Cerita ini mengenai dua orang insan. Kisah antara seorang lelaki
dan seorang wanita. Lelaki itu adalah seorang yang baik hati, penyayang dan
tipikal lelaki yang disayangi oleh kebanyakkan wanita samada tua atau muda.
Wanita itu juga mempamerkan sifat wanita yang menjadi kegilaan para lelaki;
lemah lembut, halus tutur katanya dan elok kelakuannya.
Kisah mereka bermula apabila wanita berkenaan dikecewakan oleh
lelaki yang digilainya lantas tidak tertanggung rasanya sakit di hati. Sakitnya
bukan kepalang, jikalau mengambil nyawa sendiri itu tidak berdosa besar nescaya
telah lama dia menikam hatinya sendiri biar hilang segala sakit yang
meruap-ruap. Lelaki itu datang pada masa dia perlukan seseorang, perlukan teman
menceritakan derita hatinya. Wanita itu ditinggalkan di hari ulang tahun
lahirnya; hari dia mahu meraikan detik-detik itu bersama orang yang tersayang
tetapi nyata berbeza apa yang terjadi. Lelaki berkenaan meninggalkan pesan yang
cukup ringkas: "Selamat Hari Lahir, semoga bahagia sentiasa hendaknya".
Dari sebuah pesanan ringkas, mereka berutusan ratusan pesanan. Pada mulanya
cuma sekadar pesan-pesan berbasa basi, mengenali diri sang jejaka. Akhirnya
mereka membuka hati masing-masing dan menyelami rasa tanpa sedar mereka bertaut
mesra. Wanita berkenaan mahu meneruskan hubungan mereka kepada satu tahap yang
lebih serius tetapi hatinya gusar akan kejadian yang menimpa dirinya sebelum
ini. Ragu membiak dihatinya, lantas dia diamkan sahaja biarpun dia seakan-akan
dapat membaca lelaki itu juga mempunyai keinginan semacam dihatinya.
Ketika mereka bersama di perpustakaan, lelaki berkenaan
mengeluarkan sehelai kertas. Barangkali mahu mencatit nota atau membuat
pengiraan, fikir wanita berkenaan. Lelaki berkenaan mencuit temannya dan
menghulurkan sebatang pen.
"Lukiskan satu garis." tutur lelaki itu.
Wanita itu melukiskan satu garis merentangi kertas berkenaan.
Lelaki itu kemudian mengambil pen berkenaan dan membuat satu lagi garisan
merintangi garisan yang dibuat oleh temannya.
"Nah, apa yang kamu nampak?" tanya lelaki itu.
"Tanda pangkah la."
balas temannya.
"Hehehe. Pandai pun kamu. Apa yang kamu faham pada tanda
pangkah ini?" tanya lelaki itu lagi.
Temannya bingung sendiri. Apa yang dia cuba lakukan? monolog hati wanita itu sendiri.
"Hrrmmm...tanda pangkah ni biasanya untuk menanda
kesalahan." wanita itu memberikan jawapan.
"Ok. Biar saya terangkan apa yang saya nampak dari tanda
ini." ujar lelaki berkenaan.
"Saya nampak tanda pangkah ini adalah ibarat hubungan
kita." ujar lelaki itu serius sambil tertunduk. Lelaki itu menghelakan
nafas, mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.
"Apakah perhubungan kita ini salah? Begitu?" empangan
air terbina di kelopak mata wanita itu. Lantas dia tundukkan kepala. Dihatinya,
dia sudah mengetahui bahawa lelaki berkenaan tidak berkongsi visi yang
dimilikinya. Pantas dia berlari keluar dari perpustakaan berkenaan. Lelaki itu
terpinga-pinga. Lelaki itu mengambil barang-barang temannya itu dan pulang ke
bilik. Beberapa kali dia cuba
menghubungi wanita itu tetapi tidak dilayannya. Pasti remuk rendam hati wanita
itu. Lelaki itu mengeluh sendiri. Akhirnya barang-barang milik wanita itu
dipulangkan melalui sahabat yang terdekat.
Hari berganti, musim bertukar.
"Nana nak yang tu." Nana mengacungkan jari kecilnya ke
arah aiskrim perisa vanila.
"Nana takmo cuba
yang lain ke?" ujarnya kepada Nana.
"Takmo! Nana suka aiskrim ni je." ujar Nana. Matanya
bersinar-sinar sambil ralit memerhatikan pembantu kedai aiskrim itu meletakkan
aiskrim ke atas kon.
Ketika tangannya mencapai helaian kertas di dalam dompet untuk
membuat bayaran, kedengaran suara yang biasa didengarinya lama dulu.
"Saya nak perisa strawberi ye. Nak dalam cawan ye." ujar
suara berkenaan.
Terdetik hatinya mungkinkah benar apa yang didengari sambil dia
mengangkat kepalanya. Wajah itu sedikit berubah tetapi rautnya masih sama
seperti dahulu.
"Eh...awak. Masih ingat saya?" tanya dia kepada wanita
itu.
Terpempan wanita itu. Memori usang dikuak-kuak dari kotak fikiran
dan menerjah sedar. Rempuhan emosi terlalu pantas, nyaris matanya kabur dengan
air mata melihat lelaki yang suatu ketika dahulu menidakkannya.
"Hi, saya Nana. Akak ni lawa la." tegur Nana menghentikan lamunan
wanita itu.
Mesti anak dia. Rupanya
dia dah kahwin. Refleks tindakan
mindanya memikirkan kemungkinan itu dan secepat itu juga kolam air matanya
bakal pecah lagi. Dia cepat-cepat menarik kakinya untuk meninggalkan lelaki
itu.
"Eh awak, tunggu." panggil lelaki itu separuh
menjerit.
Kakinya lebih pantas cuba melarikan dari lelaki itu.
Tidak dia mampu berdepan lagi dengan lelaki berkenaan. Langkahnya terhenti,
tangannya dipegang. Ah..sudahlah. Lepaskan aku. Cuma mampu
terjerit dihatinya.
"Tunggu. Tolong jangan pergi." kata lelaki itu lembut.
"Tolong pandang saya, saya masih hutang awak beberapa
perkara." masih kedengaran suara lembut itu merayu dia.
Separuh terpaksa, dia memusingkan mukanya menghadap lelaki itu.
Senyum manis yang sentiasa dia rindui itu masih terukir di wajah lelaki itu.
Hatinya pedih apabila melihat Nana disisi lelaki berkenaan.
"Kenapa awak nak lari ni? Macam nampak hantu je." lelaki
itu cuba
berlelucon tetapi hanya mati dibawa pergi angin. Suasana amat tegang antara dia
dan lelaki itu. Lelaki itu melepaskan pegangan tangannya.
Lelaki itu mengeluarkan sehelai kertas dari dompetnya. Tadi kata
ada hutang, bila masa pulak dia berhutang dengan aku ni? monolog hati wanita
itu berterusan.
"Masih ingat ni?". Lelaki itu menayangkan sehelai kertas
bertanda pangkah, segar kembali memori wanita itu terhadap memori dulu; saat
dia dikecewakan. Dia cuba
meninggalkan lelaki itu tetapi sekali lagi lelaki itu menahan.
"Tunggu dulu. Saya tak habis cakap lagi. Kalau benar pun awak
tak suka duduk menghadap muka saya ni, dengar dulu apa yang saya cuba
cakapkan." ujar lelaki itu.
Wanita itu berdebar-debar menantikan perkara yang bakal
diperkatakan oleh lelaki itu. Lelaki itu masih lagi memegang kertas nan satu
itu.
"Awak tahu apa maksud tanda ni?" tanya lelaki itu.
Soalan yang lebih kurang sama ditanyakan oleh lelaki itu suatu masa
dahulu.
"Saya faham kalau awak tak suka kat saya. Terus terang saje la." balas wanita
itu agak kasar.
Lelaki itu cuma senyum. Senyum tenang yang buatkan hati wanita itu
berdetik lagi.
"Itulah perkara yang saya masih hutang pada awak. Sebenarnya
bila saya beritahu awak yang saya lambangkan tanda ni bersamaan perhubungan
kita, banyak lagi yang saya nak terangkan pada awak. Tolonglah dengar, mungkin
buat kali terakhir." suara lelaki itu semakin perlahan menuju ke
hujungnya. Dia menarik nafas panjang bagai mahu dicarikkan seluruh isi kekuatan
dunia buat membantunya.
"Di antara dua garis ini terdapat satu titik persilangan.
Titik persilangan yang menemukan garisan hidup saya dan garisan hidup awak.
Bila garis kita bersilang, kita dipertemukan oleh takdir dan dengan itu saya
bertemu dengan awak di universiti dulu. Malangnya seperti juga mana-mana
garisan yang bersilang, pasti akan berpisah mengambil haluan masing-masing. Dan
itu yang terjadi kepada kita, bilamana awak tinggalkan saya." Ini kali
pertama wnaita itu diperdengarkan dengan penjelasan yang bertahun dipendam oleh
lelaki berkenaan. Kolam air matanya kembali penuh, retak-retak emosi menuntun
kolam air mata itu bakal pecah lagi.
"Dulu saya percaya bahawa kerana kita ini berada diatas muka
bumi yang bulat ini maka saya percaya garis hidup saya dan garis hidup awak
akan bersilang lagi disuatu masa yang saya tahu saya perlu menerangkan kepada
awak mengenai ini. Sehingga saat ini, saya masih percaya saya akan berjumpa
dengan awak lagi dan Tuhan makbulkan doa saya yang satu ini. Cuma...." lelaki
berkenaan kembali menghela nafas panjang, mencari saki baki kekuatan yang masih
bersisa.
"Cuma saya harap kali ini titik pertemuan itu akan tamat
disitu tanpa perlu garis hidup saya dan garis hidup awak menjelajah waktu dan
usia untuk bertemu lagi. Saya.....amat cintakan awak. Dari dulu sehingga kini.
Tidak sepicing hati saya terarah kepada wanita lain selain daripada awak selama
selang waktu." lelaki itu akhirnya mampu bernafas kembali, seolah beban
yang terletak dipundaknya selama ini dibebaskan dan bakal menenggelamkan hati
wanita yang dicintainya; yang berdiri kaku dihadapannya.
Wanita itu terpempan oleh penjelasan lelaki itu. Perlahan bibirnya
digerakkan sambil belakang telapak tangan kirinya dipusingkan menghadap lelaki
itu. Sebentuk cincin belah rotan di jari manis wanita berkenaan.
Jelas lelaki itu melontarkan wajah pasrah. Wanita itu perlahan
menyatakan satu perkara yang paling tidak mahu dilintasi di telinga lelaki
itu.
"Maafkan saya awak, saya sudah bertunang dan bakal berkahwin
hujung tahun ni." kolam air mata yang ditakung seberapa lama yang boleh
tidak tertahan lagi oleh wanita itu. Sayunya hati wanita itu mungkin hanya
Tuhan sahaja yang mengerti.
Lelaki itu menarik tangan wanita itu dan menyerahkan kertas itu. Simpan
elok-elok untuk saya, sebagai satu kenangan bahawa garisan hidup saya dan
garisan hidup awak pernah bertemu suatu ketika dulu; itulah yang terucapkan oleh senyum
lembut dan renungan mata lelaki itu. Lelaki itu memandang kepada Nana dan
sambil berlalu dia sempat mengucapkan kepada wanita berkenaan suatu ucapan yang
tidak berkesempatan dia ucapkan dulu, mungkin juga kerana hatinya masih menaruh
harap maka tidak diucapkan dulu;
"Selamat tinggal. Terima kasih kerana hadir dalam hidup
saya."
Wanita itu masih terpempan tidak percaya bahawa lelaki yang pernah
dia cintai dulu berlalu begitu sahaja. Ah...dia sudah berkahwin dan mempunyai
zuriat, aku perlu lepaskan dia pergi. Cincin belah rotan pemberian arwah nenek
yang terselit dijarinya diperhatikan. Maafkan aku Tuhan, aku cuma mahu kebahagiaannya
bersama keluarganya. Maafkan aku wahai lelaki. Wanita itu berlalu sambil matanya
masih memandang sepi lelaki itu berlalu pergi bersama Nana.
---------------------------------------------------------------
"Haaa.....Pak Su buat akak tadi menangis. Dah la tak mintak
maaf. Tak baik tau." ujar Nana sambil memandang tepat ke wajah lelaki
itu.
Lelaki itu cuma ketawa mendengar telahan Nana.
"Jom kita balik ye Nana. Papa dengan mama Nana mesti dah ada
kat rumah dah ni. You're going out for fine dining tonight, young lady
so behave yourself and dress properly." balas lelaki itu sambil
tersenyum kepada Nana.
"I will, Pak
Su." balas Nana. Mata yang jernih itu mententeramkan perasaan lelaki itu.
Senyum indah sang malaikat kecil ini menyejukkan hatinya. Sambil berpimpin
tangan, mereka berlalu ke parking di
tingkat B4.
|