Ralit di Sebuah Pasaraya

 

Stereng keretanya dipusingkan untuk membelok masuk ke aras letak kereta sebuah pasaraya. Selepas menyelaraskan posisi kereta lurus dan tepat di dalam kotak, dia menolak batang gear ke posisi neutral, kaki kirinya melepaskan klac dan tangan kirinya menarik brek tangan. Dia mencapai earphone dan disumbatkan ke sepasang telinganya. Jarinya pantas menekan klik pada ikon F berwarna biru. Akaun media sosialnya muncul di paparan skrin telefon. Wadi mematikan enjin kereta, mencabut kuncinya dan membuka pintu.

Selepas kembali menutup pintu kereta, Wadi menekan butang lock pada kunci keretanya. Dia berlenggang berjalan menuju pintu masuk utama pasaraya sambil sepasang matanya ralit menonton video-video yang berlonggok di dalam media sosial. Satu demi satu.

Adakalanya Wadi tersengih-sengih, adakala dahinya berkerut, adakalanya dia tidak dapat menahan dari tertawa kerana kandungan video yang menurutnya sangat lucu. Cuma ketawanya itu terkepit-kepit. Ditahan-tahan supaya tidak terburai besar. Begitu. Sekurang-kurangnya Wadi masih punya rasa canggung untuk ketawa terbahak secara solo di hadapan khalayak.

Hari ini adalah hari ke-45 perintah kawalan pergerakan atau kata akronimnya itu PKP. Satu perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan sebagai usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Baik virus, baik PKP, ternyata krisis yang berlaku sekarang telah mengubah gaya hidup semua orang. Wadi sendiri sebagai ketua keluarga memikul tanggungjawab untuk keluar seminggu sekali merisikokan diri demi membeli keperluan dapur terutamanya barang-barang basah seperti lauk dan sayur. Mujur bukannya dia tidak biasa.

Seperti selalu, tangan Wadi automatik menyambar sebuah troli yang sememangnya bersepah-sepah mengisi setiap ruang dalam keadaan yang tidak tersusun. Tenang Wadi menolaknya masuk ke dalam satu barisan orang ramai. Sepanjang tempoh PKP, inilah satu-satunya pasaraya yang dikunjungi Wadi. Mudah kerana semua kelengkapan basah dan kering tersedia dan mencukupi. Dikhabarkan setiap hari orang ramai sanggup beratur dalam satu barisan yang sangat panjang menunggu giliran sebelum dibenarkan masuk membeli belah.

Tatacara membeli belahnya pula ialah setiap pelanggan hanya diberi masa 25 minit untuk menyiapkan proses pembelian dan hanya seorang saja wakil keluarga dibenarkan masuk. Sistem ini menyebabkan masa membeli belah menjadi terhad namun ianya menjadikan pelanggan fokus dan hanya mengambil barang-barang yang ada di dalam senarai pembelian mereka sahaja. Selain itu, ianya juga berjaya mengawal penjarakan sosial di pasaraya.

Sepasang mata Wadi masih lagi tertumpu pada skrin telefon. Ralit benar nampaknya. Selesai menonton, dia akan menolak-nolak skrin ke atas menggunakan jari telunjuknya. Mana-mana video yang ditolaknya itu menandakan Wadi tidak berminat dengan kandungannya. Kemudian dia terus mencari, apa lagi video menarik yang boleh mencetuskan kelucuan seperti video berjudul "Masalah Pisang" yang baru ditontonnya tadi.

Senak perut Wadi menahan tertawa akibat telatah pelakon-pelakon Tamil yang bertelingkah tentang pisang. Ceritanya lebih kurang begini, lelaki A beri lelaki B seringgit dan minta lelaki B beli dua biji pisang dengan wang tersebut. Malangnya yang tiba di tangan lelaki A kemudiannya hanyalah tinggal sebiji pisang, lalu persoalan di mana dan apa yang berlaku pada sebiji lagi pisang berjaya mencetuskan jenaka yang cukup-cukup melucukan. Begitulah Wadi mahu menonton lebih banyak video-video dengan kandungan sepertinya buat membunuh kebosanan.

Sekali-sekala Wadi menyorong trolinya maju ke hadapan apabila dia terasa seperti ada ruang kosong. Satu meter demi satu meter. Penjarakan sosial perlu dipatuhi. Lebih penjarakan lebih baik. Sekarang bukan lagi waktu untuk beramah mesra dan bersentuh-sentuhan sesama manusia. Setiap manusia adalah potensi pembawa virus. Sekurang-kurangnya itulah matematiknya mengikut akal Wadi.

Meskipun ralit menonton video, terlintas juga di fikiran Wadi bahawa dengan panjangnya barisan pelanggan sekarang ini, maka mungkin akan memakan masa sehingga dua jam untuk berbaris sahaja menunggu giliran masuk. Untuk berbaris sahaja menuntut masa yang lebih lama daripada membeli belah. Beginilah realiti kehidupan di zaman krisis.

Menambah malang lagi, video-video yang ditonton Wadi semakin lama semakin hambar. Tidak lagi lucu, malah adakalanya terasa cukup terang palsunya. Akibatnya kebosanan Wadi yang terhadang sementara tadi terus tumpah membuak-buak. Lagi pula sepasang kakinya terasa lenguh akibat terlalu lama berdiri. Wadi mencabut earphone dari telinganya, mencari kesedaran luaran. Lalu seperkara yang baru hadir lantas serta-merta menimbulkan persoalan di dalam kepala Wadi ialah mengapakah pasaraya ini sunyi?

Hening, senyap, bisu. Tidak ada suara. Yang ada hanyalah bunyi dengung pendingin hawa yang menghembuskan keluar angin dingin dari mulutnya serta dengung lampu-lampu yang matanya memancarkan cahaya untuk menerangi setiap ruangan pasaraya dari siling sehinggalah ke lantainya.

Wadi mengangkat kepala, membawa pandangan ke sekeliling kiri dan kanannya. Tidak ada sesiapa. Di hadapannya sudah nyata tidak ada sesiapa. Dia menoleh ke belakang, juga tidak ada sesiapa.

Keramaian yang tadi dirasakannya tidak ada. Apakah baru tidak ada? Apakah memang sedari tadi tidak ada? Wadi terpinga-pinga kebingungan.

Begitu pasaraya terbuka seperti selalu dengan longgokan pelbagai barang-barangannya yang tersusun rapi.

Tetapi barisan panjang seperti selalu? Tidak ada. Atau dalam erti kata lain sebenarnya tidak ada barisan. Wadi terus-terusan terpisat cengang. Otaknya bekerja keras berfikir apabila mendapati rupanya cuma dirinya yang berbaris? Seorang diri? Apakah memang sedari tadi aku berbaris seorang diri? Apakah ertinya ini? Di mana keramaian tadi? Apakah ini sejenis jenaka? Prank?

Beberapa detik kemudian apabila Wadi perasan seperti bayang-bayang besar menghampirinya, suasana di pasaraya berlabuh suram. Sewaktu bayang-bayang itu mahu memeluknya, barulah bulu roma Wadi saling tegak berdiri. Memang Wadi cemas namun tubuhnya beku, memang telefonnya berdering namun dia tidak lagi dapat menggerakkan apa-apa walaupun cuma sebatang jari. Airmata Wadi mula berputik, mengembang seperti belon yang ditiup lalu pada berat yang betul ia tidak lagi dapat menggeluti graviti lantas mengalir merembesi wajah.

Kemudian apabila titisan pertama airmata Wadi itu menyentuh permukaan lantai pasaraya, bayang-bayang tadi sudah lengkap menyelimutinya.

Karya asal Ben Nizari

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen COVID-19

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan rebelliben

Read all stories by rebelliben