Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Jerangkung Dalam Almari

Cerpen sebelumnya:
Chairel
Cerpen selanjutnya:
Titisan air mata ibu~




JERANGKUNG DALAM ALMARI


OLEH: MACAI SUCI





 

Umpama pepohon kayu yang satu itu, aku akan meneruskan tradisi hidupku yang sama saban hari. Sakitnya tubuhku ditoreh tangan-tangan yang dusta akan nikmat Rabbul Azali. Hidupku terkurung di dalam peti yang amat sempit dan gelap ini. Mengapakah aku begini? Apakah dosaku hingga tergamak aku dibelenggu sepi begini.


   Cuba-cuba kurenungkan kembali sisipan sejarah yang membarisi hidupku. Tapi harus dari mana, harus dari mana aku mulakan. Mungkinkah sewaktu aku mula mengenali dunia hitam ini.


“ Kau adalah mimpi ngeri manusia,” entah dari mana suara ini bergema.


“Siapakah engkau, bagaimanakah kau dapat melihat aku di dalam gelap yang amat ini?”


“Ha…Ha… kau jangan takut aku datang untuk membantu engkau,” Kasar benar lakunya.


   Aku takut sebenarnya, takut apakah yang bersuara ini. Siapakah dia? Mengapa dengan biadap menegurku? Mana kesopanan dan kehalusan budi perkertinya? Adakah dia manusia atau berlagak seperti manusia.


  “Tidak mengapalah, kau bebas berkata apa sahaja, kerana itulah kau tidak dapat keluar dari alamari yang usang ini, kau lahir dari jiwa yang kosong, penuh rasa benci, khianat.” Lain benar tuturnya kali ini benarkah bergitu? Andai benar apakah yang harus aku mulai.


  “Apa maksudmu? Aku tidak mungkin punya perasaan ini?” Antara takut dan berani aku bersuara menentangnya andai dibiarkan entah apa lagi yang akan dikatakannya kepadaku.


  Ya aku sedar, pada kelahiran ini perasaan –perasaan yang dinyatakannya tadi sememangnya berlegar-legar di segenap penjuru zaman. Tapi bukankah itu sifat Mazmumah yang sememangnya berwaris semasa kelahiran di dunia ini. Apatah lagi pada kelahiran makhluk yang bernama manusia. Ya kerana merekalah aku dilahirkan. Tetapi bukan pintaku hadir ke dunia ini menjadi parasit di dalam kehidupan makhluk ini yang diberi kesempurnaan akal untuk berfikir. Aku sedih tiba-tiba, hadirku cuma ibarat sampah di jalanan.


  “Sudah! Apa lagi yang kau tangiskan, seharusnya kau menilai tiap kejahatan yang kau lakukan. Anak-anak yang kau hasut menjadi liar, pemuda yang menggilai wanita, kau tanpa silu menjengah tubuh anak-anak gadis hingga menjadi histeria. Kau lupa semua itu? Adakah kau sudah lupa?”


Hatiku menjadi sebak lagi, manik-manik hangat mula merembes keluar meniti dataran pipi tanpa dapat ku tahan lagi. Temulangku merinding ketakutan.“ Ya aku yang lakukan semua itu, tetapi bukanlah pintaku, aku tidak punya akal sempurna seperti manusia. Aku diperintah oleh manusia yang berakal untuk melakukannya. Bukan salahku, Tidak! Ini semua bukan salahku. “ Aku menutup kedua belah telinga dan mataku. Mata hatiku tidak sanggup melihat semua ini. Aku takut, aku takut mereka ini memandang ke arah ku. Ya gadis yang ku masuki tubuhnya itu adalah gadis yang amat lembut dan manis, dia tidak bersalah.

 “ Maafkan aku, aku tidak mahu menyiksamu namun aku terpaksa demi hormatnya aku pada tuanku yang jua makhluk sepertimu.” Aku semakin takut. Peluh-peluh jantan semakin laju membasahi tubuhku. Kini semakin mengetarkan kocakan simpatiku.


  “Untuk apa kau merasa takut? Kau tidak mungkin mati sebelum kiamat melanda. Apakah sumpahmu dahulu kepada Allah tatkala kau disuruh menyembah Adam yang dicipta dari segumpal tanah. Apakah kau sudah lupa semua itu?” Suara siapa pula ini? Di manakah suara tadi. Ah! Apakah sebenarnya yang terjadi? Mengapa ketenteraman ku diganggu-gugat bergini? Bertahun sudah hidupku damai kini suara-suara ini mengganggu tidurku . Siapakah mereka? Apa mahu nya mereka ini? Mengapakah aku disiksa bergini? Perlukah aku berdiam diri? Apakah seterusnya yang akan ku lalui?


