Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Insolvensi Hati

Cerpen sebelumnya:
Bangun dan rebah.....
Cerpen selanjutnya:
Mencari malaikat

 

“Hah, kamu semua baca ayat-ayat ni. Renungkan.. Allah menyatakan di dalamnya ciri-ciri orang-orang yang berjaya dan beruntung. Bukan saja berjaya di atas dunia. Bahkan, lebih lagi. Berjaya di akhirat.” Ustazah Kamilah memulakan bicara selepas salam diberi. Cahaya dari overhead transperancy dipancarkan ke arah papan putih yang menjadi skrin. Beberapa baris ayat Al-Quran beserta terjemahannya kelihatan di papan putih. Malam itu, program ceramah mingguan diadakan di bilik perbincangan di sebelah surau. Aktiviti biasa di Sekolah Penuh Cahaya.

 

“Orang-orang yang berjaya? Hm, 11A1 SPM kira berjaya jugak tak? Hehehe..” bisik hati Tasnim sambil mata mula membaca ayat demi ayat yang ada di depannya. “Nampaknya, tak termasuk kategori tu lah. Agaknya, 11A1 tu berjaya dunia aje lah kot.” hatinya menyambung lagi membuat kesimpulan sendiri.

 

“Orang-orang mukmin, mesti bijak. Bijak melihat serta menimbang, nilai antara dunia dan akhirat. Dia tahu, dunia yang serba seronok ni, hanya sementara sedangkan syurga dan neraka yang dijanjikan Allah di akhirat sana kekal abadi. Nikmat di syurga kelak, lebih hebat daripada apa saja yang ada di dunia ni. So, orang mukmin juga mesti kuat hati menghadapi dugaan nafsu dan syaitan.” sambung ustazah muda itu.

 

Tasnim mula membuat satu bulatan yang agak besar di tengah-tengah muka surat buku usrahnya. ‘Orang-orang yang BERJAYA’ ditulis dalam bulatan tadi. Lalu, anak-anak panah kecil dilukis keluar daripada bulatan itu, di hujung setiap anak panah ditulis perkataan-perkataan ‘khusyuk dalam solat’, ‘menjauhi perkara yang sia-sia’, ‘berzakat’, ‘memelihara kehormatan’. “Senang nak ingat macam ni.” hati Tasnim berkira-kira.

 

“Bijak ustazah cakap? Oo..Padanlah orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati,kan? Sebab dia tahu, mati tu hanya transit dan dia tengok lebih jauh lagi. Dia intai-intai apa yang ada di penghujung jalan selepas alam kubur tu.” Hati suci tujuh belas tahun itu mencongak. Lantas, di bawah muka surat itu ditulisnya ‘PS: orang yang paling bijak ialah orang yang selalu mengingati mati’.

 

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (iaitu) Orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya (kehormatannya). Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di luar daripada itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Al-Mu’minun 23:1-7.

 

            “Tak nak lah, Kim..” perlahan suara Tasnim. Tenggelam timbul suaranya antara dengar dan tidak. Malam itu, selesai konferens di Hotel Gurney, Pulau Pinang, Tasnim naik ke biliknya. Penat. Mujur konferens selama dua hari itu cepat berlalu. Kerana konferens itu juga, dia menginap di hotel tersebut. Malas nak berulang setiap hari dari Gurney Drive ke Pekaka.

 

            Selesai pembentangan sesi petang, Tasnim menerima satu kiriman SMS. “Honey Tee, petang ni lepas Kim abis keja, Kim pegi Hotel Gurney, ok. Kim rindulah.” Pendek SMS yang dihantar Hakim. SMS yang dibaca lewat dua jam akibat telefon dimatikan untuk memberi tumpuan kepada pembentangan yang berlangsung. Tahu-tahu sahaja, Hakim, buah hatinya tercegat di lobi hotel, tersengih-sengih.

 

Hakim, insan yang berjaya mencuri hati Tasnim. Insan yang amat disayanginya. “I’d do anything for you, Kim.” terucap di bibirnya suatu ketika dulu. Pertemuan mereka di lobi hotel petang itu, melarat ke bilik. “Kim nak teman Honey Tee la, kesian Honey Tee sorang-sorang kat sini. Kita sembang-sembang je.” senyum membunga di wajah Hakim. ‘Tee’ untuk Tasnim, dimudahkan dan dimanjakan lagi menjadi Honey Tee. Dan Honey Tee percaya apa saja kata-kata Hakim.

