Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

tangsi

Cerpen sebelumnya:
Hingga Ke Akhirnya
Cerpen selanjutnya:
J.A.T.U.H

Petikan tangsi-tangsi gitar lama itu sedikit sebanyak memberi gelombang tersendiri dalam emosi aku, sedang dia masih senang memetik satu demi satu nota di sana, atas pentas, atas kerusi. Baju merah petak hitam yang memang jelas sengaja disarungkan ke susuk itu, kononnya mahu bawa arus indie. Ah, cukup aku normal dengan baju itu. Memang kemeja plaid itu cukup lazim dengan band indie Malaysia. Jangan persoalkan sebabnya, kalaupun ada kemungkinan, hanya mampu aku andaikan baju itu banyak hubung kait dengan jeans. Levi, Gap, atau syarikat lain yang aku tahupun tidak pernah memang banyak menjual baju sebegini. Itulah, baju semacam papan dam aji, di atas sana, dulu takkan pernah dia mahu beli sekalipun, tapi jelasnya sekarang ini tampak cukup bersatu dengan lunak suaranya.

Bibir itu terus terkumat-kamit, sambil matanya kadang terkatup rapat, menghayati bait-bait dalam setiap serat lirik. Mungkin juga, mahu mengelakkan gemuruh meilhat sebegitu ramai peminat melangu di hadapan sini. Tapi, dia sudah biasa dengan mini konsert, gig, atau jamming, tak mungkin masih lagi gemuruh melampau seperti waktu kali pertama dulu. Pastinya dia mahu membaca lirik dalam mindanya.

“Tutupkan mata dan bayangkan kamu sedang membaca di atas lembarannya.”

Dia yang ajarkan aku begitu, saat aku kehilangan kata suatu masa dulu. Sengih kecil. Sampai sekarang masih belum termampu, masih belum terdaya, masih belum cukup kuat untuk membaca apa ada pada lembaran mindaku pada masa itu.

“Aku seakan menjadi kamu
Hilang
Dalam ruang rapuh ini,
Aku tak mampu berteduh
Dalam ruang tunduk ini
Tak mampu berlentok,”

Mengesat hidung. Sekali-kali kasut converse high-neck warna putih rona bintang itu dihentak perlahan pada kaki kerusi. Saiz lima. Mungkin sudah membesar sedikit. Lima setengah mungkin, lihat sahaja bagaimana lincah dia berjalan sekarang. Cukup tak betah duduk diam, jadual cukup rapi, dengan kuliah, dengan latihan, dengan persembahan, dengan jemputan peminat. Masih panas. Macam orang muda bercinta. Sampai waktu bakal senyap, bakal ada celaru, bakal keliru, bakal tertipu.

“Kenapa awak selalu bawa binatang ni ke hulu ke hilir? Tak .. apetuh, tak rimas ke?” :-?

“Benda ni tak lah sebesar awak.”

“Wo, jadi, awak nak cakap, saya lebih rimaslah dari benda… benda… benda hampeh ni.” [o.0]

“Don’t dare to said like that my dear.” >:(

“What? Say benda ni hampeh? Ha, alif, mim, pa, ya, ha, se-ngal!” (o.X)~

“=P . Don’t dare to say, awak lagi rimas dari benda ni. Kalau awak ni boleh saya junjung, bakal saya junjung. Kalau awak ni boleh saya bahukan, mehlah naik, kalau awak nak tengok saya dalam wad sebab patah tulang belakang.”

“Eeeei. Awak ni, saya berat kurang 10kg dari awak yang boroi tu tau!”

“Pardon?”

“Me asking, why you bring that guitar everywhere? Before this tarak pun.”

“Because, I want to sing u a song.” (-.-!

“Ho!”

