helpHelpfeedbackFeedback  Register
Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Selamat Datang Pelawat
Eh, masih belum mendaftar?
Log masuk jika sudah mendaftar
Penulisan > Cerita Pendek > Umum
4.4
7 Penilai
Maaf Pun Berbekas
Tarikh Dihantar: 1/12/2009 | 21:10:39 PM | 315 Bacaan
Share

Maaf Pun Berbekas


  Afzan separuh merangkak, separuh berjalan menuju ke bawah rumah. Rasa sakit dan pedih menjalar ke seluruh tubuhnya, hasil penghantaran isyarat yang dibawa neuron ke otak. Afzan mengaduh perlahan sambil cuba mengintai kakinya di tengah remang senja. Peristiwa petang tadi yang sepatutnya membawa ceria, bertukar duka. Bukan itu sahaja, hatinya robek, berkecai, hampa, duka dan lain-lain lagi.
 
  Bila saja teringatkan apa yang terjadi petang tadi, Afzan mula mencebik. Terasa ada air panas mengisi kolam matanya malah mukanya terasa pijar. Bukan akibat ditampar tetapi hatinya terasa begitu sayu sekali. Mujur tiada sesiapa berada di sisinya saat ini, kalau tidak habislah reputasinya yang dibinanya di selama ini, Oh tidak, Afzan bukan seorang jaguh acara balapan seperti Jeyasighe, pelari Sri Lanka. Dia juga bukan sehebat Adam Smith, Bapa Ekonomi tetapi Afzan begitu terkenal dengan sifat tidak kenal takut. Sekalipun bapanya jurulatih silat di kampung ini, itu tidak membuatkan dia berfikir dua kali untuk berbuat nakal. Malah, Afzan sedikit pun tidak berfikir. Dia akan terus melakukan saja apa yang terlintas di kepala.

  Sebaik sahaja keinginan untuk berbuat nakal terlintas, tali pinggang, rotan yang tergantung di bilik ayah, kerengga di bawah pokok rambutan dan reban ayam di belakang rumah, semuanya dilupakan. Tidak ada satu hukuman pun yang diingati oleh Afzan ketika dia begitu teruja merencana kenakalan. Malah, Afzan sudah diangkat sebagai pakar dan sering menjadi rujukan rakan-rakan sebaya dan tidak begitu sebaya.

  Sekali lagi rasa pijar itu menerpa. Afzan merungut, kenapa emak tidak menyimpan alat kecemasan di sini, boleh dicuci luka di kaki. Tidakkah emak tahu bahawa Afzan serta adik-beradik selalu merangkak ke bawah rumah sebagai tempat perlindungan selepas menerima hukukan dari ayah? Bukan emak tidak tahu, merangkak di bawah rumah bermaksud tubuh anak-anak kesayangan emak yang kacak dan tampan belaka ini akan bersalut dengan debu. Sudahlah pukulan ayah sentiasa tepat pada sasaran, sudah pastilah tubuh mereka akan luka-luka. Maka senanglah bakteria hinggap di tubuh lalu menyebabkan jangkitan. Tidak terfikirkah emak semua itu?

  Sebelah kaki Afzan dilipat dan sebelah lagi ditegakkan di depannya. Dijengahnya kepala lutut untuk memeriksa jika ada parut di situ. Ada sedikit. Mungkin akibat terjatuh di dapur apabila dilibas oleh ayah dengan tali pinggang. Sebenarya, pukulan ayah tidaklah begitu sakit Cuma Afzan yang terkejut maka pukulan itu menghilangkan keseimbangan tubuh badannya. Cecair koklea di dalam telinganya hilang imbangan maka hidungnya yang agak mancung itu mencium lantai dapur yang sering disapu emak dengan begitu bergaya lagi.

  Afzan tipu. Sebenarnya pukulan ayah begitu menyakitkan sehingga dia hampir pitam. Haji Mokhtar bukan sahaja seorang guru silat malah beliau merupakan jaguh badminton peringkat negeri semasa muda dahulu. Kalau tidak silap Afzan, Pak Teh mengatakan bahawa pukulan backhand ayah tiada tandingan ketika beliau masih aktif dalam dunia sukan tersebut.
  Setelah Afzan habis memeriksa kakinya, diraba pula belakangnya.
   ‘ Aduh!’ jarinya tersentuh belakang yang pastinya berbirat itu. Betul, Afzan tidak dapat memastikan jika belakang tubuhnya berselirat tetapi berdasarkan pengalaman yang lalu, dia tahu yang bahagian belakang tubuhnya yang tidak berbaju itu sudah pasti dihiasi liang-liang yang mungkin juga dihiasi dengan warna merah darah.

  Afzan masih ingat lagi waktu dia dan adiknya Hamzah disebat ayah apabila mereka didapati menganggu Jamilah pulang dari mengaji, mereka sama-sama berlumba mengira belakang siapa paling banyak tanda sebatan. Habis sahaja dibelasah ayah, mereka bergegas ke bilik tidur. Baju melayu mereka ditanggalkan, hingus dilap dan kemudian mereka pun mula berdiri di hadapan cermin, susah payah mengira hasil kerja ayah.

 ‘ Aku kena lima la!’ Hamzah bersusah-payah berdiri mengira kesan sebatan di belakangnya. Herot-berot mulutnya.
 ‘ Mana…Itu,’ Afzan menunjuk kesan sebat melintang dari bahu kanan ke bawah, ‘ minggu lepas punya. Mana kira.’
  ‘ Weih lima la. Aku mana ada kene sebat minggu lepas. Minggu lepas Lan yang kena,’ Hamzah menjawab tak puas hati.
  ‘ Hish! Kau punya empat je. Aku punya enam.’

   Waktu itu, suara mereka sudah semakin kuat Adik-adik yang lain, Roslan, Arman dan Shahril sudah mula memenuhi ruang bilik untuk menentukan siapa pemenang, siapa yang paling jaguh menahan penangan ayah.
   Dalam keriuhan masing-masing yang cuba menjadi jagoan, tiada siapa yang perasan ayah turut sama berdiri di pintu bilik.
  ‘ Hah! Kenapa ni?’ kelima-lima anak teruna Haji Mokhtar terdiam pucat lesi semuanya. Muka masing-masing pucat tidak berdarah.
  Malam itu, ayah bantu Afzan dan Hamzah kira bilangan libasan yang hinggap di tubuh mereka dengan sebatan yang baru.

  Afzan tersenyum sendiri. Dalam sakit-sakit pun dia masih mampu tersenyum teringatkan peristiwa itu sekalipun ada rasa takut yang menjalar bila teringat wajah ayah.

  ‘ Zan,’ ada suara yang memanggil namanya. Tubuh Afzan tertegak. Senja-senaja begini…

 ‘ Afzan?’ serentak itu juga ada cahaya yang menyimbah tubuhnya. Abang Saufi!

  ‘ Ye,’ Afzan sengaja menekan suaranya, dengan harapan abang sulungnya itu tidak dapat mengesan keadaan dirinya yang sangat sedih dan makan hati dengan kata-kata ayahnya petang tadi.

  ‘ Dahlah tu, Zan. Jom naik atas,’ Saufi sudah mencangkung di depan Afzan. Sedih Saufi melihatkan adiknya yang seorang ini begitu. Tubuh habis berdebu, wajah pula berceloreng dek bekas air mata.
  ‘ Ayah..’

  ‘ Ayah pergi rumah Tok Empat. Marilah. Mak dah ajak makan.’

  Ayah ke rumah Tok Empat. Maksudnya, ayah sangat sibuk hari ini. Mungkin juga dia akan pulang awal pagi nanti sahaja. Afzan mula tersenyum.

  Sebaik sahaja Afzan keluar dari tempat persembunyiannya, Saufi menghulur tuala mandi. Waktu makan sudah hampir tiba dan memang menjadi pantang emak kalau anak-anaknya duduk di meja makan tanpa membersihkan diri.

  ‘ Dah dipanggil adik kau, Sopi?’ emak berdiri di depan pintu, kain buruk ditekap perlahan ke tapak tangan.

  ‘ Dah, mak. Dia mandi’

  Emak cuma menggelengkan kepala.

                  *    *    *

  Semenjak usia Saufi menginjak 17 tahun, dia sudah semakin jarang pulang ke rumah. Bukan dia tidak mahu dekat dengan keluarga, siapalah yang mahu jauh daripada orang-orang yang tersayang tetapi dia sedar yang dia punya tanggungjawab yang sangat besar tahun ini. Tahun ini adalah penentu segala-galanya dan itulah yang membuatkan dia cuma pulang ke rumah sebulan sekali. Itupun, dia lebih banyak berkurung di dalam bilik menelaah buku.

  Kalau Saufi ada di rumah, jarang sedikit adik-adiknya buat perangai. Saufi tahu tentang hal itu. Sekurang-kurangnya, Saufi boleh mengawasi adik-adik sambil meneman mereka bermain.

  Mereka adik-beradik ada cara tersendiri untuk bermesra. Mereka semua sayang satu sama lain cuma mungkin gayanya sahaja yang agak kasar. Semasa kecil dahulu, rumah ini tidak pernah sunyi dengan tangisan budak-budak. Semuanya tidak betah duduk diam, ada saja mangsa sakat. Tetapi bila sudah semakin besar dan juga dibantu dengan alat bantu pengajaran ayah yang terdiri daripada rotan dan tali pinggang ayah, Saufi faham bahawa dia perlu menjadi pendamai. Sebagaimana Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

  Kelibat Afzan yang berjalan terdengkot-dengkot di depannya, mengejutkan Saufi dari lamunan.

  ‘ Kau ok ke ni, Zan?’ Saufi bertanya, sengaja ingin mencari alasan bercakap.

  Adiknya yang seorang itu mengangguk. Saufi tahu Afzan nakal budaknya. Nakal-nakal dia, bijak budaknya. ‘Cepat menangkap,’ kalau ikut loghat emaknya.

  ‘ Abang Sopi..’ Afzan bersuara sambil matanya tepat memandang kuku kakinya.

  ‘ Hmm..’ Saufi menjawab bena tak bena. Dia sedang sibuk mencari mukasurat yang menerangkan Hukum Hooke.

  ‘ Zan..Zan minta maaf pasal petang tadi. Kenapa ayah cakap sampai macam tu sekali? Takkanlah Zan nak bunuh Abang Sopi,’ sedih benar bunyinya.

  Ah, petang tadi. Petang tadi bila Afzan berbuat sesuatu yang sebenarnya, Saufi sendiri selalu ingin lakukan tetapi tidak tertunai hasrat itu.  

  Petang tadi, Saufi baru saja pulang dari sekolahnya yang terletak di Perak. Mungkin disebabkan terlalu penat, Saufi terlena di kerusi yang terletak di ruang tamu. Dengan tiupan angin di beranda, memang mudah benar Saufi terlena. Dan kebetulan pula, Afzan ada di rumah. Entah dari mana datang idea Afzan, diambilnya ikan bilis di dapur,lalu dimasukkan ke dalam mulut Saufi yang sedang tidur sambil ternganga.

  Saufi masih lagi tidak sedar akan perlakuan Afzan yang ketika itu sedang mencangkung di sebelah kerusi memerhati reaksi Saufi. Selang beberapa saat, Saufi tersedak. Matanya yang tertutup beberapa saat sebelum itu, terbelalak. Afzan yang masih mencangkung di sebelahnya, tersengih.

  Kemudian Saufi terbatuk. Beberapa ekor ikan bilis membuat pendaratan yang cukup cantik di atas lantai. Dan Saufi terus-terusan batuk kerana dirasakan ada sesuatu yang tajam tersengkang di tekaknya.

  Ayah tiba di tangga rumah sebaik sahaja Saufi rebah ke lantai, seperti susah benar untuk menghela nafas. Afzan masih lagi di posisi yang sama cuma kali ini wajahnya sudah tidak tersengih sebaliknya diganti dengan riak wajah ketakutan, cuak dan panik. Sebaik sahaja dia terpandang wajah ayah, Afzan buka langkah seribu. Saufi di lantai pula mula muntah.

  Entah ilmu apalah yang dipakai ayah bila dia dapat mengejar Afzan dan … tak perlulah diterangkan lagi. Cukuplah bekas tangan ayah yang berselirat di belakang Afzan menjadi bukti apa yang berlaku. Begitu juga dengan jeritan ayah yang diselang-selikan dengan raungan Afzan.  

  Saufi menutup buku tersebut. Dipandangnya Afzan sekilas. Kalau diikutkan hati, memang teringin sangat Saufi ingin menghadiahkan pelempang pada adiknya yang seorang itu tetapi apalah daya, Afzan bukan orang lain. Adiknya sendiri. Umurpun baru 14 tahun, memang dalam fasa nakal. Sudahlah Afzan memang sejak azali lagi sudah nakal.  

  ‘ Takpe Zan. Aku tau kau tak sengaja.’

  Afzan masih lagi memandang kakinya.

  ‘ Tapi…’ ayat Saufi tergantung.

  Perlahan-lahan Afzan mengangkat pandangan mengadap Saufi.

  ‘ Tapi apa abang Sopi?’

  ‘ Zan, kalau kau ketuk paku kat dinding, apa akan jadi kalau kau tanggalkan paku tu?’ Saufi terasa seperti ingin bermain teka-teki hari ini. Sengaja dirancangya begitu biar orang lain ikut sama pening, bukan hanya dia yang sakit kepala menelaah subjek untuk SPM.

  ‘ Simen ke kayu?’

  Saufi tersenyum sedikit. ‘ Simen’

  ‘ Berlubang?’

  ‘ Bagus. Dan bekas itu takkan hilang. Macam tu la jugak apa yang kau buat tadi.’

  Mata Afzan bulat memandang Saufi.

  ‘ Tapi… kalau tampal plaster, hilanglah bekas tu kan?’ Afzan menjawab, antara yakin dengan tidak.

  Saufi geleng kepala. Ada betulnya cakap Afzan.

  ‘ Orang akan ingat apa yang kita buat kerana ianya berbekas.’

  ‘ Tapi kan boleh hilang dengan…’

  ‘ Macam nilah, Zan,’ Saufi sudah terasa sukar untuk menerangkan sesuatu kepada Afzan. Betullah cakap emak, budak ini banyak akalnya. Mungkin perlu diberikan contoh yang betul-betul mencabar mindanya.

  ‘ Pagi tadi aku nampak kau belek suratkhabar. Tentang Radovan Karadzic.’

  Afzan mengangguk laju. ‘ Ha ye ye. Dia menyamar jadi Dr Dragan David Dabic.’

 Boleh tahan juga budak ni. Hafal. ‘ Zan tahukan dia buat apa?’

  ‘ Tahu.’

  ‘ Baiklah, kalau sekarang dia pergi ke The Hague dan mengaku kesalahan dia di depan semua orang dan minta maaf, apa akan jadi?’

  Afzan melopong. ‘ Hah? Lepas dia bunuh semua orang tu?’

  ‘ Ya. Dia minta maaf dan kalau boleh dia nak semua orang lupakan apa yang dia pernah buat sebab dia sendiri tak tau apa yang merasuk dia sampai dia bunuh semua orang tu.’

  Afzan terdiam. Pandangannya dilepaskan jauh, mungkin sudah sampai ke Segamat. Saufi sendiri tidak tahu apa yang difikirkannya hingga memberi contoh seglobal itu, contoh yang selalunya tiada siapa beri pada sesiapa yang  berusia kurang daripada 15 tahun. Dan kebetulan pula Saufi perlu menyiapkan karangan berkisarkan tema tersebut dan sudah beberapa lama itu yang ada dalam fikirannya. Tentang jenayah perang.
 
  ‘ Lepas dia buat semua tu?’

  Selepas dia bunuh lebih daripada 7,500 orang Islam. ‘ Ya.’

  ‘ Mana boleh!’ Afzan membentak. Saufi tersenyum.

  ‘ Sebab?’

  ‘ Sebab dia dah bunuh semua orang tu dan …’

  ‘ Orang akan ingat apa yang dia buat sampai bila-bila?’ Saufi cuba membantu Afzan.

   Cepat-cepat Afzan mengangguk.

  ‘ Macam itulah kalau nak diikutkan apa yang Zan buat tadi. Bukanlah aku tuduh kau nak bunuh aku tapi rasanya, susah nak lupa lepas ni. Aku tak jaminlah ayah pun akan ingat sampai bila-bila tapi…‘

  Lantai berderap perlahan. Afzan sudah bangkit dari tempat duduknya.

  ‘ Abang Sopi…’ lirih sahaja bunyi suara itu menampar cuping telinga Saufi.

  ‘ Ye?’ Saufi meletakkan bukunya ke tepi. Ada senyum pahit di wajah Saufi.

  ‘ Zan minta maaf,’ kata adiknya sambil disambut tangan Saufi. Dan Afzan mula menangis mengongoi. Sakit dilibas rotan ayah tidak sesakit ini. Ini; di mana abangnya akan ingat sampai mati bagaimana dia hampir putus nafas gara-gara gurauan ikan bilis, ini lebih menyedihkan.

  Di dapur pula…

  ‘ Kenapa anak awak tu Leha?’ Haji Mokhtar menjenguk ke ruang tamu.

  ‘ Afzan…minta maaf dengan Sopi,’ ujar emak perlahan. Ada senyuman tergantung di bibirnya.

  ‘ Eloklah. Sikit lagi putus nafas si Saufi tu dibuatnya.’

  ‘ Ayahnya, macamlah saya tak tau cerita awak dengan Alang masa ke-‘

  ‘ Syhhh!!!’



HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.4
7 Penilai

Komen
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

Perihal Penulis
uculer
Hantar Mesejuculer

Karya
print CETAK
email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-Share Alike 2.5 Malaysia
Keterangan

Lain-lain karya uculer
Mengena Terkena
Kalau Sudah Direstu
Sambungan: Sempurna
Tragisnya Cinta
Sampai sudah hajat Abah
Aku bukan alas kaki kau
Penyata Perasan Saya
Hatiku yang fleksibel
Bukan yang kita jangka
Minta pada Dia
Lihat semua

jadual aktiviti bulan julai
Jadual penuh

iklaneka
muat turun
Dewan Gemilang Kapasitor 2009
Ringkasan Panduan Penulisan & Menghantar Karya
Aku Budak Setan: Nazihah (Versi Sopan)
Unwritten
Akhirnya Jo Sudah Tahu
Iklan di sini RM1/sehari
sponsors
Iklan PrasastiIklan Datakl
Iklan Kapasitor
Iklan Tshirt

31 Julai: Borak Foto bersama Shaiful Rizal