 “ Tolonglah…,aku tidak kenal siapa engkau mengapa engkau masih mahu mengganguku, biarkan lah aku di sini sendiri,”


  “Tidak mungkin aku membenarkan kau hidup senang setelah, ada jiwa-jiwa tenang yang telah kau hancurkan. Kau masih perlu melakukan tugas seterusnya. Esok mungkin tuanmu akan menggunakanmu untuk merasuk lagi. Buatlah! Buatlah! Lakukanlah sepertimana janjimu dihadapan Adam dahulu. Bukankah kau seharusnya bangga Adam telah keluar dari syurga yang penuh nikmat itu, sekarang kau harus memilih antara kau akan terus disini atau akan bebas! Sebebas beburung di awan. Kau fikirkan sendiri andai kau masih enggan mengikut arahan tuanmu kau akan tetap terkurung di sini.”


 “Aku tidak mahu! Aku tidak mahu menurut kata manusia itu lagi. Sama ada menurut atau engkar aku akan tetap di sini. Aku akan tetap menghuni almari usang ini.”


  Aku bersuara berani setelah dari tadi aku menggigil ketakutan. Entah dari mana datangnya keberanian ini pun aku sendiri tidak tahu. Mungkin setelah aku memikirkan keparatnya tuanku ini. Hidupnya adalah atas tangisan orang lain. Setelah tenagaku diperah aku akan disumbat kedalam almari yang buruk ini. Tatkala api amarahnya menjulang akan dikeluarkan aku kembali. Setelah hajat dan maksudnya tercapai maka kembalilah aku disini. Ah! Memang setan dia! Aku benci padanya.


   Tetapi sekalipun aku membencinya dia adalah sebahagianku. Sebahagianku? Ya tanpa hadirnya nescaya aku aku tidak wujud sama sekali. Aku puas bilamana aku digunanya, aku mengajarnya akan nikmatnya wanita, manisnya arak, mudahnya judi.


   “ Ha…ha…padan muka kau, mengapa kau kurung aku disini? Sesekali aku mengamuk maka, kau akan merasai peritnya belantan polis, tawarnya roti kering di penjara. Bukannya selalu kau merasai sepak terajang orang ramai bilamana kau tertangkap tatkala memperkosa wanita dan mencuri. Nikmat bukan? Kau juga yang dapat berehat lama sambil merasai nikmatnya hirisan luka-luka di tubuh badan mu. Tapi kau mudah lupa , setelah aku memberimu semua nikmat ini kau segera mencari damai hatimu. Kau berkenalan dengan mussalla. Kau membaca buku yang dipanggil Al-Quran hingga aku seram dan takut. Meskipun sebenarnya aku lebih mengerti akan maksud kata-kata yang kau baca .”


  Ya memanglah itu sifat manusia. Sesudah ditimpa bencana barulah cahaya keinsafan menyinar kegelapan hatinya. Mengapakah bergitu . Adakah memang suratan sudah tertulis bergitu. Aku sendiri kurang pasti. Apa yang aku tahu tugasku kini hanyalah mengajarkan manusia tentang keindahan dunia tanpa perlu difikir akan ukhrawi. Biarlah mereka puas menghirup urusan dunia . Biarkan mereka berseronok sepuas-sepuasnya kemudian biarlah pula mereka mengenali alam taubat kiranya, nyawa mereka masih bersisa pun mungkin setelah mata mereka memandang kaki sendiri pun tidak mampu. Itulah bodohnya manusia bilamana segala kemungkaran yang dirasanya nikmat itu menimpakan padanya akan akibat barulah mereka mula menghitung helaian benang sejadah.


  Ya aku masih ingat akan tuanku yang seorang ini. Dahulunya disko mana yang dia tidak tahu sebutkan sahaja wanita yang bagaimana tidak dirasainya. Arak diteguk bagaikan madu, Judi permainan utamanya. Kini setelah batuk tua menemaninya. Setelah Virus celaka itu menghuninya, tiba-tiba ruang sedarnya terbuka. Al-Quran yang dahulu hanyalah perhiasan almarinya kini basah di hujani air mata, dahulunya masjid yang dianggap suara yang mengganggu tidurnya di pagi-pagi hari, kini sudah mula disinggahi.


  Mengapa agaknya manusia itu hipokrit? Mengaku beriman tetapi masih lagi mengelak apabila imannya memanggil. Biarlah mereka , yang pasti tugasku masih lagi perlu di laksanakan. Selagi alam kiamat belum memanggilku pergi aku masih terus perlu bertugas .


  Hari ini ada lagi manusia yang tertewas di tangan sahabatku. Gadis sunti itu lembut menyerah diri setelah mimpinya di bawa bahtera alkohol yang berlayar. Sebentar nanti bakal beraksi jeritan bergema memenuhi alam sesalan. Syabas sahabatku ! Kau telah Berjaya.