 

            Asalnya, mereka duduk-duduk saja di sofa. Berbual kosong. Apabila penat makin menjalar di tubuh Tasnim, dia minta diri untuk merebahkan badan di katil. Sangkanya, Hakim akan pulang ke rumah sewanya di Bayan Lepas malam itu. Tapi, “Kim teman Honey Tee lah malam ni. Tumpang tidur sini eh? Malas nak drive balik. Dah lewat ni.” selamba Hakim menuruti langkah Tasnim ke katil.

 

            “Hey, jangan la buat muka garang tu. Gerun tau tak? I’m not gonna do anything to you. Trust me, ok?” sambung Hakim lagi, membalas pandangan curiga Tasnim. Dia cuba mencari kejujuran dalam bicara pujaan hatinya. “Hm, tak buat apa-apa, tak pe kot.” hati kecil Tasnim mengizinkan. Dan malam itu, buku log malaikat penjaganya bakal tertulis sesuatu yang tak pernah tercatat di lamannya selama 25 tahun hidup Tasnim.

 

“Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.” Al-Mu’minun. 23:8-11.

 

            Anak panah ditambah lagi, ‘amanah dan menepati janji’ dan ‘memelihara sembahyang’ ditulis di penghujungnya. Tasnim tersenyum membaca nota ringkas itu. Harap-harap aku termasuk dalam golongan orang-orang mukmin yang berjaya. ‘Kekal dalam syurga Firdaus’ ditulis di atas penjuru kanan muka surat itu dan dihighlight.

 

            Nafas Hakim kedengaran begitu hampir. Jantung Tasnim berdebar. “Apa Hakim ni, kenapa rapat sangat ni?” Tasnim bimbang. “Tak nak lah, Kim.. Kim nak buat apa ni?” suara Tasnim tenggelam dalam sinaran lampu tidur yang malu-malu mahu menyala. Hakim makin hampir. “Kim, apa ni..” Hati Tasnim berkencang laju, meninggalkan sedikit demi sedikit logik akal dan rasional.

 

“It’s ok baby. I just wanna be close with you. I’m not gonna screw you. I swear..” lafaz sumpah Hakim sumbang. Rasional Tasnim tumbang.

 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” Ar-Ruum. 30:21.

 

            “Nampak tak kat sini. Allah kata, rasa kasih sayang tu akan dianugerahkan Allah pada pasangan suami isteri yang halal. Sampai kita pun akan rasa cenderung, tenteram dan selesa di antara satu sama lain. Allah tak cakap pun, cinta dan kasih sayang tu untuk pasangan kekasih, kan?” Kak Iffah berhenti memerhatikan wajah tujuh orang adik-adiknya dalam program usrah kelompok itu. Kak Iffah, naqibahnya menyambung lagi, “Kalau dengan pasangan bercinta, atau senang kita panggil ‘couple’ ni, asyik rasa tak tenteram je. Bila berdua, syaitan mesti datang menyibuk jadi orang ketiga, mana nak tenang, kan adik-adik? Lagi pun, hati yang sentiasa khauf dan roja’, iaitu takut dan mengharap pada Allah sentiasa berhati-hati agar tak melakukan dosa.”

 

            “Tu dia, dia bukak dah topik favourite sekolah ni. Macam ada pengalaman je Kak Iffah ni..” Tasnim tersengih-sengih dalam hati. Memang, entah apa sebabnya, gemar sungguh kakak naqibahnya bagi tazkirah pasal couple-couple ni. Bukan naqibahnya saja, yang lain-lain pun serupa, sehati dan sejiwa. Hantuk kepala, bunyi yang keluar sama saja. “Asyik-asyik coupling, cerita la bab lain pulak.” bosan Tasnim pada topik yang satu ni. Topik tak berkesudahan dan bergantung pada pendapat masing-masing katanya. “Ye lah, ada kata haram, ada kata makruh, ada pulak kata bergantung pada penerimaan dan pendapat masing-masing. Tak kurang juga yang kata, asalkan niat ikhlas..Aiseh, niat ikhlas, tapi dosa pahala main bedal je. Confuse jugak. Tak berkesudahan la tu namanya.” ngomelnya sendiri.

 

            Sedang asyik mengomel, Tasnim hilang fokus. Teringatkan senyuman manis menggugat iman yang dilihatnya petang tadi. Senyuman Naim memang manis. Macam bersalut coklat. Walaupun senyuman itu untuk Ahmad yang duduk di sebelahnya, Tasnim yang mencuri pandang pula yang rasa berbunga-bunga. Kaki dah tak jejak bumi. “Tapi, Naim tu alim, baik, naqib lagi tu. Nak ke dia berkawan dengan aku? Tapi kan, camne kalau dia pun suka kat aku. Mesti best kan…hehe..asyik-asyik jumpa dalam kelas ngan English Lab je..bila nak dapat chance sembang-sembang dengan dia eh?” angan-angan Tasnim dah ke mana-mana. “Tasnim….!” Mata Kak Iffah mencerun ke arahnya. Tembus. Terkulat-kulat Tasnim, sengih dan buat muka suci tak bersalah. Macam kembar kerang busuk.

 

Pagi masih awal, tapi mata Tasnim sudah puas beradu. Jam biologinya mengejutkan Tasnim untuk segera bangun membersihkan diri dan bersedia menghadap Pencipta. “Tasnim nak masuk syurga.. Tapi, Tasnim buat dosa.” Air suam berlari-lari dari pemanas, menyiram Tasnim. Berkabus bilik air itu. “Tasnim tahu semua tu tak boleh, tapi Tasnim buat juga.” Tasnim hanyut dalam fikirannya. Tangan diangkat menyapu cermin, membuang kabus yang melekat. Wajah seseorang menjelma. Wajah yang ditatap saban hari sejak akal bijak menempati ruang otaknya, agar tak kosong. Tapi, mana pergi akal itu malam tadi? Hilang dalam hangat pelukan kekasih?

 

Tasnim mandi dan menyental tubuhnya. Seolah-olah membuang kotoran yang menodai kesuciannya. Memang, Hakim memegang janji. Mereka hanya bermesraan tanpa melakukan‘nya’. Sungguh, Tasnim menyesal. Maruahnya tercalar. Tapi..cinta dan kasih sayang untuk Hakim masih menebal. Hakim yang masih ‘memegang janjinya’ itu diingati. Tak terdaya hatinya untuk membenci Hakim, malah tak pernah terfikir olehnya. “Takpe la, bukannya berzina pun.” suara hati yang kedengaran lain semacam mengetuk pintu hati. Macam bisikan syaitan!

 

“Kim, Kim pernah terfikir tak pasal the ultimate love. Cinta yang agung. Orang cakap, cinta yang agung tu cinta yang unlimited. Boarderless. Apa kata Kim?” petang itu Tasnim tiba-tiba melontar buah fikiran minta disambut. “Hm..Honey Tee rasa macam mana?” ringkas jawapan Hakim.

 

“Kita tanya dia, kita pulak kena jawab!” Tasnim tak puas hati. “Ceh, rasa nak back-hand manja je Kim nih.” Tapi sayang punya pasal, Tasnim menyambung juga. “Tee rasalah kan, cinta yang ultimate ni, cinta yang dibawa mati. Cinta di dunia dan akhirat. Rasa cinta yang amat sangat, sampai rasa tak sanggup nak biarkan buah hatinya berdosa sampai masuk neraka. Kalau masuk neraka macam mana nak bercinta lagi dah, kan? Kalau boleh nak masuk syurga sama-sama. Bercinta dalam syurga..” Tasnim diam, tersenyum. “Camtu, boleh tak, Kim?” disoalnya lagi jejaka di sebelah. Mentaliti pelajar Sekolah Penuh Cahaya itu masih tak hilang. Tanpa sedar, isi kandungan buku usrahnya masih melekat di hati walaupun tangannya dan tangan Hakim tergenggam kemas bersama.

 

“Boleh kot, my sweet Honey Tee.” senyuman Hakim tinggal segaris.

 

 “Teman-teman yang akrab saling kasih mengasihi, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” Az-Zukhruf 43:67.

 

Dilihatnya dalam-dalam ke anak mata insan yang cukup dikenalinya itu, yang menunjukkan wajah tak berperasaan dalam cermin bilik mandi. “Ini ke cinta? Cinta agung yang kau cakapkan tu, Tasnim?” suara hatinya bergema. “Cinta membuah dosa? Cinta menghalang jalan ke syurga? Kau mesti tinggalkan dia Tasnim. Amanah sangat ke Hakim bila dia buat macam tu dengan kau? Boleh percaya ke kalau kau nak sehidup semati dengan orang yang tak takut dosa tu? Dia sayang kat kau ke tak ni, sampai sanggup heret kau buat dosa?” panjang hujah yang bertingkah dalam kotak akalnya. “Tadaimak..” Rasionalnya dah pulang.

 

Tapi hati masih ragu-ragu.

 

Selesai mandi dan mengangkat wudhu’, Tasnim berjalan perlahan-lahan ke sejadah yang sedia terbentang. Lambat-lambat telekung disarungkan. Dia berdiri menghadap kiblat. Baru tangan mahu mengangkat takbir, hati memasang niat solat Subuh, “Usolli fardhal subhi raka’taini lillahi..” gerakannya terhenti. “ta’ala…” Malu menyerbu entah dari mana. Rasa diri mengecil lebih kecil dari semut. Rasa diri kotor, hina, lebih teruk dari sampah. Rasa berdosa. Rasa takut. “Ya Allah…malunya aku padaMu. Aku sedar Kau tahu perbuatanku. Ampunkan hambaMu ini.. Macam mana aku nak menghadap Allah ni, aku penuh dosa. Allah…” suara hati Tasnim tak tertahan lagi. Tasnim terduduk. Air mata tak sudi lagi bersembunyi. “Aku akan tinggalkan Hakim” hati Tasnim membulatkan tekad, tiada bantahan lagi. Sunyi hening pagi dirasakan menyetujuinya. Diam sekujur tubuh yang masih hanyut dalam lena di pembaringan meyakinkan keputusannya.

 

“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenang” Ar-Ra’d 13:28. Sebaris ayat yang dihafalnya itu, bermain-main dalam hati. Ketenangan yang di cari, lebih dekat dari hati sendiri rupanya.

 

Malam yang indah. Bintang-bintang menyanyi damai irama tahmid dan takbir, memuji Pencipta. Gelap malam menyampaikan rahsia tak terungkap. Savvy berjasa dipandu laju. Satu persatu lontaran kata Hakim sekejap tadi bermain di tabir telinga. Mereka bertikam lidah, meluah rasa yang terpendam. Kesefahaman yang selama ini terukir di hati masing-masing terpadam dan menghilang. Hakim yang ‘amanah’ sangat malam itu, rupa-rupanya takut pada komitmen, apa lagi ikatan perkahwinan. Seperti membayangkan Lord Voldemort yang pecah masuk Azkaban, tapi tiba-tiba lari menjerit-jerit menyorok belakang pintu sebab takut lipas. “Ceh, lima duit pun tak boleh pakai.” geram Tasnim. Tambahan lagi, rupa-rupanya Hakim bukan hanya ada Honey Tee, malah Honey Bee, Honey Jay, Honey Vee dan entah Honey apa lagi yang Tasnim tak pernah tahu. Kesetiaan yang memang berbelah bahagi!

 

Akhirnya, perpisahan menjadi noktah perhubungan mereka. “Ya Allah, aku bertawakal padaMu, berilah hambaMu ini sedikit kekuatan. Tunjukkan aku jalan pulang menujuMu.” hati Tasnim hanyut mengingati Allah. Entah mengapa, Tasnim tak menangis walaupun cinta hatinya baru saja melangkah pergi. Macam baru semalam dia menulis “if you say you can’t live without me, why aren’t you dead already?” Sungguh, cinta membutakannya buat seketika. “Allah…ampuni aku”

 

“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” At-Thalaq 65:2-3.

 

Di selatan tanah air, pen hitam itu berhenti menari-nari. Mengungkap rasa yang tak lagi terpendam dalam hati dan tak terluah pada bibir. Gambar kelas Tingkatan Lima Cahaya Putih ditatap lagi.  Direnung insan yang berdiri di hujung barisan pelajar puteri kelas itu. “Macam manalah dia sekarang ye? Dah lapan tahun, tapi aku tak pernah lupa kat dia. Dengarnya dah jadi RO lepas habis belajar hari tu. Harap-harap dia dan keluarga dia dapat terima pinangan dari keluarga aku nanti. Janganlah mak ayah tangguh lagi hajat nak merisik tu. Dan jangan la pulak dia terkejut beruk nanti. Hehehe.. Kita bercinta lepas kahwinla nampaknya, cik adik. Ya Allah, permudahkanlah niat suciku ini.” hatinya berbisik, senyumnya melirik.

 

Dalam hatiku ada taman.

Untuk Tasnim bertandang.

Buat penyeri sang suria.

Bunga cinta menguntum.

Khairul Naim Amir

 

 

*tadaimak: saya dah pulang
*naqib/naqibah: ketua usrah
*RO: Research Officer/ Pegawai Penyelidik
*tazkirah: peringatan
*lima duit: lima sen

 

Cerpen sebelumnya:
Bangun dan rebah.....
Cerpen selanjutnya:
Mencari malaikat

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.6
19 Penilai

Info penulis

cika

cika | Jadikan cika rakan anda | Hantar Mesej kepada cika

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya cika
Murah sangatkah? | 2100 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

44 Komen dalam karya Insolvensi Hati
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik