Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Janji

 

Arissa pandang imej wajahnya di dalam cermin. Dia tahu dirinya menarik, tidaklah setaraf model tetapi sedap mata memandang. Arissa sedar yang wajahnya cukup manis. Dengan bantuan alat solek, pasti akan ada mata yang terpukau memandang wajahnya.

Wanita berusia tiga puluh tiga tahun itu mencapai celak di atas meja. Digarisnya kelopak matanya dengan cermat, biar matanya yang sudah sedia bulat nampak lebih menarik. Disebabkan kulitnya cukup sensitif pada sebarang alat solek, Arissa mengehadkan solekan pada alis matanya sahaja. Mujur bibirnya masih mamou menerima gincu, itupun bukan daripada jenama yang mahal-mahal dan terkenal.

Hari ini Arissa bakal berjumpa dengan Suhaila, rakan baik dari zaman matrikulasi lagi. Sejak Suhaila melahirkan anak keduanya, inilah baru sekali mereka berpeluang berjumpa. Maklumlah, Arissa cukup sibuk dengan perniagaan dan nurseri hingga tiada masa untuk melawat Suhaila di rumah.

' Mak,' Arissa berjalan menuju ke dapur mencari ibunya. Hajah Ramlah sedang memasak air di dapur.

' Ye Rissa?' Hajah Ramlah menokeh, mencari wajah anak sulungnya itu.

' Abah mana mak?' dengan beg tangan yang tersangkut di lengan, Arissa mencapai gelas sebelum menuangkan air masak.

' Ada di kebun,' Hajah Ramlah menyusun cawan di atas para pula.

' Kebun?' Arissa meneguk air di dalam gelasnya. Hari ini cukup panas, dahaga dibuatnya.

' Biasalah Ariisa. Ayah kamu tu manalah boleh duduk diam di rumah.'

' Ala...Man kan ada di kebun tu. Lagipun saya serahkan pada Man urusan di nurseri hari ini. Saya nak pergi jumpa Suhaila.'

' Oh, kamu sudah mahu pergi ya?'

' Ya mak. Eloklah saya pergi sekarang, baru lepas waktu makan tengahari untuk orang pejabat. Jalan pun lengang rasanya,’ kata Arissa sambil memerhatikan tangan Puan Maimon yang masih lagi rancak menyiapkan kerja-kerja rumah.

' Ya. Nak jumpa yang si kecil itu sekali.'

' Kirim salam pada Suhaila. Ajaklah dia ke mari,' Hajah Ramlah mengelap tangan.

' Baiklah mak. Saya pergi dulu,' Arissa menyalam tangan ibunya. Dia tidak perlu tergopoh-gapah kerana jalan ke kediaman Suhaila tidak sesak pada waktu ini.

  Suhaila baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Bilal tiga tahun lepas. Mereka berkenalan setelah hampir tiga hari asyik bertembung di dalam lif di tempat kerja. Pada hari yang ketiga, Bilal memberanikan diri untuk menegur Suhaila dan menyatakan hasrat untuk berkenalan.

Waktu Suhaila menceritakan tentang Bilal, Arissa tidak dapat menahan ketawa. Arissa sendiri cukup kagum dengan keberanian Bilal. Maklumlah, berani betul dia tegur Suhaila yang memang terkenal berwajah garang sejak dari universiti lagi. Suhaila pula sudah tertarik untuk berkenalan dengan Bilal kerana namanya yang unik. Arissa memang cukup kenal dengan Suhaila yang suka dengan nama-nama yang berunsurkan Timur Tengah.

  Setiap kali teringatkan kisah Suhaila, Arissa akan tersenyum sendiri. Siapa sangka, perkenalan di dalam lif telah membawa mereka ke jinjang pelamin. Apatah lagi apabila selepas sahaja Bilal menyatakan hasrat untuk berkenalan dengan Suhaila, lelaki itu telah dihantar bekerja ke Sarawak selama beberapa minggu. Mereka berdua menyangkakan Bilal tidak serius ingin berkenalan dengan Suhaila dan kehilangan Bilal waktu itu hanyalah alasan untuk melarikan diri daripada Suhaila.

' Menyesal agaknya dia selepas minta nombor telefon aku,' ujar Suhaila, separa berseloroh.

Waktu itu, Suhaila cuba berlagak seolah-olah dia langsung tidak kisah bila Bilal tidak menghubunginya tetapi lakonan itu tidak mungkin dapat mengaburi mata Arissa.

Hinggalah sebulan selepas mereka bertukar nombor telefon, barulah Bilal menghubungi Suhaila.

' Aku ingat dia dah tidak mahu berkenalan dengan aku,' Suhaila mengaku. ' Hanya Tuhan yang tahu perasaan aku pada waktu itu,' Arissa cuma tergelak sama, lega bila mengetahui Bilal ikhlas ingin berkenalan dengan Suhaila.

Sedar tidak sedar, Arissa sudah pun tiba di rumah Suhaila. Bukan rumah sebenarnya, lebih kepada rumah agam. Untung betul Suhaila mendapat suami yang berada. Arissa memberhentikan kereta di depan pintu pagar Suhaila sebelum pintu pagar rumah itu terbuka tanpa perlu dia menelefon untuk memberitahu yang dia sudah sampai.

  Arissa tersenyum lagi. Nampak sangat Suhaila sudah rindu benar pada dirinya. Masakan tidak, sejak dahulu lagi mereka tidak pernah berenggang lama. Kalau berjauhan pun, mereka akan sentiasa bertukar mesej dan berbalas email. Bukan satu, malah berkajang-kajang surat pada satu-satu masa.

  Keluar sahaja dari kereta, Suhaila sudah terjerit memanggil Arissa dari tingkap.

  ' Arissa!' serentak itu, kelihatan kelibat seseorang berlajan laju menuju ke pintu rumah. Arissa cuma tersengih. Kalaulah perlakuan Suhaila ini dilihat oleh ibu Suhaila, pasti dia akan dimarahi. Masih dalam pantang sudah mahu berlari ke sana ke mari.

  ' Su..lama betul aku tidak jumpa kau,' kata Arissa sambil menarik Suhaila ke dalam pelukan.

  ' Kaulah. Sibuk sangat dengan kerja,' kata Suhaila, dengan mimik muka seolah-olah merajuk.

  ' Eh, bukankah kita sudah berjumpa di hospital tempoh hari. Rindu lagi?' Arissa tersengih. ' Kau tahu sajalah, Su. Beginilah kerja sendiri. Eh marilah, aku nak jumpa Talhah,' Arissa pantas memaut lengan Su, sebelah tangan lagi mengunci pintu kereta.

  ' Talhah saja? Tariq adiknya tak mahu?'

  ' Eh yang kecil tu namanya Tariq ke? Aku lupalah Su. Tidak ingat yang mana satu.'

  ' Tidak mengapa. Kau kalau tentang pelupa memang nombor satu,' sahut Suhaila sambil membuka pintu rumah.

  ' Eh ambil ini. Nah, untuk kedua-dua anak kau,' Arissa pantas menghulur beg plastik di tangan.

  ' Kau ini Arissa, susah-susah saja. Orked untuk mak yang berdua tu tidak ada?' Suhaila cuba beeseloroh.

Arissa cuma tertawa. ' Kau tak pesan dari tadi. Kalau pesan, adalah aku bawa. Mana anak-anak kau?'

Suhaila tidak berkata apa-apa. Pemberian Arissa di letakkan di meja makan. Arissa pula di bawa ke ruang atas.

  ' Talhah..' sapa Arissa lembut. Budak kecil berusia dua tahun yang sedang bermain dengan blok plastik berpusing menghadap Arissa lalu terseyum.

  ' Talhah, salam Auntie Arissa,' arah Suhaila. Seorang perempuan bertubuh kecil mendekati Suhaila lalu menyerahkan seorang bayi. Susah-payah Talhah angkat punggung lalu berjalan terkedek-kedek mendekati Arissa. Dengan senyum simpul, Talhah menghulurkan tangan. Arissa menyambut tangan anak kecil itu sambil mendukung Talhah. Talhah hanya tersenyum riang bila didukung sebegitu.

  ' Arissa, inilah Tariq,' Suhaila bersuara sambil menayangkan seorang bayi yang sedang nyenyak tidur dalam balutan selimut.

Arissa pandang bayi di dalam dakapan Suhaila. Talhah turut sama menjenguk ke arah adiknya.

' Rupa Talhah. Sama,' ujar Arissa yang sebenarnya lebih kepada Talhah sambil kedua-duanya ketawa. Air liur Talhah sampai menjejer ke atas bahu Arissa.

  Suhaila ketawa. ' Habislah baju Mama Arissa.'

  Terasa hilang sebentar ketegangan yang dirasai Arissa. Senyum Talhah manis sekali, iras senyuman Suhaila. Tariq pula masih terlalu kecil, Arissa tidak dapat mengecam dia ikut muka siapa. Namun, Tariq tersenyum bila diagah Arissa.

  ' Wah Su! Hero yang berdua ini suka betul senyum ya?'

  Suhaila tergelak lawa.

  ' Rissa, dukunglah Tariq,' Suhaila menggalakkan Arissa. Suka benar Suhaila melihat wajah rakan baiknya yang cukup berseri. Memang Arissa sudah layak benar menjadi ibu. Jelas kelihatan betapa gembiranya Arissa saat melihat anak-anak kecil Suhaila.

  ' Mari,' mudah sahaja Arissa membawa Tariq ke dakapannya. Sekali lagi, Suhaila melihat mata Arissa bersinar.

  " Kau ini, dah sampai masa, Rissa."

  " Sampai? Sampai tarikh luput?" sambut Arissa tetapi matanya masih lagi menatap wajah bersih Tariq. Suka betul Arissa dengan si kecil yang tidak henti-henti 'berborak'.

  " Bukanlah, sayang. Masa untuk menjadi ibu," Suhaila menekankan perkataan ibu.

  " Kalau susah sangat, aku culik sahaja anak-anak kau. Mereka pun memang sudah panggil aku mama kan? ' Arissa bersuara, nakal.

  Itulah Arissa. Ada sahaja jawapannya.

                                            ***
  Untung betul Suhaila. Kerja bagus, suami kaya, keluarga pula berada. Kalau hendak diikutkan, Suhaila tidak perlu bekerja tetapi kata Suhaila, rugilah susah-susah dia belajar di universiti dulu kalau tak digunakan.

  ' Nantilah Arissa. Kalau sudah bosan, aku berhentilah,' jawab Suhaila bila ditanya samada dia pernah terfikir untuk berhenti kerja untuk menjaga kedua-dua anak kecil di rumah ketika Arissa datang membawakan bunga untuk Suhaila.

Namun, itu bukanlah suara hati sebenar Suhaila. Kali ini, hatinya terasa berat benar untuk ke pejabat. Wanita itu tahu yang ahli keluarga yang ada tidak mempunyai masalah untuk menjaga anak-anaknya. Tetapi kali ini dia terasa lain. Dia berasakan dia sudah bersedia untuk menjadi ibu sepenuh masa. Malah, Suhaila sudah merancang pelbagai projek kalau-kalau dia berasa bosan di rumah semasa menjaga anak-anak.

' Kalau bosan, mungkin boleh bekerja dari rumah. Ambil sahajalah apa-apa kerja yang ada. Kalau tidak pun, kerja dengan Arissa di nurser. Kan Tariq kan? Kan? ,' kata Suhaila sambil menukar lampin Tariq. Tariq cuma tertawa. ' Atau mama boleh ambil upah jahit baju. Tariq mahu pakai baju yang mama jahit atau tidak? Pakai ye, sayang.'

  Suhaila tersenyum sendiri. Seorang eksekutif di sebuah syarikat minyak dan gas ingin menjadi tukang jahit? Ah, apalah yang mahu dihairankan sangat. Asalkan ada aktiviti untuk mengisi masa lapang, itu sudah lebih daripada cukup.

  Tariq mula menguap, memberikan tanda bahawa sudah sampai masa untuk tidur. Dari hujung mata Suhaila, dia dapat melihat Talhah sedang berjalan ke arah mereka berdua.

  Inilah yang menyebabkan Suhaila risau. Setiap kali Tariq tidur, Talhah turut sama ingin tidur. Paling tidak, anak sulung Suhaila itu mahu berbaring sama  Begitu juga kalau adiknya bangun. Si abang akan turut sama. Itu belum lagi masuk bab minum susu. Bagaimanalah ibu Suhaila ingun menjaga anak-anaknya nanti? Pasti terkejar-kejar ingin menguruskan dua beradik serentak.

  " Talhah, Talhah nak apa?"

  Si sulung itu cuma tersenyum. Cair hati Suhaila dibuatnya, tidak jadi mahu menghalang Talhah daripada berbaring di sebelah Tariq.

                                                                 ***

  Bunyi telefon yang berdering kuat mengejutkan Arissa yang sedang tekun bekerja. Dia perlu menyiapkan kira-kira untuk nurserinya. Selepas ini, dia perlu melihat pula usul ibunya tentang perniagaan makanan mereka. Deringan telefon tadi agak mengganggu tumpuan Arissa.

  Arissa memandang skrin telefon. Bilal. Pasti mahu menempah bunga orked lagi. Kalau tidak pun, dia ingin memesan baja.

  " Bilal," Arissa menyapa. Itu caranya berbual dengan Bilal.

  " Arissa, maaf I nak cepat. You hantarkan senarai harga bunga untuk mama I boleh? You email I ok?"

  Entah apalah yang ingin dikejar Bilal hingga cakap pun buru-buru begitu.

  " Tenang Bilal," Arissa tergelak. " Apa yang kelam-kabut sangat?"

  " Mama I. I dah lewat nak temankan dia pergi beli-belah."

  " Patutlah. Baik Bilal, nanti I email you. Boleh?'

  " Terima kasih Rissa."

Begitulah hubungan Arissa dan Suhaila sehingga ahli keluarga kedua-dua belah pihak tidak janggal untuk berhubung. Malah, ini bukan kali pertama Bilal membuat permintaan begitu kepada Arissa malah agak kerap juga memandangkan keluarga Bilal juga berminat menanam bunga, malah, semasa Bilal dan Suhaila masih belum menimang cahaya mata, mereka bertiga sering sahaja keluar bersama. Kalau mereka tidak berjumpa di luar, mereka akan singgah ke rumah Arissa. Malah, singgah ke rumah Arissalah yang paling mereka sukai kerana suasana nurseri yang nyaman, ditambah pula dengan masakan Arissa yang cukup enak.

  Arissa kembali merujuk kertas-kertas di atas mejanya. Panggilan Bilal membuatkan dia teringat kembali kepada kata-kata Suhaila semasa Arissa melawat Tariq.

  Sebetulnya, hati Arissa sedikit jengkel dengan kata-kata Suhaila yang mengusik tentang kesediaan Arissa untuk menjadi ibu. Itu bukan kali pertama Suhaila berbuat demikian. Arissa faham apa tujuan Suhaila tetapi semakin lama, ia semakin menjengkelkan.

Suhaila mula menggiat Arissa untuk mencari jodoh sejak dia bertunang dahulu.

  " Kau ini Arissa, bila lagi? Aku sudah selamat." Seluruh tenaga Arissa gunakan untuk menahan diri daripada menempelak Suhaila. Baru bertunang, belum bernikah. Dia faham, Suhaila berasa sangat teruja dengan hubungannya apatah lagi dalam usia lewat dua puluhan.

  " Kau tidak teringinkah Arissa?" Arissa yang sedang duduk di hujung bilik memerhatikan Suhaila bersolek hanya berdiri tegak sambil mengulum senyum pahit.

  Usikan terhadap Arissa jadi makin melampau bila Suhaila sudah menikah. Ada sahaja nasihat-nasihat yang ingin diberikan kepada Arissa.

  " Aku ini, hendak ke mana-mana, suami aku ada untuk menemankan aku. Rasa selamatlah sedikit. Kita kan perempuan. Bukankah begitu Arissa?'

Menyangkakan yang Suhaila sebenarnya sekadar berbasa-basi, Arissa mengiyakan kerana tidak mahu kelihatan menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan.

' Kan? Kita perempuan memang perlu ada penenan. Nah, kau Arissa ... siapa yang hendak menemankan?"

  Kata-kata itu akan selalu diingati Arissa. Waktu itu, Arissa bertanyakan Suhaila siapa yang akan menemankan Suhaila ke majlis khatan anak buah Arissa nanti. Bukan tidak boleh Suhaila menjawab sahaja Bilal yang akan menemankan, tidak perlu berpusing-pusing kata untuk mengenakan kawan sendiri. Arissa jadi pelik bagaimana itu yang boleh terluncur dari mulut Suhaila.

' Ah sudahlah! Balik-balik, kawan aku juga,'

Arissa capai pen untuk menyambung kembali kerjanya. Tiada guna melayan perasaan mengingatkan kata-kata Suhaila kerana Arissa percaya rancangan Tuhan. Kalau sudah ditakdirkan dia belum bertemu jodoh sekarang, pasti akan tiba masanya satu hari nanti.

                                                         ***

  " Talhah dan Tariq mahu lawat ibu mereka lagi satu hari ini," tutur Suhaila dalam nada ceria.

Bilal yang sedang mencedok nasi, terkaku seketika mendengar kata-kata Suhaila. Ada debar singgah di hati namun cuba dikawal. " Amboi. Arissa dah jadi mama mereka pula ya?'

' You, you tahukan kami dah kawan lama. Masa kita kenal pun dia sentiasa ada. Banyak sangat susah senang yang kami lalui bersama,' Suhaila menjawab dengan santai sambil memasukkan susu dan barang keperluan kedua-dua anak mereka.

' Hmm,' Bilal menjawab sekadar mencukupkan syarat. Kalau diikutkan hati, memang Bilal mahu meneruskan gurauan tentang Arissa menjadi mama kepada anak-anaknya tetapi dibiarkan sahaja. Sebenarnya, Bilal tidak begitu senang dengan sikap Suhaila yang selalu bercakap tentang status Arissa yang masih belum berkahwin. Mula-mula, sikap Suhaila yang selalu menyebut bahawa dia kasihan dengan Arissa tidak dipedulikan sangat oleh Bilal. Namun, kata-kata Suhaila mula berubah kepada kenyataan-kenyataan yang kedengaran seolah-olah isteri Bilal memperkecilkan Arissa.

' You tak kisah, kan? Ala...dia bukan ada anak-anak. Tidak mengapalah dia tumpang beri kasih sayang pada anak kita,' Suhaila bersuara lagi, ' You, I dah siapkan beg Talhah. Boleh you tolong pegangkan sekejap?'

Bilal menyambut beg yang dihulurkan oleh Suhaila. Mereka akan ke rumah Arissa hari ini.

Sesampainya mereka ke rumah Arissa, wanita itu sudah pun siap menunggu keluarga Bilal di hadapan pintu. Sebaik sahaja kereta Bilal melepasi pagar rumah, Arissa turun dari beranda rumah untuk menjemput mereka di halaman rumah.

' Talhah! Lamanya kita tidak berjumpa,' Arissa menyambut Talhah dari tempat duduk belakang sementata Bilal menguruskan beg dan Suhaila pula sibuk dengan Tariq. Secara otomatik, Talhah menghulurkan tangan bagi memudahkan Arissa mengangkat anak kecil itu. Dengan mudah, Arissa mengangkat Talhah untuk dibawa ke dalam rumah di mana keluarga Arissa turut menunggu.

' Bilal!' rupa-rupanya abang Arissa ada di rumah. Bilal tidak pernah ada masalah dengan keluarga Arissa yang lain cuma kehadiran Adnan bakal memberikan sedikit ruang kepada Bilal untuk berbual tentang perkara selain lampin dan permainan kanak-kanak.

Sepanjang masa, keluarga Arissa melayan Bilal dan keluarga dengan baik. Arissa sendiri kelihatan begitu senang sekali melayan Talhah. Sepanjang petang, Talhah duduk di atas riba Arissa sehinggaka makan pun anak kecil itu mahu disuapkan Arissa.


Talhah nampak begitu mesra dengan Arissa. Barang-barang permainan Talhah banyak diserahkan kepada wanita itu.

‘ Itu tanda dia suka kau,’ Suhaila memberitahu.

‘ Amboi, takkanlah kau sanggup bermenantukan aku?’ Ketawa berderai. Terasa benar kemeriahan di malam itu.

Menginjak jam sembilan malam, Bilal dan Suhaila mula minta diri. Tariq sudah lama tertidur di dalam bilik tetamu yang kebetulannya menempatkan katil bayi milik anak buah Arissa.

‘ Eh, tidak sedar pula sudah lewat! Leka benar kita berbual,’ ujar ibu Arissa.

‘ Yelah, makcik. Kita berbual, yang hero seorang ini tidak habis-habis dengan Mama Arissa dia,’ Suhaila mencuit hidung Talhah.

Ibu dan bapa Arissa saling berpandangan sebaik sahaja mendengar kata-kata Suhaila. Kedua-duanya pula mula memandang ke arah Bilal tetapi lelaki itu tidak kelihatan. Pada waktu itu, Arissa sedang berada di dapur. Ibu bapa Arissa cuma terdiam, tergamam.

‘ Sedap betul masakan di rumah Arissa tadi,’ Bilal berkata sambil mengenakan tali pinggang keledar. Anak-anak yang berada di tempat duduk belakang sudah pun mula menunjukkan tanda-tanda ingin melelapkan mata.

Suhaila yang sedang mengenakan tali pinggang keledar menyahut,’ Itu semua masakan Arissa tau?’

‘ Iyakah? Wah, sedapnya!’ Bilal memberhentikan kereta di simpang sebelum keluar daripada kawasan perumahan Arissa.

‘ Kan? Tetapi itulah..’

‘ Itulah apa?’ terbit rasa ingin tahu dalam diri Bilal.

‘ Masak sedap-sedap tetapi masih belum berkahwin,’ sambung Suhaila. Inilah yang tidak begitu digemari Bilal sebenarnya. Belum sempat Bilal ingin memintas kata-kata isterinya, Suhaila bertanya, ‘ Eh, you! Sebentar tadi I ada masukkan botol susu Tariq dalam beg. Sudah hilang pula. You ada…ouh! Sudah jumpa!’ botol susu Tariq rupanya terselit di celah tempat duduk Talhah. Apa sahaja yang ingin dikatakan oleh Bilal terus hilang lenyap.

                                                            ***

Sebaik sahaja tetamu pulang, Arissa dan adiknya mula mengemaskan gelas-gelas berisi sisa minuman. Ibu bapa Arissa pula duduk di ruang tamu, tersandar seolah-olah ingin berehat. Namun, tidak seperti selalu, ada riak kurang senang di wajah mereka.

‘ Bang..’ ibu Arissa yang bernama Maimun mula bersuara. Namun, bapa Arissa memberikan isyarat nanti dahulu kerana anak perempuannya sedang  berdiri di haluan ke dapur dengan dulang, sedang berjalan ke arah mereka berdura.

‘ Rissa, ayah naik dahulu ke atas ya dengan mak?’ ayah Arissa meminta diri.

‘ Baik, ayah,’ Arissa yang masih lagi tidak mengesyaki apa-apa, tersenyum lalu mengelap meja.

Sesampainya di atas, ibu bapa Arissa bungkam.

‘ Betulkah apa yang saya dengar tadi, bang?’ ibu Arissa bertanya.

‘ Mungkin maksud Suhaila..itu hanya nama timangan Arissa sahaja,’ bapa Arissa mencapai kain pelikat.

Ibu Arissa diam. Apa yang dikatakan oleh ayah Arissa ada benarnya. Bukankah kedua-duanya sangat rapat? Lagi satu, takkanlah Suhaila sanggup bermadu?

‘ Mungkinlah, bang,’ ibu Arissa menyahut. ‘ Tetapi..’

‘ Kita tengok dahulu, Mon. Lagipun, wanita mana yang sanggup bermadu?’ ayah Arissa menyuarakan apa yang difikirkan oleh Puan Maimon.

‘ Yelah, bang,’ Puan Maimon membuat keputusan untuk hanya bersetuju dengan kata-kata suaminya. Lagipun, dia tidak mahu Encik Ahmad risau. Suaminya bukan sihat sangat, apatah lagi dengan penyakit darah tinggi yang dialami.

                                                                     ***

Email yang baru diterima mendatangkan rasa tidak senang pada Suhaila. Tariq baru sahaja berusia tidak sampai setahun, tidak sampai hati rasanya mahu meninggalkan si kecil. Sudahlah begitu, Suhaila akan dihantar ke Myanmar.

‘ Ha, kenapa rupa seperti kucing kehilangan anak?’ usik Radzi, rakan sekerja Suhaila.

‘ Manakan tidak? Aku perlu ke Myanmar selama dua minggu,’ Suhaila pura-pura mengemaskan fail yang tidak begitu tersusun.

‘ Mahu buat macam mana lagi? Kalau tidak engkau yang pergi, siapa lagi? Lagipun, mereka baru jumpa telaga minyak itu, bukan? Kalau kau lambat…orang Perancis dapat dulu, jangan gigit jari,’ Radzi menggiat.

‘ Eh, janganlah begitu!’ Suhaila mula cuak.

‘ Ha, tahu pun,’ Radzi tersengih. ‘ Kau mahu turun makan tengahari? Elaine suruh aku panggil kau tadi. Marilah.’

‘ Oh! Aku turun lambat sedikit. Kamu semua turunlah dahulu,’ Suhaila mencapai telefon yang berada di dalam laci. Dia mahu memastikan samada temu janji untuk makan tengahari bersama Arissa masih akan berlangsung.

Lima belas minit kemudian, Suhaila sudah duduk bersama Arissa di kedai makan.

‘ Roti sahaja?’ Arissa bertanya dengan wajah tidak percaya.

Suhaila tersipu-sipu. ‘ Aku mahu cuba tukar diet. Kurangkan nasi.’

‘ Sejak bila pula?’ Arissa masih lagi tidak berpuas hati. Penjelasan dari rakannya itu jelas menunjukkan bahawa dia ingin menurunkan berat badan. Apa lagi yang mahu dicapai oleh seorang perempuan bila dia mula mengelakkan nasi?


Pada pandangan Arissa, Suhaila tidaklah berisi sangat. Mungkin wajahnya nampak bulat sedikit, biasalah, ibu selepas bersalin. Namun, disiplin bersenam Suhaila memastikan tubuh rakan Arissa itu tetap kekal ramping.

‘ Kau mana faham, kau kurus. Orang kalau sudah berkahwin, memang inilah isunya. Orang bujang macam kau, mana faham,’ Suhaila merungut.

Kenyataan yang baru didengar seolah-olah menghiris telinga. Mengapa Suhaila suka menyindir Arissa sebegitu? Selalu sangat ditekankan fakta bahawa dirinya berbeza kerana dia sudah berkahwin serta mempunyai dua orang anak.

‘ Baiklah. Pilihlah,’ Arissa memasukkan tangan ke dalam beg untuk mencapai telefon bimbit. Dia memerlukan beberapa minit untuk meredakan rasa marah terhadap Suhaila.

‘ Baru jumpa tidak sampai lima minit, sudah sakitkan hati aku,’ getus hari Arissa.

‘ Jom,’ Suhaila memegang tangan Arissa. Celoteh rakan Arissa sepanjang perjalanan ke kedai makan langsung tidak dihiraukan. Sebaliknya, baju-baju dan kasut yang dipamerkan di setiap kedai mendapat perhatian Arissa.

‘ Kau mahu makan apa?’ tanya Suhaila sebaik sahaja tiba di kaunter untuk memesan makanan.

‘ Sama dengan kaulah. Aku mahu cari tempat duduk,’ Arissa memberikan alasan. Ini tidak mendapat bantahan dari Suhaila memandangkan jam sudah hampir jam dua belas tengahari dan lazimnya ramai orang akan mula mengerumuni premis-premis yang menjual makanan.

‘ Huh!’ suatu keluhan dilepaskan sebaik sahaja Suhaila duduk. ‘ Mereka hantar aku ke Myanmar,’ cerita Suhaila tanpa diminta.

‘ Bila?,’ Arissa kemudian memandang kepada pelayan yang meletakkan segelas air di hadapannya.’ Terima kasih.’

‘ Hari Khamis. Macam mana sekarang? Ibu bapa mertua aku bukan ada di sini.. Mereka baru sahaja berlepas ke Mekah semalam,’ Suhaila kelihatan sangat risau.

Ini masalah orang yang sudah bernikah. Disebabkan ini bukan satu isu yang boleh difahami oleh Arissa, dia memilih untuk mendiamkan diri.

‘ Kakak ipar aku pula masih dalam pantang,’ Suhaila bagai berkata pada diri sendiri.

‘ Bilal kan ada?’ Arissa mencadangkan sekalipun dia tahu apa jawapan rakannya.

‘ Bilal?’ bertambah kerutan di dahi Suhaila. ‘ Dia perlu pergi kursus esok. Kursus seminggu.’

‘ Anak kau si Tariq, masih menyusu badan?’ Arissa bertanya tiba-tiba.

‘ Tariq? Campur. Kenapa?’ comot sebenarnya bila Suhaila cuba bercakap dengan mulut yang penuh.

‘ Kalau kau tidak keberatan, mungkin aku boleh jagakan anak-anak kau. Bagaimana?’

‘ Eh, betul?’ Suhaila kelihatan teruja.

‘ Betullah. Takkanlah aku mahu menipu. Lagipun mereka berdua sudah biasa dengan aku, kan?’

‘ Terima kasih, Arissa. Sekejap ya, aku telefon Bilal,’ kelam-kabut Suhaila mencari telefon di dalam beg lalu berlari keluar dari kedai.

Arissa cuma menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.

                                                         ***

Rutin harian Arissa berubah dengan kedatangan anak-anak Suhaila. Waktu pagi Arissa kini tidak lagi hanya tertumpu pada nurseri. Celik sahaja mata, perkara pertama yang dilakukan adalah mengeluarkan botol susu untuk kedua-dua anak kecil yang memilih jam lima pagi untuk bangun. Selepas menyusukan kedua-duanya, barulah Arissa akan memulakan pagi di nurseri seperti biasa. Itupun setelah menyediakan makanan dan bekalan untuk Talhah dan Tariq.

Kelakuan Arissa hanya diperhatikan oleh Puan Maimon dengan perasaan yang bercampur-baur. Pertama, dia berasa seronok melihat Arissa yang boleh menguruskan anak-anak Suhaila tanpa perlu banyak pertolongan namun, dalam masa yang sama, rasa risau bergentanyangan di sudut hati. Yang paling dirisaukan adalah Bilal yang…

Ah. Syak-wasangka yang baru bercambah segera dibuang jauh-jauh. Kalau mahu diikutkan hati, memang mencabar kalau ada anak gadis. Kalau sudah bernikah begini, kalau belum bernikah lain pula jadinya. Namun, Puan Maimon percaya anak perempuannya sudah memikirkan masak-masak sebelum mengambil keputusan untuk membantu Suhaila. Tiada siapa yang mahu dirinya jadi bahan fitnah.

Pada hari kedua Arissa dan keluarga menjadi penjaga sementara anak-anak Suhaila, Puan Maimon bertanya, ‘ Tidak penatkah kamu terlari-lari menguruskan budak-budak ini, Rissa? Marilah kami tolong. Bukan ayah dan ibu tidak biasa menguruskan budak-budak.’

‘ Tidak mengapalah, ibu. Jarak nurseri dengan rumah kita bukan jauh sangat,’ Arissa menjawab sambil tangannya lincah menggeledah kabinet dapur dalam usaha mencari bekas untuk diletakkan roti sandwic. ‘ Lagipun, ibu anggap sahaja waktu saya pulang ke rumah untuk tengok budak-budak itu sebagai waktu rehat saya.’

‘ Rehat? Rehat jenis apakah itu bila terkejar-kejar untuk siapkan budak-budak dan kemaskan diri?’ jelas Puan Maimon, separa merungut. Apalah guna istilah rehat bila Arissa terkejar-kejar untuk memberi makan dan memandikan Tariq dan Talhah sedangkan sedikit makanan pun tidak dapat dijamah.

‘ Ibu…’ Arissa memegang bahu Puan Maimon sambil meletakkan bahu ke tulang belikat ibunya. ‘ Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya ibu dapatlah lihat batang hidung saya di rumah ini pada waktu rehat. Ibu juga yang merungut bila saya tiada langsung waktu rehat kan?’


‘ Ya, betul. Bukan itu sahaja. Kalau kamu di rumah dan tiba-tiba ada pembeli, bagaimana?’ Puan Maimon jelas masih belum berpuas hati.

Tiada jawapan. Umum diketahui bahawa Arissa memang tidak selesa untuk memberikan tanggungjawab menguruskan pembeli kepada orang lain. Entah, itu memang sudah menjadi tabiat.

‘ Ibu ada untuk tengok-tengokkan mereka. Usahlah Arissa risau sangat. Ibu ini sihat sangat lagi,’ Puan Maimon menggenggam tangan dan cuba membengkokkan lengan, seolah-olah berlagak untuk menunjukkan otot lengan.

‘ Ya, betul kata ibu itu, Arissa. Semalam, ibu tidak minta tolong ayah pun untuk buka penutup sos baru,’ ayah Arissa, Encik Zainal muncul dari belakang.

‘ Amboi. Sindir saya nampaknya abang ini,’ bibir Puan Maimon sudah mula memuncung membuatkan anak perempuan dan suaminya tertawa.

‘ Arissa, kami serius. Tidak perlulah kamu balik ke rumah untuk uruskan budak-budak ini pada waktu tengahari. Biar ibu dan ayah yang uruskan,’ Encik Zainal cuba menyakinkan.

‘ Tetapi..’ Arissa masih berasa ragu.

‘ Kalau kami tidak boleh uruskan, tidaklah kamu adik-beradik boleh besar panjang begini.’

Mendengarkan balasan daripada kedua-dua orang tua membuatkan Arissa terdiam lalu tunduk memandang meja. Lekas sahaja Puan Maimon dapat menangkap apa yang ada di dalam fikiran zuriatnya yang seorang ini. Memang, empat adik-beradik, Arissa yang paling suka melayan anak-anak kecil. Kalau anak-anak buahnya melawat ke rumah, Arissa akan sibuk bermain dengan mereka. Kalau ada pun dihabiskan masa dengan orang dewasa, cuma sekejap-sekejap.

‘ Beginilah. Kami akan lawat kamu di nurseri,’ Puan Maimon memberi cadangan. Sayu hatinya melihatkan Arissa begitu. Mengapalah anaknya ini belum ditemukan jodoh? Kalau sudah anak cahaya mata sendiri, tidak perlulah sampai menumpang kasih pada anak-anak orang lain.

‘ Ya? Ibu, betulkah?’ mata Arissa kelihatan bercahaya, tidak seperti sebentar tadi. Nada suaranya juga sudah berubah daripada mendatar kepada lebih bermaya.

Puan Maimon hanya mengangguk. Belum sempat mahu menyambung kata-kata, Talhah telah lebih dahulu muncul dari ruang tamu dan menarik kain pelikat yang dipakai Encik Zainal sambil menghulurkan botol susu.

‘ Sudah. Kamu pergi dahulu, Arissa. Biar kami uruskan yang ini,’ Puan Maimon berpesan pada Arissa.

Sebelum Arissa meninggalkan dapur mereka, terdengar-dengar suara ayahnya bergurau dengan Talhah dengan mengatakan dia tidak perlukan botol susu anak kecil itu.

                                                           ***

Hari baru sahaja baru bermula. Para pekerja pejabat lazimnya bari mahu cari kunci kereta pada jam tujuh setengah pagi begini. Namun, hari Puan Maimon telah lama bermula. Kini, dia mula menguruskan anak-anak Suhaila yang sudah berada di rumahnya selama empat hari.

Seperti dikembalikan ke zaman silam, Puan Maimon teringat-ingat bagaimana dia bergelut untuk bangun awal-awal pagi untuk menguruskan anak-anak dan dalam masa yang sama, perlu menguruskan suami yang ingin bekerja. Mengingatkan itu semua, tersenyum dia jadinya.

Baru sahaja Puan Maimon ingin larut di dalam kenangan, telefon rumah berbunyi.

‘ Siapa pula yang telefon pagi-pagi begini?’ botol-botol susu yang sudah berisi susu tepung ditinggalkan sebentar.

‘ Assalamualaikum,’ Puan Maimon menjawab dengan ragu-ragu, takut-takut kalau panggilan ini membawa khabaran kurang enak. Selalunya, itulah berita yang dibawakan oleh sebarang panggilan pada waktu awal pagi.

‘ Waalaikumussalam. Makcik, ini saya, Bilal,’ terdengar suara seorang lelaki menyapa. Bunyi di latar belakang Bilal kedengaran agak bising.

‘ Ha, ye Bilal. Bilal apa khabar?’ Puan Maimon berasa sedikit pelik. Selalunya, Bilal hanya akan menelefon pada waktu selepas tengahari.

‘ Alhamdulillah, saya sihat Makcik sihat?’

‘ Alhamdulillah…,’ Puan Maimon mula duduk di kerusi yang berada bersebelahan dengan meja yang dijadikan tempat letak telefon.

‘ Makcik, saya dalam perjalanan pulang sekarang,’ Bilal menjelaskan dalam nada yang ditekankan sedikit. Mungkin disebabkan bunyi di latar belakang yang sedikit kuat. ‘ Kursus kami dipendekkan. Jadi, bolehkah saya pergi ke rumah makcik pada petang ini?’

‘ Oh? Begitu. Boleh, Bilal. Nanti beritahu sahaja pukul berapa Bilal mahu datang samada pada makcik atau Arissa, ya?’ Puan Maimon sudah berkira-kira mahu menyediakan mee kari untuk dihidangkan pada Bilal nanti.

‘ Siapa itu, yang?’ suara Encik Zainal menyapa isterinya dari arah tangga. Tariq sudah dikendong di tangan kiri manakala Talhah pula sedang berusaha memanjat turun tangga.

‘ Ayahnya budak-budak ini. Mari Talhah!’ Puan Maimon menyambut Talhah yang sedang terkedek-kedek berlari ke arahnya.

‘ Ada hal apa? Pagi sangat untuk bertanya tentang budak-budak ini’ Encik Zainal mula berjalan menuju ke arah ruang tamu lalu mencapai tilam nipis yang digunakan sebagai tilam untuk Tariq.

‘ Dia hanya beritahu dia ingin ke mari petang ini.’

‘ Begitu. Kursusnya bagaimana?’ Encik Zainal bertanya sambil mengacah-ngacah Tariq yang tersenyum gembira.

‘ Katanya sudah habis,’ Puan Maimon membawa botol-botol susu ke ruang tamu.

‘ Oh. Jadi, dia mahu ambil budak-budak inikah?’ wajah Encik Zainal seolah-olah terperanjat mendengar penjelasan Puan Maimon.

‘ Entah. Tidak pula dia beritahu apa-apa. Eh, abang pun sudah tidak mahu lepaskan budak-budak ini?’ Puan Maimon mengusik.

Kedua-duanya tertawa.

‘ Eh, siapa pula seorang lagi?’ Encik Zainal bertanya, seolah tersedar dari lamunan.

‘ Siapa lagi? Anak awaklah,’ Puan Maimon menyuakan botol susu ke mulut Talhah.

Serta-merta, suasana menjadi kekok. Suasana terus bertukar sunyi sehingga anak-anak Suhaila pun bagaikan mengerti.

Keadaan ruang tamu masih kekal sunyi sehinggalah Tariq kentut dengan kuat. Sekali lagi, ibu bapa Arissa tertawa manakala Tariq terpinga-pinga.

                                                               ***

‘ Terima kasih kerana jaga anak-anak aku,’ Bilal bersuara sambil meletakkan pinggan kotor di dalam sinki. Arissa yang sedang mengeluarkan cawan-cawan dan dulang dari kabinet dapur tersentak sedikit.

‘ Bilal! Terkejut aku. Ingatkan siapa tadi,’ Arissa mengurut dada sambil tersenyum. ‘ Ah, perkara kecil sahaja Bilal. Tidak susah langsung.’

Sebenarnya, Bilal memang berhajat untuk membawa pulang anak-anaknya. Maklumlah, janggal pula rasanya mahu tinggalkan anak-anak di rumah orang yang tiada talian darah. Namun, kedua-dua ibu bapa Arissa telah memujuk untuk membiarkan dahulu anak-anaknya di sini.

‘ Biarlah dahulu mereka di sini, Bilal. Lagipun, Suhaila akan hanya pulang pada minggu hadapan. Bagaimana pula kalau kamu hendak ke pejabat? Dengan siapa pula kamu mahu tinggalkan anak-anak kamu?’ Puan Maimon bertanya bertalu-talu.

Bilal hanya menggaru kulit kepala yang tidak gatal bila ditanya sebegitu rupa. Hilang semua hujah-hujah yang ingin dibentangkan pada awalnya.

‘ Anak-anak kau senang mahu dijaga malah mereka tidak banyak kerenah. Tidak susah mahu jaga mereka,’ Arissa mula menyusun cawan-cawan ke atas dulang.

‘ Iyalah. Tiada yang susahnya pun. Suhaila itu sudah jadi macam keluarga kami,’ sampuk adik Arissa yang turut sama duduk di dapur.

‘ Apapun, terima kasih banyaklah. Serba-salah pula rasanya,’ Bilal masih kelihatan malu-malu.

‘ Tiada apa yang perlu dimalukanlah. Mari kita ke ruang tamu. Ini ada air,’ Arissa menjemput semuanya ke ruang tamu untuk minum petang.

‘ Ha, tengok. Ada pula minum petang lagi.’

‘ Tiada apa-apalah. Haha,’ sambung adik Arissa.

Bilal hanya mampu bersyukur di dalam hati. Kalau mahu diharap dia sendiri menjaga budak-budak kecil itu, memang hancur jadinya. Silap haribulan memang dia cuti sepanjang ketiadaan Suhaila.

‘ Kursus you habis awal?’ bunyi mesej dari Suhaila. Sebenarnya, mesej Suhaila sudah lama diterima tetapi sengaja dibiarkan dahulu untuk dibalas dalam keadaan yang lebih tenang.

‘ Ya. Tetapi saya biarkan dulu budak-budak di rumah Arissa,’ Bilal cuba menerangkan kepada isterinya.

‘ Biarkan dahululah. Lagipun Arissa tidak kisah. Dia bukan ada anak-anak sendiri untuk dijaga,’ Suhaila membalas dengan selamba.

Darah Bilal terasa seperti menyerbu ke kepala. Kenapalah Suhaila suka bersikap begini sedangkan Arissa cukup baik orangnya? Bukan sahaja Arissa, malah seluruh keluarganya.

Telefon dicapai dan Bilal mula menaip balasan. Satu ayat ditaip kemudian dipadam, kemudian ditaip semula. Akhir sekali, mesej Suhaila dibiarkan sahaja. Susah mahu bertegang urat melalui pesanan ringkas, biarlah mereka bertemu muka dahulu.

                                                           ***

Setiap hari, Bilal sentiasa ke rumah Arissa untuk melawat anak-anaknya. Daripada habis waktu kerja hingga ke waktu malam, Bilal banyak menghabiskan masa di rumah rakan mereka itu. Suhaila tidak langsung menghalang, malah merasakan perbuatan Bilal itu biasa sahaja. Kalau anak-anak mereka tidak dikunjungi Bilal, nanti apa pula kata keluarga Arissa? Seolah-olah mereka suami-isteri mahu lepas tangan.

Bila di rumah Arissa, ada sahaja yang dilakukan oleh Bilal. Dengan ditemani oleh Encik Zainal, Bilal selalu membawa anak-anak melawat ke nurseri. Sampai di sana pula, Bilal tidak segan untuk menyingsing lengan dan membantu mengangkat baja atau menyusun pasu-pasu bunga.

‘ Hei! Kotor baju kamu nanti Bilal,’ terpekik sedikit Encik Zainal bila dilihat Bilal mula mahu mengangkat guni berisi baja. ‘ Masuklah ke dalam, Bilal. Tukar baju kamu dengan baju Zali.’

‘ Iyalah, Bilal. Kau pakai sahajalah baju aku,’ sambut pula adik Arissa.

Dan bermulalah satu fasa lagi di dalam hidup Bilal di mana dia mula membantu di nurseri milik keluarga Arissa.

                                                              ***

‘ You,’ Suhaila menyapa Bilal sebaik sahaja menidurkan anak-anaknya di dalam bilik.

‘ Ya?’ Bilal yang sedang membaca buku cuba menyahut sambil menenangkan perasaan. Sebenarnya, Bilal hanya pura-pura membaca buku. Dia juga sedang berpura-pura tenang kerana ada sesuatu yang sudah terselit di hati.

‘ Kasihan Talhah. Nampak sedih benar mahu tinggalkan rumah Arissa,’ Suhaila mula mengenakan losyen sambil duduk di birai katil.

‘ Hurmmm,’ Bilal cuma menyahut sambil lewa. Mahu sahaja ditanyakan pada Suhaila bagaimana pula dengan sedih di dalam hatinya kerana terpaksa tidak lagi singgah ke rumah dan nurseri keluarga Arissa?

‘ Mesti mereka seronok di sana kan you?’ tanya Suhaila lagi.

‘ Seronok memanglah seronok tetapi mereka pun rindukan you juga,’ Bilal menjawab, sekadar menjaga hati.

‘ Eh you! Hujung bulan nanti teman I pergi ke United Kingdom boleh kan?’ nada suara Suhaila sudah bertukar. Wajah yang dipalingkan ke arah Bilal nampak gembira betul.

‘ Untuk apa? Ada kerja lagi di sana?’

‘ Ada. I perlu ada di sana selama dua minggu,’ Suhaila masih lagi menghadap Bilal dalam keadaan duduk. Tidak disangka, sudah berada di Myanmar selama dua minggu, langsung tidak memenatkan bagi Suhaila.

‘ Dua minggu lagi? Lamanya…,’ Bilal mengeluh. ‘ Anak-anak bagaimana pula?’

‘ Ala..dulu pun begini bukan?’

Bilal menutup buku. ‘ Dulu kita hanya ada Talhah sahaja. Tariq baru lagi lahir.’

‘ Sekejap sahaja. Bukan lama pun dua minggu,’ Suhaila cuba memujuk. Bilal tahu, peluang untuk ke United Kingdom memang selalu dinantikan oleh isterinya kerana inilah peluang untuk membeli-belah.

Bilal hanya diam.

‘ Sebelum ini, memang ada rasa mahu berhenti tetapi … entahlah. Rasa sayang pula sekarang,’ Suhaila bercerita tanpa diminta pun. ‘ Eh, boleh atau tidak you teman I?’

‘ Kalau dua minggu mungkin tidak boleh. Kalau seminggu, besar kemungkinan boleh,’ Bilal menjawab.

‘ Seminggu pun jadilah. Hai…lega rasanya,’ Suhaila menghempaskan badan ke atas katil.

‘ Kenapa pula excited sangat you ini?’ Bilal mula berasa pelik.

‘ Rasa seronoklah you nak teman. Mujur you ada untuk teman I pergi nanti. Bayangkan kalau Arissa yang pergi, tiada suami nak teman. Mesti bosan.’

Bilal mengerutkan dahi. ‘ Kenapa you tiba-tiba cakap begitu?’

‘ Betulkan apa yang I cakap? Kasihan Arissa, mahu ke mana-mana tidak ada orang mahu teman. Lainlah I, ada you,’ Suhaila masih terus bercakap, seolah-olah tidak sedar yang dia sedang menghina Arissa.

‘ Apa-apa sahajalah. Marilah tidur. You kerjakan esok?’ Bilal cuba mematikan perbualan. Kalau dibiarkan lebih lama lagi, entah apa lagi yang diceritakan tentang Arissa.

----

‘ Abang..’ Puan Maimon menyapa Encik Zainal pada satu malam.

‘ Iya,’ Encik Zainal yang sedang duduk menghirup kopi panas menjawab ringkas.

‘ Abang tidak risaukah Bilal selalu ke mari?’ Puan Maimon memulakan bicara. Tiada guna mahu berbasa-basi lagi.

‘ Maksud awak, petang tadi? Bukankah dia datang dengan Suhaila?’ Encik Zainal memandang wajah isterinya dengan pelik.

Puan Maimon serba-salah jadinya. ‘ Ya, memanglah dia datang dengan Suhaila. Entahlah, bang.’

‘ Awak ini kenapa sebenarnya? Bukankah mereka sekadar datang melawat sahaja sebentar tadi? Lagipun ini bukan kali pertama mereka ke mari,’ Encik Zainal bercakap dengan nada memujuk. Seboleh-boleh dia tidak mahu mempunyai sebarang syak-wasangka terhadap Bilal.

‘ Entahlah. Sejak mereka memanggil Arissa dengan panggilan Mama untuk anak-anak mereka..’ Puan Maimon tidak sanggup untuk meneruskan perbualan.

‘ Yang, Suhaila dan Arissa sudah lama benar berkawan. Adik Suhaila sudah jadi seperti adik Arissa. Cucu kita sudah jadi semacam anak-anak buah Suhaila. Jadi, apa pula yang peliknya kalau anak-anak Suhaila sudah dianggap seperti anak-anak Arissa pula?’ Encik Zainal cuba membentangkan hujah.

Puan Maimon hanya diam sahaja. Apa yang dikatakan oleh suaminya masuk akal juga. ‘ Perasaan saya sahaja agaknya,’ katanya untuk memujuk hati sendiri.

Sebenarnya, Encik Zainal juga berasa tidak sedap hati namun, bagaimana dia ingin memberitahu Suhaila dan Bilal supaya tidak kerap datang ke rumah mereka kalau sebelum ini tidak pernah jadi isu? Bagaimana mahu diterangkan tujuannya menghalang kedatangan mereka semata-mata kerana perasaan tidak sedap hati? Itu belum lagi masuk bab anak-anak kecil Suhaila. Kalau ingin dikhabarkan pada Arissa pun apakah hujahnya?

Kacau.

Ketika ibu bapa Arissa bergelut memikirkan tentang keluarga Bilal dan Suhaila, wanita itu juga sama. Hati Arissa terasa marah meluap-lupa bila mengingatkan kata-kata Suhaila sebentar tadi:

‘ Kau mahu pesan baju budak-budak? Untuk apa Arissa?’ Suhaila bertanya sambil nampak seolah-olah ingin ketawa.

‘ Eh you ini. Mestilah untuk anak-anak buah Arissa,’ Bilal menyampuk, ada riak kurang senang di wajah mereka.

‘ Betul juga. Kau kan mana ada anak-anak sendiri lagi,’ kata-kata Suhaila diakhiri dengan ketawa mengilai.


Merah padam muka Arissa bila diperlakukan oleh Suhaila begitu. Dari ekor mata, dia dapat melihat yang Bilal sedang memerhatikan wajahnya dengan wajah serba-salah. Entah apa agaknya perasaan memperisterikan wanita mulut lepas seperti Suhaila.

‘ You..’ Bilal menegur dengan nada penuh amaran.

‘ Bukankah apa yang I cakap ini betul? Baju bukan untuk anak-anak sendiri sebab dia belum bernikah,’ Suhaila meneruskan bicara seolah-olah Arissa tidak wujud. Terasa mahu menangis bila diperlakukan sebegitu rupa, lebih-lebih lagi di orang lain.

Disebabkan tidak tahan dimalukan sebegitu rupa, Arissa terus angkat kaki namun cawan yang digunakan kedua-dua rakannya dibiarkan sahaja. Mulalah hati berbisik yang macam-macam yang tidak enak.

Dari dapur, Arissa meninjau ke arah meja makan. Dilihat hanya Bilal sahaja yang tinggal di meja manakala Suhaila pula sudah mengelek anak yang paling kecil. Melihatkan keadaan Suhaila berdiri, ia kelihatan seperti rakannya itu sudah mahu minta diri.

‘ Bagus. Duduk lama-lama pun makin menyakitkan hati,’ bisik hati Arissa.

Bukan sahaja Arissa, malah Bilal terasa. Terasa geram betul dengan perbuatan isterinya dan jatuh kasihan kepada Arissa. Entah apalah yang Suhaila tidak puas hati hingga perlu diperlakukan sahabat yang sudah menjadi kawan berbelas tahun lamanya seolah-olah Arissa tidak mempunyai perasaan.


‘ Senyap sahaja, kenapa pula ini?’ Suhaila menegur Bilal ketika di dalam perjalanan pulang.

‘ Nantilah kita borak. Anak-anak ada di belakang,’ Bilal menjawab tanpa memandang wajah isteri. Jatuh egonya bila Suhaila buat perangai begitu, bak kata orang, tidak pandai bawa diri.

Suhaila yang duduk di tepi hanya diam sahaja. Pastinya dia sudah tahu apa yang bakal berlaku kerana Bilal jarang begitu, melainkan bila mereka mahu membuat keputusan yang besar contohnya seperti mahu membeli rumah.  

Namun, apa yang dijanjikan oleh Bilal tidak dikotakan. Janji untuk berbual dengan Suhaila dibiarkan sahaja berlalu kerana ada sesuatu yang sedang dirancangkan.

                                                             ***

‘ Eh, itu bukankah itu kereta Bilal?’ Arissa yang sedang mencangkung sambil dikelilingi pokok-pokok bunga terus terbangun. ‘ Apa yang dia buat di sini?’

‘ Itu Bilal yang datang bukan?’ suara Encik Zainal menyampuk dari belakang Suhaila. ‘ Bilal! Awal pula kamu datang. Kamu beritahu tadi mahu datang selepas Asar?’

Lega rasa hati Arissa. Entah mengapa, hatinya rasa tidak senang bila melihat kereta Bilal masuk ke bahagian depan kedai.

‘ Pakcik, maaflah datang cepat sedikit. Saya keluar awal hari ini, selepas mesyuarat terus ke mari,’ Bilal menyambut tangan Encik Zainal sambil tersenyum lebar. Dengan jelas, Arissa dapat melihat mata Bilal memandang ke arahnya.

‘ Ouh. Marilah masuk sekejap. Kita minum-minum dulu?’ Encik Zainal terus memaut bahu Bilal untuk masuk ke bahagian dalam kedai.

‘ Arissa?’ Bilal memberikan pelawaan ajak-ajak ayam. Arissa dengan sopan menolak ajakan Bilal dengan senyuman.

Dari satu petang, lawatan Bilal sudah semakin kerap ke rumah Arissa. Dalam seminggu, suami Suhaila melawat mereka sekeluarga dua hingga tiga kali seminggu dengan pelbagai alasan. Kadang-kala, memang ada Suhaila memberitahu yang Bilal akan datang dengan anak-anak mereka. Malah, Suhaila juga turut datang sama tetapi dia sudah semakin berubah. Kalau dahulu, tidak pernah komputer dibawa sama ke rumah Arissa tetapi kini, telefon dan komputer tidak pernah lepas dari genggaman. Malah, beberapa dokumen yang tebal-tebal turut dibawa bersama. Ketika Bilal dan anak-anak sedang duduk bersama keluarga Arissa, Suhaila menumpang di meja-meja yang kosong untuk menyiapkan kerja.

                                                             ***

‘ Su..’ Bilal menyapa dengan manja pada satu malam. Suhaila hanya duduk membatu di kerusi dengan tangan tetap rancak menekan papan kekunci sambil sesekali menyelak helaian kertas.

‘ Hmm?’ Suhaila mengintai dari balik cermin mata, itupun hanya sekilas sahaja.

‘ Banyak lagikah kerja you?’ Bilal masih mencuba. Selalu benar dia tidur terlebih dahulu daripada Suhaila. Beberapa kali juga Bilal tertidur di bilik anak-anak.

‘ Banyak lagi. Kenapa? Oh sebelum saya terlupa, awak temankan saya ke majlis perjumpaan rakan-rakan sekolah Sabtu ini?’ Suhaila kini memandang tepat ke wajah Bilal.

‘ Hurm…anak-anak?’ Bilal bertanya. Suhaila bersekolah di Kedah dahulu. Kalau boleh, Bilal tidak mahu mengheret Tariq yang masih kecil. Dia sanggup tinggal di rumah untuk menjaga anak-anak mereka.

‘ Kita bawalah sekali, mengapa?’ nada suara Suhaila sedikit berubah. Ada nada terengsa di situ.

‘ Tetapi, Tariq kecil sangat lagi. You pergi sendiri boleh?’

Dengan jelas, Bilal dapat dengar Suhaila mengeluh. Bunyi keluhan di tengah-tengah perbualan mereka cukup menyakitkan hati. Terasa seperti terus tepat ke jantung Bilal.

‘ Apalah gunanya I ada suami kalau tidak dapat menemankan I? Seorang ke sana ke mari seperti Arissa?’ Suhaila seolah-olah sengaja menekankan suara.

Berdesing telinga Bilal dibuatnya. Dia boleh tahan dengan Suhaila yang sudah semakin sibuk dengan kerja tetapi tidak dengan perangai yang tidak habis-habis mahu mengenakan Arissa.

‘ Kenapa tiba-tiba you heret nama Arissa? Inikan perbualan tentang kita, apa kaitan orang lain pula?’ panas hati Bilal dibuatnya. Sedang bercakap tentang keluarga sendiri tiba-tiba keluar pula nama orang luar.

‘ I bukan heret nama orang, I kasi contoh sahaja,’ Suhaila menjawab bena tidak bena sambil terus mengadap komputer.

‘ Kenapalah you obses sangat dengan Arissa? Apa yang you risau sangat tentang dia?’ kali ini Bilal benar-benar ingin tahu tentang obsesi Suhaila dengan Arissa. Kalau dalam sehari tidak sebut nama Arissa, tidak sah agaknya.

‘ I bukan obses. I hanya beri contoh. Sudah ada contoh yang you kenal sendiri, apa salahnya saya beri contoh?’ Suhaila masih berdegil.

‘ Sudah-sudahlah. Bukan teruk sangat Arissa itu,’ Bilal mula bersedia untuk bangun. ‘ Baiklah. Kita pergi nanti. I masuk tidur dahulu,’ katanya sambil terus berlalu ke dalam bilik. Harapan untuk sama-sama ke kamar dengan Suhaila dikuburkan, diganti dengan rasa sakit hati.

                                                            ***

‘ Bilal, kau kenapa?’ Arissa bertanya, tiada lagi I-you seperti dahulu.

‘ Kenapa?’ Bilal cuba buat-buat bodoh padahal selepas dua minggu Suhaila buat perangai ketika mengajak ke perjumpaan murid-murid lama, hatinya masih berbekas.

Arissa mengeluh. ‘ Apa yang tidak kena sebenarnya?’

‘ Tiada apa-apalah. Semuanya baik-baik sahaja,’ Bilal mengacau air di dalam gelas. Mereka sebenarnya berada di luar, bukan di rumah Arissa atau Bilal. Mereka keluar berdua untuk membeli baju Talhah.

‘ Talhah ma..’

‘ Biarkan dia. Abang saudaranya ada menjaga,’ Bilal memotong kata-kata Arissa. Lagipun, memang abang saudara Talhah ada bersama mereka. Bilal cuma mahu menghabiskan masa dengan Arissa.

Ada rasa canggung di antara mereka berdua namun Bilal cuba untuk mengajak Arissa berbual. Mulanya memang sedikit janggal tetapi lama-kelamaan mereka mula berbual mesra.

‘ Mama!’ kedengaran suara Talhah menjerit dari jauh, berlari untuk mendapatkan Arissa ketika mereka sedang berbual.

‘ Ye,’ Arissa terus mendepangkan tangan untuk menangkap Talhah.

‘ Talhah sayang mama?’ Bilal sengaja bertanya pada anaknya, sengaja mahu menebak hati Talhah. Wajah Arissa jelas terkejut.


‘ Bilal!’ jari telunjuk diletakkan ke bibir, tanda Bilal mahu Arissa diam.

‘ Sayang,’ Talhah memeluk Arissa manakala wanita itu hanya terdiam, tidak mampu berbuat apa-apa.

‘Mari, kita pergi beli baju Talhah,’ Bilal menyambut tangan Talhah manakala tangan yang sebelah lagi dibiarkan untuk dipegang oleh Arissa.

Bila Arissa sudah berdiri, perlahan Bilal berkata,’ Biarlah aku teman kau. Suhaila selalu sebut kau sentiasa sendiri. Aku sedang tolong kau ini.’

Dengan kata-kata Bilal, Arissa tersenyum.

Kali ini, Bilal nekad. Bukankah Suhaila sendiri sering sahaja menyebut akan nasib Arissa yang selalu sendiri sampaikan terasa sudah seperti menjadi masalah Suhaila pula? Kalau ditegur pun tidak makan tegur, nah, ini hadiah. Biar semua orang senyap.


                                                            ***

Ada sebab kenapa Bilal tidak teragak-agak untuk bawa Arissa keluar kerana hajatnya sudah disampaikan kepada Encik Zainal. Perbuatan Suhaila yang semakin menyakitkan hati perlu dihentikan segera.

‘ Kamu sudah habis fikirkah Bilal?’ Encik Zainal bertanya kepada Bilal, untuk kali yang entah keberapa.

Bilal masih tersenyum.

Rasa lemah jantung Encik Zainal tetapi dia tidak mempunyai sakit jantung. Jadi, apakah sakit yang dialami dekat dengan jantung?

‘ Tetapi kamu muda lagi,’ Encik Zainal terasa seolah-olah ada butiran peluh merecik di dahi. Dia tahu, Puan Maimon sudah ingin pengsan di dalam bilik. Apa yang ditakuti sudah terjadi.

‘ Ya, pakcik. Saya sedar.’

‘ Suhaila bagaimana?’ banyak yang difikirkan waktu ini. Kata-kata orang sekeliling, keluarga mereka, keluarga Bilal, keluarga Suhaila. Ya, yang terakhir itu paling ditakuti.

‘ Pakcik, jangan risau. Itu biar saya uruskan,’ Bilal bersuara dengan tenang.

Jantung seolah-olah berdegup lebih laju sehingga tulang rusuk Encik Zainal terasa bergegar kuat. Pastilah tenang bagi pihak Bilal tetapi nama baik keluarga mereka bagaimana?

‘ Bukankah saya sudah pesan?’ seperti terdengar-dengar suara Puan Maimon.

‘ Bilal, biar pakcik bincang dengan Arissa dulu, ya? Usah hantar rombongan lagi,’ Encik Zainal cuba melengahkan waktu. Bilal hanya mengangguk menandakan dia faham.

‘ Babah, ini Mama Arissa buatkan,’ Talhah yang semakin petah mendekati Bilal sambil menatang piring kecil berisi karipap.

‘Mama Arissa. Apa sahaja yang sedang berlaku, mungkin sudah lama dirancangkan,’ getus hari Encik Zainal. ‘ Suhaila pun panggil Arissa dengan panggilan yang sama.’

‘ Pakcik, pakcik ok?’ Bilal bertanya sebaik sahaja sehelai sapu tangan dikeluarkan dari kocek Encik Zainal sebelum dilekapkan ke dahi.

‘ Ok. Pakcik tidak apa-apa,’ Encik Zainal berbohong.

‘ Pakcik akan OK kalau kau tidak datang tadi,’ itu sebenarnya yang ingin diluahkan.


                                                            ***

Terasa lemah seluruh badan Suhaila. Orang ramai yang datang semuanya menerpa ke arah Suhaila sambil memuji-muji tentang kemuliaan hatinya. Semua pujian diterima dengan senyuman tetapi tiada siapa yang tahu betapa remuk hati di dalam.


Waktu Bilal menghulurkan borang, Suhaila bagaikan tidak percaya.

‘ Apa ini?’ Suhaila bertanya sambil mulut ternganga luas. Bilal hanya tersenyum lebar, tidak memberi apa-apa penjelasan.

Memikirkan bahawa borang yang diberikan adalah borang permohonan pra-sekolah Talhah, kertas yang dihulurkan disambut dengan gembira. Senyuman yang lebar pada mulanya, semakin lama semakin pudar dari bibir. Bila sampai di penghujung borang, suara dan tangan Suhaila bergetar dengan kuat.

‘ Apa ini you?’ lemah sahaja suara yang terlompat keluar dari bibir Suhaila.

‘ Bukankah awak selalu risau Arissa tidak mempunyai teman, tidak seperti awak?’ Bilal menjawab dengan lancar.

‘ Pengantin sampai!’ terdengar jeritan dari luar. Suhaila terasa mahu lari ke dalam bilik bila mendengar perkhabaran tentang pengantin. Tidak sanggup rasanya mahu melihat suami sendiri dalam busana pengantin berdiri dengan teman baik sendiri.

‘ Kalau kami kahwin nanti, tidak perlulah you sebut-sebut lagi Arissa tidak ada yang menemankan. I kan ada.’

‘ Ibu! Ibu! Mama dengan babah sudah sampai. Cantiknya mama!’ Talhah menepuk-nepuk bahu Suhaila dengan gembira.

Kalaulah..kalaulah boleh, memang Suhaila ingin meraung sekuat-kuat hati.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) best la Ucu...

    tapi la ni kena isi borang ke nak minta kebenaran kahwin lagi satu?
  • 2) Borang permohonan kahwin je kut Kak sal. Bilal nak kasi Suhaila baca.
    Baguslah Bilal, bantu membantu. Emmm. Saya sokong! Respek!

Cerpen-cerpen lain nukilan uculer

Read all stories by uculer