  Aku jua bergitu, saban hariku masih mengintai-ngintai peluang dan ruang mengajarkan tuanku akan nikmat yang telah lama tidak dijamahnya. Sakit? Itukan perkara biasa. Adakah tuanku ini sudah lupa akan nikmatnya wanita, manisnya arak yang dahulu minuman rasminya. Juga judi sukan yang menguntungkan. Kadangkala aku juga merasakan seolah-olah aku bagaikan dipanggil namun entah mengapa pintu almariku ini tidak dibuka. Akibatnya hingga kini aku masih menunggu untuk keluar bebas. Namun iman tuanku tidak mengizinkan .


“Oh rupanya kau terpenjara…, mengapa tidak kau usaha keluar,” ah berbunyi lagi suara ini . Apakah dia tidak pernah putus asa mengacau damaiku ini.

 

 “Pergilah kau dari sini, mengapa kau suka menggangguku? Apa kau tidak punya kerja lain?”


“Aku kasihankan kau, semakin lama kau di sini, maka semakin layulah jiwamu, bukankah kau sebenarnya pelengkap ujian manusia. Seandainya kau masih kegelapan di sini, mana mungkin manusia itu bisa melengkapkan ujianya untuk dibawa mengadap-Nya nanti.”


Benar juga kata suara itu, tanpa adanya aku pasti pendakwah-pendakwah itu tidak bekerja. Mungkin juga polis tidak perlu bekerja walaupun kini semakin ramai yang suka menyodok di bawah meja. Jika semua manusia sudah menjadi baik mungkinkah nanti pegawai penjara meletak jawatan, Kasihan anak isterinya dimana mahu cari makan? Atau mungkin disko, kelab malam, kedai nombor ramalan, kilang memproses arak akan ditutup lantaran semua manusia sudah menjadi baik.


“Eh! Jangan bergitu, nanti runtuh pula ekonomi. Cukai arak bukankah tinggi bergitu juga cukai perjudian. Kelab malam menjual arak dan berjudi. Ayuh! Bangkitlah jasamu di perlukan demi ekonomi Negara,”


“Benarkah bergitu?” Aku bagaikan tersentak dari lena. Besar rupanya jasaku pada negara biarlah rakyatnya lembik bagaikan helaian sutera tetapi ekonominya maju. Akhirnya nanti sahabat-sahabatku juga yang Berjaya memujuk cakerawala fikir tuan-tuan mereka agar mendominasi segala kemewahan ini.


Cemburu? Apa perlunya aku cemburu. Aku bukannya manusia yang penuh rasa cemburu. Bodoh bukan, makhluk itu? Sahabatnya berjaya dia pula tak lena beradu. Lantas itu aku juga yang digunakan dan aku pula yang menguasai rentak fikirnya. Sebenarnya apa jua yang berlaku kami jua yang untung. Mungkin merit yang bakal kami perolehi melebihi demerit yang dimilikki manusia. Namun tiada buruk sangka antara kami bukan seperti manusia itu saling jatuh-menjatuh demi mendapat merit daripada seorang yang sama sepertinya. Sanggup pula dia dengki-mendengki.


Syaitan , iblis itulah gelaran buat diriku dan sahabatku. Namun bukanlah terus kepadaku dan sahabat-sahabatku. Siapa lagi kalau bukan kepada tuan-tuan kami yang mengikuti arahan kami. Kini langkah demi langkah harus ku lukiskan agar gambar perjuanganku bermula lagi. Apa pula kali ini ya..?


“Kau pesongkan tuanmu dengan wanita. Aku yakin pandangannya pasti kan terpesona . Lazimnya lelaki tunduk pada wanita. Biar seganas manapun lelaki pasti wanitalah pemusnahnya. Bergitu jugalah perempuan tewasnya di tangan lelaki.” 
Ah! Sudah jadi penyelidik pula suara ini. Hebat juga dia, sekejap bagaikan ustaz , sekejap jadi penghasut, sekejap pula menjadi penyelidik.


“Aku mengikuti ragam manusia. Itulah wajah kehidupan mereka yang sebenarnya. Mereka semuanya hipokrit. Mereka bisa jadi siapa sahaja agar cita-citanya tercapai. Mungkin kau belum kenal hidup mereka kerana kau masih terpenjara di dalam kegelapan almari ini.”


“ Aku juga hairan, mengapa almari ini masih tidak jua usang? Sudah bertahun aku di sini namun masih jua ia kukuh meranduk zaman,”

Cerpen sebelumnya:
Chairel
Cerpen selanjutnya:
Titisan air mata ibu~

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
3 Penilai

Info penulis
Berkata benar sekalipun pahit
Macaisuci | Jadikan Macaisuci rakan anda | Hantar Mesej kepada Macaisuci

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-Share Alike 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Macaisuci
Sebuah Perjalanan | 2389 bacaan
Jaguh | 2762 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

4 Komen dalam karya Jerangkung Dalam Almari
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik