Apakah nostalgia kita ketika menyambut Eid pada zaman persekolahan? Ketika
saya bersekolah di SRK Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, ada beberapa memori
menarik. Saya kira ada yang masih diamalkan sehingga kini.
Para
pelajar sekolah akan dikumpulkan di gelanggang badminton dari darjah
satu hingga darjah enam. Para pengawas mengedarkan salinan lagu Selamat
Hari Raya kepada semua. Baik Melayu, Cina dan India akan menyanyikan
lagu itu bersama-sama. Kertas salinan lirik itu menggunakan kertas
warna coklat, kami namakan kertas gelek.
Pengetua
akan memberikan ucapan dan nasihat (yang cepat dilupakan kurang 24
jam). Tetapi nama mereka masih saya ingat, Mr Chandran dan Puan
Kamariah. Nama Puan Kamariah mudah saya ingati kerana ia memudahkan
saya menghafal hukum tajwid iaitu alif lam Qamariah apabila ustazah
mengajar.
Malah saya pernah tersesat di taman perumahan di
Setapak dan sesat betul-betul di hadapan rumahnya. Maka saya dan
sahabat saya bernama Lutfi paksa rela beraya di rumah Puan Kamariah
yang terkenal dengan kegarangannya.
Kita sambung cerita semula.
Kami
akan beratur mengikut darjah masing-masing. Bersalam-salaman dengan
semua guru. Selesai bersalam-salaman. Acara bersalam-salaman dengan
para pelajar sekolah. Disebabkan ini bukan sekolah agama (para pelajar
sekolah agama bakal beristigfar membaca entri ini), maka pelajar
perempuan akan bersalaman dengan pelajar lelaki. Itu pun dipilih-pilih
siapa yang dia suka siapa yang tidak. Golongan terpinggir atau loser akan duduk di tingkap memandang. Persis kumpulan pra-gengster di sekolah (macam cerita diri sendiri sahaja).
Salah
satu saya ingat adalah Ida Mashani, anak pegawai polis. Dengan baju
kurung putih dan selendang putih, saya kira pada ketika itu jika lagu
Ayu nyanyian V.E sudah dicipta, memang beliaulah yang akan jadi fokus
para pelajar lelaki. Ida akan membalut tangannya dengan selendang putih
dan bersalam. Aduhai, zaman kanak-kanak yang jahil. Tetapi zaman itu
kami tidak didedahkan dengan konsep kejahilan. Perkataan jahil pun
tidak pernah dengar.
Di mana beliau sekarang? Oh sekarang sudah bergelar Puan Ida berkahwin dengan pelajar lelaki yang dikenali ketika zaman sekolah
menengah. Mereka bertemu di Perak dan mendirikan rumahtangga tahun
lalu. Puan Ida kini adalah juru x-ray di Hospital Ipoh. Jika Puan Ida
membaca entri ini, saya masih menantikan koleksi gambar untuk saya
pinjam dan scan. Realitinya, saya tidak ada satu pun gambar ketika zaman sekolah rendah. Tidak ada satu pun.
Kelas
kami dalam sambutan pra Aidilfitri ini pasti tidak meriah tanpa seorang
pelajar perempuan lagi. Beliau mempopularkan kelas kami kerana kakaknya
seorang selebriti. Norsham Rahmat atau dikenali dengan nama popularnya
Betty Rahmat. Beliau adalah adik kepada Erma Fatima dan Umie Aida.
Betty
Rahmat menggilai set alat tulis Garfield. Dari buku, pensil warna
sehinggalah beg semuanya wajah Garfield. Beliau bertambah popular
kerana selalu tidak hadir ke sekolah kerana berlakon dalam filem
Pengantin Popular. Ketika itu dunia hiburan melihat Ogy Datuk Ahmad
Daud, Erma Fatima dan Eman Manan dalam skandal cinta yang berjaya
dijadikan bahan hiburan ketika itu.
Apa lagi ya kenangan pada Hari Raya di SRK Jalan Kuantan?
Oh,
pelajar akan mengedarkan kad Hari Raya. Saya tidak tahu sama ada cara
ini masih popular atau sudah keluar daripada arus perdana. Pelajar akan
menulis pantun;
Pecah kaca pecah gelas Sudah baca harap balas.
Saya
tidak dapat lupakan betapa buruknya tulisan saya menulis kad raya untuk
seorang pelajar dalam kelas. Tulisan besar-besar dan bulat-bulat. Ada
yang kata huruf a saya seperti bentuk sampan, huruf b saya seperti
budak boyot. Entah macam-macam lagi. Memang loser sungguh ketika itu.
Malah
ada juga pelajar gila memberi duit raya kepada kesemua 30 orang pelajar
di sekolah. Pada awal pagi, kami mendapati ada sampul duit raya
berwarna hijau di atas meja kami. Ada wang di dalamnya. Ada yang sudi
bermurah hati memberikan satu sen kepada kami. Sayalah orang itu.
Kami
tidaklah senakal pelajar sekarang yang berani bermain mercun di
sekolah. Masih bertamadun dan rasional meskipun kebanyakkan mereka
datang daripada rumah pangsa Pekeliling yang terkenal dengan rekod
jenayah, dadah dan insiden bunuh diri.
Kenapa saya menulis mengenai kenangan di SRK Jalan Kuantan?
Kerana tiba-tiba jam 12 malam ini saya teringatkanya.
Selamat
Hari Raya. Mahu saya sambung coretan Hari Raya lain? Jika ada
maklumbalas di ruangan komen saya sambung. Bergantung kepada permintaan.
Nota: Saya sangat anti dengan kisah sekolah yang diada-adakan oleh
pengarahnya dan tidak ada ciri keindahan memori pelajar sekolah rendah.
Saya kasihankan para pelakon kanak-kanak yang diperbodoh-bodohkan
dengan memori plastik. Mungkinkah saya perlu menulis novel untuk
menangani isu kepalsuan ini?
Contoh-contoh blogger dari sekolah yang sama dan menghargai memori zaman sekolahnya