Matanya bersinar semacam mutiara baru lepas digilap. Lebih-lebih lagi dengan contact-lense mata kucing, ditambah dengan cukup eye-lid, maskara dan macam-macam lagi. Kadang-kadang wajahnya yang cukup mungil itu kelihatan macam watak salah satu cerita anime. Cukup geram, lagi-lagi bila dia tersenyum gebar bila aku menamatkan nyanyian satu lagu untuknya. Tepukannya walaupun dari dua telapak yang masih lembut, buat aku tersenyum bangga, walaup sendiri tahu suara aku tak lebih semacam anak-anak kecil menyanyi lagu sekolah di perhimpunan pagi.

Itulah harinya, bila dia meminta aku ajarkan petikan gitar. Itulah waktunya, seorang anak gadis dengan gaun hitam rona kelabu, dengan tudung merah jambu, dengan jemari masih kaku memetik gitar usia enam tahun lebih. Suara masih seperti sekarang, lunak. Dek itulah, aku lagi senang membetulkan letak jarinya, membetulkan cara petiknya dari menyanyi. Pabila lelah dan malasnya bertandang, aku yang menjadi mangsa untuk terus-terusan jadi pemusik latar untuk nyanyiannya.

Aku seakan menjadi kamu
yang malang

Di tepian hari,
bersimpuh lembut tanpanya

Di tepian waktu
bersila kalut dengannya,

Kala itu kamu sendiri bisikkan ke kolong telingaku, beritahu aku, selain syurga, apa lagi lebih indah? Dari melihat bibirnya yang masih berkilat dengan lip-gloss itu sibuk terbuka-katup sampai kekeringan. Keghairahan, melihatnya menyanyi waktu itu, melebihi dari segalanya. Keghairahannya, pada muzik dan gitar coklat tua ini, melampaui kehendak

Sampailah tiba waktunya, mungkin tiada salah seorang antara kami berdua dapat menjangka bakal wujud hari yang serupa itu. Macam satu plot yang tak pernah patut wujud.

Hari di mana tiada lagi perempuan mungil kecil yang bermain gitar tua di sisi. Tiada lagi seorang bernama teman, kawan, yang sifat cukup perempuan ayu. Tiada lagi, manusia yang aku kenal dahulu. Semuanya, dalam satu detik genting, dalam satu malam pening, dalam satu SMS penting. Aku semacam bermimpi dan terus bermain dalam mimpi sendiri, perempuan yang aku ciptakan dalam tidak sengaja, akhirnya menjadi seseorang yang aku cukup benci.

Tapi, terkadang
mahu melangkah jelang,
Siapa kamu mahu tentukan aku?
Membawa aku searus
dalam kepuk usang
terus membawa aku

dalam kepuk itu
tak mahu lagi
terus bersimpuh pada urat ini,

Dia mendapat tawaran dengan band indie yang merupakan band kawan baik aku sendiri. Itu bukan kali pertama, aku rasa, kali kelima mungkin. Empat kali, aku tidakkan, empat kali aku suapkan betapa aku benci, empat kali dia turutkan. Kali kelima, entah dengan rasuk apa, entah dengan sumpah apa, dalam enam puluh saat, semuanya tamat dengan kata putus. Hubungan kami putus. Juga dia menjadi vokalis utama, juga tetap.

Semuanya semacam satu noktah.

“Kita bakal duduk semeja dalam dua kerusi berlainan.”

“Kita bakal makan, dalam satu pinggan tapi lauk berlainan.”

“Who said I want to eat with you?”

“Er…. Ha, alif, mim, pa, ya, ha, bo-ngek!” Matanya menjeling tajam. “Orait, someday I will be a great singer. And then u will beg me to the lutut tau. Then awak taula, betapa makan sepinggan dengan saya itu just like golden rain okey.”

“I don’t ever want diamond rainpun. I didn’t care, if I eat on the pelepah pisang,” aku diam. “But…”

“Hm.. please, I am joking, I will sing a song only, and only for you. But apa-apapun, you will beg untuk makan one pelepah pisang dengan saya”

“Never, WEK!”

Never, dan tidak akan berlaku langsung. Malah, aku rasa ayat itulah penipuan paling jelak aku terima. Sekarang dia di hadapan ratusan peminat sendiri. Malah aku sendiri tenggelam dalam laut ini.

Wahai laila yang majnun
juga uda dara yang luka lara
tinggalkanlah versi aku
yang masih berbayang

pergilah dari sisi aku
yang masih tak pudar

Aku menolak kerusi plastik itu sedikit kebelakang. Sempat menjeling penonton lain di sebelah kanan yang sibuk terkumat-kamit. Aku bongkokkan sedikit mengambil beg kertas yang terpampang wajah seseorang yang seperti aku pernah kenal pada wajahnya, tapi jelas, tidak pada inti dan nafsunya. Kemudian, dengan sedikit menunduk, badan ini digerakkan ke celah-celah manusia yang dari tadi, rasanya tidak lepas ke pentas sederhana besar itu.

Wahai tuah dan dewi ledang
beri aku ruang pada sempit ini,
beri aku luang pada sedikit ini
nanti mampu terbang
jauh dari sakit ini.

Aku sempat menoleh sekali dua, sebelum meloloskan diri ke kerusi terkakhir dalam barisan ini. Sampai sahaja di situ, satu tepukan gemuruh cukup kuat, dari bawah pentas. Seorang demi seorang berdiri, dan dalam keributan itu, aku berundur ke belakang. Mencari pintu keluar. Mungkin daun pintu ini menjadi laluan terkahir antara aku dan dunianya. Mungkin dinding antara susur gajah di luar dan dewan ini menjadi pemisah pertama setelah sekian lama. Mungkin, darjat, angan, realiti, dan hidup mati antara aku dan dia akan terpisah dengan membran ini. Kemahuan.

Aku senyum kepada penjaga pintu di belakang. Dia senyum dan mengangguk kecil, seakan faham aku mahu keluar. Sesaat dua mata kami bertentangan, sebelum tangannya memulas tombol dan menolak pintu keluar. Angin bahang dari koridor menyapa ruang antara jemari ini, sebelum aku melangkah keluar.

Badan dipusing, aku memandang ke atas pentas.

“Kenapa awak sayang saya?”

“I have a lot of reason”

“Jadi beritahu saya, cerita semuanya sampai saya tertidur dekat sebelah awak.”

“Hmmm, hmmm, kejap ek. Hmm.. Hm.. Macam mana nak bagitau he?”

“Hmmm…” dia mengejek, matanya yang bulat itu diputar-putar. Sedikit tanda protes.

“Err… betullah ada a lot”

“In fact awak tak tahukan, kenapa awak sayang saya? Kan? La la la.”

Aku lepaskan langkahan terakhir, antara dua zon ini. Meninggalkan segalanya. Mengeluh.

“Tapi saya tahu kenapa saya sayang awak.”

Menoleh. Aku rasa aku belum pekak, untuk mendengar bunyi itu dari celah pintu yang masih terbuka. Aku juga tak rasa cukup dungu, untuk rasa suara itu bukan untukku.

Cerpen sebelumnya:
Hingga Ke Akhirnya
Cerpen selanjutnya:
J.A.T.U.H

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.6
8 Penilai

Info penulis

ApuN

esok malam kita lihat bulan, aku lihat engkau. esok malam kita lihat bulan, aku lihat aku.esok malam bulan lihat kita yang saling beku.
zInggOf | Jadikan zInggOf rakan anda | Hantar Mesej kepada zInggOf

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya zInggOf
M01S09 - Arukh Safuna (ii) (re-production) | 2202 bacaan
M01S09 - Arukh Safuna (i) (re-production) | 2682 bacaan
rahsia | 3187 bacaan
DOA | 3175 bacaan
rajawali e2 | 4196 bacaan
rajawali | 4237 bacaan
Tiket: Dua | 2529 bacaan
carldena | 2618 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

22 Komen dalam karya tangsi
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik