang perlahan.

Arina membuka kelopak matanya.Ini suasana yang dikenali.Ada wajah yang dikenali juga.Damia.

“Kau kat hospital.Mujur kau sempat diselamatkan.”

Arina merenung pergelangan tangan kirinya.Berbalut.Ada salur darah.

“Kau hilang banyak darah..”

Alhamdulillah! Arina mengucap syukur.Tuhan masih memberikan dia kesempatan untuk dia menebus kejahilan lampau.Dia merenung Damia.Matanya berkaca.Damia ikut tersenyum.

Perlahan-lahan Arina bangkit dan memeluk sahabatnya itu.Dalam pada air matanya turun mengalir, kelihatan wanita berjubah putih turut tersenyum di balik pintu sebelum perlahan-lahan menghilangkan diri.

“Redha dengan ketentuan Allah, Arina.”Kata-kata wanita serba putih seakan terngiang-ngiang di telinganya.

“Damia, kau nak tahu?”Damia melonggarkan pelukannya.Wajah pucat Arina ditatap.

Damia membulatkan matanya.Mengangkat kening, menagih jawapan. Apa?

“Kunci kebahagiaan aku ada kat dalam kocek aku sendiri!”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

Cerpen-cerpen lain nukilan faeez08

Read all stories by faeez08